Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Ibn Rusyd ataupun nama sebenarnya,  Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Rushd ataupun lebih dikenali sebagai Averroes di dunia Barat. Ibn Rusyd telah dilahirkan di Kota Cordova iaitu salah sebuah kota Islam yang terkenal di Andalusia dan pernah menjadi pusat pemerintahan buat Kerajaan Islam Umayyah ketika berada di fasa kedua.  Sarjana Islam ini telah dilahirkan pada tahun 1126M ketika era pemerintahan Kerajaan Islam al-Muwahhidin.

Barat memandang susuk tubuh ini sebagai seorang yang sangat hebat. Mereka menyanjung dan menggelarkan Ibn Rushd sebagai Prince of Science. Beliau yang lebih dikenali sebagai Averroes diangkat kerana sumbangan beliau dalam menjadi pengulas terhadap falsafah Aristotle. Akibat daripada ulasannya, beliau berjaya mempengaruhi pendeta Kristian paling konservatif semasa Zaman Pertengahan termasuklah St. Thomas Aquinas.

Bukan itu sahaja, penulisan beliau turut menjadi tulang belakang buat Eropah keluar dari zaman gelap mereka. Perkara ini kerana, hasil penulisan Ibn Rushd telah berjaya membuka mata dan memberikan idea kepada ahli falsafah barat seperti Voltaire dan Rousseau. Mereka menggunakan konsep pemikiran Averroes dalam karya beliau seterusnya berjaya mencetuskan era Renaissance sehingga mengubah landskap Eropah seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.

Ibn Rushd hidup di dalam keluarga yang berpengaruh, dipandang tinggi oleh masyarakat dan berilmu pada ketika itu. Dikisahkan bahawa, Ibn Rushd merupakan generasi ketiga daripada keluarganya yang memegang jawatan qadi selepas datuknya yang juga merupakan Imam Besar Masjid Cordova serta ayahnya turut pernah memegang jawatan qadi. Qadi berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud seorang hakim yang membuat keputusan berlandaskan syariat Islam dan bukannya berlandaskan hawa nafsu semata-mata.

Ibn Rushd merupakan pengikut aliran Fiqh Maliki yang merupakan mazhab fiqh rasmi Andalus pada ketika itu. Pendidikan awal Ibn Rushd adalah hasil daripada ajaran bapanya yang juga pengikut fiqh mazhab Maliki. Ibn Rushd mempelajari dan menghafaz karya kitab agung karangan Imam Malik iaitu Al-Muwattak. Beliau turut mentelaah bidang ilmu pengetahuan seperti al-Quran, kesusasteraan Arab al-Mutanabbi dan ilmu kalam.

Kisah tentang sarjana Islam ini amat hebat sehingga beliau diiktiraf oleh dunia barat. Ibn Rushd memulakan perjalanan dunia keilmuan dengan mempelajari ilmu Hadith, bahasa, usul al-fiqh, kalam, perubatan, matematik dan sebagainya sehingga beliau menguasai bidang-bidang tersebut. Sepanjang hayat beliau telah menghasilkan sangat banyak penulisan dalam pelbagai bidang seperti yang berikut:

  • Karya dalam bidang falsafah (28 buah)
  • Karya dalam kalam (5 buah),
  • Karya dalam fiqh dan perundangan (8 buah)
  • Karya dalam tatabahasa (4 buah)
  • Karya dalam perubatan (20 buah)

Turut dicatatkan bahawa beliau pernah menulis buku di dalam bidang astronomi (4 buah), teologi (5 buah) serta sastera dan puisi (2 buah). Dikatakan juga bahawa terdapat lebih banyak buku yang pernah dikarang oleh Ibn Rushd tetapi telah dilenyapkan oleh pemerintah apabila beliau difitnah dan dibuang negeri.

Antara karya agung yang mengangkat nama tokoh falsafah Islam ini adalah seperti Kitab al-Kulliyat fi Tibb (Buku Keseluruhan Mengenai Perubatan). Di dalam kitab ini, beliau telah mengarang pelbagai perkara yang melibatkan bidang perubatan.

Lebih mengagumkan, beliau berjaya mengeluarkan teori yang tidak pernah difikirkan oleh orang sezaman dengannya. Antaranya ialah beliau menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh seseorang itu sekali seumur hidup. Karya tulisan Ibn Rushd ini berjaya mendidik masyarakat tentang ilmu perubatan yang amat penting buat manusia.

 Antara isi kandungan kitab perubatan tersebut adalah seperti:

  • Tashrih al-a’lda’ (Anatomi Organ Manusia)
  • al-Sihha (Kesihatan)
  • al-Marad (Penyakit)
  • al-’Alamat (Simptom)
  • al-Adwiya wa ‘l-aghdhiya (Ubat dan Makanan)
  • Hifz al-sihha (Kebersihan)
  • Shifa al-amrad (Terapi)

Selain itu, Ibn Rushd turut menyumbang pemikirannya di dalam bidang astronomi. Antara salah satu kejayaan terhebat beliau ialah berjaya menentukan titik suria. Beliau turut menulis kitab dalam bidang astronomi yang berjudul Kitab Fi Harakat al-Falak. Bukan itu sahaja, beliau turut merumuskan Almagest tulisan Ptolemy yang merupakaan manual buat ilmu astronomi.

Atas kehebatan pemikiran Ibn Rushd di dalam pelbagai bidang, beliau telah berjaya menambat hati pemerintah pada  ketika itu seterusnya telah menjawat pelbagai jawatan yang besar. Pada tahun 1169M, beliau telah dilantik sebagai Hakim di Sevilla. Selepas itu, beliau dihantar di Cordova untuk menjawat jawatan sebagai seorang Ketua Hakim pada tahun 1171M.

Selain itu, beliau turut menjadi doktor peribadi buat pemerintah yang berkuasa pada tahun 1182M. Akibat daripada perasaan cemburu terhadap kehebatannya, Ibn Rushd telah difitnah yang menyebabkan beliau dibuang ke Lucena, Cordova pada tahun 1195M. Dua tahun selepas itu, barulah khalifah menarik kembali hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.

Tahun 1198M menjadi tahun terakhir buat sarjana ulung ini hidup sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berumur 72 tahun. Kisah kehebatannya amat unggul dan wajar diangkat serta diperkenalkan kepada setiap lapisan masyarakat agar mereka mengenali figura hebat ini Ia merupakan suatu kehilangan yang amat besar bukan sahaja buat umat Islam tetapi kepada seluruh dunia.

Kebanyakkan karyanya lebih diiktiraf oleh pihak barat berbanding pihak timur. Tiada sarjana lain yang sezaman dengannya  mampu menyaingi kehebatan beliau. Kecintaan beliau terhadap ilmu telah berjaya membantu masyarakat dunia untuk memperbaiki kualiti hidup. Diharapkan ada individu yang terinspirasi dan menjadikan sarjana ini sebagai idola yang perlu dicontohi seterusnya menyumbangkan ilmu yang bermanfaat buat masyarakat.

Saya akhiri artikel ini dengan beberapa mutiara kata daripada sarjana serba boleh Islam ini

‘Kejahilan membawa kepada ketakutan
Ketakutan membawa kepada kebencian
Kebencian  membawa kepada keganasan
Begitulah rumus dan persamaanya’

 – Ibn Rushd

“Two truths cannot contradict one another.”

― Averroès

“Knowledge is the conformity of the object and the intellect”

― Averroes

Ikuti penulis:

https://www.instagram.com/_hairulfaizi/

https://www.facebook.com/hairul.faizi.07

https://twitter.com/_hairulfaizi

RUJUKAN:

I- Averroës MUSLIM PHILOSOPHER. https://www.britannica.com/biography/Averroes/Contents-and-significance-of-works

II- Ibn Rushd (Averroës): Prince of Science. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6074522/

III- Ibnu Rushd. https://www.academia.edu/6267164/Ibnu_Rushd?auto=download

IV- Falsafah Ibn Rushd.  http://separaparanoid.blogspot.com/2013/04/falsafah-ibn-rushd.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Jangan hirau warna bendera, Kerana itu penyebab huru hara, Jangan kisah pengikut siapa, Asalkan dia pembela bangsa. Hairul Faizi bin Hairulnizam merupakan seorang anak muda yang berusia 19 tahun. Meminati bidang penulisan yang berkaitan dengan fakta dan sejarah. Berpegang teguh kepada semangat berilmu untuk berjasa digarapkan sekali dengan misi untuk mendidik bangsa. Bercita cita untuk membawa aura penulisan yang lebih menarik untuk menambat hati anak muda . Di barisan hadapan sebagai pembela, Ilmu di dada menabur jasa, Semakin memuncak cita-cita, Semakin tunduk pada yang Esa.

Comments are closed.