Bagi ramai sejarawan, satu tokoh yang sentiasa mendominasi minda masing-masing bila ditanya siapa yang memberi impak paling besar terhadap bidang sosiologi ialah Ibnu Khaldun. Teori-teorinya bukan saja digunakan untuk menganalisis kebangkitan dan kejatuhan sesebuah kerajaan tetapi juga memberi inspirasi kepada ramai tokoh di kemudian hari baik di dunia Islam mahupun dunia Barat.

Biografi

Ibnu Khaldun atau nama sebenarnya Abdurahman bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Al-Hasan bin Jabir bin Muhammad bin Ibrahim bin Abdurahman bin Ibn Khaldun dilahirkan di Tunis, Tunisia pada tahun 1332 Masihi dalam sebuah keluarga bangsawan Arab. Menerusi kitab biografinya yang bertajuk at-Taʻrīf bi-ibn Khaldūn wa-Riḥlatih Gharban wa-Sharqan, moyangnya merupakan seorang Arab Yaman yang mempunyai hubungan dengan seorang sahabat nabi bernama Wai’l bin Hujr.

Keluarganya berhijrah ke Tunisia selepas kejatuhan Seville pasca-kempen Reconquista yang berlaku pada tahun 1248. Keluarganya pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan Dinasti Hafsid. Abang Ibnu Khaldun juga seorang sejarawan dan pernah menulis sebuah kitab berkenaan Dinasti Abdalwadid sebelum kemudiannya menjadi mangsa plot pembvnvhan yang diatur seorang pesaingnya. Pesaing abangnya itu cemburu dengan kedudukannya sebagai sejarawan istana. Sementara bapanya Muhammad merupakan seorang cendekiawan yang hebat dalam bidang fiqah dan falsafah.

Berikutan statusnya yang datang daripada keluarga bangsawan, ini membolehkan Ibnu Khaldun menerima pendidikan yang terbaik. Sejak kecil, beliau mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran, Hadith Rasulullah s.a.w, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, mantik dan logik sehingga menjadikan beliau seorang cendekiawan yang hebat.

Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abdullah al-Jayyani dan Abdullah Muhammad bin ‘Abd al-Salam. Tidak seperti bapanya yang tidak mahu melibatkan diri dalam politik dan pentadbiran negara, beliau melibatkan diri dalam bidang pendidikan, pengajaran dan politik. Karier politiknya bermula ketika beliau berumur 20 tahun apabila Ibnu Khaldun dilantik sebagai setiausaha diraja Sultan Abu Ishaq yang memerintah Tunis pada tahun 1352.

Sejak itulah, Ibnu Khaldun bukan saja menempa nama sebagai ilmuan tetapi juga sebagai ahli politik dan diplomat yang berkaliber. Contohnya pada tahun 1364, beliau diminta oleh pemerintah Nasrid yang berpangkalan di Granada iaitu Muhammad V untuk merundingkan perjanjian damai dengan pemerintah Castille, Pedro Si Kejam/Si Adil. Kebijaksanaannya membolehkan perjanjian damai dimeterai antara kedua-dua kerajaan. Pedro yang tertarik dengan kebijaksanaan Ibnu Khaldun cuba menawarkan peluang kekal di istana baginda dan bersedia memulangkan harta benda kepunyaan keluarganya tetapi ditolak dengan baik oleh beliau.

Selain Pedro Si Kejam/Si Adil, Ibnu Khaldun juga berpeluang mengadakan siri rundingan dengan pemerintah Mongol, Timurlane. Siri rundingan ini berlaku di Damsyik pada tahun 1401 semasa pasukan Timurlane mengepung Damsyik yang ketika itu ditadbir oleh Dinasti Mamluk yang menguasai Mesir dan Syria ketika itu. Selain berunding, baginda juga meminta Ibnu Khaldun membuat ulasan panjang lebar berkenaan wilayah Afrika Utara seperti Maghreb.

Sebaik pulang ke Kaherah, beliau segera menulis latar belakang sejarah kaum Tatar dan kajian perwatakan Timurlane sebelum dihantar ke pemerintah Marinid yang berpangkalan di Fez. Beliau tahu sekiranya Timurlane mempunyai maklumat terhadap Maghreb, maka amatlah elok untuk raja-raja dari situ bersiap sedia sekiranya Timurlane merancang menyerang wilayah berkenaan.

Ibnu Khaldun memegang banyak jawatan dalam mana-mana kerajaan yang pernah disinggahinya. Selain pernah memegang jawatan sebagai diplomat untuk kerajaan Hafsid dan Mamluk, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai menteri di tanah kelahirannya dan kadi (hakim) mazhab Maliki sebanyak enam kali semasa era kerajaan Mamluk. Dan bagi yang mengamati kisah hidupnya, ia diibaratkan seperti sebuah pengembaraan di mana bukan sekali Ibnu Khaldun menjadi pegawai kerajaan tetapi juga dipenjarakan atau hidup dalam buangan. Beliau kembali ke rahmatullah pada 17 Mac 1406, sebulan selepas diplih sebagai kadi buat kali keenam.

al-Muqaddimah

Sudah tentu bila berbicara tentang kitabnya, ramai menyebut kitab al-Muqaddimah sebagai mahakaryanya. Hakikatnya, kitab al-Muqaddimah merupakan sebahagian daripada tujuh buah buku yang membentuk Kitab al-Ibar (Ensiklopedia Pengajaran). Kitab al-Ibar menyentuh banyak aspek sosiologi, sejarah, ekonomi dan geografi. al-Muqadimmah merupakan kitab pertama, kitab kedua hingga kelima menyentuh soal sejarah dunia yang dikarang Ibnu Khaldun ketika itu dan kitab keenam hingga ketujuh menyentuh sejarah dan latar belakang kaum Barbar.

Banyak perkara menarik yang disentuh Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah. Di sini, ada beberapa teori yang pasti menambat hati para pembaca:

  1. Asabiyyah

Ibnu Khaldun melihat asabiyah ini berkait dengan perkembangan masyarakat dan negara. Menurut beliau, tujuan asabiyah ini membabitkan kekuasaan negara demi kebaikan rakyat keseluruhannya. Ini bermakna asabiyah sebenar tidak boleh bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata. Sebaliknya, ia juga memerlukan komponen agama dan moral kerana dari situ, asabiyah dapat diperkukuhkan.

Dan ini menjadi kunci bagaimana bangsa Arab yang dianggap bangsa gasar dan tidak bertamadun oleh bangsa Rom dan Parsi bisa menjadi pembina peradaban yang lebih besar. Asabiyah yang bertunjangkan agama boleh membawa kepada integriti kekuatan politik tetapi jika tidak, kekuatan tersebut akan lenyap dan sesebuah kerajaan atau tamadun bakal berhadapan dengan kehancuran.

Dalam konteks politik moden hari ini, semangat kebangsaan dilihat menjadi pemangkin kepada perjuangan rakyat dalam mendapatkan semula hak mereka. Namun jika ada yang berpandangan kebangsaan langsung tiada kaitan dengan asabiyah, anda salah. Menurut Ibnu Khaldun, semangat nasionalisme ini sebenarnya bentuk lain asabiyah di mana ia boleh saja menjadi positif atau negatif. Asabiyah yang bersifat positif ialah wujudnya semangat perpaduan dan permuafakatan dalam struktur sosial masyarakat sehingga mewujudkan elemen saling menolong dan kerjasama antara satu sama lain.

Firman Allah s.w.t dalam ayat 2, Surah Al-Maidah mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaan-Nya (dengan mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Dan dalam masyarakat Melayu itu sendiri terlalu banyak peribahasa yang memberi gambaran positif berkenaan asabiyah ini. Antara peribahasa yang kita biasa dengar ialah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Namun asabiyah bersifat negatif ini akan mula timbul apabila ia dipengaruhi nilai keangkuhan, bersikap tidak rasional dan menolak prinsip keadilan dan kebenaran semata-mata atas dasar kelompok dan sentimen tertentu. Asabiyah sebegini bukan hanya memadamkan prinsip kebangsaan yang diangkat Ibnu Khaldun malah berpotensi sebagai benih kemusnahan sesebuah kerajaan atau tamadun itu sendiri.

Asabiyah itu boleh saja menjadi alat perjuangan, alat menyerang atau perisai pertahanan. Semasa sesebuah kerajaan atau tamadun hendak naik, asabiyah menjadi teras untuk mencapai objektif sedemikian. Namun selepas perjuangan itu selesai, maka asabiyah sebegini harus segera digantikan dengan asabiyah yang bersifat menyeluruh iaitu semangat nasionalisme.

Dan ia boleh dicapai menerusi penerapan semangat rela berjuang dan sanggup berkorban kerana ia salah satu tanda ketaatan kepada negara. Namun semangat ini boleh saja luntur apabila rakyat sesebuah negara itu bersikap bermalas-malasan dan bermewah-mewahan. Apabila itu berlaku, asabiyah berbentuk kebangsaan ini lama-kelamaan akan mati.

Asabiyah menurut Ibnu Khaldun tidak boleh lari dari konsep kekuasaan. Ini kerana berdasarkan catatan sejarah, bukan sekali dua kerajaan atau empayar besar tumbang selepas dikalahkan golongan Badwi atau orang tak bertamadun (Barbarian mengikut definisi orang Rom).

Di Eropah, mereka merupakan kelompok Barbarian dari pelbagai puak yang menakluk pelbagai kerajaan dan menubuhkan kerajaan mereka sendiri. Kelompok ini kemudian mengadaptasi kekuasaan dan budaya masyarakat yang ditakluki sehinggalah masyarakat yang dijajah itu hilang, sang penakluk kehilangan elemen Badwi dan asabiyahnya dan bertukar menjadi kelompok Hadhari yang diancam oleh kelompok Badwi seterusnya. Pendek kata, ia sebenarnya menceritakan proses pembentukan, kegemilangan dan kemerosotan sesebuah negara dan ia satu kitaran yang sentiasa bersilih ganti.

Konflik luar dalam masyarakat ini akan menimbulkan kitaran dan perubahan struktur kekuasaan, satu proses yang dipanggil Ibnu Khaldun sebagai proses daur sejarah yang berlaku tanpa mengira masa atau generasi. Teori sebegini dilihat lebih unggul berbanding pelbagai teori yang dibawa penyokong fahaman tertentu seperti Marxisme dan kapitalisme kerana mereka gagal menjelaskan apa yang berlaku sesudah semua fahaman ini mati.

Sesebuah kerajaan atau negara akan mengalami tiga fasa iaitu permulaan, kegemilangan dan kemerosotan. Era permulaan ialah generasi kelompok primitif yang masih mengamalkan kehidupan biasa dan tinggal di kawasan perkampungan. Selepas mereka mencapai kekuasaan dan membentuk sebuah negara, akan berlaku peralihan taraf hidup dari primitif kepada kehidupan kota yang mewah dan selesa.

Namun fasa ketiga inilah yang patut dibimbangi iaitu fasa kemerosotan. Pada fasa tersebut, sesebuah negara atau kerajaan hancur apabila masyarakat ketika itu terlalu asyik dengan kemewahan, bersikap penakut dan sudah tidak mengamalkan lagi nilai kehormatan dan keberanian. Makanya di sinilah peranan asabiyah yang perlu diperkasakan bukan saja dari segi semangat persaudaraan tetapi juga dari aspek moral dan keagamaan. Ini kerana asabiyah yang kuat akan menjadikan sesebuah negara atau kerajaan aman dan makmur. Namun apabila ia membiarkan elemen ini dipengaruhi sifat-sifat negatif yang dikecam Nabi s.a.w dalam beberapa perenggan sebelumnya, negara akan terbatas dari segi kemampuannya dan secara tidak langsung, ia sebenarnya menulis obituari kematiannya sendiri.

  1. Ekonomi.

2.1 Keadilan

Bila berbicara tentang keadilan, Ibnu Khaldun menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonomi. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur. Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan, tetapi secara umumnya ia bermaksud sesiapa sahaja yang mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa dan kerahan atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain atau meminta seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Islam, maka ini membawa kepada ketidakadilan.

Beliau mengelaskan ketidakadilan yang paling besar ialah merampas harta orang lain secara tidak sah yang memberi kesan kepada kehidupan isteri, keluarga dan kemuliaan pihak berkenaan. Contoh ketidakadilan yang paling besar yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun ialah memiliki harta orang lain dengan cara yang tidak betul iaitu membeli hartanya dengan harga yang paling murah dan menjual barang-barang kepadanya dengan harga yang paling mahal dengan cara paksaan. Ketidakadilan sebegini yang akhirnya membawa kepada kejatuhan sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibn Khaldun, atas sebab-sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh Islam.

2.2 Teori Pengeluaran, Pembahagian Buruh dan Pertukaran

Ibnu Khaldun mengemukakan teori pengeluaran yang dinyatakannya bahawa kehidupan perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran dan permintaan, pengeluaran dengan penggunaan dan upah dengan daya pengeluaran. Menurut beliau, pengeluaran mestilah berdasarkan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat.

Beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh juga perlu untuk menghasilkan matlamat akhir dengan menggemblengkan faktor pengeluaran lain iaitu tanah dan modal. Beliau juga berpendapat bahawa kenaikan yang tetap pada paras harga amat perlu untuk mengekalkan tahap produktiviti. Beliau menyarankan agar masyarakat melakukan penyusunan supaya setiap bidang pekerjaan dilakukan oleh orang yang mahir dan cekap dalam bidang berkenaan sahaja.

Kesan dari kombinasi tenaga buruh, kerjasama, kemahiran dan skill memastikan bahawa “apa yang diperolehi melalui semangat kerjasama sesama manusia boleh memenuhi keperluan mereka lebih daripada yang diusahakan oleh diri mereka sendiri”.  Keadaan ini mewujudkan lebihan barangan dan barangan di mana ia boleh ditukarkan dengan barangan-barangan lain yang dimiliki oleh orang lain atau boleh dieksport ke bandar-bandar lain (luar negara) untuk mendapatkan sejumlah kekayaan.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan pembahagian tenaga buruh saling berkait dengan keadaan pasaran. Teori pembahagian tenaga buruh, pengkhususan tenaga buruh dan pertukaran yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun ini muncul seabad lebih awal daripada Adam Smith yang turut mengemukakan teori yang sama.

2.3 Teori kitaran perniagaan

Dalam teori kitaran perniagaan, terdapat dua teori iaitu teori kitaran penduduk pengeluaran dan teori kitaran percukaian pengeluaran. Teori kitaran penduduk pengeluaran dinyatakan oleh Ibnu Khaldun sebagai hubungan antara jumlah penduduk dengan tingkat pengeluaran. Apabila jumlah penduduk bertambah, maka pengeluaran juga akan meningkat. Kedua-dua faktor itu akan saling bertambah antara satu sama lain.

Menurut beliau, jumlah penduduk yang terlalu ramai akan menyebabkan kepadatan dan kepesatan dalam bandar yang akhirnya akan menyebabkan penyakit dan kebuluran. Keadaan ini akan mengurangkan jumlah penduduk dan mengurangkan tingkat aktiviti perniagaan lain sehingga negara dan kerajaan akan pupus sama sekali. Selepas itu muncul pula negara lain yang akan menggantikan negara tersebut.

Sementara teori kitaran percukaian pengeluaran pula ialah teori hubungan antara jumlah penduduk dengan kadar cukai. Menurut Ibnu Khaldun, peningkatan jumlah penduduk menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan kadar cukai hingga ke paras melebihi nilai harta dan mewujudkan cukai-cukai baru. Langkah kerajaan ini menyebabkan orang ramai tidak berminat untuk berniaga dan akhirnya bidang pemiagaan akan ditinggalkan kerana cukai yang tinggi dan keuntungan yang diterima terhakis dan musnah sama sekali.

  1. Urbanisasi/pembinaan bandar

Ibnu Khaldun telah menerangkan dengan panjang lebar mengenai syarat-syarat yang diperlukan untuk perancangan bandar-bandar dan akibat-akibatnya sekiranya syarat-syarat ini diabaik. Mengikut beliau, setelah sesebuah bandar selesai dibangunkan dan dibina mengikut citarasa dan pandangan pembinanya dan sesuai dengan tuntutan cuaca dan geografinya, maka usia sesebuah negara tersebut merupakan usia bandar itu.

Ini disebabkan oleh pembangunan bandar atau kota raya yang hebat merupakan lambang kegemilangan sebuah tamadun bangsa. Ia memberi gambaran tentang kemajuan sesebuah negara yang kaya lagi berdaulat serta keagungan bangsa yang maju merangkumi ketinggian nilai budi dan tahap keintelektualan masyarakatnya.

Walaupun pembangunan sesebuah bandar harus bersifat dinamik dan perlu seiring dengan teknologi semasa, perancangan bandar juga patut diselarikan dan dikekalkan dari aspek yang baik dan berguna kepada penduduk dan ditambahbaik segala kekurangannya. Ini kerana jika sesebuah perancangan bandar tidak dirancang secara sempurna, ini akan menyebabkan berlaku kemungkaran dan kesusahan kepada masyarakat awam.

Ini sekaligus mengundang kerosakan kepada masyarakat, tempat tinggal dan bandar itu sendiri. Ini kerana menurut Ibnu Khaldun, bandar merupakan tempat tinggal yang diwujudkan oleh bangsa-bangsa apabila mencapai puncak kemewahan yang diinginkan berserta segala-galanya yang ada hubungan dengannya. Kemudian mereka pun mengkehendaki suasana hidup yang damai dan tenang, serta beralih menjadikan rumah sebagai tempat tinggal. Ini menunjukkan bahawa, perancangan bandar bukanlah suatu perkara yang patut dipandang enteng.

Perancang-perancang bandar harus merenung firman Allah s.w.t dalam ayat 80, Surah an-Nahl mafhumnya, “Dan ALLAH menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: Khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (dibawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kama menggunakannya) hingga suatu masa.”

Tujuan mendirikan bandar ialah agar dijadikan sebagai kawasan penempatan dan berlindung. Dengan demikian, amat wajar hubungan ini diambil perhatian supaya segala benda yang bermudarat dijauhkan daripada bandar dengan cara menjaganya daripada segala yang boleh mencelakan serta memasukkan segala sesuatu yang bermanfaat, dan menyediakan segala kemudahan sesuai dengan kehidupan bandar. Ini kerana, perancangan bandar termasuk dalam aktiviti memakmurkan bumi. Tanpa perancangan bandar dan pembangunan yang baik, ia boleh mengundang kerosakan di atas muka bumi.

Selain berfungsi sebagai sebuah tempat tinggal, bandar yang bagus perancangannya turut menjadi medan perkembangan ilmu pengetahuan. Menurut Profesor Doktor Mahmud Hamdy Zaqazouq, punca utama kemunduran tamadun umat Islam berpunca daripada pengabaian terhadap kepentingan ilmu dan pembangunan tamadun. Jika umat Islam mengabaikan dua perkara ini, kesannya ialah kemajuan yang dikecapi oleh umat Islam ialah hasil daripada ciptaan Barat dan bukan rekaan umat Islam sendiri.

Dalam sejarah kegemilangan Islam dari Khulafa’ ar-Rashidin hinggalah Empayar Uthmaniyyah, kerajaan-kerajaan ini telah menjadikan bandar-bandar raya sebagai tempat berkumpul dan berlindungnya orang yang berilmu serta dahagakan ilmu. Kebanyakan bandar raya terkenal dalam sejarah Islam mempunyai sifat-sifat keilmuan dalam bentuk pusat-pusat pengajian dan berperanan sebagai pencetus dan pemangkin kepada pembudayan ilmu di peringkat global kerana pendidikan dan ilmu tidak boleh dikongkong dengan sempadan pentadbiran dan faktor geografi.

Selain daripada menjadi tempat perkembangan ilmu pengetahuan, penetapan sebuah bandar juga menjadi satu refleksi manusia kepada alam sekitar. Kewujudan bandar yang mengetengahkan konsep bandar dalam taman memerlukan penjagaan landskap yang betul dan teratur. Penjagaan landskap pula berhubung kait dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang ada di sekitar bandar bagi mewujudkan suasana yang nyaman dan selesa untuk dihuni. Manusia seharusnya berperanan sebagai pembina dan pemelihara alam sekitar, bukannya sebagai perosak alam.

Ini dinyatakan Allah s.w.t dalam ayat 41, Surah ar-Rum, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Perancangan dan pembangunan yang berteraskan konsep pembangunan mapan akan memastikan semua sumber alam seperti bukit-bukau, gunung-ganang, sungai, tasik, udara, flora, dan fauna dijaga sebaik mungkin serta kestabilannya dapat dinikmati oleh umat manusia seterusnya.

Legasi

Walaupun semasa hayatnya, karyanya dan kredibilitinya tidak dipandang tinggi oleh cendekiawan ketika itu, ramai cendekiawan baik di dunia Islam dan dunia Barat menyifatkan karya Ibnu Khaldun memberi impak bukan sedikit terhadap hasil-hasil kerja mereka.

Cendekiawan-cendekiawan Turki Uthmaniyyah seperti Katip Celebi dan Mustafa Naima memuji sumbangannya. Katip melihatnya sebagai pengaruh yang hebat manakala teori tamadun yang dikemukakan Ibnu Khaldun digunakan untuk menjelaskan kegemilangan dan kejatuhan Empayar Uthmaniyyah.

Di Barat pula, Arnold J. Toynbee menggelar al-Muqaddimah sebagai sebuah mahakarya terhebat dalam bidangnya. Sementara filsuf British berdarah Czech Ernest Gellner menggelar definisi kerajaan oleh beliau sebagai yang terbaik dalam sejarah teori politik. Manakala filsuf British Robert Flint menyifatkan kepakarannya itu tidak boleh ditandingi oleh sesiapa melainkan oleh Gianbattista Vico. Teori ekonomi Ibnu Khaldun turut mempengaruhi polisi ekonomi Presiden Ronald Reagan pada tahun 80-an yang dikenali sebagai Reaganomics.

RUJUKAN:

  1. M.S. Usman, Ismar etc. (2016). KRITERIA-KRITERIA PERANCANGAN BANDAR OLEH IBN KHALDUN. Journal of Design + Built, Volume 9. Universiti Kebangsaan Malaysia.
  2. Borhan, Joni Tamkin. (2000). Sumbangan Ibn Khaldun Dalam Pemikiran Ekonomi Islam Dan Relevensinya Dengan Permasalahan Ekonomi Semasa. Universiti Malaya. https://www.researchgate.net/publication/314205270_Sumbangan_Ibn_Khaldun_Dalam_Pemikiran_Ekonomi_Islam_Dan_Relevensinya_Dengan_Permasalahan_Ekonomi_Semasa

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.