Ibn Battuta: Pengembara Agung Umat Islam

1,318

Sebelum penciptaan pengangkutan moden yang cekap seperti kapal terbang dan keretapi, manusia hanya mengembara sekitar 20 batu dari bandar atau kampung halaman mereka. Jika ada yang dapat mengembara sekalipun, selalunya merupakan golongan yang berkemampuan dari segi harta dan mempunyai keinginan meneroka negara-negara orang. Jika di dunia Barat, yang dijulang ialah Marco Polo. Sementara di dunia Islam pula, Ibnu Battuta yang menjadi sebutan.

Pengembara Islam terkenal itu dilahirkan pada tahun 1304 Masihi di Tangier, Maghribi. Datang dari keluarga berdarah Barbar, keluarganya menghasilkan ramai hakim berwibawa yang banyak menyumbang kepada tamadun Islam ketika itu. Justeru, tidak hairanlah mengapa Ibnu Battuta mengikut jejak langkah ahli keluarganya dengan mendalami pelbagai ilmu termasuk undang-undang syariah. Dengan latar belakang begitu, tidak hairanlah mengapa ramai melayannya dengan hormat semasa mengembara berikutan statusnya sebagai seorang cendekiawan Islam.

Pada tahun 1325, Ibnu Battuta memulakan perjalanan pengembaraannya dengan perjalanan ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan haji. Dalam catatan Rihlahnya, beliau mengakui merasa berat hati untuk meninggalkan kampung halaman dan keluarga tercinta demi memenuhi keinginannya melihat dunia di luar sana. Namun pada masa sama, perasaan itu tidak boleh mengatasi keinginannya melihat dunia terutama negara-negara Islam. Semasa perjalanan, beliau singgah di negara-negara Afrika Utara termasuk di Mesir (Iskandariah dan Kaherah) sebelum akhirnya menunaikan rukun Islam kelima.

Tetapi gelaran haji yang diterima bukan bererti masa untuknya pulang ke kampung halaman. Sebaliknya dari tahun 1326 hingga 1327, Ibnu Battuta meneruskan perjalanan ke Iraq dan Parsi. Pada tahun 1328, beliau berkelana pula ke timur Afrika termasuk pernah singgah di bandar pelabuhan Mogadishu, Somalia. Dari Mogadishu, Ibnu Battuta meneruskan perjalanan ke selatan dengan meneroka kawasan pesisir pantai Kenya dan Tanzania.

Selepas sekali lagi menunaikan haji pada tahun 1330, Ibnu Battuta merancang untuk berkelana ke India dan menjadi kadi (hakim) bagi Kesultanan Delhi yang memerintah ketika itu. Selepas melalui Mesir, Syria dan Turki, beliau singgah di sebuah kerajaan yang diperintah Sultan Muhammad Oz Beg atau dikenali sebagai Uzbeg Khan. Di sini, beliau disambut baginda sebagai seorang cendekiawan yang terpelajar dan arif dalam soal perundangan. Dalam catatannya, beliau merasa terkejut melihat wanita-wanita Mongol diberi peluang bersuara lebih banyak berbanding di wilayah-wilayah yang disinggahinya sebelum ini.

Berikutan itu, Ibnu Battuta menetap di Ulug Ulus (nama kerajaan Uzbeg Khan) selama beberapa tahun. Malah, beliau juga berkesempatan mengembara ke Constantinople bagi mengiringi isteri baginda bernama Bayalun melahirkan anak di situ. Bayalun merupakan puteri kepada pemerintah Rom Timur ketika itu, Maharaja Andronikos III Palaiologos. Apabila rombongan tiba di Constantinople pada tahun 1332, beliau diberi peluang melawat Hagia Sophia dan bertemu dengan seorang paderi Ortodoks Timur berkenaan perjalanannya ke Baitulmaqdis. Sekembalinya ke Ulug Ulus, Ibnu Battuta melaporkan hasil perjalanannya dengan Uzbeg Khan.

Pada tahun 1333, beliau meneruskan perjalanan ke Asia Tengah sebelum akhirnya tiba di Delhi pada tahun 1334 melalui laluan Afghanistan. Beliau disambut meriah oleh pemerintah Delhi ketika itu, Sultan Muhammad bin Tughlug. Ibnu Battuta berkhidmat di Delhi sebagai kadi selama tujuh tahun dan turut mengambil kesempatan membina keluarga di sana. Namun, lama-kelamaan beliau merasa kurang senang dengan sikap keras baginda termasuk mengenakan hukuman gilisan gajah yang dipasang dengan pisau ke atas musuh-musuhnya. Justeru, Ibnu Battuta mula mencari jalan untuk keluar dari situasi ini.

Peluang tersebut muncul pada tahun 1341 apabila Sultan Muhammad merancang menghantar satu rombongan ke China. Selepas berjaya menyakinkan baginda dan merasakan inilah peluang untuk mengembara sementara diberi kesempatan usia oleh Allah s.w.t, rombongan ini bertolak pada tahun sama. Namun dalam perjalanan, rombongannya diserang perompak hingga hampir-hampir mengorbankan nyawanya. Sebaik tiba di pelabuhan, kapal yang mahu ditumpang sudah berlayar dan dikhabarkan karam semasa dalam perjalanan.

Sejak itu, pelbagai lagi peristiwa malang menimpanya sekaligus mendorong beliau berlindung di Maldives. Ibnu Battuta menjadi ketua hakim di Maldives selama sembilan bulan bagi kerajaan tempatan tetapi terpaksa meninggalkan pulau itu berikutan perbezaan pendapat berkenaan adat penduduk tempatan. Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke China dan akhirnya tiba di Quanzhou pada tahun 1345, empat tahun selepas meninggalkan Delhi. Dalam catatan Rihlahnya, Ibnu Battuta bercerita pengalamannya di China termasuk kota-kota yang ditadbir Dinasti Yuan ketika itu seperti Beijing dan Hangzhou dan sikap kerajaan yang mengalu-alukan orang sepertinya di situ. Namun pada masa sama, beliau juga menyatakan rasa kurang senang dengan adat penduduk tempatan. Tetapi itu tidak menghalangnya menetap bersama komuniti Muslim China selama beberapa tahun sebelum akhirnya memutuskan kembali ke kampung halaman di Tangier.

Tetapi setibanya Ibnu Battuta di Tangier pada tahun 1349, beliau diberitahu ibu bapanya telah kembali ke rahmatullah. Melihat tiada sebab untuk pulang ke Tangier, beliau kembali berkelana kali ini ke Andalusia. Pada mulanya, perjalanannya ke situ demi membantu kerajaan Islam mempertahankan Gibraltar dari ancaman Raja Alfonso XI dari Castile dan Leon. Tetapi selepas baginda mangkat selepas terkena wabak Black Death, ancaman tersebut hilang begitu sahaja dan perjalanan tersebut bertukar menjadi lawatan meninjau Andalusia dari Valencia hingga Granada.

Pada tahun 1351, Ibnu Battuta meneruskan perjalanan ke bahagian barat Afrika terutama Mali dan Timbuktu. Idea pengembaraan ini dikatakan timbul daripada kisah raja mereka, Mansa Musa I dan rombongan hajinya yang melalui wilayah-wilayah Islam pada tahun 1320-an. Dalam pengembaraan ini, Ibnu Battuta berkesempatan bertemu dengan pengganti Musa I, Mansa Suleyman dan menceritakan pengalamannya bertemu dengan badak air buat kali pertama. Selepas mendapat titah dari pemerintah Marinid yang memerintah Maghribi ketika itu, Abu Inan Faris untuk pulang ke tanah air pada tahun 1353, beliau akur dan pulang ke Tangier pada tahun 1354.

Sekembalinya ke Maghribi, Abu Inan mahukan kisah perjalanannya itu dibukukan sebagai rekod kepada generasi mendatang. Dengan bantuan setiausaha baginda merangkap kenalan beliau di Andalusia, Ibnu Juzayy, anekdot pengembaraannya direkodkan dalam kitab Rihlah atau nama panjangnya Tuḥfat an-Nuẓẓār fī Gharāʾib al-Amṣār wa ʿAjāʾib al-Asfār. Tidak diketahui apa yang berlaku ke atas Ibnu Battuta selepas menyelesaikan kitab Rihlahnya pada tahun 1355. Beliau dikatakan dilantik sebagai kadi sebelum kembali ke rahmatullah antara tahun 1368 atau 1369.

Yang pasti, legasinya terus harum sehingga ke hari ini. Perjalanannya menjangkau jarak 75,000 batu merentasi 44 negara moden hari ini. Berikutan pendedahannya terhadap banyak budaya di negara-negara yang disinggahinya, ini menjadikan Ibnu Battuta sebagai sumber utama sejarah dan kebudayaan Islam semasa abad ke-14. Jadi setiap kali anda melihat perkataan pengembara, usah lupa nama Ibnu Battuta.

RUJUKAN:

Strom, Caleb. (2019). Ibn Battuta—The Marco Polo of Dar-al-Islam. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ibn-battuta-0011325

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.