I-City Ultrapolis

60

Menjelang tahun 2020, satu projek mega dan ikonik dijangka akan siap sepenuhnya di Shah Alam, Selangor. Projek mega i-City ini adalah berkonsepkan ‘pembangunan bandar digital’ sepenuhnya. i-City merupakan satu projek mega hasil inisiatif Multimedia Super Corridor (MSC) untuk mewujudkan sebuah bandar digital dan i-City dikenali sebagai ‘MSC Cybercentre’ dengan terletaknya pejabat utama MSC dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan MSC di sini. Pembinaan projek ini yang dibangunkan oleh i-Bhd mampu menjadi satu tarikan buat para pelancong dari dalam dan luar negara. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mengiktiraf i-City sebagai tempat pelancongan manakala Kerajaan Negeri Selangor telah mengiktiraf i-City sebagai ‘International Park’ di mana hiburan dan aktiviti gaya hidup kosmopolitan dibenarkan beroperasi 24 jam. i-Bhd, syarikat pemaju yang bertanggungjawab membangunkan i-City telah menandatangani perjanjian dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengurus segala kemudahan awam dengan pembangunan i-City.

Projek i-City yang berkeluasan 72 ekar ini terletak di Seksyen 7, Shah Alam bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway). Pembinaan projek ini telah mula dijalankan pada tahun 2005 dan pada tahun 2009, i-City telah melancarkan pembukaan salah satu komponen i-City iaitu taman tema ‘City of Digital Lights’. Nilai pembangunan kasar i-City mencecah RM9 billions. Pembangunan i-City adalah mengikut peringkat dan fasa yang telah ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020. i-City dihubungkan secara terus melalui Lebuhraya Persekutuan dan akan dihubungkan dengan stesen LRT3 yang bakal dibina berdekatan dengan i-City kelak. Master Plan i-City direka oleh arkitek dari Amerika, Jon A. Jerde yang telah membahagikan kepada 6 plot atau kawasan dengan tema-temanya tersendiri. Konsep pembangunan i-City diilhamkan daripada pembangunan bandar Clark Quay di Singapore, Canary Warf di Britain dan Lotte World di Seoul, Korea Selatan. Hasil gabungan idea pembangunan di ketiga-tiga tempat itu, maka tercetuslah idea untuk membangunkan bandar i-City. Setiap plot mempunyai nilai-nilai seni bina yang moden dan tersendiri mengikut tema yang telah ditetapkan.

i-City bertindak sebagai sebuah ultrapolis yang mengandungi pusat-pusat perniagaan, pejabat-pejabat, taman tema, unit residensi, pusat komersil, hotel dan pejabat MSC. Berikut merupakan komponen i-City yang telah dan akan dibina:

  1. i-Suites: merupakan unit residensi lengkap dengan perabot pegangan bebas yang berkeluasan daripada 566 kps sehingga 850 kps. Konsep residensi ini lebih kepada konsep hotel untuk memberikan suasana hotel buat pemilik unit. (Telah siap sepenuhnya pada tahun 2017)
  2. i-Soho: SOHO merupakan akronim untuk ‘Small Office Home Office’ di mana unit ini menggabungkan ruang kediaman dengan ruang bekerja dalam satu unit. Unit SOHO sesuai untuk pengoperasian pejabat yang kecil. (Telah siap sepenuhnya pada tahun 2017)
  3. i-Residence: merupakan projek ‘high-end’ residensi yang digabungkan dengan villa eksklusif. Terdiri daripada 33 tingkat dengan 346 unit servis residensi dan disebelahnya terdapat pembangunan villa eksklusif yang cantik. Villa itu pula mempunyai dua jenis iaitu duplex (terletak di bahagian bawah) dan triplex (terletak di bahagian atas). (Telah siap sepenuhnya pada tahun 2015)
  4. Hyde Tower: Unit servis residensi yang mempunyai tema seperti di London. (Dijangka siap pada tahun 2018)
  5. Liberty: Unit servis apartment yang mengetengahkan konsep dan tema New York di mana pengguna dapat merasai elemen-elemen bandar di New York seperti Times Square, Empire State Building dan Statue of Liberty. (Dijangka siap pada tahun 2018)
  6.  Parisien: Unit penthouse yang mengetengahkan konsep romanticism yang diilhamkan daripada bandar Paris yang mempunyai Menara Eiffel yang tersergam indah. (Dijangka siap 2018)

7. Central Plaza Mall (CPM): Kompleks membeli-belah yang bertemakan budaya Thailand. CPM dibangunkan oleh syarikat developer daripada Thailand, Central Pattana PCL. Apabila siap kelak, CPM bakal menjadi kompleks membeli-belah yang terbesar di Shah Alam. Mempunyai 6 tingkat dan 3 tingkat basement dijangka boleh memuatkan sehingga 450 ruang perniagaan untuk menarik pengguna di peringkat pertengahan dan pertengahan atas. CPM juga mempunyai ruang bumbung yang akan digunakan sebagai ruang terbuka untuk pengunjung. Manakala di hujung CPM terdapat sebuah pusat konvensyen yang boleh dianjurkan pelbagai acara. Kos pembinaan CPM mencecah RM580 juta. (Dijangka siap pada tahun 2018)

8. Central Tower: mempunyai 2 blok menara yang mengandungi servis apartment dan ruang pejabat serta mempunyai jaringan perhubungan untuk pejalan kaki ke kompleks membeli-belah. (Dijangka siap pada tahun 2019)

9. Best Western Hotel: merupakan 18 tingkat hotel perniagaan yang moden. (Telah siap sepenuhnya pada tahun 2015)

10. i-SOVO: SOVO merupakan akronim untuk ‘Small Office Versatile Office’. 11 tingkat i-SOVO ini memberikan pilihan kepada pemilik bagaimana unit mereka akan diubahsuai sama ada hendak membahagikan ruang antara pejabat dan kediaman ataupun tidak. (Telah siap sepenuhnya pafa tahun 2014)

11. Double Tree Hilton Hotel/ Performing Arts and Convention Centre: hotel ini akan dikendalikan oleh Hilton Worldwide dengan Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM200

juta. Dijangka hotel ini mampu untuk menampung permintaan pengunjung yang tertarik dengan 26-ekar taman tema yang dibangunkan. (Dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018)

  1. Central Office: mempunyai dua blok menara ruang pejabat yang akan dilengkapi dengan jaringan internet berkelajuan tinggi sesuai dengan peranan i-City sebagai sebuah bandar digital. Ia juga akan dihubungkan dengan Hilton Hotel dan Data Centre. (Dijangka siap pada tahun 2018/2019)
  2. The Jewel: merupakan komponen paling penting dan ikonik di dalam bandar i-City. The Jewel mempunyai 45 hingga ke 70 tingkat yang mengandungi servis apartment, ruang pejabat, ruang perniagaan dan hotel. Di dalamnya terdapat tasik buatan yang akan memberikan suasana alam kepada pengguna, diinspirasikan daripada bandar Clark Quay di Singapura. (Dijangka siap pada tahun 2020)
  3. MSC Cyber Offices/Data Centre: Pejabat Pusat MSC dan juga bertindak sebagai Data Centre. (Telah siap sepenuhnya pada tahun 2010)
  4. Leisure Park: merupakan taman tema yang mempunyai 4 komponen utama iaitu City of Digital Lights, SnoWalk, Waterworld dan Funworld. (Telah siap sepenuhnya pada tahun 2009)

Pembangunan bandar Ultrapolis i-City ini lebih menumpukan kepada tarikan antarabangsa sama ada pelancong atau ahli perniagaan dan menjadi hub untuk penyimpanan data dalam bentuk digital. Kewujudan i-City ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi Shah Alam sebagai sebuah bandar yang dikenali diperingkat antarabangsa serta ia akan bertindak sebagai hub perniagaan pada waktu siang dan suasana gaya hidup yang elegan di waktu malam.

RUJUKAN:

www.i-city.my

www.i-bhd.com

http://www.starproperty.my/index.php/articles/property-news/the-creative-making-of-i-city/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.