Hypatia: Ahli Matematik Wanita

799

Hypatia merupakan ahli matematik wanita pertama yang kehidupannya direkodkan dengan baik. Selain ahli matematik, Hypatia merupakan ahli falsafah dan ahli astronomi agung Mesir. Hypatia digambarkan sebagai seorang yang jelita. Seorang yang penuh adab, lemah lembut dan berprinsip. Direkodkan Hypatia tidak pernah berkahwin dan tidak pernah menggauli mana-mana lelaki walaupun ramai pelajar lelakinya cuba untuk memikatnya.

Ayahnya, Theon juga ahli matematik dan ketua dia sebuah sekolah bernama Mouseion. Pendidikan awal dipengaruhi oleh ayahnya. Kemudian, Hypatia dihantar ke Athens. Theon mahu Hypatia menjadi seorang manusia yang sempurna. Maka, Theon mengajar anaknya pelbagai perkara. Theon mengajar matematik, astronomi, falsafah dan mekanik. Kemudian, Hypatia menjadi ketua di Mouseion dan sekolah tersebut menjadi sekolah terbaik di sekitar dunia Greco-Roman selepas sekolah-sekolah di Athens.

Hypatia menganut falsafah Neoplatonism dan beragama pagan. Namun, dia masih boleh bertoleransi dengan fahaman Kristian yang sangat kuat pada ketika itu. Ramai para pelajarnya beragama Kristian. Hypatia mendapat pengaruh dalam politik apabila beliau mula membina hubungan dengan para menteri di Alexandria. Kadangkala, kerajaan Alexandria meminta pandangan Hypatia dalam menyelesaikan suatu isu semasa. Hypatia dianggap sebagai seorang kaunselor.

Hypatia menjadi semakin popular dalam kalangan penduduk Alexandria. Perkara ini memakan dirinya sendiri. Ketika berlakunya rusuhan politik, Hypatia diserang dan tubuhnya diusung sehingga ke gereja oleh rusuhan ekstremis Kristian. Hypatia dibogelkan lalu dibunuh. Tubuhnya dicincang dan serpihan-serpihan tubuhnya dibawa di sekitar kota lalu dibakar.

Kematian Hypatia telah mengejutkan ramai orang di sekitar empayar. Kematian Hypatia telah menjadikan generasi Neoplatonis menyerang keras ajaran Kristian. Ketika kurun ke-18, Hypatia telah menjadi symbol penentangan terhadap Kristian secara keseluruhan. Walaupun begitu, Hypatia juga tetap diangkat oleh Kristian juga dengan menggambarkan Hypatia sebagai St. Catherine. Pada zaman moden ini, Hypatia telah menjadi symbol gerakan feminism di sekitar Eropah.

Hypatia telah menulis beberapa karya terutamanya berkenaan ulasan-ulasan matematik dan astronomi. Tetapi tiada karyanya yang selamat. Dikatakan Hypatia lebih menyerlah sebagai guru dan kaunselor berbanding seorang saintis. Kisah Hypatia pernah diadaptasi menjadi filem yang berjudul ‘Agora’.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.