Hydra merupakan seekor haiwan dalam mitologi Yunani dan Rom Purba yang digambarkan sebagai ular air raksasa yang mendiami Tasik Lerna di Argos, Yunani. Mengikut kefahaman penduduk di sekitarnya, Tasik Lerna merupakan pintu masuk menuju ke Dunia Kegelapan (Underworld), tempat yang dikuasai Hades. Hydra juga dikenali dengan nama lainnya, Lernaean Hydra atau Hydra of Lernaean.

Hydra merupakan anak kepada Typhon dan Echidna. Typhon adalah seekor raksasa bercirikan manusia berbentuk ular, mempunyai sayap gergasi, dan antara haiwan paling menggerunkan di dalam mitos Yunani. Bahkan, ia sendiri pernah bertarung dengan Zeus. Manakala Echidna pula adalah raksasa bercirikan wanita berkaki (berekor) ular, yang mendapat gelaran “she-viper” dan “mother of monsters”.

Gambar 2 : Ilustrasi pertarungan antara Zeus dan Typhon.

MITOLOGI HYDRA

Menurut mitos, Hydra digambarkan mempunyai sebilangan kepala yang bercabang dari satu badan. Ada kisah menceritakan ianya mempunyai sejumlah 11 buah kepala, ada pula menceritakan 9 buah sahaja, dan ada yang sekadar menyebut 7 buah sahaja. Akan tetapi, yang pastinya, kepala yang berada ditengah-tengah adalah kepala utama, yang bersifat ‘immortal’.

Apabila tersebarnya kisah Hydra keseluruh tamadun lain, sifat Hydra lagi kemudiannya ditokok tambah, mempunyai keupayaan menumbuhkan kepala dan menambah bilangan kepalanya itu. Ini bererti, setiap kepala yang terputus dari badannya, akan muncul dua lagi buah kepala menggantikannya.

Nafas dan darah Hydra juga dicirikan mempunyai tahap kepekatan racun yang tinggi, yang mana hanya dengan menghidu baunya sahaja boleh mengundang kematian buat manusia.

PERTEMPURAN HYDRA DAN HERACLES

Kisah Hydra diceritakan lagi tentang bagaimana ia bertempur dengan Heracles (Hercules) dan Iolaus didalam naratif 12 Tugasan Heracles (Heracles’ Twelve Labors).

Gambar 3 : Ilustrasi Heracles dan Iolaus menentang Hydra, karya Louis Cheron sekitar tahun 1690-an.

Kisahnya, Heracles mengalami sedikit kesulitan menentang Hydra, kerana setiap kali kepalanya dipancung Heracles, muncul lagi dua kepala baharu. Ini bukan sahaja melecehkan, malah menyukarkan lagi usahanya untuk menumpaskan Hydra. Ini kerana setiap satu kepalanya yang bercambah sudah tentu akan meningkatkan lagi keupayaannya menyerang Heracles.

Iolaus, anak saudara dan peneman Heracles, kemudian hadir membantu Heracles dengan membawa obor api kedalam medan pertarungan. Bijaknya Iolaus, setiap kali Heracles berjaya memancung satu kepala Hydra, Iolaus akan terus membakar hujung leher yang dicantas itu dengan api sebelum ia sempat bercambah, mematikan pertumbuhannya dan menyebabkan leher itu menjadi seakan tunggul.

Teknik ini (potong dan bakar) dikenali sebagai cauterization didalam bidang perubatan, dimana setiap hirisan yang dilakukan ketika pembedahan akan didedahkan dengan pisau cauter, membakar hujung hirisan supaya pendarahan tidak berlaku dan luka ditutup kemas..

Setiap kepala Hydra yang telah dicantas terus dibakar oleh Iolaus. Kepala utama Hydra yang kemudiannya dipancung dan ditanam dibawah sebuah batuan besar. Hercules kemudian melapisi sebatang anak panah dengan racun dari darah Hydra itu sendiri, dan menikamnya, menyebabkan setiap luka yang dialami Hydra tidak boleh pulih semula.

ETIOMOLOGI HYDRA

Perkataan Hydra berasal daripada perkataan Latin Hydra atau Yunani, Hudrā, bermaksud ular air (water serpent). Manakala Lerna pula adalah nama sebuah tasik yang terletak di hujung selatan Argos, Yunani.

KEBOLEHAN MENUMBUHKAN DAN MENAMBAH BILANGAN KEPALA

Apa yang membuatkan Hydra dinobatkan sebagai antara haiwan mitos berbahaya adalah kerana sifatnya yang boleh menumbuhkan dan menambah bilangan kepalanya walaupun sudah dicantas beberapa kali.

Hampir dalam setiap mitos yang tersebar, haiwan bernama Hydra ini sangat popular dengan kisah kebolehannya menumbuhkan kepalanya ketika bertarung dengan Heracles dan Iolaus. Malah, bukan setakat itu, kisah ia mampu membentuk beberapa lagi kepala tambahan menarik minat para pendengar. Kebolehan menumbuh dan menambah bilangan kepala dikenali sebagai head regeneration and replication. Akan tetapi, bagaimana haiwan ini mampu  boleh berbuat sedemikian?

LIMB REGENERATION

Dalam dunia haiwan, terdapat banyak binatang yang mampu menjalani proses penumbuhan semula organ, anggota atau bahagian tubuh badan mereka. Sebagai contoh, haiwan seperti salamander, axolotl, gecko, newt dan tapak sulaiman mampu menumbuhkan anggota badannya selepas dicantas atau tercedera. Sesetengah obor-obor juga boleh melakukan perkara yang hampir serupa, iaitu jika salah satu daripada anggotanya dipotong, ia akan mengerakkan anggotanya yang lain untuk seimbangkan bentuk badannya secara simetri (symmetrization).

Gambar 4 : Proses symmetrization obor-obor ephyra.

Sebagai contoh, jika salah satu daripada 8 tangannya dikerat, ia akan cuba mengubahsuaikan 7 lagi tangannya supaya ia kembali simetri dan seimbang. Proses regeneratif dan simetrisasi ini kerapkali digunakan untuk menyelamatkan diri atau kemandirian (survival) diri terutamanya bagi haiwan bukan pemangsa.

HEAD REGENERATION

Akan tetapi, diantara pelbagai haiwan yang disebutkan ini, ada satu spesies haiwan yang jauh lebih hebat. Ia bukan sekadar mampu menumbuhkan semula anggota badan, bahkan ia mampu menumbuhkan semula kepalanya sendiri walaupun sudah dipancung habis (total decapitation). Tak cukup dengan itu, menurut saintis, memorinya juga masih kekal dalam keadaan yang sama, tanpa ia perlu membentuk memori baharu. Haiwan menakjubkan ini dikenali sebagai Hydractinia echinata atau snail fur. Bentuknya seakan rod pokok yang hidup didasar laut, cukup dengan badan seperti batang pokok, dengan kepala seakan sesungut reranting halus. Ia lazimnya dijumpai pada permukaan cangkerang hermit-crab, lantas diberi nama snail fur.

Gambar 4 : Hydractinia echinata seakan buluan halus pada cangkerang hermit-crab.
Gambar 5 : Proses head regeneration Hydractinia dalam tempoh masa 72 jam.

Etimiologi Hydractinia, juga berasal daripada perkataan Latin Hydra atau Yunani, Hudrā, bermaksud ular air (water serpent) seperti yang  dibincangkan tadi. Ini bersesuaian dengan nama makhluk Hydra yang berkepala seakan ular. Tinia pula diambil dari perkataan Latin tinea yang bermaksud cacing (worm).

Mengikut kajian, rahsia Hydractinia membentuk kepala baharu dengan pantas adalah disebabkan kemampuan sel stem (stemcell) badannya untuk bercambah menjadi sel kepala yang baharu dalam masa yang singkat.

Sel stem, ringkasnya adalah sel pramatang didalam badan yang boleh berubah menjadi apa jua sel yang diperlukan oleh badan. Dalam konteks Hydractinia ini, sel stem berperanan bertindak membentuk sel-sel organ kepala yang baharu, termasuk sel saraf yang membantu mengembalikan memori sebelumnya.

Selain sel stem, sel macrophage pula membantu dalam membunuh kuman dan jangkitan, memusnahkan sel-sel mati serta menstimulasikan pertumbuhan sel-sel baharu.

Menurut kajian Universiti Galway, Ireland itu lagi, tempoh masa untuk Hydractinia untuk membentuk kepala baharu selepas diputuskan kepalanya adalah sekitar 72 jam. Walaupun ianya tidaklah boleh dikategorikan sebagai percambahan teramat pantas seperti Hydra, namun ia masih dianggap sebagai antara percambahan anggota badan yang terpantas didalam dunia haiwan.

Namun begitu, kita hanya berbincang tentang kebolehan menumbuh semula kepala yang mungkin diwarisi haiwan mitos Hydra ini. Bagaimana pula dengan kemampuannya membentuk lebih dari dua kepala hanya daripada satu batang tengkuk? Bagaimana ia mampu mereplikakan kepala tambahan yang baharu?

HEAD REPLICATION

Selain daripada Hydractinia, terdapat seekor lagi haiwan yang mempunyai trait yang unik untuk dibincangkan.

Selain daripada membentuk satu kepala baharu selepas dicantas, haiwan ini boleh mereplikakan kepala lain yang sama cirinya dengan yang asal. Haiwan tersebut adalah cacing planaria, satu kumpulan cacing pipih (flatworm). Ia hidup hampir disetiap jasad berair seperti laut, air tawar, tasik dan kolam. Ia juga boleh ditemui dikawasan bertanah disebalik batang kayu, dibawah batuan, didalam tanah dan kawasan mendap lain.

Uniknya cacing planaria ini, setiap kali badannya terputus atau terbelah dua, sama ada dipotong atau tercedera, setiap bahagian yang telah diceraikan akan membentuk cacing yang baru. Jika badannya terpotong dua, setiap bahagian akan bercambah menjadi cacing yang baru. Ringkasnya, jika ada seekor cacing planaria dipotong badannya, ia akan berubah menjadi dua jasad berbeza melalui proses reproduktif aseksual.

Kebolehan ini bukan hanya terhad kepada penceraian tubuh badannya, malah jika dipotong dengan cara tertentu, kepala cacing planaria mampu terbentuk menjadi dua daripada setiap pecahan tadi, walaupun mempunyai satu badan. Secara teorinya, daripada satu badan, setiap kepalanya boleh dicambah menjadi dua kali ganda.

Gambar 9 : Gambarajah percambahan cacing planaria (dugasia) melalui potongan mendatar dan menegak.

Sistem reproduktif aseksual ini juga menggunakan sel tertentu sebagai pembentukan semula tubuhnya, iaitu sel stem yang dikenali sebagai sel neoblasts (salah satu jenis sel darah putih).

Jika kedua-dua trait dari kedua-dua haiwan (hydractinia dan planaria) diserapkan dan diteorikan kedalam haiwan mitos Hydra, pastinya dongengnya mitos Hydra tidak lagi dianggap aneh.

KESIMPULAN

Hydra, dengan keupayaan seperti hydractinia untuk membentuk kepala yang baharu daripada leher yang dicantas, dan keupayaan membentuk kepala yang berganda kali banyaknya seperti cacing planaria, membuatkan ianya mungkin mampu hidup dialam nyata kini. Bahkan, dengan sifat pemusnah dan pemangsanya, barangkali ia mempunyai kadar kemandirian yang tinggi berbanding haiwan lain.

RUJUKAN

  1. The Mythology of Lernaean Hydra
    http://www.theoi.com/Ther/DrakonHydra.html
  2. Lernaean Hydra
    https://en.wikipedia.org/wiki/Lernaean_Hydra
  3. Hydractinia, a pioneering model for stem cell biology and reprogramming somatic cells to pluripotency; Günter Plickert, Uri Frank and Werner A. Müller; 2012.
    http://www.ijdb.ehu.es/web/paper.php?doi=123502gp
  4. Clonogenic Neoblasts Are Pluripotent Adult Stem Cells That Underlie Planarian Regeneration; Daniel E. Wagner, Irving E. Wang and Peter W. Reddien; 2011.
    http://science.sciencemag.org/content/332/6031/811
  5. Morphological and Functional Recovery of the Planarian Photosensing System during Head Regeneration; Takeshi Inoue, Hiroshi Kumamoto, Keiji Okamoto, Yoshihiko Umesono, Masaki Sakai, Alejandro Sánchez Alvarado and Kiyokazu Agata, 2003.
    http://www.bioone.org/doi/full/10.2108/zsj.21.275

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

"Mengapa sistem huruf moden perlu disusun bermula dari A hingga Z walhal tiada satu pun syarat yang mewajibkan sedemikian?" Seorang jururawat lelaki yang gemar melihat hidup dari sisi dan perspektif tidak lazim dan janggal. Kadangkala sehingga mencabar kefahaman terhadap diri sendiri.

Comments are closed.