Hwarang: Pahlawan Jambu Elit Silla

789

Tahunnya adalah sekitar 560 Masehi, sewaktu era pemerintahan Raja Jinheung. Anak-anak muda lelaki yang gagah perkasa kelihatan bersiap siaga dalam pasukan masing-masing. Pasukan ketenteraan ini bukan sahaja mempunyai kekuatan dan kemahiran yang tersendiri, malah turut mempunyai rupa paras serta personaliti yang menarik. Ini adalah kisah mengenai Hwarang, pasukan pahlawan elit yang terkenal pada era Kerajaan Silla. Artikel ini akan membawa kita menelusuri sejarah di sebalik penubuhan pasukan Hwarang dan keistimewaan yang dimiliki oleh pasukan elit ini.

Bagaimanakah Hwarang mula dibentuk? Kisahnya akan dimulakan dengan sejarah Tiga Kerajaan di Semenanjung Korea antara tahun 37 sebelum Masehi sehingga tahun 676 Masehi. Tiga kerajaan yang dimaksudkan ini adalah Kerajaan Goguryeo yang meliputi sebahagian besar kawasan daripada ketiga-tiganya iaitu bahagian timur negara China (pada hari ini) sehingga bahagian utara Semenanjung Korea; Kerajaan Baekje yang meliputi bahagian barat Semenanjung Korea yang turut dikenali sebagai Kerajaan Maritim; serta Kerajaan Silla yang terletak di bahagian timur Semenanjung Korea.

Era pemerintahan ketiga-tiga buah kerajaan ini bertahan sehingga 700 tahun lamanya, sehinggalah Kerajaan Baekje runtuh pada tahun 660 Masehi dan Kerajaan Goguryeo pula mengalami kejatuhan pada tahun 668 Masehi. Manakala Kerajaan Silla kekal sebagai satu-satunya kerajaan yang bertahan dan akhirnya menyatukan kesemua kerajaan tersebut.

Kerajaan Silla secara umumnya dikenali sebagai sebuah kerajaan yang tidak mempunyai kekuatan tentera yang kukuh berbanding dengan dua kerajaan yang lain di mana dikatakan pada era pemerintahan Raja Gwanggaeto, iaitu raja ke-19 dalam Goguryeo, sewaktu kerajaan Silla dicerobohi oleh tentera Jepun pada sekitar tahun 400 Masehi, kerajaan Goguryeo telah pun berjaya menewaskan Jepun. Ini jelas menunjukkan bahawa kuasa ketenteraan yang dimiliki oleh Kerajaan Silla tidaklah sekuat kuasa tentera yang dimiliki oleh Goguryeo dan Baekje. Jadi, bagaimanakah Hwarang menjadi penentu kepada kekuatan tentera Silla dan sekaligus membantu Silla dalam menyatukan ketiga-tiga buah kerajaan di bawah satu kuasa?

Pembentukan Hwarang

Hwarang (Flowering Knights) adalah suatu organisasi tentera yang sangat terkenal dalam sejarah purba Korea. Namun, apakah jenis pembelajaran, siapakah golongan pengajar yang membentuk Hwarang serta bagaimanakah mereka mempelajari teknik seni mempertahankan diri yang sebegitu hebat sehingga berjaya menguasai medan perang masih lagi menjadi teka teki dalam kalangan ahli sejarah purba Korea. Malah, para ahli sejarah juga masih berteka teki tentang apakah motivasi dan penggerak yang menjadikan pasukan Hwarang sebagai suatu pasukan pahlawan hebat dan mengatasi kekuatan tentera yang dimiliki oleh Goguryeo dan Baekje dalam waktu yang singkat.

Kerajaan Silla merupakan sebuah kerajaan yang agak terpencil jika dibandingkan dengan Goguryeo dan Baekje. Malah, tidak seperti kedua-dua kerajaan tersebut, Silla tidak mempunyai sebarang institusi pendidikan atau sistem sekolah yang khusus. Dan Hwarang adalah satu-satunya organisasi tersusun yang memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mempelajari seni mempertahankan diri. Manakala institusi Gukhak pula hanya dibentuk di Silla selepas penyatuan ketiga-tiga buah kerajaan, iaitu sekitar tahun 682 Masehi.

Asas kepada penubuhan organisasi Hwarang ini bermula ketika era pemerintahan Raja Jinheung (sekitar tahun 540 hingga 576 Masehi). Terdapat banyak pendapat yang menyatakan mengenai tarikh sebenar penubuhan Hwarang ini, di mana dalam Samguksagi (History of the Three Kingdoms), ia dikatakan bermula pada tahun 576 Masehi, manakala di dalam Dongguktonggam pula, tarikhnya adalah pada tahun 540 Masehi. Namun, para ahli sejarah sepakat menyatakan bahawa pembentukan Hwarang ini sebenarnya bermula pada era pemerintahan Raja Jinheung, iaitu sekitar tahun 562 Masehi.

Hwarang merupakan sebuah institusi atau organisasi khas buat belia (anak muda/budak) lelaki untuk membentuk mereka menjadi pahlawan elit Kerajaan Silla. Sebenarnya, ia adalah berasal daripada sistem Wonhwa (Original Flower) yang mana dalam sistem ini, para wanita dan gadis yang berperwatakan menarik dipilih untuk memasukinya. Menurut sejarah, dua orang wanita yang jelita bernama Nammo dan Junjeong telah dipilih oleh Raja Jinheung dan mereka harus tinggal bersama wanita-wanita lain yang menjadi pengikut mereka. Namun, wanita-wanita ini menjadi cemburu dengan kecantikan masing-masing, dan mula bergaduh sesama mereka. Akhirnya, situasi menjadi buruk mengakibatkan berlakunya pembunuhan antara mereka.

Raja Jinheung menghapuskan Wonhwa dan memilih lelaki-lelaki menarik dan tampan bagi membentuk organisasi baru dipanggil Hwarang. Walaupun pada asalnya penubuhan Wonhwa (asas kepada Hwarang) ini adalah bertujuan untuk memilih wanita yang mampu untuk mengendalikan upacara peringatan kematian (memorial service), namun sistem asal ini telah diubah kepada pemilihan para lelaki muda yang kemudiannya berkembang menjadi suatu institusi bagi mencari lelaki muda yang berkebolehan untuk dijadikan pahlawan Silla.

Pada waktu itu, Silla yang tidak mempunyai institusi pendidikan yang istimewa telah memilih ramai bakat-bakat baru di bawah organisasi Hwarang. Kumpulan anak muda yang dibentuk di bawah Hwarang ini telah diajar dengan ilmu kesusasteraan dan seni mempertahankan diri. Hwarang kebiasaannya terdiri daripada golongan aristokrat yang berusia antara 15 hingga 18 tahun, dan lebih 30% daripada rekod sejarah mencatatkan bahawa Hwarang ini terdiri daripada anak-anak golongan aristokrat yang kuat pengaruhnya. Malah, Hwarang juga sebenarnya terdiri daripada sami-sami yang dianggap berkasta tinggi pada waktu itu (Nangdo). Secara keseluruhannya, organisasi Hwarang ini terbentuk daripada anak-anak muda daripada kelas (kasta) tinggi yang mempunyai prestijnya yang tersendiri. Disebabkan inilah ia adalah suatu kumpulan pahlawan elit Silla.

Ciri-ciri seni mempertahankan diri Hwarang

Rekod-rekod sejarah Korea purba mencatatkan antara aktiviti yang mencirikan kumpulan Hwarang ini ialah penggunaan pedang, memanah, menaiki kuda, mendaki gunung dan melempar batu. Malah, mereka juga gemarkan aktiviti-aktiviti seperti Chukguk (bola sepak), menyanyi, menari dan mempelajari kemahiran khusus seperti berburu. Kumpulan Hwarang juga mempelajari kemahiran kepimpinan, geografi, kawalan minda serta persediaan menghadapi peperangan (melalui latihan luar dipanggil Pyeonlyeok).

Namun, kesemua aktiviti yang dipelajari oleh Hwarang ini juga sebenarnya adalah aktiviti yang turut dilakukan oleh Goguryeo dan Baekje dalam membentuk dan melatih pasukan tentera mereka. Maka, bolehlah dikatakan bahawa aktiviti-aktiviti tersebut sebenarnya tidak hanya terhad dan istimewa dalam pasukan Hwarang sahaja. Apa yang membezakan Hwarang dengan pasukan tentera Goguryeo dan Baekje ialah bagaimana mereka mengamalkan (berlatih) ilmu mempertahankan diri tersebut serta individu yang telah mengajar dan melatih pasukan Hwarang ini.

Pasukan Hwarang mempunyai ciri dan aspek ketenteraan yang kukuh. Oleh sebab inilah, seni mempertahankan diri yang mereka pelajari adalah bertujuan semata-mata untuk menghadapi perang. Salah seorang Hwarang yang terkenal dalam sejarah purba Korea ialah Kim Yu-Sin yang menjadi Hwarang pada usia 15 tahun. Kim Yu-Sin menyaksikan bagaimana Goguryeo dan Baekje menyerang Silla dan bertekad untuk menewaskan tentera musuh dan berlatih secara sendirian di dalam sebuah gua. Malah, selepas menjadi Hwarang, Kim Yu-Sin masih lagi mengamalkan latihannya secara bersendirian dan menerima ajaran daripada seorang lelaki bangsawan. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan Hwarang cenderung untuk mengamalkan latihan mempertahankan diri mereka secara bersendirian di samping mengikuti latihan di organisasi itu sendiri bersama ahli yang lain.

Rekod sejarah juga menyebutkan bahawa kaedah pengajaran untuk Hwarang ini ialah melalui pakar dalam bidang tertentu memperturunkan ilmu mereka buat anak-anak muda tersebut. Contohnya ialah mengenai seorang Hwarang bernama Munno yang mahir dalam lawan pedang yang memasuki Hwarang pada usia 12 tahun. Munno seorang yang pengasih dan mempunyai tubuh badan yang lebih besar berbanding ayahnya. Sementara itu, Gong pula memasuki Hwarang pada usia 15 tahun dan telah mempelajari ilmu menari, menyanyi dan sejarah daripada pelbagai orang pakar, termasuklah Munno (sebagai senior Hwarang). Gong mempelajari ilmu lawan pedang daripada Munno, dan akhirnya bergelar pelajar terbaik dan menjadi pembantu kepada Munno.

Penglibatan sami dalam Hwarang

Kenapakah sami ini dianggap sebagai golongan berkelas tinggi pada zaman Kerajaan Silla? Ini adalah kerana Silla merupakan sebuah kerajaan yang mengamalkan kepercayaan Buddha, dan disebabkan inilah kedudukan sami dianggap mulia sehingga sama tarafnya dengan golongan aristokrat. Sami ialah golongan yang menyebarkan ideologi dan dianggap intelektual pada waktu itu, dan penglibatan sami dalam institusi Hwarang ialah sesuatu yang diingini oleh Raja Jinheung dalam meletakkan asas Buddha dalam Hwarang.

Sami-sami ini memainkan peranan penting dalam organisasi Hwarang, di mana mereka bukan sahaja menyertainya sebagai Hwarang, malah turut mengajarkan ilmu tertentu seperti puisi dan kesusateraan lain. Malah, organisasi Hwarang ini sebenarnya mengambil sami-sami yang terkenal dalam bidang masing-masing bagi mengukuhkan Hwarang dan menunjukkan kepintaran mereka. Sami-sami ini terlibat dalam mengajar ilmu berkaitan ideologi Buddha serta turut mahir dalam seni mempertahankan diri. Ironinya, seorang sami yang dibentuk untuk tidak melakukan kezaliman, telah menyertai Hwarang bagi memperlengkapkan diri mereka untuk melawan dan membunuh musuh.

Hwarang dan semangat nasionalisme

Sejak awal lagi, Raja Jinheung telah membentuk Hwarang ini bagi mencari anak-anak muda yang setia dan berbakat bertujuan untuk berkhidmat demi negara. Malah, Hwarang adalah antara faktor utama yang membawa kepada kejayaan Silla dalam menyatukan ketiga-tiga buah kerajaan di bawah suatu kuasa. Anak-anak muda telah dilatih sejak usia yang muda (awal remaja) bagi membentuk kesetiaan mereka terhadap Silla dan seterusnya dibawa memasuki Hwarang. Dalam hal ini, ibu bapa golongan aristokrat ini berperanan dalam menyemaikan semangat nasionalisme terhadap anak-anak mereka dan seterusnya menaikkan moral mereka untuk setia terhadap negara.

Ini dapat dilihat dalam beberapa catatan mengenai kisah anak-anak muda Hwarang ini. Binyeongja (seorang senior Hwarang) telah memilih untuk mati demi menaikkan moral pasukan Silla dalam perang mereka dengan Baekje. Manakala, anak Binyeongja, iaitu Geojin juga memilih untuk mati di medan perang dengan meluru ke arah tentera musuh demi pasukannya. Prinsip kesetiaan terhadap negara yang diamalkan oleh Hwarang ini adalah berasaskan kepada nilai-nilai ajaran Buddha, iaitu 5 daripada 10 prinsip utamanya. Lima prinsip (Sesokogye) ini ialah:

  • Berkhidmat untuk Raja dengan penuh kesetiaan (Sagunichung)
  • Berkhidmat untuk ibu bapa dengan penuh adab (Sachinihyo)
  • Mengamalkan adab dalam persahabatan (Kyouisin)
  • Tidak menyerah kalah dalam peperangan (Imchonmutoi)
  • Mengawal diri daripada membunuh sesuka hati (Salsaengyoutaek)

Kesemua prinsip ini jelas menjadi asas kepada Hwarang, dan seterusnya menjadi penggerak dan motivasi buat mereka dalam menjalani latihan dan melawan musuh.

Kesimpulan

Hwarang merupakan sebuah pasukan pahlawan elit yang paling berani dan setia dalam sejarah pembentukan Korea. Asas kesetiaan Hwarang adalah asas yang menjadi pemangkin kepada pasukan ketenteraan pada era seterusnya. Sistem pendidikan Hwarang yang melatih anak-anak lelaki sejak usia yang masih muda bertujuan bagi membentuk moral dan mengasah bakat mereka. Hwarang adalah simbol sebuah institusi pendidikan yang bukan sahaja menekankan aspek ketenteraan, malah turut memberi penekanan terhadap aspek kebudayaan dan pembentuk jati diri anak-anak muda.

RUJUKAN:

Choe, K. (2016). Ch’oe Ch’iwŏn’s P’ungnyudo and Present-day Hallyu. International Journal of Korean History, 21(1), 193–220.

McBride II, R. D. (2010). Silla Buddhism and the Hwarang. Korean Studies, 34, 54–90.

Park, K., & Ok, G. (2016). Martial Arts and Ideology of Hwarang, the Ancient Korean Warrior. The International Journal of the History of Sport, 33(9), 951–962.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.