Hwarang merupakan sebuah kumpulan kesatria dari kerajaan Silla – salah sebuah dari tiga buah kerajaan yang wujud di Semenanjung Korea pada suatu masa dahulu. Hwarang merupakan sekumpulan belia yang datang dari kelas sosial yang tinggi dan diserap masuk sejak kecil lagi untuk dilatih sebagai pahlawan elit. Mereka diberikan pendidikan bertahap tinggi dan diterapkan dengan sejumlah kod prinsip yang perlu dipatuhi.

Pemuda-pemuda ini tumbuh membesar dengan begitu baik, dipelihara rupa-parasnya dengan sempurna dan sekiranya anda membandingkan penampilan mereka di dalam siri drama-romantik Korea Selatan yang ditayangkan beberapa tahun yang lepas, keadaannya tidak begitu jauh berbeza.

Namun, apakah pengetahuan lanjut yang kita miliki berkenaan Pahlawan Jambu ini?

ENIGMA SEPUTAR HWARANG

Hwarang (yang diterjemahkan Lelaki atau Pahlawan Jambu) merupakan sebuah organisasi khusus buat pemuda-pemuda elit yang ditubuhkan oleh Kerajaan Silla, sebuah kerajaan silam yang memerintah wilayah selatan dan tengah Semenanjung Korea pada abad pertama SM sehingga abad ke-10M.

Walaupun Hwarang sering dianggap sebagai hanya sekadar sebuah organisasi ketenteraan, terdapat juga beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa ahli-ahli kumpulan ini turut berperanan dalam hal-hal keagamaan dan pendidikan di Silla.


Lelaki Korea di zaman moden yang menggayakan Hwarang-Silla

Perkataan Hwarang merupakan kombinasi antara dua buah perkataan, ‘hwa’ yang bermaksud ‘bunga’ dan ‘rang’ yang merupakan istilah umum bagi merujuk kepada lelaki (tanpa mengira usia). Sumber-sumber primer yang merincikan perihal hwarang agak kurang.

Namun, terdapat sejumlah karya sastera yang berfungsi sebagai sumber sekunder bagi menggantikan kewujudan sumber-sumber primer yang telah hilang sejak dahulu kala. Karya-karya sastera ini secara utamanya berkisar tentang struktur organisasi hwarang serta perkaitan mereka dengan khidmat-khidmat keagamaan.

Rentetan itu, antara topik yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ilmuwan yang mengkaji perihal hwarang adalah fungsi sebenar organisasi ini. Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa hwarang berperanan dalam bidang ketenteraan semata-mata sambil yang lain pula mendakwa bahawa hwarang menyandang tugas keagamaan yang dianggap lebih utama.

Topi emas atau mahkota dari Kerajaan Silla, Cheonmachong di Gyeongju, Korea

PENDAHULU WANITA BAGI HWARANG

Menurut sumber-sumber yang ada, hwarang diasaskan pada abad ke-6 SM. Sebelum organisasi ini ditubuhkan, terdapat sebuah lagi pertubuhan lain yang dikenali sebagai Wonhwa (bermaksud “bunga asli”) – sebuah organisasi yang saling tak tumpah seperti hwarang.

Wonhwa terdiri dari kaum wanita dan ia terbahagi kepada dua pecahan yang masing-masing dipimpin oleh dua orang wanita bernama Nammo dan Junjeong. Dua orang ketua ini kemudiannya saling mencemburui antara satu sama lain sekaligus membawa kepada pembvnuhan Nammo yang dilakukan oleh Junjeong. Junjeong kemudiannya dijatuhi hukuman di atas jenayah yang beliau lakukan. Lantas, Wonhwa pun dibubarkan.

Lokasi Silla di Semenanjung Korea

HWARANG – AKADEMI BELIA

Beberapa tempoh kemudian, raja Silla memasang hasrat untuk memperkuatkan negara pimpinannya. Oleh itu, beliau pun mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah lagi organisasi yang sama seperti Wonhwa. Namun kali ini, ahli bagi pertubuhan tersebut dipilih dari kalangan kaum pemuda bangsawan yang bersahsiah tinggi.

Makanya, organisasi hwarang pun tertubuh. Diandaikan bahawa pertubuhan ini diasaskan dengan tujuan agar pemuda-pemuda yang berbakat dalam kalangan bangsawan dapat dipilih dan dilatih supaya nantinya dapat berkhidmat untuk kemaslahatan negara.

Ramai panglima masyhur dan tokoh-tokoh politik terkenal pernah menjadi hwarang pada usia muda mereka. Perihal rupa-paras tampan mereka yang begitu masyhur, dicatatkan bahawa hwarang sangat menjaga penampilan. Mereka juga dikatakan sering membakar setanggi ketika melakukan pengembaraan sekaligus menghasilkan bauan yang semerbak harum.

Damyeom-ripbon-wang-heedo. Abad ke-6, China. Perutusan melawat Maharaja Tang. Dari kiri ke kanan: Perwakilan Wa (Jepun), Silla (tengah)


Aktiviti penting yang lain antaranya adalah pengajian keagamaan yang terbentuk dari kombinasi antara Buddhism, Confucianism, dan Taoism serta (mungkin) beberapa elemen shamanism yang telah diamalkan di Semenanjung Korea sejak dahulu kala.

Sumber-sumber yang ada mencatatkan bahawa hwarang sering mengadakan pertemuan di rupa-rupa bumi yang indah, terutama gunung-ganang dan sungai-sungai suci untuk menyanyi dan menari.

Selain itu, hwarang juga dituntut agar berlatih dalam seni peper4ngan sekaligus menjadikan mereka sentiasa bersiaga untuk berkhidmat sebagai pahlawan apabila keadaan memerlukan. Pahlawan Silla yang terkenal, iaitu Kim Yushin misalnya pernah menjadi seorang hwarang. Kempen-kempen ketenteraan yang beliau lancarkan berhasil membantu Silla dalam usaha menyatukan Korea. Beliau turut dikenali kerana berjaya memenangi kempen ketenteraan ke atas Baekje (juga dieja sebagai Paekche), sebuah kerajaan seteru.

Patung Panglima Kim Yusin di Hwangseong Park di Gyeongju


KOD PRINSIP HWARANG

Hwarang juga mempelajari teks-teks yang mengajarkan perihal kod etika. Kandungan teks-teks tersebut adalah Lima Perhubungan, Enam Kesenian, Tiga Profesion Keilmuan, dan Enam Jalan Khidmat Kerajaan. Dari kesemua penerapan kod etika ini, Kod Lima Perhubungan mungkin dianggap sebagai komponen yang paling utama dalam kod prinsip Hwarang.

Kod ini dihasilkan oleh seorang sami yang bernama Wongwang dan ia mengandungi pengaruh daripada Buddhism dan Confucianism. Kod Lima Perhubungan adalah seperti berikut:

  • Berkhidmat kepada Raja dengan penuh kesetiaan.
  • Berkhidmat kepada ibu bapa dengan penuh adab.
  • Mengamalkan adab dalam persahabatan.
  • Tidak menyerah kalah dalam peper4ngan.
  • Mengawal diri daripada membvnuh sesuka hati.

Seiring peredaran waktu, keperluan terhadap kefungsian hwarang semakin berkurangan dan kewujudannya hampir hilang sepenuhnya dari lembaran sejarah. Kebangkitan semangat nasionalisme Korea, serta penemuan manuskrip berjudul Hikayat Hwarang pada tahun 1980an meniupkan kembali perhatian terhadap hwarang.

Kemasyhuran hwarang dalam kalangan masyarakat Korea dapat dilihat dengan begitu menyerlah pada hari ini. Jurus di dalam seni Taekwondo yang dipanggil sebagai Hwa-rang misalnya, dinamakan bersempena dengan Hwarang. Sementara itu pada tahun 2016 hingga 2017 pula memperlihatkan penayangan sebuah siri televisyen Korea bertajuk Hwarang: The Poet Warrior Youth.

TERJEMAHAN:

DHWT. (29 April 2019). Hwarang, The ‘Flowering Knights’ of Korea: D3adly Warriors That Looked and Smelled Good!. Ancient Origins.https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/hwarang-flowering-knights-korea-d3adly-warriors-looked-and-smelled-good-009027


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.