Semasa era Keemasan Islam, kolaborasi antara cendekiawan Islam dengan cendekiawan bukan beragama Islam bukanlah sesuatu yang asing. Ini kerana menerusi kolaborasi ini, ia menyumbang kepada pertambahan ilmu dalam pelbagai disiplin berikutan usaha penterjemahan pelbagai bahasa asing ke Bahasa Arab. Dan antara individu yang bertanggungjawab menyumbang bukan saja kepada era ini tetapi juga era kegemilangan kerajaan Bani Abbasiyyah ialah Hunayn bin Ishaq.

Hunayn bin Ishaq dikenali menerusi pelbagai nama. Dalam Bahasa Syria, namanya ialah Hunein Bit Ishak manakala dalam Bahasa Arab namanya ialah ‘Abū Zayd Hunayn ibn ‘Ishāq al- ‘Ibādī. Hunayn turut dikenali dalam Bahasa Latin sebagai Johannitius Onan.

Beliau dilahirkan pada tahun 809 Masihi di Hirah, selatan negara Iraq. Beliau merupakan seorang cendekiawan beragama Kristian Nestorianisme yang terkenal dan berpengaruh serta memainkan peranan sebagai sarjana, doktor dan saintis pada zamannya. Beliau sangat berminat dalam bidang penterjemahan terutama melibatkan karya-karya sains dan perubatan Yunani.

Hal ini ditambah dengan kebolehannya menguasai empat bahasa iaitu Arab, Syria, Yunani dan Parsi dengan baik sekali. Oleh sebab itulah, beliau banyak menghasilkan pelbagai karya yang bermutu dan masih digunakan sehingga hari ini.

Menurut Dr Abdul Nasser Kaadan, Hunayn telah menterjemah lebih 112 buah karya dari tamadun Yunani selain menghasilkan 30 karyanya sendiri. Beberapa orang pengkaji berbeza pendapat berkenaan tahun beliau meninggal dunia. Menurut Ibn al-Nadim, beliau meninggal dunia pada tahun 873M sementara menurut Ibn Abi Usaybiah pula ialah pada tahun 877M.

Latar pendidikan

Hunayn merupakan seorang tokoh perubatan dan sains terbaik pada zaman awal Abbasiyyah. Beliau telah menuntut ilmu perubatan di sebuah sekolah perubatan awal di Jundishapur sebelum berkelana ke Baghdad untuk berguru dengan Yuhanna bin Masawayh, seorang ahli perubatan terkenal dan juga murid kepada Jibra’il bin Bakhtishu.

Berikutan mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu perubatan lama, Hunayn melakukan banyak kajian intensif terhadap manuskrip perubatan Yunani dengan melakukan penterjemahan dari Bahasa Yunani kepada Bahasa Arab dan Syria seperti al-Majisti, sebuah karya terjemahan ilmu astronomi dari manuskrip Yunani yang dikarang Ptolemy yang berjudul Megale Syntaxis Mathematike.

Menurut catatan Ibn al-Nadim menerusi kitabnya al-Fihrist, Yuhanna bin Masawayh telah merendah-rendahkan bakat Hunayn semasa beliau menuntut ilmu perubatan di Baghdad. Yuhanna jelas berang dengan sikap pelajarnya yang suka bertanya lalu menyindirnya untuk tidak melibatkan diri dalam bidang perubatan dan mengikut jejak langkah bapanya yang bekerja sebagai peniaga ubat di bandar Hirah sahaja.

Hunayn yang kecewa dengan kata-kata gurunya itu berazam untuk terus merantau demi mendalami ilmu dalam bidang perubatan sehingga berjaya digelar doktor perubatan yang terkenal. Beliau telah pergi ke Iskandariah dan mempelajari bahasa dan peradaban Yunani di sana selama dua tahun.

Selain ke Iskandariah, beliau juga mengembara ke Anatolia bagi menyempurnakan pengetahuan Yunaninya. Hunayn turut mempelajari bahasa Arab di Basrah daripada seorang pakar bahasa terkenal iaitu Khalil bin Ahmad al-Faraheedi sebelum pulang ke Baghdad pada tahun 826M.

Selepas kembali dari pengembaraannya, Hunayn mula berkhidmat di bawah guru Yuhanna, Jibrail bin Bakhtiyashu yang juga doktor peribadi Khalifah al-Ma’mun dengan menterjemah beberapa karya Galen. Kegigihan beliau dalam bidang penterjemahan telah menarik minat Jibra’il dan ini mendorongnya memperkenalkan Hunayn kepada keluarga Musa bin Shakir, iaitu hartawan dan pencinta manuskrip Yunani.

Keluarga ini kemudiannya mengupah beliau merantau ke tanah jajahan Rom Timur/Byzantine untuk mendapatkan buku-buku dalam Bahasa Yunani. Hasilnya beliau berjaya membawa pulang pelbagai buku dalam pelbagai disiplin ilmu seperti falsafah, muzik dan perubatan ke Baghdad. Memandangkan keluarga hartawan Musa bin Shakir mempunyai hubungan erat dengan khalifah pada ketika itu, Hunayn turut diperkenalkan kepada al-Ma’mun sebelum kematian Jibrail bin Bakhtiyashu pada tahun 828M.

Di sebalik tugasnya sebagai pemerintah, al-Ma’mun juga merupakan seorang pencinta ilmu. Beliau menggalakkan ramai cendekiawan melibatkan diri dalam usaha penterjemahan kerana ini boleh memperluaskan lagi pelbagai disiplin ilmu sama ada dari segi duniawi atau ukhrawi. Dorongan besar daripada khalifah Abbasiyyah ini telah menambah semangat Hunayn untuk terus gigih menterjemah karya-karya asing khususnya dalam bidang falsafah, sains dan perubatan.

Pada tahun 830M, beliau dilantik oleh Khalifah al-Ma’mun sebagai Pengarah Baitul Hikmah iaitu sebuah pusat pengajian, pendidikan, perpustakaan, penterjemahan, penyelidikan dan pembelajaran pelbagai cabang ilmu termasuk sains, falsafah, perubatan dan kejuruteraan yang terletak di kawasan istana pada ketika itu.

Pada mulanya, Hunayn hanya ditugaskan sebagai pembantu bekas gurunya iaitu Yuhanna bin Masawayh. Beliau hanya diamanahkan melaksanakan tugasan yang mudah seperti membancuh ubat tetapi selepas beberapa ketika, kepakarannya dalam ilmu perubatan mula terserlah sehingga akhirnya dilantik sebagai pengarah institusi berkenaan.

Hunayn turut dibantu oleh beberapa tokoh penterjemah lain seperti rakan sepengajiannya semasa di Jundishapur, Salmawayh bin Bunan (doktor peribadi khalifah al-Mu’tasim) dan Thabit bin Qurrah al-Harrani. Mereka giat menterjemahkan manuskrip-manuskrip sains Yunani yang didapati dari pelbagai negara seperti Mesir, Syria dan Palestin hingga Empayar Byzantine melalui wakil yang dihantar oleh khalifah al-Ma’mun.

Walaupun dikenali sebagai penganut Kristian Nestorianisme, Hunayn mempunyai keperibadian yang baik dan dihormati oleh khalifah dan masyarakat Islam ketika itu.  Pada satu ketika, Khalifah al-Mutawakkil menawarkan beliau tugas menghasilkan racun yang membunuh musuh politiknya dan jika Hunayn sanggup, beliau akan diberi ganjaran yang besar sebagai upah.

Namun, beliau menolak perintah al-Mutawakkil dan ini mengakibatkannya dipenjarakan. Tetapi tidak lama selepas itu, khalifah mendedahkan perintah itu hanyalah satu helah untuk menguji keperibadiannya. Hunayn bukan saja dibebaskan dari penjara tetapi mengikut jejak langkah gurunya berkhidmat sebagai doktor peribadi khalifah, kali ini sebagai doktor peribadi al-Mutawakkil.

Kaedah penterjemahan

Dalam soal penterjemahan, kaedah penterjemahan Hunayn ialah menterjemahkan manuskrip dari Bahasa Yunani ke Bahasa Syria terlebih dahulu sebelum dibantu oleh rakan-rakan dan pelajarnya untuk menterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Kebiasaannya, Hunayn menterjemah buku-buku perubatan dan astronomi ke dalam bahasa Syria terlebih dahulu sebelum meminta penterjemah lain untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab.

Contoh kaedah ini diaplikasikan ke atas karya asli Aristotle yang bertajuk Hermeneutica. Pada mulanya, beliau menterjemahkan karya-karya ini dalam Bahasa Syria sebelum diambil alih oleh anak dan anak saudaranya iaitu Ishak bin Hunayn dan Hubaysh al-‘Asam bagi membolehkan ia diterjemahkan ke Bahasa Arab.

Walau bagaimanapun, terjemahan buku falsafah dalam bahasa asing diterjemahkan terus ke Bahasa Arab. Ada masanya, pelajar-pelajarnya turut membantu seperti seorang lagi pelajarnya bernama Istafan bin Basil menterjemahkan karya botani Discorides ke Bahasa Syria sebelum disemak dan diterjemah semula ke Bahasa Arab oleh Hunayn. Selain dibantu oleh Ishak, Hubaysh dan Istafan, beliau turut dibantu oleh pembantu-pembantunya iaitu Isa bin Yahya bin Ibrahim, Isa bin Ali dan Musa bin Khalid.

Mereka melakukan terjemahan yang tepat dan teliti dari manuskrip asal dan memainkan peranan utama dalam kebangkitan usaha penterjemahan karya-karya Yunani. Pada awalnya, Hunayn mengunakan kaedah penterjemahan secara salinan sama tetapi kemudian menukar kaedah itu kepada kaedah penterjemahan secara semantik.

Walau bagaimanapun, kerja penterjemahan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ada perkataan yang sukar diterjemahkan. Ini memaksa Hunayn mencari perkataan-perkataan lain yang hampir dengan perkataan yang diterjemahkan dan menyelitkan nota kaki bagi menjelaskan maksud asal kehendak manuskrip tersebut.

Karya terjemahan dan asli Hunayn

Dalam tempoh 50 tahun sebagai penterjemah bersama para pelajarnya, Hunayn telah menterjemah pelbagai karya tokoh agung Yunani seperti Hippocrates, Aristotle, Euclid, Ptolemy dan Galen serta pengkritik karya mereka seperti Oribasius dan Paulus Aeginata.

Contohnya, karya-karya hebat Galen yang diterjemah oleh beliau seperti De sectis, Ars medica, De crisibus dan Methodus Medendi. Walaupun sesetengah karya tokoh Yunani itu hilang ditelan zaman, terjemahan karya-karyanya dalam Bahasa Arab masih wujud sehingga ke hari ini.

Menurut Dr Nasser menerusi artikelnya berkenaan Hunayn telah menyenaraikan 112 buah kitab yang diterjemah ke dalam bahasa Arab. Antara karya termasyhur beliau ialah Kitab al-Madkhal ila al-Mantiq, Kitab Jawami’ Aflathun, Kitab al-Akhlaq, Kitab fi al-Asma’ al-Tibbiyah, Kitab al-Burhan, Kitab al-Hilah li hifz al-Sihah, Kitab al-Tiryak ila Qaysar, Kitab al-Adwiyah al-Muqabalah li al-Adawa’, Maqalah fi Afdal Hay’at al-Badan dan Maqalah fil al-Awram.

Dalam kesibukannya menghasilkan karya-karya terjemahan, Hunayn tidak ketinggalan menghasilkan karya-karya original dalam pelbagai disiplin ilmu. Ibn al-Nadim menerusi kitabnya al-Fihrist telah menyenaraikan sebanyak 30 karya asli Hunayn seperti Kitab Ahkam al-I’rab ‘ala Madhahib al-Yunaniyyin, Kitab al-Masa’il fi al-Tibb li al-Muta’allimin, Kitab al-Hammam, Kitab Ilaj al-Ayn, Kitab Taqasim c Ilal al-Ayn, dan Kitab al-Adab al-Falasifah.

Karya al-Masail dianggap karya paling agung dihasilkannya dalam dunia perubatan sehingga menjadi rujukan doktor-doktor pada Zaman Renaissance. Setiap bab disusun mengikut soal jawab perubatan yang jelas dan mudah. Beberapa prinsip kesihatan utama dihuraikannya seperti udara yang dihirup, makanan dan minuman, kerja dan rehat, perkumuhan dan tindak balas psikik.

Selain menyumbang kepada dunia perubatan, Hunayn turut menyumbang kepada bidang oftalmologi menerusi al-Ashr Maqalat fi al-Ayn atau di negara Barat lebih dikenali sebagai ‘Ten Treatises on Ophthalmology’. Kajian mendalam beliau itu secara keseluruhannya menjelaskan bagaimana penyakit katarak dan tumor dalam mata berlaku serta menerangkan cara penyembuhannya melalui kaedah pembedahan mata.

Karya ini merupakan ulasan dan hasil penelitian beliau sendiri terhadap karya Galen yang berjudul De placitis Hippocratis at Platonis dan sebuah lagi karya yang berjudul De Usu Partium. Persembahan dan penerangan daripada buku tersebut yang jelas dan sistematik telah menyebabkan ianya menjadi rujukan kepada pengamal perubatan generasi selepasnya. Ianya telah disemak dan disahkan oleh Pemenang Nobel Fisiologi dan Perubatan, Otto Meyerhof. Hasil penelitiannya mendapati al-Ashr Maqalat fi al-Ayn sebagai karya perubatan optik yang paling sistematik dan tertua di dunia.

Karya yang mengandungi 10 buah makalah ini membahaskan tentang pelbagai topik seperti tabiat mata, otak, saraf dan roh mata, simptom-simptom sakit mata, jenis-jenis ubat dan penawar mata serta cara penjagaan mata yang betul. Selain itu, Hunayn turut mengesyorkan lebih 44 jenis ubat dengan menerangkan tentang kaedah penyediaan, teknik, bahan-bahan yang digunakan serta dos-dos ramuannya dalam sesuatu bancuhan sebelum digunakan sebagai ubat.

RUJUKAN:

Romli, Ammar Badruddin. (2014). Hunayn Bin Ishaq: Tokoh Non Muslim Era Kegemilangan Zaman Abbasiyah. Journal of Human Development and Communication Volume 3. Halaman 17-26. Universiti Malaysia Perlis. https://www.researchgate.net/publication/332342049_Hunayn_Bin_Ishaq_Tokoh_Non_Muslim_Era_Kegemilangan_Zaman_Abbasiyah


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.