Hukuman Di Hadapan Khalayak – Suatu Yang Mengaibkan?

0
861
views

Beberapa hari lepas, gempar seluruh Malaysia berikutan hukuman sebat yang dikenakan ke atas dua orang wanita yang disabit atas kesalahan melakukan hubungan sesama jenis di Terengganu. Kejadian tersebut mendapat perhatian ramai netizen yang melontarkan pelbagai macam respon. Para menteri juga tidak terlepas bas dalam membuat macam-macam kenyataan.

Antara kenyataan yang keluar adalah seperti,

“Islam is about forgiveness and compassion.”
“Amatlah penting untuk kita menunjukkan yang agama Islam ini bukanlah agama yang bengis, yang suka menjatuhkan hukum-hukum berat yang mengaibkan orang.”
“Hukuman ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa dalam Islam.”

Namun, ramai juga yang memberikan kenyataan yang bernada seperti:

“Kritikan terhadap hukuman sebat hanya bersifat sementara.”
“Hukuman sebat tersebut dilaksanakan dalam semangat untuk memberikan pengajaran dan keinsafan, bukannya bertujuan untuk menghina atau memalukan pesalah.”

Ternyata, hukuman yang dijalankan di hadapan 100 orang saksi ini mendapat perhatian khusus atas dakwaan ianya mengaibkan pesalah. Antara 100 orang khalayak yang dikatakan kehadirannya sebagai memalukan pesalah ialah:

  • Hakim Syarie, Kamarulazmi Ismail
  • Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd
  • Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun
  • Yang Dipertuan DUN, Yahaya Ali.
  • Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat.
  • Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim
  • Keluarga saudari pesalah
  • Wakil badan peguam
  • Badan bukan kerajaan (NGO)
  • Pengamal media

Fokus dari reaksi yang dibangkitkan oleh kebanyakan pihak menumpu pada, “Hukuman di hadapan khalayak ini mengaibkan pesalah! Ini bercanggah dengan imej Islam yang memelihara maruah penganutnya!” Persoalannya, benarkah perbuatan menegur dan menghukum di hadapan khalayak itu = mengaibkan orang yang ditegur/dihukum?

Untuk itu, mari kita lihat beberapa contoh yang berlaku pada zaman paling baik dalam Islam, iaitu zaman Rasulullah s.a.w.

  1. Rasulullah Menegur Pemuda Yang Meminta Izin Hendak Berzina

Diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Umamah bahawa seorang pemuda mendatangi Rasulullah dan menyuarakan keinginannya untuk berzina.” Para sahabat yang mendengar ucapan tersebut segera berkerumun kepadanya untuk menegur pemuda itu. Rasulullah kemudian memanggil pemuda itu supaya datang mendekat lalu memberi nasihat, “Apakah kamu punya ibu?”

“Ada.”

“Apakah suka jika ada orang berzina dengan ibumu?”

“Tidak, tidak, demi Allah. Aku tidak suka.”

Rasulullah melanjutkan hinggalah kepada makcik, kakak, adik perempuan lalu bersabda, “Orang yang akan kamu zina itu mungkin adalah ibu orang, makcik orang, adik orang, kakak orang. Mereka juga tidak suka saudara mereka dizinai orang semacam kamu tidak suka.” Lantas, Rasulullah meletakkan tangan mulia baginda di dada pemuda itu dan berdoa, “Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya, jagalah kemaluannya.” Selepas itu kata pemuda itu, “Demi Allah, tidak ada maksiat yang lebih aku benci melebihi bencinya aku kepada zina.”

(Musnad Ahmad, no. 21185)

  1. Rasulullah Menegur Badwi Yang Membuang Air Di Masjid

Sayyidina Anas ibn Malik meriwayatkan bahawa ketika para sahabat berada di masjid bersama Rasulullah, muncul seorang Arab Badwi berdiri untuk membuang air di masjid. Masing-masing sahabat menggertaknya untuk menghalang perbuatan itu. Namun, Rasulullah membiarkan Badwi itu selesai membuang hajat sebelum menegurnya, “Sesungguhnya masjid tidak boleh dikotorkan (dibuang air). Masjid adalah tempat untuk zikir, solat dan membaca al-Qur’an.” Kemudian, Rasulullah memerintahkan sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya. (Hadis Riwayat Muslim)

  1. Rasulullah Menegur Sahabat Yang Bercakap Semasa Solat

Dalam sebuah hadis, ketika sedang solat berjemaah, seorang sahabat bernama Mu’awiyah ibn al-Hakam al-Sulami bertasymit (yarhamkallah) selepas salah seorang sahabat bersin ketika sedang solat. Sahabat-sahabat lain ingin menegur, namun ketika itu sedang solat. Maka mereka pun menepuk tangan pada peha untuk menegur Sayyidina Mu’awiyah. Sayyidina Mu’awiyah pula berkata, “Mengapa kalian memarahiku?” Semua ini berlaku ketika sedang solat.

Habis sahaja solat, Rasulullah bertanyakan gerangan yang bercakap-cakap semasa solat. Maka, Sayyidina Mu’awiyah ibn al-Hakam itu pun tampil ke hadapan. Lalu, Rasulullah memberi nasihat kepadanya, “Sesungguhnya solat ini bukanlah tempat untuk berbual dengan perbualan manusia. Ia adalah tasbih, takbir dan bacaan al-Qur’an.

  1. Rasulullah Menghukum Wanita Makhzum Yang Mencuri

Sayyidatina ‘A’isyah meriwayatkan bahawa seorang wanita dari suku-kaum Makhzum pernah meminjam barang, namun apabila minta dipulangkan, wanita itu enggan mengakuinya, dalam erti kata lain mencuri barang tersebut. Maka, Rasulullah pun memerintahkan agar tangannya dipotong. Keluarga wanita tersebut memujuk Sayyidina ‘Usamah ibn Zaid, sahabat yang dicintai oleh Rasulullah supaya bertindak sebagai orang tengah meminta keringanan daripada Nabi. Mendengar permintaan Sayyidina ‘Usamah itu, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya, kebinasaan orang-orang sebelum kamu dahulu adalah kerana membiarkan orang mulia (golongan atasan) yang mencuri tanpa dijatuhkan hukuman. Sedangkan jika golongan bawah yang mencuri, dia dijatuhkan hukuman. Demi Allah, jika Fatimah bint Muhammad mencuri, pasti aku potong tangannya.” Lalu, tangan wanita Makhzumiyyah itu pun dipotong.

Daripada peristiwa-peristiwa ini, kita dapat melihat bahawa Rasulullah menegur mereka di hadapan para sahabat lain, di hadapan hadirin majlis ilmu, di hadapan kumpulan dalam masjid, di hadapan Jemaah solat, di hadapan penduduk Madinah.

Lebih dari itu, kisah ini diperturunkan dari generasi ke generasi selama 1400 tahun. Malah, namanya seperti Sayyidina Mu’awiyah ibn al-Hakam as-Sulami juga terpampang ketika membacakan kisahnya. Adakah mereka sedang diaibkan oleh Rasulullah dan umat Islam? – na’udzubillah.

Menghukum dengan hikmah tidak semestinya dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan lemah-lembut seperti yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat. Dengan hikmah Rasulullah menegur para as-Sahabah dan as-Sahabiyyah secara terbuka, mereka berubah menjadi lebih baik. Adakah kita berani untuk mengatakan Rasulullah membuka aib para sahabat?

Melakukan maksiat secara terbuka itu sendiri merupakan sebuah keaiban tanpa perlu menunggu untuk dihukum terlebih dahulu. Saya mengemukakan sebuah analogy.

Waqaf Saham

Sepasang kekasih yang saling mencintai menaiki sebuah bas dari Zou Island ke Wano Kingdom. Di dalam bas tersebut yang turut dinaiki oleh penumpang-penumpang lain, mereka bermadu asmara di bawah cahaya bulan purnama (baca dengan nada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee). Berciuman, berpelukan, berseluk-selukan. Semuanya mereka buat. Perbuatan sebegini sendiri merupakan sebuah aib tanpa perlu menunggu penumpang lain atau pemandu bas untuk menegur perbuatan tersebut. Jika mereka menegur, adakah dikatakan mereka menelanjangkan aib pasangan itu?

Malah, jika mereka menegur dengan nada seperti, “Mangkuk hayun punya budak! Kau jangan nak bermaksiat dalam bas ni. Kang tak pasal-pasal bukan korang berdua je yang kena laknat, habis dengan bas-bas ni sekali dilaknat dek perbuatan korang,” maka ia sudah bukan lagi termasuk dalam masalah aib-mengaibkan, tetapi menyentuh masalah adab pula.

Hikmah itu pengertiannya adalah bijaksana, bukan lemah-lembut. Kalau lemah-lembut, perkataannya adalah Latif. Keras juga adalah salah satu cara hikmah, mengikut kesesuaian keadaan.

Andaikan perbuatan kekasih seperti dalam analogi di atas tidak ditegur sama sekali kerana ‘Islam itu kasih-sayang’, ‘Menjaga maruah’ dan sebagainya. Kelak, mereka berdua tidak akan mempunyai rasa malu untuk melakukan perbuatan yang sama di tempat-tempat lain.

Perasaan malu itu sendiri adalah salah satu keperluan untuk menghindari perbuatan maksiat. Bagi orang yang lemah iman macam kita, malu kepada manusia adalah langkah awal sebelum malu kepada Tuhan. Sayyidina Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sendiri bersabda, “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Hadith riwayat Bukhari)

Di samping itu, perlu juga untuk mengingatkan Asma’ Allah selain ar-Rahman dan ar-Rahim. Allah itu al-Qahhar, Maha Memaksa. Allah itu al-Hakam, Maha Menghukum. Dzat yang memaksakan kehendak-Nya terhadap makhluk-Nya tanpa terkecuali dan tidak boleh lagi dihalang-halangi oleh sesiapapun. Allah itu al-Muntaqim, Maha Pemberi Balasan. Dzat yanga akan selalu membalas kederhakaan hamba-hamba-Nya terhadap setiap perintah-Nya. Allah itu ad-Dhaar, Maha Penimpa Kemudharatan. Dzat yang berkuasa merosakkan segala sesuatu yang dikehendaki termasuklah menghancurkan orang-orang yang telah melawan perintahnya. Salah satu perintahnya adalah menegakkan agamanya dan salah satunya juga adalah melawan LGBT.

Ketika Pemimpin yang melaksanakan hukuman TUHAN di Terengganu, mereka melaksanakan kerana mereka tahu ada raja segala raja iaitu… Malikul Mulk, Maha Penguasa Kerajaan.

Jika Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq at-Taymi kekasih Rasulullah hidup pada zaman ini, sudah tentu beliau sekali lagi akan mengujarkan kata-kata sama seperti yang diujarkan kepada murtadin-murtadin yang enggan membayar zakat, “Aku lebih rela semarakkan api perang sesama bangsa Arab berbanding semarakkan api neraka hanya kerana menuruti permintaan kalian.”

Adakah seluruh murtadin yang beliau perangi menemui bilah pedang? Iya, kepada mereka yang terus berdegil. Nabi palsu yang bernama Tulayhah ibn Khuwaylid al-Asadi sendiri diberikan keampunan dan menjadi Muslim yang baik malah terlibat sebagai mujahid dalam Futuhul Iraq.

Pada zaman Nabi, Sayyidina Imran ibn Husain meriwayatkan bahawa terdapat seorang wanita yang pernah berzina dan berkeadaan hamil mendatangi Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Aku telah melanggar hukum Allah. Tegakkanlah hukuman ke atasku.” Kemudian, Rasulullah meminta wali wanita itu supaya menjaganya dengan baik sehingga tempoh bersalin kandungan dan kemudian, bertemu semula dengan Rasulullah untuk direjam. Selepas wanita itu meninggal dunia, Rasulullah mensolatkan jenazahnya! Baginda bersabda, “Dia telah bertaubat yang taubatnya itu kalau dibahagikan kepada 70 orang penduduk Madinah, mereka semua akan mendapat bahagian.”

Islam itu lemah-lembut apabila keadaan perlu berlemah-lembut dan berkeras apabila keadaan perlu berkeras. Jika wujud mana-mana penentang agama, bangsa dan negara dalam mana-mana negara yang rajanya didaulatkan, Islamnya dijujung-angkat dan bangsanya dipateri pada hati, mereka seakan-akan mencabar Tuhan yang Rahman dan Rahim lalu menyeru Tuhan yang al-Jabbar, al-Qahhar, al-Muntaqim dan al-Hakam. Di dalam santun dan beralun-alun takbir raya yang didendangkan, terdapat juga bait,

“La ilaha illallahu wahdah – Tiada Tuhan melainkan Allah dengan ke-Esaan-Nya.”
“Sodaqo wa’dah – Dia Dzat yang menepati janji-Nya.”
“Wa nasoro ‘abdah – Dia Dzat yang menolong hamba-Nya.”
“Wa a’azza jundahu – Dia Dzat yang memuliakan bala tentera-Nya.”
“Wa hazamal ahzaba wahdah – Dia Dzat yang menewaskan persekutuan musuh dengan ke-Esaan-Nya.”

Seperti kata Menteri Besar Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar, kritikan ke atas isu pelaksanaan hukum sebat ini sememangnya bersifat sementara. Namun, sebaiknya kita tidak menganggapnya sebagai sebuah isu yang disabdakan oleh Nabi sebagai buih-buih lautan yang membawa kita ke kiri dan ke kanan, hari ini kecoh dan esok hidup seperti biasa. Sebaliknya ia seperti kecilnya pengaruh hasutan sida-sida Huang Hao kepada Liu Shan sehingga pada akhirnya meruntuhkan Kerajaan Shu. Isu ini bukan sekadar aib vs mendidik, bengis vs mendidik. Sebaliknya konservatisme agama vs liberalisme kemanusiaan. Perlu diingat, kemanusiaan itu baik dan Islam itu baik. Tetapi kata al-Qur’an, jika berselisih dalam suatu hal, kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sumber:

Bernama. 5 September 2018. Kritikan Terhadap Hukuman Sebat Hanya Sementara – MB Terengganu. Astro Awani.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kritikan-terhadap-hukuman-sebat-hanya-sementara-mb-terengganu-184745

Roselly, Ashiqin. 6 September 2018. “Dihukum Atas Tujuan Mendidik” – 6 Perkara Perlu Tahu Tentang Hukuman Sebat Di Terengganu. Says.
https://says.com/my/seismik/perkara-perlu-tahu-tentang-hukuman-sebat-di-terengganu

Ramli, Safina. 6 September 2018. Hukuman sebat beri gambaran buruk terhadap Islam – Dr. Mahathir. Utusan.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hukuman-sebat-beri-gambaran-buruk-terhadap-islam-dr-mahathir-1.742772

Saleh, Arini. 6 September 2018. Tun Dr Mahathir, Syed Saddiq Bantah Hukuman Sebat Dua Anak Muda Di Terengganu. Oh Bulan.
https://ohbulan.com/tun-mahathir-syed-saddiq-bantah-hukuman-sebat-dua-anak-muda-di-terengganu/

Pendirian Kerajaan Berkaitan Hukuman Sebat. 5 September 2018.
https://www.youtube.com/watch?v=riXfbe2KHBQ&feature=youtu.be

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. Seksyen 125. Hukuman Sebat.
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/1e361910ca11f86a482570d00000f8ba?OpenDocument

Wahai Rasulullah, Izinkan Aku Berzina!
http://syahirul.com/wahai-rasulullah-izinkan-aku-berzina/

Aslibumiayu. 2010. Kisah Seorang Wanita Yang Bertaubat Dari Zina, Sehingga Datang Ke Rasulullah Minta Untuk Dirajam.
https://aslibumiayu.net/471-kisah-seorang-wanita-yang-bertaubat.html

  1. Muchlisin. 2016. Seorang Pemuda Minta Izin Berzina, Ini Jawaban Rasulullah

http://bersamadakwah.net/seorang-pemuda-minta-izin-berzina-ini-jawaban-rasulullah/

Hang, Pak. 2017. Bersin Ketika Solat, Adakah Perlu Ucapkan ‘Alhamdulillah’?

http://didakwah.blogspot.com/2017/04/sekiranya-seseorang-sedang-solat-lalu.html

Shafiqolbu. 2012. Adab Bersin Dalam Islam

https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/12/17/adab-bersin-dalam-islam/

Subandi, Nawawi bin. 2011. Mengambil Faedah Hadis Badwi Kencing Di Masjid

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2011/06/mengambil-faedah-dari-hadis-badwi.html

Asas Islam – Mencuri

http://darulkautsar.net/asas-islam/?p=1562