Hukuman Bunuh Dengan Cara Suntikan

609

Pada zaman ini, kita semua tahu bahawa terdapat hukuman bunuh kepada mana-mana pesalah yang membuat sesetengah jenayah yang mana hukuman bunuh ini telah wujud sejak zama dahulu. Walaupun dahulu kala, hukuman bunuh ini selalunya dibuat dengan cara menyeksa pesalah dengan pelbagai alat yang dicipta sehingga mati, kini kita menyedari hakikat bahawa sebagai seorang manusia, kita perlu ada rasa kemanusiaan dan simpati kepada mereka-mereka yang melakukan kesalahan.

Justeru, pelbagai implementasi hukuman bunuh ini diwujudkan. Antara kaedah-kaedah yang kita selalu dengar dilakukan di sleuruh dunia adalah hukuman gantung sampai mati, kerusi elektrik, tembakan dan pembunuhan melalui suntikan. Kali ini saya akan menjelaskan bagaimana hukuman suntikan ini dijalankan, walaupun kaedah ini tidak dilaksanakan di Malaysia.

Julius Mount Bleyer

Kaedah ini mula dicadangkan oleh seorang doktor bernama Julius Mount Bleyer pada bulan Januari 1888, yang mana memberi pendapat agar hukuman dijalankan secara suntikan, yang mana jumlah kos untuk melaksanakan hukuman secara ini adalah jauh lebih murah berbanding dengan cara gantung sampai mati. Walau bagaimanapun, disebabkan banyak kegagalan dalam melaksanakan pembunuhan melalui kaedah ini, pada awalnya idea ini diabaikan dan kaedah seperti kerusi elektrik merupakan cara yang menjadi pilihan beberapa negeri di dalam negara Amerika Syarikat.

Kini, disebabkan kemajuan dalam bidang perubatan, yang mana mereka berjaya menemui beberapa ubat-ubatan dan bahan kimia yang baru dan lebih efektif untuk membunuh pesakit, disamping dengan kajian demi kajian yang dilakukan terhadap satu kaedah klinikal untuk membunuh pesakit yang tiada harapan untuk hidup, yang kita panggil sebagai “Euthanasia”, secara tidak langsung para pengkaji mulai melihat semula beberapa maklumat yang mereka dapati daripada Euthanasia untuk digunakan dalam hukuman suntikan ini.

Pada awalnya, kaedah yang dilakukan adalah seperti berikut. Penjenayah akan diikat di atas sebuah kerusi yang dipanggil sebagai gurney, yang mana terdapat 2 jarum yang dinamakan sebagai brannula, iaitu jarum yang sama digunakan untuk pesakit di hospital. Jarum ini dimasukkan ke dua-dua belah tangan, iaitu satu, untuk suntikan ubat-ubatan dilakukan, dan jarum yang kedua sebagai ‘backup’, yang mana sekiranya jarum pertama mengalami masalah.

Ubat yang digunakan adalah seperti berikut, yang diberi melalui turutan 1 hingga 3:

1. Ubat untuk membuatkan pesalah tidak sedarkan diri (Sodium thiopental/ pentobarbital/ Etomidate) – sejenis ubat yang digunakan untuk meletakkan pesakit dalam keadaan koma, yang selalu digunakan dalam intensive care unit (ICU).

Dos yang digunakan amat tinggi, sekitar 10 – 15 kali daripada dos yang normal, yang mana akan membuatkan pesalah hilang kesedaran dalam masa kurang daripada 10 saat. Ubat ini juga sebenarnya membuatkan seseorang itu tidak akan bernafas, kerana kesannya yang menyebabkan otot diafragma lumpuh.

2. Ubat untuk meletakkan otot dalam keadaan relaks (Pancuronium bromide, Rocuronium atau Succinylcholine) – sejenis ubat yang menghalang komunikasi dianatara saraf dan otot manusia. Ubat sebegini menghalang mana-mana otot di dalam badan untuk bergerak, dan meletakkan seseorang itu dalam keadaan lumpuh, yang mana mempunyai kesan yang sama terhadap otot diafragma, iaitu otot utama untuk pernafasan.

3. Ubat untuk menghentikan dan mengganggu ritma jantung (Potassium chloride atau Potassium acetate) – siapa sangka, potassium (kalium), iaitu ion yang banyak terdapat dalam buah pisang boleh mengganggu ritma jantung dan menghentikannya secara serta merta. Dose yang digunakan amat tinggi, dan cecair ini disuntik terakhir memandangkan kesan suntikan secara terus kepada salur darah pesalah menyebabkan kesakitan dan kepedihan dirasai oleh mereka, itulah sebabnya cecair ini hanya diberikan setelah pesalah hilang kesedaran.

Kini, terdapat beberapa implementasi dan kaedah terbaru, di mana hanya satu jenis ubat diberikan dalam dos yang tinggi iaitu sodium thiopental sahaja, dan sejenis ubat lain bernama benzodiazepin bersama opioid (hydromorphone) hanya akan diberikan sekiranya kesan sodium thiopenthal gagal membunuh penjenayah tersebut.

Kini, banyak negara luar mulai menggunakan kaedah ini sebagai hukuman bunuh, antaranya negara China, yang mana mereka mendapati melalui suntikan ini, kerajaan dapat menjimatkan kos yang sangat tinggi berbanding dengan hukuman tembakan ke kepala. Juga, beberapa negara dan tempat di serata dunia ini menggunakan pelbagai ubat-ubatan lain jenis yang mana fungsinya adalah lebih kurang sama dengan 3 ubat yang saya senaraikan di atas.

Walau bagaimanapun, hukuman bunuh ini bergantung kepada kesalahan dan tempat kesalahan dilakukan, kerana ada beberapa jenis kesalahan yang kita dapati akan dihukum bunuh di beberapa negara, namun tidak dihukum bunuh di negara-negara lain. Di Malaysia ini, kita masih melaksanakan hukum gantung sampai mati sebagai satu-satunya kaedah untuk hukum bunuh.

Diharap, dengan perkongsian saya kali ini, anda semua akan mendapat sedikit sebanyak pengetahuan dan ilmu yang baru mengenai suntikan maut ini. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.