Hukum Lelaki Berambut Panjang Dan Mendandan Rambut

1,229

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sebelum kita membahaskan berkenaan dengan Hukum, ingin saya kongsikan keadaan rambut Nabi صلى الله عليه وسلم kerana Baginda adalah contoh yang terbaik untuk kita jadikan sebagai ikutan.

Di dalam Kitab Syamail Muhammadiyyah karangan al Imam Tirmizi ada membicarakan satu bab khusus berkenaan rambut Nabi صلى الله عليه وسلم dengan mendatangkan beberapa hadis yang menceritakan keadaan rambut Nabi. Di antaranya:

1- Daripada Anas Ibn Malik berkata : adalah rambut Nabi صلى الله عليه وسلم itu sampai kepada separuh daripada telinga Baginda.

2- Daripada al Bara’ Ibn ‘Azib : Rambut Nabi صلى الله عليه وسلم menyentuh dua daun telinga Baginda صلى الله عليه وسلم .

3- Daripada Anas Ibn Malik : Bahawa Rambut Nabi صلى الله عليه وسلم itu menyentuh bahu Baginda صلى الله عليه وسلم.

Maka daripada 3 hadis ini, dapat kita simpulkan bahawa Rambut Nabi ada 3 keadaan dan dinamakan sebagai : Wafrah, Limmah dan Jummah.

Wafrah: Panjang rambut itu sampai ke daun telinga
Limmah: Panjang rambut itu melebihi daun telinga sampai ke bahu ataupun tidak.
Jummah: Panjang rambut itu sampai ke bahu.

Dan Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah mencukur rambut melainkan ketika: Umrah Qadha’, Hudaibiyah dan ketika di Ji’ranah dan Haji Wida’.

Dan Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah memendekkan rambut Baginda melainkan hanya sekali sahaja.

Maka apa yang kita dapati bahawa, Nabi صلى الله عليه وسلم sering memanjangkan rambut Baginda berbanding memendekkan rambut.

Jadi kesimpulannya adalah, memanjangkan rambut bagi lelaki itu, adalah diharuskan. Dan sekiranya berniat untuk mengikut sunnah Nabi, maka ia mendapat ganjaran pahala kerana ikut akan sunnah. Tetapi ada syarat iaitu perlu dirapikan dan kemaskan rambut tersebut.

Manakala berkenaan dengan mengikat rambut yang panjang, terdapat beberapa hadis yang menceritakan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم pernah mengikat rambu t(buat dandan) :

1- Daripada Ummi Hani’ Binti Abi Talib: Aku telah melihat Nabi mempunyai 4 tocang (dandanan).

Maka kata al Imam Bajuri:

Mendandankan rambut bukanlah dikhususkan untuk kaum perempuan sahaja. Tetapi ia juga diharuskan bagi lelaki juga walaupun kebanyakkan negara menjadi adat bahawa dandanan/ikatan rambut itu adalah menjadi tanda perhiasan perempuan.

Kesimpulan dari huraian saya:

1- Harus bagi lelaki untuk memanjangkan rambutnya.
2- Wajib dia memuliakan rambutnya dengan menjaga dan merapikan rambut tersebut.
3- Panjang rambut itu tidaklah seperti perempuan.
4- Tidaklah berniat untuk menyerupai wanita/ahli maksiat.
5- Tidak boleh bermegah-megah dan berbangga.

Info Tambahan:

“Ketika solat, adalah makruh sekiranya kita tidak melepaskan ikatan rambut. Maka sebelum solat, lepaskan rambut daripada ikatan tersebut.”

Wallahu’alam.

Artikel dinaikkan ke portal The Patriots selepas mendapat keizinan Ustaz AbeMusytaq. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.