Hujah-Hujah Tanah Melayu Tidak Dijajah British

1,187

Pada hari Jumaat yakni 27 September yang lalu, penulis berkesempatan menghadirkan diri dalam suatu ciri wacana intelektual yang bertajuk “Kedaulatan Melayu” bertempat di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

Wacana ini merupakan salah satu inisiatif berterusan yang dijalankan oleh pihak UiTM melalui Kursi Institusi Raja-Raja Melayu untuk memberikan kesedaran kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi supaya lebih cakna dengan fungsi dan kewujudan institusi beraja di negara ini kerana memang tidak dinafikan, ada sahaja di antara kita sendiri yang tidak tahu menahu pun bahawa Malaysia ialah sebuah negara Raja Berperlembagaan.

Wacana ini penulis kira agak menarik kerana penampilan speaker utamanya ialah seorang tokoh sejarawan yang pernah mencetuskan satu fenomena suatu masa dahulu. Beliau ialah YBhg. Prof. Datuk Dr. Zainal Kling iaitu Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM. Beliau juga pernah memegang posisi sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya dan Timbalan Naib Canselor HEP UM.

First impression? Lantang. Mengapa? Kerana beliaulah insan yang berulang kali menyatakan bahawa bumi Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah kuasa Barat ataupun dalam erti kata lain, penjajahannya tidak sempurna. Dan kenyataan yang sama juga dilantunkan kepada para hadirin pada hari berkenaan. Dan nampaknya kenyataan yang sama juga diulang suara dalam Kongres Maruah Melayu yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada hari ini. Kalau penjajahan ekonomi, itu pula dari segi lain. Penjajahan di sini menumpukan kepada konsep umum dan politik. Maka, berikut ialah sedikit sebanyak ilmu yang diperolehi penulis ketika wacana berlangsung.

Pertama, Suruhanjaya Reid yang berperanan menggubal dan membentuk perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah ditubuhkan dengan izin dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang berdaulat.

Hal ini bermakna, tanpa persetujuan dari Raja-Raja Melayu sebagai ketua pemerintah bagi setiap kerajaan Melayu, jadinya mana mungkin Suruhanjaya Reid akan wujud dan menjalankan fungsinya. Malahan, lantikan setiap pakar undang-undang yang menganggotai Suruhanjaya ini juga adalah berdasarkan perkenan Raja-Raja Melayu. Buktinya boleh dilihat dengan jelas dalam perenggan pertama, kedua dan ketiga Laporan Suruhanjaya Reid 1957.

Sebagai contoh, perenggan ketiga dimulakan dengan ayat “The members of the Commission were appointed in the name of Her Majesty the Queen and Their Highnesses the Rulers…” yang secara terang-terangan membawa maksud “Ahli-ahli Suruhanjaya ini dilantik atas nama Yang Mulia Permaisuri Britain dan Yang Mulia Raja-Raja Melayu”. Nama di sini merujuk kepada perkenan, kebenaran dan lampu hijau dari pihak Majlis Raja-Raja. Nama di dalam ayat itu juga boleh membawa maksud kedaulatan pemerintah. Maka, dengan daulat Sultan-Sultan Melayu, lalu dilantiknya ahli Suruhanjaya Reid.

Selain itu, dalam perenggan kedua pula tuntas menyatakan bahawa It was decided in agreement with the Conference of Rulers that the Commission should be a small body… yang boleh diterjemahkan sebagai, “Hal ini telah diputuskan dalam suatu persetujuan dengan Majlis Raja-Raja bahawa Suruhanjaya ini sepatutnya menjadi sebuah badan kecil…”. Sekali lagi, ini menggambarkan betapa pentingnya kedudukan dan perkenan para Raja bagi menjayakan misi pembentukan sebuah perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Kedua, kelangsungan Institusi Beraja dan Sultan pemerintah di Tanah Melayu sentiasa berterusan dan rata-ratanya tidak pernah jatuh. Apabila Kesultanan yang diasaskan di Tanah Melayu ini tidak pernah jatuh tersungkur secara total, Sultannya masih berdaulat. Hal ini bermakna bahawa kekuasaan sesuatu negeri itu tidak pernah hilang selagi daulatnya masih disambung serta dipikul oleh Sultan dan pewarisnya. Contoh termudah dan yang paling tipikal bagi masyarakat umum hari ini ialah kejatuhan Melaka.

Apakah benar Melaka itu jatuh sepenuhnya? Jawapannya tidak. Yang jatuh, ditakluk dan ditundukkan Portugis ialah KOTA Melaka dan bukannya Kesultanan Melaka itu secara keseluruhan. Sultan Mahmud Shah, waris kesultanan dan pengikutnya yang ramai masih berjaya berundur ke Muar, dan ke Pahang serta akhirnya mendirikan Kesultanan Johor dan Kesultanan Perak.

Wilayah pengaruh Melaka bukannya kecil. Sampai ke Sumatera masih dikira Melaka. Jauh di penghujung Terengganu masih Melaka. Cuma Kota Melaka itu peranannya sebagai ibukota kepada Kesultanan Melaka. Usah sempitkan ruang lingkup pandangan kita kepada Melaka pada zaman moden, bersempadan moden. Melaka yang dulu, bukan Melaka yang sekarang.

Menurut Farahana Shuhaimi dalam bukunya Tasjil Anis Salatin yang bersumberkan Sulalatus Salatin versi Krusenstern (salinan yang tertua buat masa ini), Kesultanan Melayu Melaka mempunyai 23 buah negeri taklukan dan naungan iaitu Bentan, Singapura, Kuala Linggi, Tungkal, Dinding, Jugra, Tanjung Tuan, Pahang, Bernam, Kelang, Jeram, Langat, Kampar, Siak, Merbau, Terengganu, Lingga, Rokan, Kelantan, Pattani, Kedah, Beruas dan Manjung. Dan setiap negeri ini pula ada pembesar atau pegawai yang diamanahkan oleh Sultan Melaka untuk mentadbirnya. Sebagai contoh, Siantan dan Jugra adalah dibawah pentadbiran Laksamana Hang Tuah.

Tambahan pula, Portugis hanya berdiam di kotanya sahaja. Portugis tidak pernah menjejakkan kaki ke Kelantan. Portugis tidak pernah menjejakkan kaki ke Kedah. Portugis tidak pernah sampai ke Perak. Pengaruh Portugis tidak pernah sampai ke kawasan-kawasan ini. Jadi, logikkah jikalau dikatakan bahawa keseluruhan Tanah Melayu dijajah Portugis?

Adakah masuk akal jika kata-kata tersebut dipaculkan keluar walaupun jelas bahawa Kesultanan Melaka masih berdiri teguh dan tidak pernah jatuh? Situasi yang sama juga berlaku ketika kedatangan Belanda. Memetik kata-kata Prof. Zainal, “Perhaps, to name it the Portuguese or Dutch period in Kota Melaka is still acceptable. But there was no such thing such as the Portuguese or Dutch period of colonization of Malaya.”

Ketiga, legal status Tanah Melayu dan Sultannya adalah berdaulat (sovereign) dan merdeka. Hal ini dibuktikan dalam beberapa kes mahkamah yang keputusannya berupaya mengubah perspektif khalayak umum tentang pentadbiran British di Tanah Melayu.

Sebagai ilustrasi, dalam kes Ethel Proudlock pada tahun 1911. Kes ini ialah sebuah kes yang berprofil tinggi. Kisahnya begini, seorang warganegara Britain yang menetap di Kuala Lumpur bernama Mrs Ethel Mabel Proudlock telah membunuh teman lelakinya William Crozier Steward yang dianggapnya curang dengan seorang perempuan Cina. Proudlock memang sudah mempunyai hubungan sulit dengan Steward.

Dia yang berumur 23 tahun telah didakwa kerana membunuh dan kemudiannya didapati bersalah serta dijatuhi hukuman mati. Memandangkan kes ini melibatkan pembunuhan oleh seorang wanita Eropah yang melibatkan hukuman mati pula, kes ini menjadi amat popular buat seketika waktu sehingga diadaptasi dalam bentuk novel bertajuk The Letter.

Sultan Alauddin Sulaiman Shah

Maka, pihak keluarga Ethel Proudlock memohon petisyen untuk dikurniakan pengampunan daripada Raja George V tetapi tidak dilayan kerana menurutnya, Selangor ialah sebuah negeri yang mempunyai undang-undang dan pemerintahnya sendiri. Britain tiada hak untuk mengetepikan bidang kuasa khusus Sultan Selangor di dalam negerinya sendiri. Jadi, keluarga Proudlock meminta pula benda yang sama daripada Sultan Selangor ketika itu.

Dengan penuh rendah diri dan rasa kasihnya Tuanku, Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang juga diiktiraf sebagai seorang ulama tersohor Tanah Melayu telah mengampunkan (grant pardon) Proudlock dengan syarat dia meninggalkan Malaya dan negeri Selangor dengan segera. Sultan Alauddin Sulaiman Shah berbuat demikian walaupun dikatakan bahawa pegawai British telah menasihatkan Tuanku untuk tidak mengampunkan Proudlock.

Jadi, apa yang pihak British boleh buat ke atas ‘keingkaran’ dan kedegilan Sultan Selangor? Tiada apa-apa. Malah, Sultan Selangor bukannya ingkar pun dan British lebih faham mengenai ini. Sultan Selangor hanya menjalankan fungsinya sebagai seorang pemerintah yang berdaulat ke atas wilayahnya.

Di samping itu, satu lagi kes iaitu kes Mighell v Sultan of Johore [1894] 1 Q.B. 149. Fakta kesnya ialah seorang individu bernama Albert Baker (nama samaran bagi Maharaja Abu Bakar ketika muda) telah disaman oleh Cik Mighell kerana cintanya tidak dibalas. Kes ini cuba dibawa ke mahkamah Britain.

Secara ringkasnya, hakim-hakim yang bijaksana dalam kes ini telah bersepakat secara unanimous bahawa Sultan Johor mempunyai imuniti dan kekebalan sebagai ketua negara daripada sebuah negeri yang independent dan berdaulat. Mahkamah Queen’s Bench di London tiada jurisdiction ataupun bidang kuasa untuk membicarakan ke atas seseorang ketua negara itu.

Menguatkan lagi keabsahan Sultan Johor sebagai pemimpin negara yang berdaulat ialah apabila sepucuk surat daripada Setiausaha Negara British kepada salah seorang hakim yang terlibat iaitu Justice Wright menyatakan dengan jelas bahawa, “Johor ialah negeri dan wilayah yang merdeka di Semenanjung Tanah Melayu, dan bahawasanya defendan (Sultan) ialah pemerintah berdaulat pada masa sekarang, dan hubungan di antara Sultan dan Yang Mulia Ratu (Victoria) adalah hubungan yang berdasarkan per-sekutu-an (alliance) dan bukannya antara suzerainty (tuan) dan dependence (negeri yang bertuankan suzerainty).”

Walaupun penelitian yang lebih bersepadu dan holistik perlu dilakukan untuk mengesahkan status kemerdekaan ataupun penjajahan tidak langsung oleh British berdasarkan antaranya ialah kes-kes yang di atas, adalah agak jelas secara umumnya bahawa status yang menyatakan Tanah Melayu pernah dijajah ini masih mempunyai lompong-lompong besar dan kelemahan yang boleh dipertikaikan serta kiranya perlu dikaji. Terpulang kepada pembaca untuk menilai sejauh manakah mungkin penjajahan politik tanah air ini, pernah berlaku sebenarnya. To what extent.

RUJUKAN

Cody, M. K. (2011, January). The trial of Mrs Proudlock : law, government and society in British Malaya, 1911. Retrieved October 6, 2019, from https://www.researchgate.net/publication/329143399_The_trial_of_Mrs_Proudlock_law_government_and_society_in_British_Malaya_1911

Reid Commission. (1957). Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957 (Colonial No. 330). Retrieved from http://www.catholiclawyersmalaysia.org/sites/default/files/Reid%20Commission%20Report%201957.pdf

United States Documents. (2015, October 16). Mighell v. Sultan of Johore. – [1894] 1 q.b. Retrieved October 6, 2019, from https://fdocuments.us/document/mighell-v-sultan-of-johore-1894-1-qb.html

Unreserved Media. (2018, September 11). The Crime That Shook Colonial Malaya | UNRESERVED. Retrieved October 6, 2019, from https://www.unreservedmedia.com/ethel-proudlock-malaya-colonial-crime/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.