Hujah-Hujah Ringkas Melayu Bukan Pendatang

3789
views

– Polemik mengaitkan Melayu sebagai pendatang sekali lagi berdendang. Lagi-lagi ia menjadi topik perdebatan antara MP UMNO dan MP DAP di parlimen, lalu sekali lagi meleret sehingga ke media sosial dengan pelbagai rencana keluar menolak status pribumi bangsa Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

– Justeru, kami di The Patriots terpanggil untuk sekali lagi berpencak melawan golongan yang tidak kenal sejarah ini, tidak kiralah daripada bangsa Melayu sendiri, tetapi daripada bangsa lain.

– Tamadun Melayu merupakan tamadun terawal di Asia Tenggara dengan usianya menjangkau sehinggakan 600 SM, sezaman dengan Rom, Yunani dan pelbagai peradaban purba lain di dunia. Rujuk tapak Sungai Batu di Kedah.

– Orang asli sama ada dari Proto-Melayu atau Austroasiatic merupakan nenek moyang orang Melayu berdasarkan kajian terkini.

– Bersama dengan orang asli, orang Melayu telah membangunkan Kepulauan Melayu dengan penubuhan beratus-ratus kerajaan yang sangat menakjubkan dengan Srivijaya (650-1347) dan Melaka (1400 – 1511) menjadikan dua kerajaan ini merupakan kerajaan paling terkenal yang pernah didirikan oleh orang Melayu.

– Pada kajian lain pula, mengatakan bahawa orang Melayu Kelantan sudah mendiami benua sunda (kepulauan Melayu) ini sekurang-kurangnya 60, 000 tahun yang lalu.

– Sebelum Malaysia dan Indonesia lahir, wilayah ini adalah merupakan sebuah wilayah yang terdapat ratusan kerajaan di mana sempadan-sempadan sentiasa berubah berdasarkan penguasaan empayar tertentu seperti Srivijaya, Majapahit, Acheh dan juga Johor-Riau.

– Jadi, pada wilayah ini, mereka tidak banyak dibezakan. Bahasa yang serumpun, kebudayaan yang sama, agama yang sama, sehinggakan melahirkan istilah seperti Alam Melayu, Nusantara dan Dunia Melayu kerana asas persamaan ini.

– Apa yang sama? Contoh paling mudah, pada budaya keris dan silat. Kebanyakan suku-suku di Nusantara/Alam Melayu mempunyai keris dan silat mereka tersendiri, tetapi budaya ini diakui budaya bersama yang dikongsi akibat persemendaan suku-suku serumpun yang sudah berusia ribuan tahun ini.

– Malaysia dan Indonesia adalah hasil pemisahan penjajah kepada adik beradik sebudaya serumpun bangsa ini pada 1824 Anglo-Dutch Treaty. Namun, pada nama Kepulauan Melayu yang diberikan kepada wilayah bertuah tempat kita berpijak, masih ada gema-gema sejarah yang mengajarkan kepada kita bahawa suatu masa dahulu, rumpun-rumpun di Nusantara/Kepulauan Melayu adalah serumpun.

– Sedari dulu lagi, seperti mana keluarga-keluarga bangsawan diraja di Eropah mengahwinkan puteri dan putera mereka sesama sendiri, begitu juga kerajaan-kerajaan purba di Nusantara ini, Putera Jawa seperti Raden Wijaya mengahwini puteri Melayu seperti Dara Petak. Atau Sultan Mansur berkahwin dengan Raden Galoh Cendera Kirana. Ini menujukkan betapa mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai satu entiti asing, tetapi sebuah keluarga yang sama.

– Kesimpulannya, Melayu merupakan penduduk asal Kepulauan Melayu, membangunkan dan mendirikan kerajaan mereka sejak zaman berzaman. Ribuan tahun mereka berada di sini, melayakkan mereka untuk memiliki prestij pribumi dan bumiputera.

P.S: Makwe dalam gambar ni ialah artis Melayu dari Indonesia bernama Raline Shah yang keluar di media Indonesia, tanpa segan silu mengaku bangga menjadi sebagai Melayu.

Previous articleTurki Dan Haiwan Jalanan
Next articleDe Roling: Bebas Daripada Belenggu Watak
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE