Moving Forward As One

Hubungan Sultan Abu Bakar Johor Dan Ratu Victoria Yang Dilupakan

4,711

Terdapat sekeping gambar DYMM Sultan Johor, Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) yang menggayakan pakaian tradisi Scottish Highland (Gambar 1). Corak Tartan pada kilt yang dipakai mirip corak Tartan yang dihadiahkan oleh Ratu Victoria.

Berdasarkan rekod Scottish Register of Tartans, terdapat dua corak Tartan yang berkaitan dengan Kesultanan Johor. Pertama, corak Tartan warna hijau & kuning (tahun 1880) di bawah nama “Johore” No. 1309, rekaan Thomas Gordon & Sons, Glasgow (Gambar 2).

Gambar 1: Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895). Sumber: Facebook Media Johor. 28.7.2018
Gambar 2: Corak Tartan “Johore” no. 1309 tahun 1880. Sumber: Scottish Register of Tartans.

Ianya dihadiahkan oleh Ratu Victoria (1819-1901) (Gambar 3) kepada Sultan (Maharaja) Abu Bakar ketika baginda melawat Ratu England tersebut di Istana Balmoral di Scotland pada tahun 1880.

Gambar 3: Potret Ratu Victoria (1819-1901) sekitar tahun 1866.

Corak Tartan kedua Kesultanan Johor didaftarkan di zaman pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (1873-1959). Ianya berwarna biru dan kuning di bawah nama “Johore Regiment” No. 260, tahun 1930 (Gambar 4), dan direka oleh William Anderson dari Kinloch Anderson Ltd., Edinburgh.

Gambar 4: Corak Tartan “Johore Regiment” No. 260 tahun 1930. Sumber: Scottish Register of Tartans.

Berbalik kepada kisah Sultan Abu Bakar, dalam perutusan Ratu Victoria kepada Sultan Abu Bakar, Ratu England tersebut membahasakan dirinya sebagai “your affectionate friend”. Persahabatan ini bermula semenjak lawatan Sultan Abu Bakar ke England pada tahun 1866.

Menurut rekod Istana Windsor, pada tahun 1887, Sultan Abu Bakar menghadiahkan Ratu Victoria sebuah replika Albert Memorial yang diperbuat dari emas dan perak (Gambar 5), bagi mengenang kematian suami Ratu Victoria, iaitu Putera Albert, pada 1861.

Gambar 5: Model replika Albert Memorial yang diperbuat dari emas dan perak, c. 1887. Sumber: Royal Collection Trust, UK.

Jika dikaji Sultan Abu Bakar adalah sebenarnya sahabat akrab pertama Ratu Victoria dari Asia. Ini berlaku sebelum Ratu Victoria bertemu Mohammed Abdul Karim (the Munshi) yang menjadi inspirasi kepada filem 2017 bertajuk “Victoria & Abdul”.

Watak sebenar Abdul tersebut yang berasal dari India telah diperkenalkan oleh Dr. John Tyler kepada Ratu Victoria pada tahun 1887 (Gambar 6 & 7) untuk membiasakan Ratu Victoria dengan peranannya sebagai “Empress of India”, gelaran yang disandangnya semenjak 1876..

Gambar 6: Mohammed Abdul Karim (the Munshi) bersama Ratu Victoria di Istana Balmoral sekitar 1890an yang menjadi inspirasi kepada filem “Victoria & Abdul”, 2017.
Gambar 7: Poster filem “Victoria & Abdul”, 2017.

Apa yang menarik, dalam album gambar Dr. John Tyler yang dihadiahkan kepada Ratu Victoria pada tahun 1887 terdapat gambar Sultan Abu Bakar (Gambar 8) yang diklasifikasi sebagai “Indian Prince’s & Rulers” seolah-olah mengaitkan Sultan Abu Bakar sebagai Raja kepada pengawal-pengawal dari India yang dibawa Dr. John Tyler pada tahun 1887.

Gambar 8: Gambar Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) c. 1887 yang dihadiahkan kepada Ratu Victoria oleh Dr. John Tyler. Sumber: Royal Collection Trust, UK.

 

Gambar-gambar No. 9 (1886), dan No. 10 (1891) pula adalah gambar-gambar Sultan Abu Bakar dalam simpanan peribadi Ratu Victoria yang kini berada di arkib Istana Windsor. Adalah dipercayai gambar-gambar ini dikirimkan melalui warkah perutusan Sultan Abu Bakar kepada Ratu Victoria. Selain dari gambar-gambar ini terdapat juga lukisan karikatur baginda Sultan Johor tersebut yang hasilkan oleh Robert Wallace Glen Lee Braddell sekitar 1891.

Lukisan ini pernah menghiasi halaman majalah Vanity Fair di UK keluaran 17.10.1891 yang dilihat sebagai pengiktirafan status “public figure” Sultan Johor tersebut dari kaca mata bangsawan Inggeris (Gambar 11). Dari rekod-rekod kontemporari ini boleh dirumuskan bahawa keterbukaan Ratu Victoria kepada masyarakat berbilang agama dan budaya dari Asia bertitik tolak dari persahabatannya dengan Sultan Abu Bakar.

 

Gambar 8: Gambar Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) c. 1886 dalam simpanan peribadi Ratu Victoria. Sumber: Royal Collection Trust, UK.
Gambar 9: Gambar Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) c. 1891 dalam simpanan peribadi Ratu Victoria. Sumber: Royal Collection Trust, UK.
Gambar 11: Karikatur “The Sultan of Johore” yang hasilkan oleh Robert Wallace Glen Lee Braddell sekitar 1891. Sumber: Vanity Fair, UK. 17.10.1891

Hubungan persahabatan antara Sultan Abu Bakar dengan Ratu Victoria ini sedikit sebanyak membantu proses permodenan Johor. Ianya juga menjadikan Johor agak bebas pentadbirannya jika dibanding dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu yang ketika itu terpaksa menerima campurtangan Inggeris melalui sistem Residen.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Pada lawatan terakhirnya ke London bersama anakandanya Tunku Ibrahim, Sultan Abu Bakar jatuh gering akibat komplikasi buah pinggang. Mendengar berita itu, Ratu Victoria menghantar doktor peribadinya Dr. Douglas Powell untuk merawat baginda. Malangnya baginda Sultan mangkat pada 4.6.1895, di mana jenazah Almarhum baginda telah di bawa pulang ke Johor.  Jenazah Almarhum baginda kemudian dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor pada 7.9.1895.

RUJUKAN:

6 Intersting things about British colonists in Malaya during the Victorian era. Cilisos.my, 23.6.2017.

Facebook Media Johor. 28.7.2018.

Scottish Register of Tartans.

Royal Collection Trust, UK.

National Portrait Gallery, UK.

Vanity Fair (1868-1914).

Ruangan komen telah ditutup.