Hubungan Sulit Clinton-Lewinsky: Skandal Yang Menggegarkan Amerika Syarikat

911

Sepanjang lipatan sejarah Amerika Syarikat, bukan sekali dua Oval Office dilanda ribut taufan skandal yang menyelubungi Presiden Amerika Syarikat. Daripada skandal politik yang mencemarkan imej Rumah Putih (Watergate dan Iran-Contra) hinggalah skandal seks Clinton-Lewinsky, ia menjadikan suasana politik di sana berwarna-warni dan tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Namun, bila berbicara tentang skandal seks Bill Clinton, ia masih memberi impak kepada Washington sehingga hari ini walaupun selepas 20 tahun ia tercetus.

Skandal panas ini bermula apabila Monica Lewinsky, seorang wanita kelahiran San Francisco, California ini memulakan pekerjaan sebagai pelatih di pejabat Ketua Staf Rumah Putih pada musim panas 1995. Ketika itu, dia baru berusia 22 tahun dan baru saja menamatkan pengajian dari Kolej Lewis dan Clark. Beberapa bulan selepas itu, pentadbiran Rumah Putih berhadapan dengan sekatan penutupan kerajaan persekutuan berikutan pertelagahan antara Rumah Putih dengan Kongres berkenaan soal belanjawan. Maka, kebanyakan tugas harian di Rumah Putih yang seharusnya dikendalikan kakitangan awam kini dikendalikan oleh pelatih-pelatih seperti Lewinsky. Ini menyebabkan mereka perlu berada di Sayap Barat dan berinteraksi dengan semua orang termasuk Clinton sendiri.

Dalam siri dokumentari The Clinton Affair, Lewinsky mendedahkan dia sudah menyimpan hati terhadap Clinton walaupun mengakui ianya satu perkara yang salah. Satu insiden yang masih segar di ingatannya ialah pada satu ketika, seluar dalamnya terlondeh sedikit antara satu hingga dua inci. Staf-staf lain tidak menyedari perkara itu berlaku tetapi seorang individu perasan iaitu Clinton. Lewinsky mengakui dia seharusnya segera memperbetulkan seluarnya itu tetapi tidak melakukannya kerana suka dengan perhatian yang diberi presiden kelahiran Hope, Arkansas itu. Dan sejak itulah, kedua-duanya mula mengintai peluang bersama dan ia direalisasikan pada malam 15 November 1995. Dalam siri tersebut, Lewinsky mendedahkan perlakuan seksual mereka tidak pernah dilakukan di Oval Office. Sebaliknya, hubungan seks mereka dilakukan di sebuah pejabat bersebelahan Oval Office yang berperanan sebagai pejabat peribadi presiden.

‘Hubungan cinta kita…’

Pada akhir bulan yang sama, Lewinsky mula bekerja di Pejabat Hal Ehwal Perundangan, sekaligus membolehkannya terus berada di Rumah Putih. Untuk mengelakkan hubungan sulit ini dicium ramai, kedua-duanya cuba mewujudkan satu situasi bersifat kebetulan seperti tersalah masuk pejabat atau mengadakan tugasan yang tidak ada bagi membolehkan mereka bertemu. Keadaan ini dibantu apabila dia mempunyai pas lencana biru yang membolehkannya berada di semua kawasan Rumah Putih. Selain itu, Lewinsky juga sentiasa ingat dari arah mana dia masuk atau keluar dari pejabat peribadi Clinton. Ini bagi memastikan tidak wujud situasi ganjil antaranya dengan staf jika mereka menemuinya berhampiran dengan pejabat itu.

Tetapi bak kata pepatah, kalau angin tak bertiup, masakan pokok bergoyang. Kisah hubungan cinta terlarang Clinton-Lewinsky ini mula dihidu ramai termasuk staf-staf Rumah Putih sendiri. Ini kerana mereka merasa pelik bagaimana Clinton boleh mengenali staf bawahan seperti Lewinsky dan sentiasa berhubung rapat dengannya tanpa sebarang sebab. Bila mengenang detik itu, Lewinsky mengakui ada masanya, dia amat naif dan tidak sedar dengan permainan kuasa yang dimainkan Clinton ke atasnya. Ini kerana bagi perempuan muda sepertinya, dia seharusnya memanfaatkan masa cuti bersama keluarga dan rakan-rakan. Tetapi dia tetap berada di Rumah Putih pada hujung minggu hanya semata-mata menunggu panggilan Clinton kerana sudah mabuk asmara dengan presiden berkenaan.

Melihat kepada semua ini, khabar hubungan sulit ini sudah mula diketahui dalam persekitaran politik Washington D.C ketika itu. Berita sebegini bukan saja dianggap berpotensi menjejaskan reputasi bersih Clinton tetapi juga berpotensi menjejaskan peluangnya mendapatkan penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat. Maka pada April 1996, Lewinsky dipindahkan ke Pentagon dan dalam siri dokumentari tersebut, dia mengakui suasana di Pentagon terlalu keras dan disiplin berbanding suasana di Rumah Putih yang dilihat formal tetapi santai. Bila berita pemindahan itu diketahui Clinton, beliau berjanji akan memindahkan Lewinsky kembali ke Rumah Putih sekiranya berjaya memenangi pemilihan semula 1996. Janji tersebut ditunaikan dan tak lama selepas itu, dia kembali semula ke Rumah Putih. Hubungan kedua-duanya terus berlaku sehinggalah tahun 1997.

Selalunya, hubungan sebegini hanya diketahui oleh segelintir orang sahaja yang boleh dipercayai dan memegang prinsip biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Dalam kes Lewinsky, individu yang mengetahui hubungan cinta terlarangnya dengan Clinton ialah rakan sekerja dan kenalan rapat bernama Linda Tripp. Dari situ, Tripp berkongsi kisah tersebut dengan seorang ejen buku yang dikenali sebagai konservatif anti-Clinton bernama Lucianne Goldberg. Di sinilah bermulanya episod mimpi ngeri Clinton dan Lewinsky. Bila mengetahui apa yang berlaku, Goldberg mendesak Tripp merakam semua perbualan telefonnya dengan Lewinsky walaupun perbuatan tersebut dianggap salah di sisi undang-undang.

Laporan Starr dan perbicaraan pemecatan

Melalui hubungan Goldberg ini juga, rakaman perbualan Tripp-Lewinsky turut diketahui oleh pasukan peguam Paula Jones. Paula Jones ialah seorang bekas kakitangan kerajaan yang memfailkan saman terhadap Clinton pada tahun 1991 kerana kesalahan seksual semasa beliau menjadi Gabenor Arkansas. Akibatnya, Lewinsky disepina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan pada Disember 1997. Enggan membiarkan hubungan sulit mereka diketahui orang ramai, presiden mencadangkan Lewinsky berbohong di kandang saksi dan itulah yang dilakukannya dalam keterangan bersumpah, “Saya menafikan saya mempunyai hubungan seksual dengan Bill Clinton.”

Tatkala semua ini berlaku, pentadbiran Clinton turut dihantui oleh siasatan berkenaan kontroversi Whitewater. Skandal ini tercetus berikutan wujud laporan salah laku membabitkan pelaburan yang dibuat oleh Clinton dan isterinya Hillary Rodham Clinton dalam Syarikat Pembangunan Whitewater. Penyiasat yang diberi tugas menyiasat skandal berkenaan ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, Kenneth Starr. Semasa mereka masih sibuk menyiasat Whitewater, Starr turut mendapat tahu rakaman yang dihasilkan Tripp. Ini mendorongnya untuk menyuruh Tripp memakai mikrofon tersembunyi yang disediakan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) semasa berbual dengan Lewinsky.

Pendedahan ini juga membuka pintu seluas-luasnya kepada Starr meluaskan lagi skop siasatan termasuk skandal seks membabitkan Clinton. Maka tidak hairanlah bila Lewinsky disepina oleh pihak berkuasa, mereka menyatakan lebih elok untuknya bekerjasama. Ini kerana sekiranya dia didapati berbohong semasa memberi keterangan, maka dia melanggar keterangan sumpahnya dan boleh didakwa di mahkamah. Apabila Clinton diminta memberi keterangan di mahkamah oleh pasukan guaman Jones pada Januari 1998, beliau tetap mengulangi bahawa tidak wujud sebarang hubungan antaranya dengan Lewinsky.

Tetapi semua penafian itu tidak boleh menutup kisah cinta terlarang ini dari diketahui orang ramai. Pada bulan yang sama, portal berita dalam talian konservatif Drudge Report menyiarkan laporan hubungan sulit Clinton dengan identiti Lewinsky didedahkan sehari kemudian. Kisah tersebut diteruskan oleh media arus perdana beberapa hari kemudian dan mencetuskan skandal di peringkat nasional. Dan seperti biasa, Clinton masih berpegang teguh dengan kenyataan ini semasa mengadakan sidang media sambil ditemani oleh Hilary,” Saya tidak mempunyai sebarang hubungan seksual dengan perempuan itu, Cik Lewinsky.”

Namun, ada satu perkara yang tidak diketahui Clinton: Lewinsky menyimpan beberapa bukti sebagai bukti hubungan cinta terlarang mereka termasuk sehelai gaun berwarna biru yang mengandungi sampel DNA beliau. Pakaian tersebut langsung tidak dicuci atas Lewinsky atas nasihat Tripp dan ia menjadi salah satu bahan keterangan utama siasatan Starr. Pakaian itu juga menjadi bukti kukuh hubungan sulit Clinton-Lewinsky benar-benar berlaku dan bukan satu omongan kosong seperti yang didakwa bekas gabenor Arkansas itu.

Bukti tersebut sudah cukup untuk memaksa Clinton mengakui di hadapan jemaah juri bahawa beliau mengadakan sentuhan fizikal intim dan tidak sepatutnya dengan bekas pelatih Rumah Putih itu tetapi tidak menepati definisi hubungan seksual yang digunakan oleh peguam-peguam Jones. Pada malam 17 Ogos 1998, Clinton turut tampil di televisyen kebangsaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka atas tingkah lakunya itu. Tetapi pada masa sama, beliau turut menegaskan beliau tidak pernah menyuruh individu yang terlibat dengan skandal itu untuk berbohong atau melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Pada September 1998, laporan siasatan Starr setebal 445 muka surat diserahkan kepada Kongres untuk langkah seterusnya. Laporan ini mendedahkan secara terperinci hubungan sulit Clinton-Lewinsky termasuk 11 perkara yang boleh membawa kepada pemecatan Clinton sebagai Presiden Amerika Syarikat. Laporan yang dikenali sebagai Laporan Starr itu kemudiannya dijadikan sebagai laporan terbuka oleh Kongres dan dijadikan dalam bentuk buku seterusnya menjadi buku paling laris jualan pada tahun tersebut. Pada Oktober 1998, Kongres mengundi untuk meneruskan perbicaraan pemecatan Clinton.

Dua bulan selepas itu, Kongres turut meluluskan dua usul punca pemecatan Clinton iaitu bersumpah bohong dan menghalang proses keadilan. Dalam sejarah Amerika Syarikat, Clinton merupakan presiden kedua selepas Andrew Jackson yang perlu mengharungi sesi perbicaraan pemecatan jawatan presiden. Tetapi seperti Jackson, beliau terselamat selepas mengharungi perbicaraan selama 21 hari dan dibebaskan pada Februari 1999. Bagaimanapun pada April 1999, Clinton dikenakan dakwaan menghina mahkamah kerana memberi keterangan menyeleweng berkenaan status hubungannya dengan Lewinsky dan didenda Hakim Susan Webber Wright sebanyak $90,000. Lesen guamannya di Arkansas juga digantung selama lima tahun dan kemudiannya oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Kesan skandal

Di sebalik semua ini, Clinton dapat menamatkan penggal kedua sebagai presiden dan meninggalkan Rumah Putih dengan kadar sokongan paling tinggi dalam mana-mana presiden Amerika Syarikat. Semasa prosiding pemecatan berlangsung, beliau turut menyelesaikan kes samannya dengan Jones dengan membayar pampasan sebanyak $850,000 tetapi menafikan sebarang salah laku wujud antara mereka berdua. Dan Clinton masih aktif dalam politik sehingga hari ini termasuk membantu kempen calon-calon Parti Demokrat dan tidak segan menyumbang dalam kempen amal serta bukan berasaskan keuntungan.

Tetapi terima kasih kepada skandal ini juga mengakibatkan Naib Presidennya ketika itu, Al Gore tewas kepada George W. Bush semasa pemilihan presiden 1999. Ini berikutan keengganan Parti Demokrat membenarkan Clinton berkempen untuk Gore di negeri-negeri tertentu seperti Arkansas dan New Hampshire kerana bimbang impak skandal itu terhadap kempen mereka. Akibatnya, beliau kehilangan undi penting di negeri-negeri ini. Dan menurut sesetengah penganalisis, jika Clinton turun berkempen sekalipun, belum tentu ia dapat menjamin kemenangan selesa Gore dan wujud kemungkinan peratusan undi yang diterima beliau merosot teruk.

Sementara wanita yang berada di tengah-tengah skandal ini pula menjadi antara wanita yang paling dikenali untuk satu dekad seterusnya. Pada Mac 1999, Lewinsky ditemubual Barbara Walters untuk program 20/20 ABC dan ditonton 70 juta penonton, satu rekod bagi sebuah program berita. Selain itu, dia juga berpeluang menghasilkan buku biografi bertajuk Monica’s Story yang berkisar tentang kisah hidupnya termasuk hubungan sulitnya dengan Clinton. Selepas cuba berkecimpung sebagai pereka beg tangan dan personaliti televisyen, dia kemudian menyambung pengajian di Sekolah Ekonomi London dalam jurusan psikologi sosial dan berjaya meraih ijazah Master of Science pada tahun 2006.

Sepanjang dekad pertama abad ke-21, Lewinsky memilih untuk mengelak dari menjadi tumpuan ramai. Tidak ramai tahu impak dari hubungan sulit dan siasatan mendalam terhadap kehidupannya hampir-hampir mendorongnya untuk membunuh diri dan menghidap kecelaruan stres pasca-trauma (PTSD). Ini didedahkan dalam siri dokumentari sama. Tetapi perlahan-lahan wanita berhati waja ini bangkit dan pada tahun 2014, dia menulis satu esei panjang untuk majalah Vanity Fair bertajuk ‘Shame and survival’ berkisar tentang kehidupannya dan impak hubungan sulit yang dihadapinya. Selain aktif sebagai penyumbang rencana Vanity Fair, Lewinsky juga aktif sebagai aktivis anti-buli siber kerana mahu membantu mangsa buli lain menghadapi situasi memalukan seperti dihadapinya sebelum ini.

Sehingga hari ini, Clinton masih belum memohon maaf secara peribadi terhadap Lewinsky berkenaan episod gelap yang hampir-hampir memusnahkan karier politiknya dan kehidupan masing-masing. Pada awal tahun lepas, beliau dikritik oleh ramai pihak selepas menyatakan dirinya tidak berhutang permohonan maaf dengan Lewinsky semasa ditemubual koresponden Today untuk NBC News, Craig Melvin. Bila ditanya sama ada Clinton seharusnya memohon maaf secara peribadi terhadapnya, dalam eseinya Lewinsky merasakan ia seharusnya dilakukan kerana itu menjadikannya individu yang lebih baik dan masyarakat amnya.

RUJUKAN:

1. Chiu, Allyson. (2018). ‘Bill Clinton should want to apologize’: Monica Lewinsky opens up about scandal in new documentary. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/nation/2018/11/14/bill-clinton-should-want-apologize-monica-lewinsky-opens-up-about-scandal-new-documentary/?utm_term=.91a1c7d49161

2. Wagner, John. (2018). Bill Clinton: ‘I wouldn’t’ handle Lewinsky scandal any differently today. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/politics/bill-clinton-i-wouldnt-handle-lewinsky-scandal-any-differently-today/2018/06/04/0702b386-67f2-11e8-bea7-c8eb28bc52b1_story.html?utm_term=.ce04279bbca6

3. History. (2019). Monica Lewinsky Scandal. https://www.history.com/topics/1990s/monica-lewinsky

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.