Hubungan Orang Melayu-Orang Asli Dalam Sejarah

476

Tidak dapat dinafikan bahawa orang Melayu adalah pribumi di Asia Tenggara khasnya di Malaysia seiring dengan kewujudan satu kelompok manusia yang dipanggil sebagai ‘Orang Asli’ di negara kita. Selain dari bukti linguistik, sebagai contoh bahasa orang Jakun serumpun  dengan bahasa Melayu, bukti genetik juga membuktikan bahawa orang Melayu dan Orang Asli juga memiliki ‘hubungan darah’ sebagaimana rumusan oleh Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, seorang pakar kajian genetik di Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis, Universiti Sains Malaysia:

“Apabila membuat kajian DNA berkenaan, kita temui sesuatu yang hampir sama dalam DNA orang Melayu dan Orang Asli Semang yang menandakan kedua-dua masyarakat ini berada dalam rumpun yang sama, sekali gus menjadikan Melayu sebagai bangsa yang sangat tua dari Kepulauan Melayu.” – (Prof Madya Dr. Zafarina Zainuddin, dipetik dari “Melayu,Orang Asli Satu rumpun”, Siti Haliza Yusop, Berita Harian)

Secara umumnya terdapat tiga kumpulan utama Orang Asli di Semenanjung Malaysia iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Melayu Asli (Aborigine Malay) yang dibezakan melalui bahasa, kebudayaan, cara hidup serta ciri-ciri fizikal. Daripada tiga kumpulan utama ini terbahagi pula suku kaum yang kecil.

Suku Senoi merupakan suku yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Suku Senoi terdiri daripada Temiar, Semai, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mah Meri. Kumpulan Melayu Asli pula merangkumi Temuas Belandas, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala atau Laut. Dalam kumpulan Semang (Negrito) terdapat suku Kintak, Kensiu, Jahai, Mendriq, Batek dan Lanoh. 

Kesimpulannya, terdapat 3 kumpulan besar Orang Asli di Malaysia:

1) Semang (Negrito)

2) Senoi (Aslian)

3) Melayu Asli (Proto-Melayu/Aborigine Malay)

Hubungan yang umum di antara orang Melayu dan kelompok Orang Asli ini ialah pertukaran hasil hutan dengan produk orang Melayu seperti kain, senjata, garam dan sebagainya. Terdapat juga hubungan perkahwinan sesama orang Melayu dan Orang Asli.

Di sana memang terdapat beberapa riwayat lisan yang mengandungi isu hubungan orang Melayu dan Orang Asli, namun dalam tulisan ini saya ingin membandingkan dua riwayat yakni ‘Riwayat Melayu Kinta’ dan ‘Legenda Mawas &  Siamang’. Kedua-dua riwayat lisan ini dipilih kerana mengandungi banyak maklumat berharga berkenaan hal-ehwal kehidupan orang Melayu dan Orang Asli pada masa silam.0

1)  Riwayat Melayu Kinta

Legenda ini menceritakan asal-usul hubungan orang Melayu yang digelar ‘Orang Baruh’ dan Orang Asli yang digelar ‘Orang Darat’.

Legenda ini menyebutkan bahawa pada masa dahulu orang Melayu dan Orang Darat tinggal bersama di satu tempat. Kemudian terjadinya banjir besar, yang mana kedua-dua puak ini lari menyelamatkan diri masing-masing dari bencana itu. Orang Melayu menyelamatkan diri ke kawasan rendah, atau disebut sebagai ‘baruh’, maka dari sini Orang Darat memanggil mereka sebagai Orang Baruh. Sebaliknya oleh kerana Orang Darat bergerak ke kawasan pedalaman maka sebab itulah mereka digelar Orang Darat.

Setelah beberapa lama, akhirnya banjir itu surutlah. Maka kedua-dua puak tadi bertemu kembali dan bersama-sama membuat satu perayaan. Dalam perayaan itu, satu pertandingan berenang diadakan di sebuah tasik di mana setiap seorang perenang dari puak masing-masing akan berenang sambil memegang satu surat, ‘manuskrip’ atau inskripsi yang menyimpan maklumat asal-usul mereka. Namun apabila kedua-duanya sampai ke tengah tasik, ribut petir telah melanda dan surat yang dipegang oleh perenang Orang Darat telah hilang dalam ribut itu.

 Ini menyebabkan Orang Darat kehilangan warisan bertulis mereka. Sebaliknya Orang Baruh masih mengekalkan surat mereka maka sebab itulah keturunan Orang Baruh lebih cerdik dari keturunan Orang Darat. Dengan ini Orang Baruh perlulah selalu menjenguk Orang Darat atau menjaga mereka manakala Orang Darat pula perlu memberi bantuan kepada Orang Baruh.

2) Legenda Mawas & Siamang

Legenda ini didapati dari Orang Semang (dipercayai Orang Lanoh) di Ijok, Selama dalam negeri Perak, ia dikumpulkan oleh I.H Evans pada tahun 1913. Menariknya menurut Paul Schebesta, seorang pengkaji, legenda ini turut dikongsi oleh orang orang Jahai di Perak dan orang Kintaq di Kedah. Namun ada sedikit variasi, contohnya yang membakar rumput itu ialah Raja Beruk:

Suatu hari raja kepada mawas yakni Raja Mawas, bertempur dengan raja kepada siamang yakni Raja Siamang, di negara tempat nenek moyang kami tinggal. Nenek moyang kami melarikan diri dari tempat itu, ketakutan akibat perang itu, dan menyembunyikan diri di dataran yang diliputi oleh rumput. Raja Mawas mengalahkan Raja Siamang dan kemudiannya, bersama-sama rakyatnya, melarikan diri dan bersembunyi di dataran yang sama dengan nenek moyang kami bersembunyi. Raja Mawas datang dan membakar rumput di dataran itu, dan Raja Siamang dan pengikutnya melarikan diri dan melintasi Sungai Perak. Nenek moyang kami tidak melarikan diri, menyembunyikan diri dalam lubang landak, untuk menyelamatkan diri dari api. Walaupun demikian, api itu menghampiri mereka dan membakar rambut mereka, dan itulah sebabnya mengapa kami, keturunan kami, mempunyai rambut keriting hingga ke hari ini.

Selepas perang berakhir, raja segala beruk yakni Raja Beruk, menjadi hakim antara puak siamang dan puak mawas, dan dia memberikan penghakiman bahawa siamang harus berdiam di tepi selatan Sungai Perak dan mawas di sebelah utara; dan dengan demikianlah keadaan mereka sampai ke hari ini, walaupun sebelum ini kedua-dua puak itu tinggal di sebelah utara.

Nenek moyang orang Melayu, ketika peperangan ini terjadi, melarikan diri ke hilir membawa sudu nasi bersama mereka, dan itulah sebabnya orang Melayu menggunakan sudu (senduk) dalam memasak nasi mereka. Nenek moyang kami melarikan diri ke hulu membawa tongkat; dan itulah sebabnya mengapa kita masih menggunakan tongkat untuk menggali ubi di dalam hutan.

Cerita di atas tidak menampilkan kisah orang Melayu pada awalnya, hanya kisah konflik antara puak Siamang dan puak Mawas, serta bagaimana moyang orang Semang menyelamatkan diri. Kemudian barulah muncul kisah orang Melayu yang rupa-rupanya turut menyelamatkan diri daripada peperangan itu. Ini menunjukkan seolah-olah Semang dan Melayu tinggal di tempat yang sama dan terkesan dengan peperangan tersebut.

Analisis Ringkas

Sekarang mari kita analisis maklumat-maklumat menarik dari kedua-dua riwayat lisan ini.

Komuniti

Dalam kedua-dua riwayat, telah disebutkan bahawa orang Melayu dan Orang Asli pernah tinggal dalam satu komuniti atau satu kawasan penempatan.

Bencana:

Dalam Riwayat Melayu Kinta, bencana yang berlaku adalah banjir, manakala dalam Legenda Mawas & Siamang, bencana yang terlibat adalah peperangan.

Tempat Baru:

Dalam Riwayat Melayu Kinta, orang Melayu berhijrah ke kawasan lebih rendah manakala Orang Asli berpindah ke kawasan pedalaman. Dalam Legenda Mawas & Siamang, orang Melayu berhijrah ke hilir manakala Orang Asli berhijrah ke hulu.

Artifak:

Dalam Riwayat Melayu Kinta, kedua-dua kaum, yakni orang Melayu dan Orang Asli memiliki ‘artifak’ berbentuk ‘surat’ yang mengandungi maklumat asal-usul mereka.

Teknologi:

Dalam Legenda Mawas & Siamang, penyebutan tentang senduk nasi dan tongkat itu melambangkan budaya dan teknologi yang diwarisi oleh Semang dan Melayu, di mana orang Melayu mengamalkan budaya pertanian manakala orang Semang mengamalkan budaya mencari hasil hutan.

Kesimpulan

Kewujudan kedua-dua riwayat lisan yang menyebutkan perihal hubungan orang Melayu dan Orang Asli ini membuktikan bahawa orang Melayu adalah pribumi di Malaysia khususnya dan telah pun wujud seiring dengan Orang Asli sehingga rekod hubungan ini dirakamkan dalam riwayat lisan.

Kedua-dua riwayat ini juga jelas menyebutkan asal-usul orang Melayu dan Orang Asli yang dahulunya serumpun atau hidup bersama-sama, kemudian dipisahkan oleh satu kejadian yang merubah faktor sosial, ekonomi dan sejarah kedua-duanya.

Dengan kemajuan dalam pelbagai bidang seperti linguistik, antropologi, genetik dan arkeologi memungkinkan apa yang dirakam dalam kedua-dua riwayat lisan ini memiliki nilai sejarah yang tersendiri.

RUJUKAN:

1. Noraida binti Harun dan Noor Ashikin binti Hamid, Akta orang asli 1954 (AKTA 1954) : Sejauh Mana Melindungi Hak Orang Asli: Satu Kajian Perbandingan, Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin

2. Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, dipetik dari “Melayu,Orang Asli satu rumpun”, Siti Haliza Yusop (2015), Berita Harian

3. Marina Roseman, May, 1979/2003, Malay and Orang Asli Interactions:

Views From Legendary History,  Cornell University

4. Skeat, W. W. 1900 (1967). Malay Magic. New York: Dover.

5. Schebesta, Paul. 1926. “Das Hala- oder Medizinmannwesen bei den Semang auf Malacca,” Jahrbuch of St. Gabriel’s College (1926), Vienna.

6. Schebesta, Paul, 1928 (1973). Among the Forest Dwarfs of Malaya. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

7. Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis, Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s Modern Development, Areca Books, 2005

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.