1. Pasca PRK P078 Cameron Highlands, menyaksikan banyak sekali persoalan tentang kesetiaan, sokongan juga kecenderungan Orang Asal terhadap calon pilihan BN-PAS yang majoriti ahlinya dari kalangan orang Melayu.

2. Ada yang menyatakan bahawa baharu inilah kali pertama Orang Asal diangkat dan diberi perhatian. Malah inilah kali pertama ada hubungan jelas kerjasama antara Orang Asal dan Melayu.

3. Sebenarnya, persefahaman dan kerjasama antara Orang Asal dan Melayu sudah bermula sejak sekian lama. Mereka ini sentiasa signifikan di dalam peradaban dan ketamadunan Melayu. 

4. Melayu Proto misalnya, selain Senoi dan Negrito adalah salah satu dari tiga kelompok besar Orang Asal di Tanah Melayu ini. Orang Laut yang merupakan pecahan kecil Melayu Proto ini memiliki jalinan sejarah dan hubungan rapat dengan ketamadunan Melayu.

5. Orang Laut, kelompok kecil di bawah Melayu Proto boleh dipecahkan pula kepada beberapa suku yang mendiami kawasan selatan hingga ke bahagian tengah tanah Melayu. Ini bertepatan dengan taburan penempatan termasuklah suku Seletar, suku Kuala atau suku Kanaq, seperti dalam rujukan JAKOA.

6. Sebenarnya, prospek dan kelebihan Orang Laut atau ditulis sebagai Celates (Orang Selat) di dalam rujukan Portugis telah dikenalpasti orang Melayu seawal zaman Sriwijaya lagi.

7. Seperti dinyatakan oleh Wolters (1967), Orang Laut inilah yang berkhidmat untuk kerajaan Sriwijaya bagi memandu dan mengepalai, menggesa gerombolan kapal-kapal dagang asing yang melalui Selat Melaka untuk singgah ke pelabuhan-pelabuhan negeri yang bernaung di bawah Sriwijaya.

8. Kelebihan Orang Laut memahami selok belok kelautan dan kawasan Selat Melaka menjadikan mereka antara aset penting Sriwijaya untuk terus mengawal sekaligus menguasai laluan laut yang penting, menghubungkan dunia Barat dan Timur itu.

9. Kesetiaan Orang Laut ini untuk terus berkhidmat di samping pemerintah dan Raja Melayu berterusan sehinggalah Parameswara menaiki takhta di Palembang. Baginda yang kemudiannya terpaksa melarikan diri ke Temagi sebenarnya telah dibawa dengan selamat di bawah kawalan oleh Orang laut, seperti yang dicatatkan oleh Eredia (1613). 

10. Malah, Cortesao (1990) dan Barros (1777) juga menulis bahawa Celates inilah yang membuat tinjauan awal mencari tanah sesuai untuk membuka negeri selepas Paramesawara lari dari Temagi ke Muar dan kemudian ke Melaka. Mereka juga dikatakan telah bertanggungjawab mencadangkan kepada Parameswara bahawa Melaka adalah tempat paling sesuai untuk membuka kerajaan.

11. Ini selepas Orang Laut juga memberi syor bahawa Melaka adalah kawasan yang sesuai untuk pelabuhan dan kapal dagang singgah, selain memiliki tanah yang subur dan banyak sekali tanaman untuk dijadikan makanan.

12. Semenjak itu, Orang Laut terus bekerjasama rapat dengan Raja Melayu. Mereka sama-sama membangunkan Melaka, malah berkahwin pula dengan keturunan Raja-Raja Melayu dan Melayu kebanyakan. Hubungan Orang Asal dengan Melayu bolehlah digambarkan bagai isi dengan kuku.

13. Andaya (1975) ada memetik sumber Tom Pires di dalam Suma Oriental (1515) yang menyatakan bahawa Laksamana dan Bendahara Melaka juga adalah berketurunan Orang Laut, hasil perkahwinan antara mereka dengan pembesar Melayu di Melaka ketika itu. 

14. Orang Laut ini juga menganggotai angkatan tentera Melaka malah berkhidmat sama mempertahankan Melaka sehingga Portugis datang menjajah.

15. Perkataan Celates disebut juga di dalam ‘Portuguese Documents on Malacca from 1509 to 1511’ sebagai pencipta racun berbisa untuk anak panah dan mata sumpit oleh pertahanan Melaka ketika serangan Portugis.

16. Ilmu toksikologi ini sangat tinggi hinggakan ia asalnya tiada ubat, kecuali dengan ehsan Orang Laut itu juga maka baharu ia boleh diubati.

17. Kepercayaan Sultan Mahmud pemerintah Melaka terhadap Orang Laut ini berterusan apabila mahukan Orang Laut sendiri untuk membawa baginda keluar dari Melaka ke Johor selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511.

18. Semasa kerajaan Johor-Riau wujud, kemudian mengecap kemakmuran, dan ketika Perang Tiga Segi melawan Acheh dan Belanda merebutkan kawalan mutlak ke atas Selat Melaka, Orang Laut terus setia di samping Raja Melayu, Sultan Mahmud ketika itu. Sesuai dengan namanya, Orang Laut begitu gah di laut, yang merupakan rumah mereka.

19. Orang Laut ini jugalah yang membantu Johor untuk terus memliki kelebihan dan mengugut Belanda supaya tidak campur tangan dalam urus tadbir kerajaan Johor-Riau atau melakukan provokasi sebarangan terhadap kapal-kapal milik kerajaan Johor-Riau ketika itu.

20. Bahkan, Andaya (1975) berpendapat, jika tanpa bantuan Orang Laut, mustahil pakatan Johor-Belanda dapat merampas Melaka dari tangan Portugis pada 1641, termasuklah mengangkat Johor untuk menyaingi Jambi dalam peperangan antara keduanya sekitar 1660-an hingga 1670-an.

21. Sehinggalah Sultan Mahmud II dibunuh di dalam peristiwa ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ Orang Laut terus setia di sisi Raja Melayu sehingga ke akhir hayatnya.

22. Begitulah bagaimana akrabnya hubungan antara Melayu dan Orang Asal di Tanah Melayu.

23. Malah jika diteliti, YB Ramli Mohd Nor, ahli Parlimen Cameron Highlands yang baru dipilih kelmarin adalah merupakan seorang anak jati Semai. Beliau yang juga seorang mantan ACP atau Ketua Polis Daerah sebenarnya meneruskan legasi suku Semai yang ada reputasi menggerunkan.

24. Manakan tidak, suku Semai adalah antara suku yang paling besar keanggotaannya di dalam pasukan Senoi Praaq, satu unit elit pasukan keselamatan negara yang terdiri dari Orang Asal, membantu kerajaan dan rakyat Tanah Melayu semasa era Darurat dan ancaman Komunis yang datang dari hutan.

25. Sumbangan anak Semai dan lain-lain Orang Asal di dalam pasukan elit ini berfungsi seawal 1946 lagi selaku mata dan telinga kerajaan, menyalurkan maklumat tentang pergerakan komunis di dalam hutan Tanah melayu ketika itu.

26. Reputasi dan potensi mereka asalnya dicungkil pelatih SAS British, hinggalah mereka kemudiannya dipercayai dan dihormati untuk kemudiannya diberi tanggungjawab untuk sama bertempur menentang Komunis, sekaligus menyelamatkan rakan mereka yang diculik atau yang cenderung untuk menyokong Komunis.

27. Anggota Senoi Praaq yang sejak azali memiliki keistimewaan untuk mengadaptasi dengan persekitaran hutan dilihat memiliki kelebihan untuk mengenalpasti kedudukan Komunis di dalam hutan Malaya. Kemahiran mereka memburu, menghidu, memerhati, menjejak dan mengesan kedudukan Komunis mendapat pengiktirafan SAS dan pastinya amat menakutkan Komunis. Manakan tidak, hutan adalah rumah dan taman permainan Orang Asal ini sejak dilahirkan lagi.

28. Anggota Senoi Praaq diberikan kebebasan untuk mengekalkan cara mereka bekerja di dalam hutan, namun dibekalkan dengan uniform bagi menggantikan pakaian asal, diberikan senjata bagi menggantikan sumpit malah dibekalkan juga ransum tempur sama seperti anggota tetap lain.

29. Begitulah, sumbangan Orang Asal dalam ketamadunan Melayu adalah satu sejarah panjang dan unik. Keakraban ini berterusan sejak mulanya peradaban di Tanah Melayu hinggalah negara Malaysia ini merdeka juga akhirnya dengan keringat, darah dan air mata Orang Asal.

30. Jasa mereka banyak sekali dalam puas menabur bakti, menyerah raga dan membayar nilai kebebasan ini dengan nyawa mereka sendiri. Mereka ini lebih cekap, arif dan lebih tahu menghidu dengan cekap, siapa lawan dan siapa kawan.

RUJUKAN:
1. Jane Kate Leonard (1984). Wei Yuan and China’s Rediscovery of the Maritime World

2. Andaya, L. Y. (1975). The Kingdom of Johor, 1641-1728: A study of economic and political developments in the Straits of Malacca

3. (1944). The Suma oriental of Tomé Pires : an account of the East, from the Red Sea to Japan, written in Malacca and India in 1512-1515; and, the book of Francisco Rodrigues, rutter of a voyage in the Red Sea, nautical rules, almanack and maps, written and drawn in the East before 1515

4. Barnard (2007). Celates, Rayat Laut, Pirates: The Orang Laut and Their Decline in History

5. https://www.jakoa.gov.my/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.