Moving Forward As One

HSR Indonesia Sudah Hampir Siap…

1,411

PayLater by Grab

Setiap kali melihat keretapi pe.lu.ru di Jepun, ia mengundang rasa sayu dalam hati penulis. Yalah, hasrat untuk menaiki keretapi High Speed Rail (HSR) Malaysia-Singapura tidak kesampaian selepas pihak kerajaan membatalkan projek tersebut atas alasan isu kewangan. Tatkala orang Malaysia dan Singapura kempunan merasa HSR, Indonesia pula sedang sibuk membina HSR yang bakal menjadi realiti pada akhir tahun hadapan.

Perancangan membina landasan Shinkansen versi Indonesia ini sebenarnya sudah bermain dalam benak para pemimpin Jakarta selama bertahun-tahun. Tetapi pada tahun 2008, barulah cadangan ini dipertimbangkan secara serius di peringkat kerajaan. Dan pada tahun 2015, ia akhirnya menjadi realiti apabila Presiden Joko Widodo atau Jokowi menjemput bidaan dari pihak Jepun dan China untuk melobi HSR mereka untuk dipertimbangkan untuk projek HSR Jakarta-Bandung.

Bagi Jepun, mereka sudah lama berangan mengeksport teknologi Shinkansen mereka ke Indonesia sejak tahun 2008. Malah, mereka menawarkan pelbagai insentif untuk mendorong Jakarta memilih mereka sebagai pemain utama pembangunan HSR seperti pembiayaan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan teknologi keretapi laju yang terkini.

Bagi Jakarta sendiri, projek HSR diibaratkan muncul tepat pada masanya dan mereka berharap ia dapat menghubungkan Jakarta dengan Surabaya di Pulau Jawa. Sekiranya ia dapat dilaksanakan, ia dapat menyelesaikan isu kesesakan penumpang dan kargo yang menghantui perkhidmatan keretapi konvensional. Keadaan ini hampir sama disaksikan di Pulau Honshu, Jepun sebelum HSR diperkenalkan pada pertengahan tahun 60-an.

Keyakinan Jepun semakin bertambah apabila mereka membentangkan cadangan baru pembinaan Shinkansen kepada Jakarta. Menerusi cadangan ini, HSR akan dibangunkan mengikut beberapa fasa dengan fasa pertama memberi fokus kepada laluan Jakarta-Bandung. Fasa ini dijangka memakan kos 50 trilion rupiah tetapi dapat memendekkan masa perjalanan dari tiga jam kepada 35 minit.

Bagaimanapun, semua itu berubah apabila tampuk pemerintahan Indonesia beralih dari Susilo Bambang Yudhoyono kepada Jokowi pada 2014. Pada awalnya, beliau mengambil keputusan untuk membatalkan projek tersebut atas alasan kos HSR itu bakal memberi tekanan kewangan kepada Jakarta.

Ini kerana kos yang dikenakan Tokyo untuk projek berkenaan ialah sebanyak AS$6.2 bilion. Bagi Jokowi, dana sebegitu boleh disalurkan untuk kerja-kerja pembangunan di luar Pulau Jawa daripada digunakan untuk HSR. Beliau merasakan kos perlu menjadi faktor utama HSR untuk menjustifikasikan kewujudannya.

Peluang ini segera direbut China semasa Presiden Indonesia itu mengadakan lawatan ke Beijing pada Mac 2015. Dalam pertemuan Jokowi dengan Presiden Xi Jingping, Presiden China menyatakan sokongan terhadap projek HSR Indonesia. Minat itu kemudiannya diterjemah dalam bentuk bidaan rasmi oleh Beijing pada April tahun sama, satu perkara yang kurang disenangi Perdana Menteri Jepun ketika itu, Shinzo Abe.

Selepas menilai semua bidaan yang dikemukakan Beijing dan Tokyo, Indonesia akhirnya memilih bidaan China pada September 2015. Sebabnya mudah sahaja, faktor kewangan. Menurut penganalisis pasaran, kesediaan China menanggung risiko kewangan untuk menjayakan projek tersebut dengan kos AS$5.5 bilion sudah cukup menyakinkan Jakarta untuk memilih mereka sebagai pembina HSR Indonesia.

Selain membantu dari segi kos kewangan, China turut bersedia membentuk kerjasama dengan firma-firma Indonesia untuk menghasilkan stok landasan, gerabak keretapi, landasan elektrik dan sistem aliran ringan. Ia bukan saja untuk tujuan eksport tetapi satu peluang perkongsian teknologi keretapi dengan negara-negara ASEAN lain.

Begitupun, projek HSR Indonesia ini tidak bermakna ia bebas daripada sebarang permasalahan. Contoh paling mudah, isu pengambilalihan tanah. Setahun selepas China dipilih sebagai pembina HSR, lima warganya ditahan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma semasa meninjau tanah kawasan tersebut.

Ramai penganalisis melihat penahanan tersebut sebagai manifestasi ketidakpuasan hati Ten.te.ra Udara Indonesia terhadap kerajaan kerana perlu menyerahkan sebahagian tanah pangkalan untuk dijadikan salah satu stesen HSR. Selain pihak ten.te.ra, ramai penggubal undang-undang ketika itu menggesa perjanjian tersebut dikaji semula atas faktor keselamatan negara.

HSR Indonesia turut dibelenggu dengan isu kelewatan akibat pandemik Covid-19. Kelewatan ini menyaksikan pihak pemaju iaitu PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) berdepan kekurangan tenaga buruh untuk melengkapkan pembinaan mengikut jadual akibat penutupan pintu sempadan antarabangsa. Selain itu, KCIC turut berdepan risiko pertambahan belanja diperlukan untuk menyiapkan HSR mengikut tarikh baru iaitu akhir tahun hadapan.

KCIC berharap dana tambahan dapat disumbang oleh China tanpa membebankan pihak Indonesia. Dengan pelbagai isu yang melanda KCIC, wujud khabar angin Jokowi bakal mempertimbang penyertaan semula Jepun dalam projek berkenaan. Bagaimanapun, KCIC memberi jaminan projek HSR berada di landasan tepat dan dapat disiapkan menjelang akhir tahun hadapan.

Di sebalik pelbagai cabaran yang timbul, HSR tetap berjalan kerana ia dilihat sebagai cara memodenkan sistem pengangkutan Indonesia. Bagi Menteri Hal Ehwal Pelaburan dan Pengaturan Maritim, Luhut Pandjaitan, HSR dilihat sebagai solusi ideal untuk memenuhi keperluan pengangkutan warga Indonesia di Pulau Jawa.

Alangkah baik mentaliti ini dimiliki oleh para pemimpin kita tatkala HSR dibadai cabaran semasa hendak melaksanakannya. Tetapi itulah, yang dijaja sebagai alasan penangguhan dan pembatalan ialah hutang, hutang dan hutang. Akhirnya yang rugi ialah anak-anak watan kerana tidak dapat menikmati limpahan ekonomi dan teknologi yang dibawa menerusi projek HSR Malaysia-Singapura.

Dan kini, Indonesia yang bakal menempa sejarah sebagai pemilik HSR pertama Asia Tenggara…

RUJUKAN:

Parlina, I dan Afrida, N. (2016). High-speed rail plan hits another snag. The Jakarta Post.

Reuters. (2021). Indonesian companies ask China to up stake in high-speed rail project.

Tiezzi, S. (2015). It’s Official: China, Not Japan, Is Building Indonesia’s First High-Speed Railway. The Diplomat.

Hussain, Z. (2015). Jakarta mulls high-speed rail system. The Jakarta Post.

Ruangan komen telah ditutup.