Hospital Mental Asakura – Hospital Paling Berhantu Jepun

3,392

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Bagi yang gemar mencari dan mengenali fenomena paranormal (bahasa lain untuk hantu), antara tempat yang menjadi pilihan ialah hospital lama dan terbiar. Hospital menjadi pilihan kerana ini antara tempat di mana manusia ma-ti, kadang-kadang dalam keadaan menyedihkan atau menya-kitkan. Di Jepun, terdapat sebuah hospital lama yang dilabel hospital paling menyeramkan di negara itu iaitu Hospital Mental Asakura.

Hospital ini kalau dipandang dari luar.

Semasa ia masih beroperasi, hospital yang terletak di Kasukabe, Saitama itu mempunyai reputasi menerima sesiapa yang tidak dimahukan sebagai pesakit mental. Ini termasuk pesakit-pesakit yang ditolak oleh hospital-hospital lama mereka, individu yang datang dari latar belakang keluarga tiada kasih sayang dan golongan gelandangan.

Apa yang berlaku di Asakura bukan satu perkara baru, malah dianggap normal bagi hospital-hospital mental Jepun dari tahun 50-an hingga 80-an. Ia didorong oleh beberapa faktor iaitu pertama, pemikiran pertahanan sosial. Bagi warga Jepun, dengan menempatkan golongan-golongan ini di hospital-hospital mental, mereka tidak akan membah-ayakan masyarakat dan menambahbaik kesihatan mental masyarakat.

Hakikatnya, mentaliti pertahanan sosial yang dijaja Jepun dalam tempoh itu lebih kepada diskriminasi golongan minoriti terutama golongan orang kelainan upaya (OKU). Selain itu, mentaliti ini turut memperlihatkan betapa perlahannya Negara Matahari Terbit beradaptasi dengan perubahan dalam dunia perubatan. Misalnya pada tahun 60-an, kebanyakan negara-negara perindustrian mula mengurangkan bilangan pesakit mental selepas pembangunan ubat skizofrenia dan kemurungan yang membolehkan pesakit-pesakit ini kembali bersama masyarakat.

Menerusi perkembangan ini, bilangan katil di hospital mental AS berkurangan daripada 600,000 pada pertengahan 60-an kepada 90,000 pada 2000. Negara-negara blok Kesatuan Eropah (EU) turut mengikut jejak langkah mereka dan menubuhkan pelbagai kemudahan kebajikan seperti bengkel dan rumah berkumpulan bagi membolehkan pesakit-pesakit ini dapat hidup di luar hospital.

Tetapi di Jepun, kapasiti katil bertambah dari 85,000 kepada 340,000 menjelang tahun 80-an. Dan ini membawa kepada sebab kedua iaitu pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Pada tahun 1951, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan menerbitkan laporan yang bertajuk “Isu dan Keadaan Terkini Kesihatan Mental Jepun”.

Dalam laporan tersebut, Tokyo menyifatkan pesakit mental sebagai beban kepada ekonomi negara dalam banyak segi. Ini termasuk mengehadkan kapasiti unit keluarga, mudah terjebak dengan jenayah, kekurangan tenaga buruh dan isu pengangguran. Jepun menyifatkan dengan mengurung pesakit-pesakit mental dalam institusi kesihatan mental, ia membolehkan penjaga mereka terlepas daripada beban itu dan boleh keluar bekerja.

Jepun juga melihat dengan membuka hospital-hospital mental di kawasan luar bandar, ia mengelakkan ramai penduduk kawasan itu daripada berhijrah ke bandar. Ini kerana hospital-hospital sebegini menawarkan peluang pekerjaan dan gaji berpatutan kepada penduduk luar bandar. Sehingga 2014, kawasan luar bandar seperti Kyusyu, Shikoku, dan Toukoku mempunyai bilangan pesakit mental yang tinggi mengikut bilangan katil per kapita.

Ketiga, terlalu bergantung kepada hospital mental swasta. Bagi menampung permintaan hospital mental terutama di luar bandar, kerajaan menawarkan pinjaman dengan kadar faedah rendah kepada pihak swasta. Ini mengakibatkan lambakan hospital mental di Jepun dengan 80% hospital mental di sana dikendali oleh pihak swasta.

Lambakan sebegini menyukarkan kerajaan memantau operasi mereka lebih-lebih lagi cara pengurusan pesakit yang tidak beretika dan melanggar hak asasi manusia. Selain itu, wujud mentaliti dalam kalangan para doktor bahawa membuka hospital mental jauh lebih menguntungkan daripada membuka hospital biasa. Justeru, kebanyakan hospital mental yang dikendalikan pihak swasta lebih bersifat keuntungan daripada bersifat menjaga kebajikan pesakit mereka.

Dan Asakura dianggap contoh terbaik sikap cuai dan tamak hospital-hospital swasta ini. Pesakit diperlakukan seperti banduan penjara dan dirantai pada dinding. Jika diberi makan sekalipun, ia diberi dalam bentuk tiub IV yang mengakibatkan kegagalan organ kepada pesakit sekaligus kema-tian.

Tetapi jika mereka dibawa ke ruang bawah tanah hospital, lupakanlah untuk mengetahui sama ada mereka masih hidup atau tidak. Penduduk yang tinggal berhampiran dengan Hospital Asakura memberitahu sesiapa saja yang dibawa ke ruang bawah tanah akan keluar dengan beg may-at.

Dengan ruang bilik yang kecil dan sempit, keadaan pencahayaan yang buruk dan bantuan staf yang sedikit, persekitaran sebegini hanya memburukkan keadaan pesakit. Justeru tidak hairanlah dalam sesetengah kes, ada yang memilih menamatkan riwayat mereka sendiri. Pada mereka, lebih baik kembali ke negeri cacing daripada terus kekal dalam hospital itu yang dipanggil neraka dunia.

Berdasarkan laporan siasatan pihak berkuasa, 40 pesakit ma4ti semasa di bawah jagaan Hospital Asakura. Semua ini berpunca daripada kekurangan staf tetapi ramai percaya mereka sebenarnya mengekalkan pesakit sampai ma-ti bagi membolehkan akses wang ke akaun pesakit diteruskan. Dari situ, ia boleh digunakan untuk membiayai gaya hidup mewah doktor dan staf-staf hospital.

Atas sebab inilah, pakar psikiatri Toshio Fujisawa pada 2001 mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya satu kes seperti Asakura di setiap wilayah Jepun. Hospital-hospital ini disyaki berlaku ke-jam terhadap pesakit mereka termasuk menafikan hak asasi mereka.

Sunyi…

Sejak ditutup pada Julai 2001, ia menjadi tumpuan kumpulan penyiasat paranormal dan penjelajah bandar. Bagi sesiapa yang mempunyai kecenderungan buat langkah seribu, lupakan sajalah niat nak meneroka Hospital Asakura terutama ruang bawah tanah. Di ruang itulah, banyak aktiviti paranormal dilaporkan seperti bunyi objek berat melanggar dinding, suara dan kelibat bayang-bayang yang melintasi setiap pintu.

RUJUKAN:

Matsubara, H. (2001). Psychiatric care still mired in Dark Ages. The Japan Times.

HidingFromJapaneseGhosts.com. Hospital Asakura.

Kanata, T. (2016). Japanese mental health care in historical context: why did Japan become a country with so many psychiatric care beds?. Social Work Maatskaplike Werk. Department of Social Work, Stellenbosch University/ Universiteit Stellenbosch

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.