“Terima kasih tuhan, tugasku akhirnya selesai.”

Demikianlah kalimat-kalimat terakhir yang meniti di bibir seorang panglima yang sedang nazak dek cedera parah setelah terkena tembakan peluru musuh sewaktu bertempur. Beliau berkata demikian sebaik sahaja mendapat perkhabaran bahawa angkatan tentera laut musuh iaitu pakatan Perancis-Sepanyol telah berjaya ditewaskan. Berita gembira yang disampaikan itu sekaligus memberi isyarat bahawa kemenangan berpihak kepada angkatan laut British. Tidak lama selepas itu, panglima tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir di bahagian bawah dek kapalnya, HMS Victory.

The Battle of Trafalgar, 21 Oktober 1805 karya Clarkson Frederick Stanfield.

 

Pertempuran yang dimaksudkan  ialah Pertempuran Trafalgar, pertempuran ini tercetus antara angkatan tentera laut British dengan gabungan angkatan tentera laut Perancis-Sepanyol. Pertempuran ini berlaku pada 21 Oktober 1805 yang mengambil tempat di Tanjung Trafalgar, Sepanyol. Pertempuran yang berakhir dengan kemenangan British ini sekaligus meranapkan impian Maharaja Perancis, Napoleon untuk menawan England. Pertempuran ini merupakan kemuncak serta pengakhiran buat karier panglima tersebut yang selama 34 tahun telah berjuang menyumbang jasa serta bakti buat negaranya yang tercinta.

Gaya Kepimpinan yang berkesan serta mempunyai kepakaran dalam menyusun strategi adalah di antara nilai-nilai ketokohan yang ditonjolkan panglima tersebut sepanjang memikul tanggungjawab memimpin armada British. Dibawah kepimpinan beliau, angkatan tentera British berjaya memperoleh kemenangan dalam beberapa siri pertempuran seperti di Nil (1798) dan Trafalgar (1805). Berdasarkan asbab-asbab tersebut, sudah jelaslah bahawa mengapa nama beliau layak dinobat sebagai wira serta diangkat sebagai salah seorang panglima tentera laut terunggul dalam sejarah ketenteraan dunia.

Siapa sebenarnya panglima yang diangkat sebagai wira pe.rang terunggul ini? berdasarkan maklumat latar belakangnya, Nama sebenar beliau ialah Horatio Nelson. Nelson dilahirkan pada 29 september 1758 di Norfolk, England. Beliau merupakan yang keenam daripada 11 orang cahaya mata milik pasangan Edmund Nelson dan Catherine Suckling.

Maurice Suckling, karya Thomas Bardwell, 1764

Nelson dilihat seolah-olah sudah ditakdirkan untuk mengabdikan dirinya berjuang untuk negara dengan berkhidmat di dalam angkatan tentera laut diraja British. Hal ini demikian kerana, Nelson dikatakan menerima pengaruh awal untuk menyertai angkatan tentera laut daripada bapa saudaranya iaitu Maurice Suckling. Maurice Suckling ialah adik kepada ibu Nelson, beliau merupakan seorang pegawai berpangkat tinggi di dalam angkatan tentera laut diraja British. Sebelum menyertai angakatan tentera laut, Nelson menerima pendidikan awal di Paston Grammar School dan di King Edward VI’s Grammar School sehingga berumur 12 tahun.

Menurut catatan sejarah, perjalanan Nelson dalam karier angkatan laut bermula pada 1 Januari 1771, ketika itu dia melaporkan diri ke kapal HMS Raisonnable sebagai seorang kelasi biasa dan pengemudi di bawah pimpinan bapa saudaranya sendiri iaitu Kapten Maurice Suckling. Tidak lama setelah melaporkan diri, Nelson dilantik sebagai kadet bagi memulakan latihan sebagai pegawai. Nelson mendapati bahawa dia menderita penyakit mabuk laut, satu kelemahan yang menghantui sepanjang hidupnya, namun ianya bukanlah suatu penghalang kepada beliau untuk tidak terus berada di dalam angkatan tentera laut. Nelson mengambil masa kira-kira enam tahun untuk dilantik sebagai pegawai.

Sebagai persediaan untuk memantapkan kariernya, Nelson memerlukan banyak pengalaman berkaitan dengan hal ehwal pelayaran. Oleh itu, pada tahun 1771, Nelson telah dihantar ke Hindia Barat khususnya di Jamaica dan Tobago. Disana, beliau berkhidmat sebagai anak kapal untuk sebuah syarikat perkapalan. Sepanjang berkhidmat, Nelson telah memperoleh pelbagai kemahiran baru berkaitan pelayaran seperti cara melabuhkan kapal dan bagaimana untuk menstabilkan kedudukan kapal. Setelah selesai berkhidmat, Nelson kemudiannya kembali ke England pada bulan Julai tahun 1772.

Namun, Nelson masih tidak berpuas hati dan merasa tidak cukup dengan pengalaman pelayarannya sebelum ini. Hal ini demikian kerana, Semangat Nelson untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman baru itu amat tinggi. Semangat ini telah mendorong beliau untuk mencari mana-mana ekspedisi pelayaran untuk beliau sertai.

Pada tahun 1773, Pencarian Nelson akhirnya menemui pengakhiran sebaik sahaja beliau mendapat tahu bahawa terdapat sebuah ekspedisi pelayaran ke kutub utara akan berlayar tidak lama lagi. Pelayaran ini merupakan sebuah ekspedisi di bawah tajaan Royal Society, sebuah institusi yang didedikasikan untuk aktiviti penemuan saintifik. Dipendekkan cerita, Nelson memujuk Kapten yang mengetuai ekspedisi pelayaran tersebut, Kapten Lutwidge agar memberinya kebenaran untuk turut serta berlayar dalam ekspedisi ke kutub utara itu, Kapten Lutwidge akur dengan permintaan Nelson. Ekspedisi tersebut berjalan lancar sehinggalah kapal yang dinaiki mereka terperangkap di atas permukaan laut yang beku. Oleh yang demikian, mereka terpaksa berpatah balik ke England. Kegagalan ekspedisi ini dijadikan pengajaran buat Nelson.

Pada bulan November tahun yang sama, Nelson kemudianya menyertai sebuah lagi ekspedisi pelayaran ke Hindia Timur. Nelson telah ditugaskan untuk berlayar dengan menaiki kapal HMS Seahorse. Ekspedisi kali ini ternyata memberi cabaran serta pengalaman baru buat Nelson. Hal ini demikian kerana, mereka telah dise.r.ang oleh dua buah kapal yang dipercayai milik sebuah kerajaan di selatan India. Kapal-kapal yang meny.era.ng tersebut kemudiannya beredar selepas saling berbalas sera.ngan dengan HMS Seahorse. Insiden se.ran.gan ini merupakan pengalaman pertempuran pertama bagi Nelson. Selain itu, sepanjang tempoh Nelson berlayar di atas HMS Seahorse, Nelson juga berpeluang menambah ilmu kemahirannya berkaitan hal ehwal pelayaran daripada Thomas Surridge, Kapten kapal HMS Seahorse.

Lakaran HMS Seahorse

Beliau kemudiannya menghabiskan sepanjang tahun mengawal konvoi, di mana dia terus mengasah kemahiran navigasi dan pengendalian kapal. Pada awal tahun 1776, Nelson telah dijangkiti penyakit Malaria yang agak teruk sehingga menjejaskan keupayaan tubuh badannya. Oleh itu, beliau direhatkan dari HMS Seahorse dan dibawa pulang ke England pada bulan mac tahun yang sama.

Pada tahun bulan april tahun 1777, sewaktu Nelson berumur 18 tahun. Dengan bantuan serta pengaruh daripada bapa saudaranya, Nelson telah lulus satu ujian untuk naik ke pangkat leftenan. Keesokan harinya Nelson telah ditugaskan untuk menaiki kapal HMS Lowestoffe yang sedang bersiap untuk berlayar ke Jamaica, di bawah pimpinan Kapten William Locker.

Sudah maklum bahawa pada tahun 1775, 13 koloni British di Amerika Utara sedang memberontak dan berjuang menuntut kemerdekaan daripada British. Pemberontakan ini seterusnya melarat sehingga tercetusnya peper.angan. Pe.rang yang kita kenali pada hari ini sebagai per.ang Revolusi Amerika. Ekoran daripada itu, setiap kapal tentera laut British harus memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengekang pemberontakan ini. Tugas yang diamanahkan kepada HMS Lowestoffe pada waktu yang genting ini ialah mengawal keselamatan perairan di sekitar kepulauan Karibean serta perlu merampas mana-mana kapal Amerika yang dijumpai.

Seterusnya, sepanjang menjalankan tugas, HMS Lowestoffe berjaya merampas beberapa buah kapal yang dipercayai milik Amerika. Antara kapal-kapal tersebut ialah kapal yang bernama Little Lucy. Nelson meminta kebenaran daripada Kapten William Locker untuk mengemudi Little Lucy dan permintaannya anak muda itu segera ditunaikan. Ini merupakan pengalaman pertama Nelson mengetuai dan mengemudi sebuah kapal , yang sedikit sebanyak mengasah bakat beliau dalam soal kepimpinan.

Kapten William Locker kagum dengan kemampuan serta bakat pengendalian  kapal  yang ditonjolkan anak buahnya itu, lalu beliau terus mengesyorkan Nelson kepada Sir Peter Parker seorang ketua komander British yang berpangkalan di Jamaica. Sir Peter Parker bersetuju untuk menerima Nelson masuk ke dalam pasukannya menaiki kapal HMS Bristol. Sepanjang berkhidmat dengan HMS Bristol, Nelson telah dinaikkan pangkat ke pangkat kapten, sebuah pangkat yang selayaknya diterima sebagai penghormatan di atas kecemerlangan yang dipamerkan beliau.

Pada tahun 1780, Nasib malang yang dialami sewaktu di Hindia Timur kembali menghantui Nelson. Ini apabila, Nelson sekali lagi jatuh sakit, dipercayai terkena penyakit disentri. Oleh yang demikian, Nelson diberhentikan dari tugasan pada bulan Ogos dan dibawa pulang ke England. Kesihatan Nelson beransur pulih beberapa bulan kemudian dan beliau kembali bersedia untuk menggalas apa jua tugasan yang bakal diamanahkan.

Pada bulan Ogos tahun 1781, Sejurus selepas kesihatannya kembali pulih, Nelson telah dilantik untuk mengetuai sebuah kapal yang bernama HMS Albermale. Nelson diarahkan untuk mempersiapkan HMS Albemarle yang akan berlayar menuju Quebec, Kanada. Tujuan asal  ke perairan Kanda adalah untuk memburu serta merampas mana-mana kapal Amerika yang dijumpai. Namun Nelson dilihat gagal melaksanakan tugas kali ini. Hal ini demikian kerana,  beliau hanya berjaya merampas kembali beberapa kapal komersial British yang ditawan sebelum ini dan merampas beberapa kapal nelayan dan beberapa kapal kecil yang lain. Sepanjang berada di perairan Kanada, Nelson telah menempuhi detik-detik yang mendebarkan seperti dikejar oleh kapal musuh serta mengetuai ser.an.gan darat ke atas kubu Perancis di Pulau Turks. Usai tugasnya, Nelson kembali ke England pada akhir bulan Jun Tahun 1783.

Tercetusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789, telah memberi tugasan baru yang lebih mencabar kepada Nelson di mana tugasan kali ini banyak mengambil tempat di Laut Mediterranean. Antara perakara yang ditugaskan kepada Nelson ialah menawan Pulau Corsica yang pada waktu itu sedang diduduki oleh tentera Perancis, usaha penawanan ini dilancarkan ekoran daripada tindakan Perancis yang merampas pelabuhan British di Toulon yang telah menjejaskan keupayaaan tentera laut diraja British di kawasan perairan sekitar. Oleh itu, bagi menembalikan kekuasaan British di Laut Mediterranean, mereka memerlukan sebuah pelabuhan. Disini, Pulau Corsica dilihat sesuai untuk dijadikan pelabuhan baru buat British.

Nelson kehilangan mata kananya sewaktu bertempur 

Sewaktu bertempur di Corsica, Nelson telah mengalami kecederaan dimana beliau telah kehilangan mata kanannya. Namun, kecederaan itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk terus berjuang. Lukanya segera dibaluti dan Nelson kembali beraksi di medan tempur. Menjelang 18 Julai, sebahagian besar kubu serta kedududkan musuh telah berjaya dilumpuhkan. Akhirnya pulau tersebut berjaya ditawan pada 10 Ogos tahun 1794. Jelaslah bahawa, kecederaan yang dialami Nelson langsung tidak melunturkan semangat beiau untuk terus berjuang buat negaranya yang tercinta.

Pada tahun 1797, Nelson telah diberikan amanah untuk mengetuai kapal HMS Captain di dalam sebuah pertempuran di Cape St Vincent. Pertempuran ini merupakan persaingan yang tercetus diantara armada British dengan armada Sepanyol yang mengambil tempat di perairan Portugal. Kemenangan British dalam pertempuran ini ternyata memberi impak yang positif dalam kehidupan Nelson. Hal ini demikian kerana, Nelson telah dianugerahkan Knight Of The Bath sebagai tanda penghargaan diatas jasa beliau kepada negara. Tidak lama seepas itu, Nelson juga diberikan kenaikan pangkat ke pangkat panglima.

Selepas pertempuran di Cape St Vincent, Nelson mengambil bahagian pula dalam sebuah lagi pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran Santa Cruz de Tenerife. Namun hasil daripada pertempuran ini tidak memihak kepada British. Angkatan tentera laut diraja British tewas kepada tentera Sepanyol yang jauh lebih bersedia serta mempunyai posisi pertahanan yang lebih kuat. Lebih malang lagi, Nelson juga kehilangan lengan kanannya sewaktu bertempur dengan pihak musuh. Kecederaan yang dialami beliau itu memaksanya untuk kembali ke England. Kepulangan Nelson di England disambut meriah oleh rakyat jelata. Beliau disambut sebagi wira berikutan kemenangan bergaya yang diperoleh pada pertempuran di Cape St Vincent sebelum ini. Di England, kecederaan yang dialaminya beransur pulih dan beliau kembali bersedia untuk memikul tanggungjawab yang baru.

Nelson mengalami kecederaan sewaktu pertempuran Santa Cruz de Tenerife.

Pada tahun 1798, Kegiatan Perancis yang mencurigakan di Laut Mediterranean telah menimbulkan kebimbangan di kalangan laksamana-laksamana British. Hal ini demikian kerana, maklumat melaporkan bahawa Napoleon sedang mengumpulkan tenteranya yang berkekuatan kira-kira 40,000 orang di perairan selatan Perancis, namun tujuan Napoleon berbuat demikian tidaklah diketahui.

Oleh yang demikian, Nelson telah dihantar ke Laut Mediterranean untuk memantau gerak-geri serta kegiatan armada Perancis. Namun terdapat satu masalah yang dihadapi oleh pihak British, kedudukan sebenar armada Perancis di Laut Mediterranean adalah tidak diketahui. Misteri kedududkan armada Perancis dilihat menjadi teka-teki yang harus diselesaikan segera oleh Nelson.

Seterusnya, persoalan ini mendorong beliau untuk mula berlayar di sekitar perairan Itali bagi mendapatkan petunjuk akan kedudukan sebenar armada Perancis. Selepas berkali-kali gagal dalam usaha menjejaki armada Perancis. Akhirnya, pada 1 ogos tahun 1798, Nelson akhirnya berjaya menemukan armada Perancis yang sedang berada di Teluk Aboukir, 20 batu timur laut Bandar Iskandariyah.

Dengan penemuan armada Perancis itu, Nelson menyedari bahawa inilah peluang untuk British membantai musuh tradisinya itu. Tanpa berlengah lagi, Nelson segera mempersiapkan armadanya yang berkekuatan 14 buah kapal untuk bertempur dengan angkatan tentera laut Perancis yang berkekuatan 13 buah kapal. Pertempuran ini menyaksikan kekalahan yang teruk di pihak Perancis apabila hampir keseluruhan armadannya berjaya dimusnahkan oleh British. Manakala di pihak British, kemenangan yang diperoleh kali ini telah meningkatkan prestijnya sebagai kuasa maritim yang hebat serta dapat mengekalkan kekuasaan mereka di Laut Mediterranean buat beberapa tempoh seterusnya. Di atas kejayaan Nelson menewaskan Perancis dalam pertempuran ini, seorang ahli sejarah iaitu Ernle Bradford, menyifatkan pencapaian Nelson kali ini sebagai pencapaian beliau yang terhebat sepanjang kariernya, bahkan lebih hebat daripada kejayaan beliau di Trafalgar.

 

Gambaran pertempuran antara British dan British di Nil

Pada tahun-tahun berikutnya, Nelson masih lagi melibatkan diri dalam aktiviti ketenteraan sehinggalah kepada pengakhirannya di pertempuran Trafalgar. Sebuah pertempuran yang pada hari ini diiktiraf sebagai antara kejayaan terhebat British sepanjang sejarah ketenterannya. Namun bagi Nelson, pertempuran ini merupakan pengakhiran kepada riwayat beliau. Jasa dan pengorban Nelson di Trafalgar cukup besar lantas menjadikan diri beliau sentiasa dikenang sebagai seorang sosok pahlawan serta layak diangkat sebagai salah satu pahlawan paling berani British pernah ada.

Namun, apa yang menjadikan seseorang itu pahlawan? Jawapannya mudah, seseorang akan dinobat sebagai pahlawan hanya dengan meraih kemenangan. Namun bagi Nelson, beliau tidak hanya memenangi pertempuran semata-mata, malah beliau juga melakukan pengorbanan yang besar seperti kehilangan penglihatan, lengan dan akhirnya nyawanya sendiri.

Inilah sekelumit kisah hidup seorang Horatio Nelson, selamanya akan dikenang sebagai panglima terunggul British.

RUJUKAN:

Buku

– Greig, R., Parrett, T., & Bankes, S. (2019). Britain’s greatest victories: Discover the makings of a nation. Future PLC.

Internet

– Encyclopædia Britannica, inc. (n.d.). Horatio Nelson. Encyclopædia Britannica. from https://www.britannica.com/biography/Horatio-Nelson.

– Wikimedia Foundation. (2021, October 2). Horatio Nelson, 1st Viscount Nelson. Wikipedia, from https://en.wikipedia.org/wiki/Horatio_Nelson,_1st_Viscount_Nelson#Wounding_and_death.

– The National Archives | Exhibitions | Nelson, Trafalgar … (n.d.).from https://www.nationalarchives.gov.uk/nelson/gallery2/arctic.htm.

Artikel dikirimkan oleh Fakhry Harraz untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Comments are closed.