Hisashi Ouchi – Kisah Tragis Mangsa Radiasi

8,674

Pernahkah anda menonton satu filem Hollywood yang mana apabila seseorang itu terkena sinaran radiasi oleh elemen-elemen nuklear, dia akan bertukar menjadi seorang hero, mahupun dia akan mendapat satu kuasa baru dan seterusnya menjadi seorang wira yang mampu menentang orang jahat yang terdapat berhampiran dengannya.

Sudah tentu luar dari aspek perfileman, semuanya yang berlaku adalah mustahil dan tidak mungkin berlaku perkara sedemikian di dunia yang nyata. Kali ini saya akan menceritakan apakah kesan-kesan yang terjadi kepada manusia saat mereka terkena sinaran radiasi yang tinggi serta dilemma yang dilalui oleh para perawat dan saintis yang saya fikir melanggar etika kemanusiaan semata-mata disebabkan atas dasar kajian dan menginginkan sesuatu yang baru untuk dipelajari walhal perbuatan mereka itu secara tidak langsung menyeksa pesakit tersebut.

Pada 30 September, 1999. di sebuah tempat bernama JCO Tokaimura Nuclear Plant, seorang pekerja bernama Hisashi Ouchi (Hisashi) sedang menuang beberapa bekas cecair uranium dalam usaha mereka untuk membekalkan minyak supaya loji penghasilan tenaga nuklear ini terus menerus menyumbangkan tenaga untuk beberapa bandar di sekitar satu bandar di Jepun. Satu per satu bekas dituang ke dalam tangki yang bernama precipitation tank.

Walau bagaimanapun, ketika dia sedang menuang bekas ke-7, secara tiba-tiba mereka terdengar bunyi letupan yang kuat beserta dengan api yang menyambar bewarna kebiruan dalam tangki tersebut. Mereka tahu bahawa perkara tersebut terjadi akibat daripada reaksi nuklear yang dinamakan sebagai criticality. Proses criticality ini sangat besar magnitudnya, di mana walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar, mereka tahu bilik tersebut dibanjiri oleh neutron beam, iaitu radiasi yang membawa tenaga yang amat tinggi dan boleh menyebabkan kematian serta merta.

Terdapat 3 orang pekerja di situ, namun saya akan mengutamakan pekerja bernama Hisashi ini yang sedang berada dalam jarak yang paling dekat ketika kejadian ini berlaku. Hisashi cuba melarikan diri daripada ruang berlakunya kejadian itu ke bilik penyalinan pakaian, namun setelah dia sampai ke bilik tersebut, dia tidak semena-mena muntah dan pengsan.

Dia dibawa ke sebuah pusat rawatan bernama National Institute of Radiological Science di mana dia diletakkan di dalam sebuah bilik isolasi. Semasa hari-hari pertama di sana, para perawat langsung tidak dapat melihat apa-apa kesan kepadanya memandangkan tiada bahagian yang melecur atau kulit yang terbakar secara fizikalnya. Apa yang diadu oleh Hisashi hanyalah bahagian tangannya yang sakit serta matanya yang kemerah-merahan.

Kemudian, setelah 6 hari dia dimasukkan ke wad, terdapat beberapa plaster yang dilekatkan di dada Hisashi untuk meletakkan peralatan perubatan untuk memonitor keadaannya. Apabila pelekat itu disiat, kulit Hisashi tertanggal dan melekat di plaster tersebut. Tiada kulit baru tumbuh selepas itu.

Selang seminggu kemudian, para doktor perasan bahawa bahagian tangan dan perutnya mula membengkak. Doktor tahu, itu adalah tanda-tanda organ hatinya mulai gagal beserta ususnya mulai tidak berfungsi dan mati. Semasa itu juga, para doktor sudah pun menerima keputusan yang dihantar oleh makmal genetik di mana mereka mulai melihat DNA milik Hisashi yang didedahkan sebagai sesuatu yang amat mengerikan dan menyeramkan.

Jika anda lihat di dalam gambar ini, anda akan dapati kromosom manusia yang normal adalah yang berada di bawah, manakala kromosom milik Hisashi pula bercelaru dan ada yang terbelah dan ada yang bersambung secara tidak semulajadi.

Sedikit pengetahun am untuk anda semua, bahagian kromosom manusia yang mempunyai 23 bahagian, di mana kepentingan kromosom ini teramat penting bagi pengekalan sistem dan membentuk karakter seseorang dari segi fizikal sperti warna kulit, warna rambut, anak mata, ketinggian dan lain-lain. Satu lagi kepentingan kromosom ini adalah supaya semua sel di dalam bahagian badan kita boleh membahagi dan menggantikan mana-mana sel yang rosak seperti yang terdapat di bahagian kulit manusia itu sendiri.

Ketiadaan kromosom yang normal ini menyebabkan sel-sel di dalam badan seseorang manusia tidak mampu menggantikan mana-mana sel yang rosak. Bermaksud, sekiranya kita terluka ataupun kulit terkoyak, keadaannya akan kekal sebegitu kerana tiada langsung mana-mana sel yang boleh membahagi dan memperbaiki mana-mana sel yang rosak. Setiap sel dalam badan kita pula mempunyai jangka hayat yang tertentu seperti sel kulit yang boleh hidup selama 2-3 minggu, sel darah merah kita yang akan mati dalam 90 – 120 hari, dan untuk sel-sel usus kita pula, jangka hayatnya hanyalah 4 hari sahaja.

Kecuali otak (neuron) dan buah pinggang (nefron) yang tidak mempunyai kebolehan untuk membahagi, sel-sel lain dihasilkan setiap hari bagi mengekalkan integriti sesuatu organisma itu.

Jadi, berbalik kepada kes Hisashi ini, keseluruhan badannya telah pun dilalui oleh sinaran neutron ini, menyebabkan hampir 100% daripada sel badannya mulai mati. Pengambilan darah dan sumsum tulang mendedahkan bahawa sel darah putihnya teramat rendah, serta plateletnya yang jauh berkurangan jika nak dibandingkan oleh orang yang normal.

Ketiadaan sel darah putih menyebabkan pesakit mudah terdedah kepada jangkitan kuman kerana sistem imuniti seseorang pesakit itu berkurangan. Ketiadaan platelet pula akan mengakibatkan pesakit mudah mengalami pendarahan sama ada pendarahan luaran atau pendarahan dalaman. Hisashi dihantar ke wad yang dipanggil clean room di mana bilik tersebut sudahpun disterilkan, serta mempunyai lubang udara yang anginnya ditapis senbagai langkah berjaga-jaga untuk mencegah daripada Hisashi terkena jangkitan kuman.

Pada hari ke-20, kulitnya yang mengelupas dengan teruk mengakibatkan kesakitan yang melampau pada Hisashi. Bukan itu sahaja, para penyelidik hadir menemuinya, kerana sewaktu itu, mereka tidak pernah mendapatkan kes sebegini, jadi Hisashi seperti dijadikan bahan eksperimen, yang mana dalam beberapa hari dia dimasukkan ke wad, pelbagai ujian dijalankan, yang mana sebanyak 30 kali dalam masa 20 hari dia tinggal di wad.

Lebih menyedihkan, Hisashi terpaksa memohon simpati kepada para penyelidik untuk dia tidur tanpa diganggu. Rintihannya untuk diberi kebenaran untuk mati oleh doktor-doktor di sana tidak dipedulikkan.

“Stop testing me, I am in constant pain, and I am not a guinea pig.”

Semasa hari ke 27, dia mulai mengalami pendarahan pada matanya, mulutnya dan seluruh kulitnya hampir tertanggal. Dia mula mengalami cirit-birit di mana najisnya bewarna kehijauan, menunjukkan bahawa sel-sel di dalam ususnya mulai mati dan tertanggal.

Para doktor cuba sedaya upaya untuk mencari dan mendapatkan penderma sumsum tulang beserta kulit untuknya. Malangnya, sel-sel yang baru didermakan ini terus mati. Kulit yang didermakan pula tidak melekat di badannya, sebaliknya terus tertanggal dalam masa kurang 36 jam.

Pada hari ke 50, otot-ototnya mulai mati. Dan otot yang mati ini membebaskan protein bernama myoglobin, yang akan menyebabkan buah pinggangnya gagal. Di diletakkan satu tiub untuk pernafasan, dan rawatan dialisis diberikan.

Amat menyedihakan pada hari ke 57, jantungnya mula berhenti, tetapi diselamatkan pula oleh doktor dengan cara cardiopulmonary resuscitation (CPR). Sebenarnya, apabila dia mulai mencapai tahap sebegini, para doktor sepatutnya hanya membiarkan dia mati dengan tenang, sebaliknya mereka bertungkus lumus untuk menyelamatkannya serta membuat kajian tanpa henti dengan Hisashi yang malang ini.

Hanya setelah hari ke-81 di wad tersebutlah, baru ada doktor yang membenarkan pesakit ini untuk Do Not Resuscitate (DNR). Pada hari ke 82, dia mulai mengalami pendarahan dalaman, serta jika anda nak tahu, para perawat sebenarnya mengetahui bahawa untuk seseorang manusia yang menerima penyakit Acute Radiation Poisoning ini, memang tidak akan ada harapan untuk hidup lama.

Apa yang menghairankan saya adalah sikap segelintir saintis dan doktor yang tidak membenarkan dia mati atas tujuan hendak melakukan kajian. Perbuatan sebegini amat tidak beretika, yang mana pada awalnya ketika Hisashi ingin mati melalui euthanasia, sepatutnya memang sudah jelas dia patut dibiarkan mati dengan cara aman.

Saya tidak boleh bayangkan apabila seseorang itu yang masih hidup di dalam badannya yang mula mereput dan menjadi bangkai. Akhirnya, pada hari ke-83, dia disahkan meninggal dunia.

Saya boleh simpulkan disini mengenai fasa akibat terkena sinaran radioaktif yang mempunyai 3 fasa biasanya, dan kebiasaannya, mangsa dan pesakit akan mati di penghujung fasa ini.

Fasa 1 – Kesan serta merta – pesakit mengalami gejala muntah-muntah, sakit kepala dan keletihan yang berterusan dalam masa 24 – 72 jam selepas terdedah kepada sinaran radiasi ini.

Fasa 2 – Walking ghost phase – iaitu fasa yang menyatakan seseorang pesakit itu hanya mampu untuk hidup kerana walaupun sel-sel mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membaiki, namun sel-sel darah merah yang sedia ada boleh bertahan selama 90 – 120 hari sahaja. Walking ghost ini diberi nama sedemikian kerana mereka tahu, untuk para pesakit yang terkena sinaran radiasi sekuat itu, dia akan maut dalam jangka masa terdekat.

Fasa 3 – Kesan jangkamasa lama – Sekiranya seseorang itu selamat menjalani fasa kedua, kesan jangka masa yang panjang seperti kanser mana-mana organ di dalam badannya dan keadaan tiada imuniti langusng utk pesakit yang mana jika mereka dijangkiti kuman yang begitu sedikit sekalipun akan menyebabkan kematian pesakit.

Jadi, dalam zaman moden ini, kebanyakkan pekerja dan staf hospital terutamanya di jabatan radiologi mempunyai kemungkinan terkena sinaran radiograph yang amat berbahaya, walaupun mereka terdedah kepada sinaran yang teramat kecil, ratusan ribu kali rendah berbanding apa yang dialami oleh Hisashi Ouchi. Itulah sebabnya bagi staf radiologi, mereka mempunyai tag yang menunjukkan berapa banyak pendedahan yang mereka alami sepanjang mereka bertugas di situ.

Pendedahan secara akut (acute) yang terkena pada Hisashi ini membawa kepada acute radiation poisoning manakala pendedahan secara kecil-kecilan pula membawa kepada chronic radiation syndrome, yang membawa kepada komplikasi penyakit-penyakit lain sepert kanser. Jadi, kes-kes sebegini dapat kita simpulkan bahawa faktor keselamatan apabila berurusan dengan elemen-elemen radioaktif ini perlu diperketatkan tak kira sama ada anda di hospital, mahupun di kilang.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.