Kepimpinan Manmohan Singh bermula dengan pembentangan bervisi tinggi. Macam-macam diceritanya, seperti pembaharuan ekonomi ke arah perindustrian pesat dengan menggunakan rizab cukai. Infrastruktur perlu dibangunkan untuk menghubungkan India.

Tetapi pejam celik, 10 tahun berlalu dan visi ini tidak menjadi (Livemint, 2014). Walaupun kadar pertumbuhan India pernah sentuh 9 peratus dibawahnya, taburan ekonomi pula menjadi masalah.

Dengan erti kata lain, harta tidak sampai ke lapisan paling bawah. Bergelumangan pula dengan tuduhan korupsi, kes 2G dan skandal arang batu, kerajaan Manmohan pun hilang populariti. Dan partinya tewas dalam pilihan raya 2014 pada tangan Narendra Modi.

Modi mempunyai bagasi tersendiri. Nama beliau sedikit tercalar akibat rusuhan yang berlaku di Gujarat pada tahun 2002. Rusuhan ini gagal dibendung kepimpinan Gujarat (dibawah Modi ketika itu), sampai banyak berita palsu diuar-uarkan media tempatan yang mendakwa lelaki Islam menculik dan merogol gadis Hindu beramai-ramai (Hibbard, 2010).

Tiada apa lebih merbahaya berbanding berita palsu, tambah jika ada perkelahian dua agama sebegini kerana maruah wanita boleh ditunggang pihak berkepentingan.

Jadi apabila Modi naik, sentimen sama masih berkumandangan dengan ideologi Hindutva menjadi fokus utama. Modi tidak mengasaskan ideologi ini, kerana sudah disebut sejak tahun 1923 lagi (Kulkarni, 2019).

Pada zaman penjajahan British dulu, memang banyak ideologi berhaluan kanan. Hindutva kekal relevan hingga hari ini, dijulang parti Modi iaitu BJP. Dan seperti sedia maklum, apa-apa ideologi haluan kanan akan dituduh fasis oleh pihak kiri (Gonsalves, 2011).

Ada sebab kenapa pihak liberal berpendapat Hindutva membawa panji fasisme. Pertama sekali, ia diasaskan pada tahun 1923.

Bermakna ada 20 tahun sekurang-kurangnya untuk menjadi subur di India, sebelum kebangkitan arus fasisme di Eropah. Apabila Dunia Eropah mula tenggelam dalam arus ini, barulah orang ramai mula mengambil peduli tentang Hindutva.

Jadi dari awal lagi, Hindutva sudah disekutukan dengan fasisme akibat perkongsian fikrah dan fitrah (Leidig, 2020).

Katanya Hindutva menggalakkan sebuah agenda penarafan dalam kalangan masyarakat sosial. Agenda ini mempunyai pendekatan tersendiri melalui program yang dikatakan demi penyatuan masyarakat. Tetapi dalam masa mengusahakan penyatuan, Hindutva menyusun masyarakat semula dengan cara penyisihan darjat.

Kerana Hindutva sedang menubuhkan sebuah majoriti berstruktur… tetapi dibawah panji masyarakat Hindu. Dan ada cabang Hindutva turut menyisihkan golongan wanita, dengan ideologi maskulinisme yang sangat tepu (Shekhar, 2020).

Ada sebab kenapa Hindutva mampu bertahan lama, sedangkan Nazisme mati selepas perginya seorang ketua. Rahsianya adalah pada peletakan ideologi itu sendiri. Nazisme terlalu fokus pada seorang ketua. Hindutva pula memfokus pada pengikut. Di sini Hindutva berbeza dengan Nazisme.

Kerana Hindutva meletakkan negara dan bangsa sebagai faktor kedua. Yang penting bagi Hindutva adalah masyarakat. Tidak kira bangsa Tamil atau Punjab, asalkan beragama Hindu.

Pendekatan ini merelevankan Hindutva yang disokong dalam kalangan masyarakat majoriti. Mereka menjulang Punjab dan Tamil dengan semangat penyatuan… tetapi Punjab dan Tamil yang sama boleh diketepikan kalau mengikuti agama selain Hinduisme.

Memandangkan populasi India mempunyai majoriti Hinduisme sebanyak 80 peratus, ideologi Hindutva teramat subur di sana. Dan satu-satunya cara untuk menandinginya adalah melalui persepsi politik.

Walau bagaimanapun, dengan kem lama Manmohan bergelumangan dengan kontroversi, bukan mudah untuk patahkan semarak api Hindutva. Silap haribulan, parti lawan pun ikut Hindutva untuk menjatuhkan Modi.

RUJUKAN:

Gonsalves, C. (2011). Kaliyug: The Decline of Human Rights Law in the Period of Globalisation. Socio Legal Information. Halaman 272.

Hibbard, S. (2010). Religious Politics and Secular States: Egypt, India, and the United States. Johns Hopkins University Press. Halaman 171.

Kulkarni, P. (2019, Mei 28). How did Savarkar, a staunch supporter of British colonialism, come to be known as ‘veer’? The Wire.

Leidig, E. (2020, Mei 26). Hindutva as a variant of right-wing extremism. Patterns of Prejudice. 54 (3): 215-237.

Shekhar, R. (2020, Januari 14). How the Hindu man’s crisis of masculinity fuels Hindutva. News Laundry.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.