Isu kesihatan mental bukan satu isu baru dan melanda kebanyakan negara dunia termasuk Malaysia. Tetapi ada satu fenomena yang mencetuskan keributan dalam kalangan rakyat Jepun iaitu hikikomori atau pengasingan diri daripada dunia luar.

Mungkin ada anggap perkara ini sesuatu yang kelakar tetapi di Jepun, ia satu masalah yang amat serius kerana ia boleh membawa kepada pelbagai masalah lain seperti mati bersendirian, pengurangan kadar kelahiran dan keruntuhan institusi keluarga.

Hikikomori didefinisikan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan (MHLW) sebagai individu yang mengasingkan diri daripada dunia luar atau tidak meninggalkan kediaman mereka sekurang-kurangnya enam bulan.

Berdasarkan statistik yang direkodkan kementerian, 541,000 orang yang berumur antara 15 hingga 39 tahun memenuhi keterangan ini. Daripada angka tersebut, 34% menghabiskan masa mengasingkan diri selama tujuh tahun atau lebih dengan 29% lagi hidup bersendirian antara tiga hingga lima tahun.

Bagaimanapun, jangan percaya sangat statistik ini kerana kaji selidik tidak mengambil perhatian sesetengah kumpulan umur seperti kumpulan umur 35-39 yang tidak diliputi dalam kajian tersebut. Selain itu, kebanyakan individu ini tiada hubungan dengan pusat perubatan atau pertubuhan sokongan sekaligus menyukarkan usaha kerajaan mendapatkan bilangan data hikikomori yang sebenar.

Ini mendorong kerajaan tempatan melakukan kaji selidik mereka sendiri untuk mengetahui bilangan kes hikikomori yang berlaku di tempat mereka. Pada Mei 2017, kerajaan tempatan Saga mengumumkan mereka mempunya 644 kes hikikomori di mana 70% daripada mereka berumur 40 tahun ke atas dan 36% lagi hidup berasingan selama 10 tahun atau lebih. Justeru, dengan mengambil kira bilangan kes yang tidak diliputi oleh MHLW, bilangan sebenar kes hikikomori di Jepun sebenarnya mencecah sejuta kes.

Hikikomori muncul sebagai fenomena sosial pada tahun 1980-an dan 1990-an yang menyaksikan majoriti hikikomori ialah generasi muda berusia 20-an. Mereka menghabiskan masa terperap dalam bilik dengan menonton televisyen, bermain permainan video/komputer, melayari laman media sosial atau membaca manga.

Mereka enggan ke sekolah atau tempat kerja dan tidak mahu berkomunikasi dengan orang luar. Berdasarkan kaji selidik, satu pertiga daripada kes membabitkan pesakit mental seperti penghidap skizofrenia dan kemurungan, satu pertiga lagi terganggu dengan gangguan pembangunan dan satu pertiga lagi mengalami masalah gangguan personaliti.

Walaupun hikikomori ini dikatakan terpakai kepada kaum Adam, hakikatnya kaum Hawa juga turut terdedah kepada fenomena berkenaan. Berdasarkan kaji selidik stesen televisyen NHK, 53% kes membabitkan lelaki manakala bakinya membabitkan kaum wanita.

Dan dengan fenomena wanita mengasingkan diri di rumah berlaku secara semulajadi, tidak mustahil kes membabitkan kaum Hawa berkenaan hikikomori juga sebenarnya lebih tinggi berbanding yang dilaporkan secara rasmi.

Antara faktor yang mendorong hikikomori ialah stigma sekentei atau reputasi individu dalam sesebuah komuniti dan tekanan yang dirasai bagi mengagumkan orang lain. Lagi lama hikikomori berjauhan daripada masyarakat, mereka juga akan sedar tentang kegagalan sosial mereka.

Kegagalan ini akan menghancurkan saki-baki keyakinan yang masih bersisa dalam diri dan prospek meninggalkan rumah dianggap lebih menakutkan. Sementara ibu bapa pula terlalu berminat menjaga reputasi mereka dan membiarkan masalah ini menjadi lebih parah sebelum akhirnya mendapatkan bantuan. Perkara ini berlaku kepada keluarga-keluarga yang mempunyai latar belakang kewangan dan pendidikan yang baik.

Kedua, soal pergantungan atau amae yang turut mendefinisikan institusi kekeluargaan di Jepun. Mengikut tradisi, wanita muda tinggal bersama keluarga sehinggalah mereka berkahwin sementara lelaki pula tidak akan berpindah keluar dari kediaman keluarga.

Walaupun separuh daripada hikikomori ini boleh berlaku ganas terhadap ahli keluarga mereka, menghalau mereka keluar dari rumah dianggap satu tindakan yang tidak wajar. Bagaimanapun, sebagai tukaran kepada sokongan kewangan yang diberi kepada mereka, ibu bapa mengharapkan mereka menunjukkan rasa hormat dan berusaha mendapatkan pekerjaan yang baik.

Selain itu, stigma masyarakat terhadap mereka sebagai parasit dan tidak menyumbang apa-apa kepada negara dan komuniti turut mendorong mereka menjadi hikikomori. Teori ini dinyatakan oleh Profesor Andy Furlong dari Universiti Glasgow yang mengaitkan pertumbuhan kes hikikomori dengan pecahnya buih ekonomi pada tahun 1980-an dan kemelesetan ekonomi yang melanda Jepun pada tahun 1990-an.

Generasi lama yang menjadi teras kebangkitan ekonomi pada tahun 60-an dan 70-an gagal memahami situasi yang melanda generasi muda hari ini lebih-lebih lagi bagi yang bekerja secara kontrak atau jangka pendek. Dan menurut Furlong, sesetengah keluarga gagal memahami atau mencari jalan terbaik untuk mengendalikan situasi hikikomori.

Di samping itu, kesedaran masyarakat Jepun terhadap isu kesihatan mental masih lagi di tahap rendah. Cubalah cakap berkenaan kesihatan mental di sana dan anda akan dapati ia tidak akan dibincangkan atau dipenuhi dengan stigma-stigma mengarut. Pakar psikiatiri Hiroshi Sekiguchi berpandangan hikikomori merasa malu yang teramat kerana tidak boleh berfungsi seperti orang normal yang lain.

Tambahnya, mereka menganggap diri mereka sebagai tiada nilai dan tidak layak merasa gembira serta merasakan mengkhianati ibu bapa sendiri. Selain itu, stigma hikikomori sebagai sekumpulan individu yang merbahaya, sakit mental atau bebanan sosial kadang-kadang turut mengakibatkan mereka dipandang sepi oleh masyarakat.

Bagi sesetengah orang Jepun, jawapan kepada fenomena ini ialah dengan menjerit, bersyarah dan membuatkan mereka merasa bersalah kerana memalukan keluarga.

Tetapi menurut pakar psikiatiri Tamaki Sato, ia sebenarnya hanya memburukkan lagi keadaan. Ini kerana menurut beliau, ia boleh memusnahkan sebarang bentuk komunikasi yang masih wujud antara ahli keluarga yang terkesan.

Tetapi itu tidak menghalang keluarga mengambil langkah radikal termasuk mengupah syarikat perunding untuk menyerbu bilik hikikomori, memarahi mereka dan mengheret mereka ke asrama sebagai pengajaran.

Tetapi menurut Kazuhiko Saito, Pengarah Jabatan Psikiatiri Hospital Kohnodai di Chiba berpandangan kaedah sebegini selalunya memakan diri dan merenggangkan lagi hubungan keluarga. Ini kerana ada kes di mana pesakit bersikap ganas terhadap keluarga semasa di bawah pemantauan kaunselor atau selepas kaunselor keluar.

Jika masih mahukan pakar kesihatan merawat hikikomori, mereka perlu diberitahu keadaan pesakit sebenarnya dan pesakit juga diberitahu tentang kehadiran mereka lebih awal. Saito menyamakan fenomena ini dengan penyakit alkoholisme (ketagihan alkohol) di mana hikikomori sukar untuk pulih tanpa sebarang sokongan sosial.

Pendekatan Saito untuk merawat mereka bermula dengan menyusun semula bentuk komunikasi antara keluarga. Di sini, beliau memberi beberapa strategi komunikasi bagi membantu ibu bapa cuba berkomunikasi dengan anak mereka.

Apabila pesakit sudah ada kekuatan untuk pergi ke klinik, barulah mereka diberi bantuan ubat-ubatan dan terapi kaunseling. Satu bentuk terapi ialah terapi berkumpulan yang dianggap baru dalam psikologi Jepun tetapi kumpulan-kumpulan sebegini yang menarik mereka keluar dari rumah dan melihat dunia luar.

Biasanya, mereka yang pulih akan mempunyai hubungan yang lebih baik dengan keluarga terutama ibu bapa dan ini sebenarnya baik untuk institusi kekeluargaan Jepun sendiri. Ini kerana situasi ini mendorong mereka bukan saja membuang stigma-stigma mengarut berkenaan kesihatan mental tetapi juga bersikap jujur dan terbuka antara satu sama lain.

Selain Saito, ada juga menawarkan kaedah alternatif untuk membantu hikikomori berhadapan dengan dunia luar. Ada mencadangkan penggunaan permainan realiti maya seperti Pokemon Go digunakan untuk menarik hikikomori keluar dari rumah mereka dan meletakkan sesetengah item istimewa di pusat-pusat rawatan hikikomori.

Ada pula menggunakan permainan video yang memfokuskan kepada kelebihan permainan video berbanding sudut negatif seperti yang dipraktikkan oleh Shinichiro Matsugama. Matsugama merupakan seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Sekolah Perubatan Universiti Keio menubuhkan satu kumpulan sokongan dipanggil Strength Association.

Kumpulan ini memfokuskan kepada kekuatan hikikomori dalam permainan video seperti kerjasama, strategi atau kepimpinan. Menurutnya, fokus kepada aspek-aspek kekuatan ini dilihat bukan saja memberi keyakinan diri kepada hikikomori tetapi juga menyediakan jalan kepada mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Walaupun kaedah ini masih belum terbukti dari segi saintifik, Matsugama mendedahkan 80% hikikomori yang mendapat bantuan Strength Association sudah memulakan langkah kembali ke sekolah, universiti atau mengambil latihan vokasional.

Tetapi hikikomori turut berhadapan masalah lain sekiranya mereka memilih untuk terus hidup berasingan. Satu isu yang dikenalpasti ialah isu kemiskinan yang dihadapi apabila penyokong kewangan mereka meninggal dunia.

Dalam sesetengah kes, ibu bapa atau ahli keluarga yang bersimpati meninggalkan sejumlah besar wang dalam bank atau menjadikan sesetengah hartanah mereka sebagai rumah sewa dengan harapan ia dapat menampung pendapatan hikikomori selepas mereka tiada.

Tetapi hikikomori juga mudah menjadi sasaran kumpulan penjenayah terutama kumpulan penipu kerana mereka tiada asas ilmu kewangan atau sokongan sosial yang diperlukan untuk mengharungi situasi sebegini.

Apa yang dianggap masalah kecil boleh menjadi masalah besar di mana hikikomori yang terkena berpotensi berhadapan tindakan undang-undang jika mereka dianggap bersubahat dalam perlakuan jenayah atau terlibat dengan jenayah ganas.

Dan jangan sangka fenomena ini terpakai eksklusif kepada orang Jepun sahaja. Menurut Saito, fenomena ini juga merupakan satu masalah besar di Korea Selatan dan Itali. Selepas mengambil bahagian dalam satu dokumentari hikikomori terbitan BBC, beliau mendapat banyak aduan dari ramai ibu bapa di Britain yang mendakwa anak mereka mengalami simptom sama seperti hikikomori.

Tambah Furlong, syarat-syarat yang membenarkan kewujudan hikikomori juga sudah wujud di Eropah. Tak percaya? Di sesetengah negara Eropah, kadar pengangguran belia boleh mencecah 50% dan ini mendorong mereka duduk di rumah.

Sementara di negara jiran Korea Selatan, satu kajian pada 2005 mendedahkan 33,000 kes individu yang memilih mengasingkan diri. Dan kes ini semakin banyak berlaku di Amerika Syarikat, Australia, Bangladesh, China, Perancis, Iran dan Sepanyol.

RUJUKAN:

1. Conrad, Anna. (2018). People in Japan are increasingly shutting themselves off from society. GQ Magazine. https://www.gq-magazine.co.uk/article/hikikomori-japan

2. Hammond, Claudia dan Kremer, William. (2013). Hikikomori: Why are so many Japanese men refusing to leave their rooms? BBC. https://www.bbc.com/news/magazine-23182523

3. Gent, Edd. (2019). The plight of Japan’s modern hermits. BBC. http://www.bbc.com/future/story/20190129-the-plight-of-japans-modern-hermits

4. Ishikawa, Kiyoshi. (2017). “Hikikomori”: Social Recluses in the Shadows of an Aging Japan. Nippon.com. https://www.nippon.com/en/currents/d00332/hikikomori-social-recluses-in-the-shadows-of-an-aging-japan.html

5. MacLellan, Lila. (2016). In Japan, hundreds of thousands of young people are refusing to leave their homes. Quartz. https://qz.com/789082/the-hikikomori-problem-in-japan-hundreds-of-thousands-of-young-people-are-refusing-to-leave-their-homes/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.