Hari ini, bergema di serata sudut media sosial bagaimana rakyat melaungkan perkataan “kerajaan sepenggal”. Tidaklah kami ini berminat mahu mengulas mengenai siapakah dan mengapakah laungan kerajaan sepenggal tersebut kedengaran, tetapi laungan tersebut mengingatkan kami kepada sebuah kerajaan sepenggal yang pernah berdiri di Jepun.

Hari ini, parti Liberal Democratic Party (LDP) yang merupakan sebuah parti konservatif-nasionalis yang berhaluan kanan memerintah Jepun. Parti ini boleh diumpakan seperti mana Barisan Nasional kerana sudah lama memerintah Jepun lebih 50 tahun.

Namun, pada tahun 2009, sebuah parti pembangkang iaitu Democratic Party of Japan (DPJ) berjaya menang pilihanraya Jepun mengalahkan parti yang terlalu lama bertakhta ini. Kekalahan ini sangat bersejarah kerana buat kali pertama dalam sejarah Jepun sejak 1955, LDP tewas dalam pilihanraya.

DPJ berjaya menguasai 308 buah kerusi dalam parlimen Jepun. 193 buah kerusi berjaya dirampas oleh DPJ. LDP pula kehilangan 181 buah kerusi mereka, dan hanya mampu mempertahankan 119 buah kerusi sahaja. Banyak nama-nama hebat dalam politik Jepun ketika itu yang menjawat jawatan menteri rebah di kaki DPJ.

Taktik politik DPJ ketika itu mudah, mereka berkempen membawa perubahan daripada rejim LDP yang memerintah Jepun. Mereka menjanjikan pelbagai transformasi dalam kerajaan dalam kerajaan. Manifesto yang dijanjikan tertakluk kepada lima perubahan iaitu mengurangkan pembaziran belanja kerajaan, mengurangkan kos penjagaan anak dan pendidikan, reformasi dalam skim pencen dan perubatan, dan mempertingkatkan kedaulatan ekonomi Jepun.

Pada awal pemerintahan DPJ, harapan rakyat terhadap perubahan yang dijanjikan oleh mereka sangatlah tinggi. Kabinet yang diperkenalkan oleh Yukio Hatoyama, Perdana Menteri yang dipilih oleh DPJ itu mendapat sokongan setinggi 70 peratus oleh masyarakat. Selepas 3 tahun berkuasa, hanya 30 peratus sahaja janji-janji dalam manifesto mereka yang berjaya ditunaikan daripada lebih 170 janji yang mereka ikrar sebelum PRU.

Antara faktor kegagalan ini ialah janji-janji kerajaan DPJ terlalu populis seperti pendidikan percuma untuk peringkat pendidikan sekolah menengah atau memberi elauns penjagaan anak. Agenda utama ialah untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung Jepun tidak berjaya dilaksana padahal itulah yang menjadi bahan kempen mereka.

Banyak alasan yang dilontarkan oleh parti DPJ. Mereka menyalahkan beban ekonomi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu sebagai punca kenapa mereka gagal melakukan reformasi. Mereka juga menyalahkan beban membantu kos perubatan dan pencen masyarakat tua di Jepun juga sebagai punca utama kerana mereka tidak mampu meneruskan janji-janji dalam manifesto seperti  menghapuskan tol. Mereka menjanjikan untuk menghapuskan sistem birokrasi yang membelenggu Jepun, namun apabila sistem itu dinyah dari negara Jepun, mereka tidak punya sistem yang efisien menggantikannya semula.

Kegagalan mereka membuatkan rakyat mula beromantis mengenai perubahan-perubahan yang benar-benar berlaku ketika era pemerintahan Ryutaro Hashimoto dan Junichiro Koizumi yang merupakan nama besar bagi LDP. Bagi mereka, era-era seperti ini lebih membawa reformasi dan perubahan berbanding mereka di bawah DPJ. DPJ yang sebelum ini banyak mengkritik LDP di atas pelbagai tuduhan seperti korupsi, projek mega yang merugikan akhirnya terpaksa menjilat ludah mereka sendiri apabila menjadi kerajaan, mereka pula mengulanginya.

Projek kerajaan LDP sebelum ini seperti Empangan Yanba di Jepun yang diserang dengan begitu dasyat oleh DPJ tiba-tiba disambung pembinaan. U-turn dalam polisi kerajaan DPJ ini membuatkan orang tertanya-tanya apakah mereka serius dalam mentadibir negara? Tidak cukup dengan itu, mereka pula terpalit dengan skandal besar.

Misalnya Perdana Menteri DPJ yang pertama, iaitu Yukio Hatoyama sendiri terlibat dalam skandal rasuah. Berita skandal ini masuk ke media massa, dibahaskan oleh ramai orang memaksa Hatoyama meletakkan jawatan. Naiknya Naoto Kan yang merupakan Menteri Kewangan menjadi perdana Menteri menggantikan Hatoyama. Itu belum dikira dengan betapa perpecahan dalaman dan pergaduhan sesama ahli dalam parti.

Keyakinan rakyat pulih sejenak, namun kegagalan Naoto Kan melakukan reformasi yang mereka janjikan, membuatkan keyakinan itu runtuh semula. Bila dilihat semula, DPJ hanya banyak meneruskan langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan sebelumnya. Jadi, orang ramai mula tertanya-tanya, dimanakah reformasi yang mereka janjikan?

Kemuncaknya ialah apabila gempa bumi tahun 2011 gagal diuruskan oleh DPJ. Kegagalan pengurusan bencana, kelembapan respon DPJ pada tragedi gempa bumi dan kebocoran loji janakuasa nuklear Fukushima membuatkan rakyat Jepun kata “enough is enough”.  DPJ bukanlah seperti mana yang mereka janjikan. Euphoria kemenangan DPJ telah lama padam dalam diri masyarakat Jepun. Bancian yang dijalankan memaparkan 70 peratus sokongan rakyat untuk mereka merudum kepada 20 peratus sahaja.

Dalam pilihanraya seterusnya pada tahun 2012, kita menyaksikan LDP di bawah pimpinan yang baru iaitu Shinzo Abe telah bekerjasama dengan New Komeito Party, sebuah parti beragama Buddha berhaluan Konservatif di Jepun. Kerjasama dua parti ini telah berjaya menang bergaya, merampas semula takhta mereka yang hilang sebelum ini. Mereka meraih 176 buah kerusi tambahan, menjadikan penguasaan mereka mencecah 294 buah. DPJ telah kehilangan 251 kerusi, hanya mampu untuk mempertahankan 57 kerusi sahaja berikutan kegagalan reformasi mereka.

Saya tahu, mungkin akan ada yang membangkitkan situasi politik di Jepun dengan negara kita. Saya tidak hairan sekiranya apa yang berlaku di Jepun, berlaku juga di negara kita kerana sejarah sifatnya berulang. Kegagalan kerajaan hari ini menunaikan janji dalam manifesto mereka mungkin mengingatkan kita kepada DPJ, atau kegagalan kerajaan hari ini menguruskan tragedi pencemaran di Pasir Gudang membuatkan kita mengaitkan dengan kelembapan respon DPJ ketika tragedi gempa bumi Jepun 2011, namun kalau sejarah tidak diambil pengajaran daripadanya, maka kita mungkin akan mengulanginya semula.

Anda sedang membaca sebahagian daripada buku terbitan kami iaitu DASAR PANDANG KE JEPUN. Kalau berminat nak membaca artikel serupa seperti di atas, bolehlah membuat pembelian di www.wasap.my/60195812791 <– WASSAP SEGERA!!!

RUJUKAN:

Sidek, Namri. (2019). Kisah Kebangkitan Dan Kejatuhan Parti DPJ Sebagai Kerajaan Sepenggal Jepun. Iluminasi. https://iluminasi.com/bm/kisah-parti-demokratik-jepun-kerajaan-sepenggal-negara-matahari-terbit.html

Ito, Mashami. (2012). DPJ’s Promise To Change The System Failed. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2012/12/01/national/dpjs-promise-to-change-the-system-failed/

McCurry, Justin. (2009). DPJ ends 54 years of almost unbroken conservative rule in Japan. The Guardians. https://www.theguardian.com/world/2009/aug/30/dpj-wins-japan-election


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.