Hikayat Ben Laden

2,325

~Niat enson matakaji semar ngiseng,
Akulah BEN LADEN, Hikayat BEN LADEN
~🎶

Ini adalah kisah hidup pengasas AL-QAEDA iaitu OSAMA BEN LADEN atau nama sebenarnya Usamah bin Muhammad bin Awad bin Ladin. Dia adalah seorang bilionair yang berasal dari Arab Saudi.

Bapanya pengasas syarikat BinLadin Group, konglomerat pembinaan multi-nasional yang memegang projek-projek pembangunan masjid suci di Mekah dan Madinah serta beberapa projek menara mega yang lain. Bahkan KLIA di Malaysia juga antara projek BinLadin Group.

Kalau kita nak faham segala kucar-kacir politik di Timur Tengah dan kaitannya dengan gerakan pengganas, kita perlu lihat sejarah Perang Soviet Union vs Afghanistan. Dalam perang inilah istilah Jihad, Mujahidin, Islamofobia, Terrorist mula menjadi sebutan media moden. AL-QAEDA adalah kumpulan yang paling terkenal dalam perang ini.

Segalanya bermula di Afghanistan apabila Parti Komunis di sana membuat rampasan kuasa kudeta berdarah dalam Revolusi Saur pada tahun 1978. Parti Komunis memerintah Afghanistan secara kuku besi sehingga membuatkan rakyat bangkit melawan kerajaan.

Setahun kemudian, Soviet Union sendiri masuk ke Afghanistan bagi mendiamkan rakyat Afghanistan. Oleh itu, USA bersama Arab Saudi, Pakistan, Qatar dan beberapa negara lain memberi bantuan kepada Nasionalis Afghanistan bagi melawan campur tangan Soviet di negara mereka.

Bantuan kewangan, senjata dan latihan diberikan. Orang tempatan membentuk gerakan ketenteraan yang dinamakan “Mujahidin”. Orang luar juga turut masuk campur untuk membantu mereka. Bantuan luar yang paling besar peranannya adalah dari Osama ben Laden.

Setelah ditentang kuat oleh “Mujahidin”, Soviet Union menarik semula campur tangan mereka di dalam negara Afghanistan berikutan termeterainya Geneva Accord. Dalam perjanjian itu juga, mana-mana kuasa luar di dalam Afghanistan perlu keluar dengan segera.

Oleh itu, negara-negara sekutu USA juga keluar membiarkan Afghanistan bersendirian. Osama ben Laden juga pulang ke Arab Saudi untuk melebarkan rangkaian al-Qaeda. Namun, Soviet Union masih lagi memberi bantuan dana kepada kerajaan Agghanistan yang terpaksa mengawal kumpulan-kumpulan “Mujahidin” yang semakin kukuh menguasai Afghanistan.

Penguasaan “Mujahidin” ini akhirnya berjaya menumbangkan pemerintah terakhir komunis di Afghanistan iaitu Mohammad Najibullah pada tahun 1992. Setelah Najibullah jatuh, kumpulan-kumpulan “Mujahidin” ini bergaduh sesama sendiri merebut kekuasaan.

Jiran Afghanistan iaitu Pakistan membiayai suku Pashtun iaitu pelarian Afghanistan yang berlindung di negara mereka untuk melawan kumpulan-kumpulan “Mujahidin” itu lalu menubuhkan kerajaan yang mesra Pakistan. Pelarian-pelarian itu kebanyakkannya merupakan pelajar lalu gerakan mereka di namakan Taliban (Pelajar). Osama Ben Laden yang memimpin al-Qaeda banyak memberi bantuan kepada gerakan Taliban ini.

Pada 1996, Taliban yang berideologikan Nasionalisme Pashtun berjaya menundukkan kumpulan-kumpulan “Mujahidin” yang lain dan menguasai Kabul, ibu kota Afghanistan. Maka tertubuhlah kerajaan Taliban atau nama rasminya, Emiriah Islam Afghanistan. Oleh itu, Osama ben Laden menjadikan Afghanistan sebagai pusat operasi al-Qaeda setelah dia dihalau dan ditarik kerakyatan oleh Arab Saudi. Al-Qaeda dan Kerajaan Taliban adalah sekutu yang amat erat.

Kerajaan Taliban ingin mengamalkan hukum syariah menurut al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, segala bentuk hiburan seperti TV, Kamera, Gambar, Pawagam, Permainan Layang-Layang, dan lain-lain dianggap haram dan akan dihukum oleh Polis Amar Makruf Nahi Munkar.

Sebab itulah jika sekarang ini ada negara yang cuba memperkasakan syariah walaupun dengan cara yang betul akan diejek, “Ini bukan negara Taliban”. Sememangnya, Taliban banyak memberi gambaran buruk dalam pengamalan syariah dengan pemahaman sempit lagi jumud sehingga menimbulkan fenomena Islamofobia.

Tidak semena-mena, pada tahun 2001 atau lebih tepatnya pada 11 September, bangunan World Trade Centre USA telah dilanggar melalui serangan udara oleh beberapa pesawat. USA menuduh al-Qaeda sebagai dalang kejadian. Oleh itu, USA mengisytiharkan War On Terror bagi membanteras kumpulan pengganas. Osama ben Laden dilabel sebagai Pengganas Paling Dikehendaki Di Dunia. George W Bush Presiden USA meminta kerajaan Taliban agar menyerahkan Osama ben Laden yang bersembunyi di Afghanistan kepada mereka.

Namun, kerajaan Taliban menolak tuntutan itu kerana tuduhan USA tidak cukup bukti kata mereka. Namun, Tony Blair Perdana Menteri Britain mengugut kerajaan Taliban Afghanistan, “Serahkan Ben Laden, atau serahkan kerajaan kamu”. Taliban tetap tidak mahu menyerahkan sekutu mereka. Oleh itu, USA masuk menyerang Afghanistan pada tahun 2001 bagi memburu Osama ben Laden.

“Mereka keluar masuk gua. Mencuba mencari dimana ada. Mencuba meneka dimana Osama. Mata kasar takkan dapat jumpa. Nama dia Ben Laden mengundurkan diri.”

Osama ben Laden mengundurkan diri ke Pakistan untuk bersembunyi. Tatkala Osama ben Laden bersembunyi di Pakistan, kerajaan Taliban Afghanistan telah dijatuhkan dan diganti dengan pemerintahan Hamid Karzai.

Setelah lama dunia tidak menyebut perihal al-Qaeda dan Osama ben Laden, tiba-tiba pada tahun 2011, presiden USA Barrack Obama mengumumkan bahawa Osama ben Laden telah berjaya dibunuh oleh sekumpulan kecil tentera USA. Osama didapati bersembunyi di Abbottabad berdekatan kem ketenteraan Pakistan. Kerajaan Pakistan tidak menyedari kedatangan tentera USA bagi memburu Osama di negara mereka dan rakyat Pakistan amat terkejut dengan berita ini.

USA mendakwa tiada negara yang mahu menuntut mayat Osama ben Laden. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk tanam mayat itu di dalam laut di sebuah lokasi rahsia. Walaupun kematian Osama masih misteri dan menjadi tanda tanya yang penuh kontroversi, USA tetap mengumumkan kejayaan mereka dalam menumpaskan pemimpin pengganas al-Qaeda itu bagi menjadikan dunia ke arah lebih selamat dan aman.

“Nyanyi lagu damai, satu dunia ikut rapat. Sambil tunggu hari OSAMA dan OBAMA berjabat. Alhamdulillah. Kita selamat. Kabus dah hilang. Perang dah tamat. Nyanyikan lagu. Damai dalam lena. Jangan buka mata. REALITINYA SUNGGUH BERBEZA.”

Kerana hakikatnya, Afghanistan masih dalam keadaan kucar kacir perang saudara. Kumpulan-kumpulan ranting al-Qaeda masih wujud di pelbagai negara sebagai sebuah rangkaian. Bahkan kepimpinan al-Qaeda diganti oleh Ayman az-Zawahiri. Dan yang lebih bahaya, muncul pula pengganas lain iaitu ISIS yang ingin menguasai kawasan al-Qaeda.

Jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.