Hidupan Yang Tersembunyi

524
views

Pernah tak anda terminum air laut? Tahukah anda, di sebalik rasa masin air laut tersebut, tersembunyi sebuah dunia mikro yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar?

Gambar yang disertakan bersama ini, menjadi bukti bahawa, hanya di dalam beberapa titisan air laut sahaja, terkandung pelbagai hidupan marin mikroskopik yang sangat cantik dan setiap satunya mempunyai fungsi dan kelebihannya tersendiri.

Berikut adalah senarai beberapa hidupan yang dapat dikenal pasti di dalam gambar ini:

Rujuk gambar ni, dan nombor tu menandakan setiap hidupan.

1. Larva Ketam

Larva ketam ini panjangnya hanya kurang 1/4 inci. Hidupan yang masih berada pada tahap awal tumbesaran ini sangat halus. Artropod lutsinar ini masih memerlukan masa yang lama lagi untuk ia matang sepenuhnya, namun beberapa bahagian badannya sudah mula menampakkan bentuk.

Dapat dilihat dengan jelas, sepasang penyepit dan mata kompaun yang bulat seakan serangga itu.

2. Cyanobacteria

Filamen berbentuk gulungan ini adalah apa yang dikenali sebagai cyanobacteria. Sejenis bakteria, ia adalah salah satu daripada hidupan primitif dan terawal di muka bumi. Selain itu, ia juga merupakan hidupan yang terawal melalui proses evolusi.

Apakah evolusi yang dimaksudkan?

Demi untuk menjamin kemandirian dirinya, bakteria ini berevolusi dalam mencari sumber tenaga. Yang mana ia memanfaatkan sumber tenaga matahari, untuk menghasilkan molekul karbohidrat yakni gula untuk dijadikan tenaga. Ini lah yang dinamakan proses fotosintesis.

Kesan daripada proses fotosintesis ini juga lah terhasilnya oksigen (O2). Selain daripada tumbuh-tumbuhan di daratan, berbilion atau sel cyanobacteria yang terdapat di lautan ini, turut bertanggungjawab dalam menghasilkan oksigen untuk kegunaan hidupan di muka bumi.

3. Diatom

Tidak diketahui jumlah sebenar diatom yang berada di dalam laut. Dipercayai bahawa jumlah kesuluruhannya mencapai Quadrillion pada satu-satu masa.

Jadi apakah Diatom ini?

Sebenarnya, diatom ini adalah sejenis hidupan laut juga. Ia adalah sel alga berbentuk petak, mempunyai dinding sel yang kelihatan seperti ia terkandung di dalam sebuah kotak diperbuat daripada silika.

Sama seperti cyanobacteria, ia juga melalui proses fotosintesis untuk mendapatkan tenaga, dan turut menghasilkan oksigen.

Apabila diatom ini mati, ‘kotak’ silika tersebut akan jatuh ke dasar laut. Dengan berlalunya masa, dan tekanan yang wujud di dasar laut, ia akan mampat dengan sendirinya, menjadikan sebahagian daripada kerak dasar laut, atau apa yang dikenali sebagai “diatomaceous earth” (diatomite).

4. Copepods

Makhluk yang kelihatan seperti serangga ini, adalah hidupan zooplankton yang paling mudah dan paling banyak didapati di lautan. Copepods ini juga merupakan sumber makanan dan protein terpenting bagi hidupan laut.

Copepods ini sejenis plankton seakan krustasia serta mempunyai ciri seakan udang bersaiz yang sangat kecil. Tubuhnya berbentuk “tear-drop” dan dilengkapi oleh sepasang antena atau sesungut yang panjang.

Copepods adalah perenang yang baik. Walaupun sangat kecil, ia mempunyai jaringan atau sistem saraf yang lengkap dan akan cuba mengelakkan diri daripada dimakan oleh ikan atau haiwan lain.

Mengenai jumlahnya di lautan, sesetengah saintis percaya bahawa copepods jika disatukan dan ditimbang beratnya, ia adalah hidupan yang mempunyai jisim terberat diantara semua hidupan di bumi.

Malah lebih berat berbanding semut itu. Ini berdasarkan fakta bahawa 70% daripada muka bumi ini adalah lautan.

5. Chaetognaths.

Organisma panjang dan mempunyai tubuh yang lutsinar ini adalah sejenis plankton yang dikenali sebagai Chaetognaths, atau “Arrow worm”. Ia adalah hidupan plankton marin pemburu, dan ia adalah haiwan karnivor.

Walaupun ia tergolong di dalam kalangan plankton, Chaetognaths ini mempunyai saiz yang lebih besar daripada spesies plankton lain. Panjangnya bagi setiap seekor boleh mencapai 5 inci.

Chaetognaths ini dilengkapi oleh ciri-ciri seperti, berikut:

– Sistem saraf yang lengkap
– Sepasang mata kompaun.
– Bahagian mulut yang mempunyai gigi halus
– 4 sehingga 14 cangkuk pada setiap bahagian sisi kepala yang digunakan bagi menangkap mangsanya iaitu plankton, krustasia, atau ikan kecil lain.

Sesetengah spesies Chaetognaths ini juga turut mempunyai kebolehan untuk menyuntik racun tetrodotoxin bagi melumpuhkan mangsanya. Berdasarkan kajian, racun tetrodotoxin itu bukanlah dihasilkan oleh Chaetognaths sendiri, tetapi ia datangnya daripada bakteria spesies Vibrio, yang hidup sebagai komensal pada kepala dan di dalam perutnya

6. Telur Ikan

Majoriti daripada spesies ikan ini bertelur untuk menjamin serta meneruskan kemandirian spesies nya, kecuali beberapa spesies ikan seperti jerung dan ikan pari.

Umum diketahui bahawa ikan jerung dan pari ini melahirkan anaknya. Secara saintik, ia dikenali sebagai kelahiran ovoviviparous. Yang bermaksud ikan itu bertelur, namun telur itu menetas di dalam badan. Apabila tiba masanya, ikan tersebut akan melahirkan anaknya.

^^ diatas ni, tiada kena mengena dengan telur di dalam gambar. Cuma bahagian ni, tak tahu nak terangkan apa, dan dimasukkan sebagai fakta tambahan sahaja.

Majoriti daripada ikan akan melepaskan telur yang telah disenyawakan ke lautan begitu sahaja. Sebahagian besar daripadanya akan dimakan oleh ikan atau hidupan lain.

7. Cacing Marin Polychaete.

Dapat dilihat cacing marin polychaete ini mempunyai tubuh badan yang bersegmen dan dilengkapi oleh puluhan anggota kecil kelihatan seperti bulu-bulu halus. Anggota kecil tersebut digunakan sebagai cara untuk cacing ini bergerak di dalam air.

*Nak tahu hidupan mana satu yang sedang diterangkan, sila rujuk gambar di ruangan komen.

Gambar diambil diatas kapal NOAA (The National Oceanic and Atmospheric Administration) “Oscar Elton Sette”, di kawasan perairan Kona, Hawaii.