Ia pagi yang indah di Pelabuhan Sepanggar. Sebuah bot nelayan baru saja berlabuh pada awal pagi 27 Mac 2016 selepas seminggu berada di tengah laut. Bot nelayan tersebut membawa 8 orang krew termasuk seorang kapten. Ketika pemunggahan ikan berlaku, La Hebo Ladia (25 tahun) dan abangnya Imran (41 tahun) terdengar jeritan meminta tolong dari ruangan penyimpanan ikan. Hebo dan adiknya bergegas ke ruang simpanan dan nampak rakan mereka Sudrianto (22 tahun) dan dua lagi terdampar pengsan di ruang penyimpanan. Tanpa membuang masa mereka terus turun ke ruang penyimpanan untuk menyelamatkan mereka. Tetapi usaha mereka terencat kerana bau yang sangat busuk menerpa dari ruang penyimpanan ikan tersebut. Hebo berjaya melarikan diri tetapi abangnya Imran kurang bernasib baik dan jatuh pengsan di dalam. Ahli-ahli krew lain membuat keputusan untuk mengudarakan ruangan penyimpanan tersebut dengan kipas pengudaraan bagi memastikan tiada gas-gas racun berbahaya tinggal dalam ruangan terkurung. Usaha menyelamat lantas boleh diteruskan. Walau bagaimanapun 3 orang telahpun maut termasuklah Imran abang kepada Hebo. 3 orang lagi termasuk Hebo dikejarkan ke hospital kerana masalah pernafasan.

Siasatan terperinci oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati yang mangsa maut kerana terhidu Hidrogen Sulfida. Apakah hidrogen sulfida dan bagaimanakah ia boleh meragut 3 nyawa sekaligus dalam masa yang begitu singkat?

Tidak Bewarna tapi Berbahaya

Hidrogen Sulfida adalah sebatian kimia dengan formula H2S. Ianya tidak berwarna tetapi boleh dikenalpasti dengan baunya yang seperti telur busuk. H2S sendiri adalah gas yang beracun, dengan potensi untuk membunuh pada dos yang sedikit sekitar 1000 ppm (bersamaan dengan 0.1% dari atmosfera). H2S juga mempunyai sifat menghakis dan boleh larut dalam air menghasilkan larutan berasid. Pada masa yang sama H2S juga sangat mudah terbakar. Campuran H2S dan udara juga berpotensi untuk menghasilkan letupan.

Terhasil Secara Semulajadi

H2S kebanyakannya wujud secara semulajadi. Selalunya dikaitkan dengan industri petroleum, H2S boleh diamati wujud dalam kuantiti yang sedikit dalam minyak mentah dan sehingga 90% kepekatan di dalam gas asli. H2S secara semulajadinya terhasil disebabkan oleh proses percernaan sulfat oleh bakteria sulfat ( atau “bakteria reduksi sulfat” )dalam suasana tanpa ketiadaan oksigen (secara “anaerobik”). Sulfat banyak didapati di dalam air laut dan juga sedimen. Disebabkan petroleum dan gas asli terhasil dari pereputan bahan organik, maka tidak hairanlah jika H2S banyak didapati secara semulajadi di rizab minyak dan gas asli. Tidak ketinggalan, H2S juga wujud secara semulajadi di sekitar gunung berapi dan juga mata air panas.

Pembunuh Senyap

Seperti yang saya sebut di atas, gas H2S adalah toksik dan sangat beracun. Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menetapkan yang 10 ppm (part per million) H2S adalah had yang selamat untuk pekerja yang bekerja selama 8 jam sehari. Pada konsentrasi melebihi 10 ppm sehinggalah ke 20 ppm, H2S sudah mampu menyebabkan masalah pada mata. Pada konsentrasi 50-100 ppm, ia boleh menyebabkan kerosakan pada mata. H2S membawa masalah yang besar pada konsentrasi 100-200 ppm (bersamaan dengan 0.01% atmosfera). Pada konsentrasi tersebut, H2S boleh menyebabkan kerosakan pada saraf di hidung menyebabkan mangsa hilang deria bau. Ini menyebabkan komplikasi pada mangsa kerana pada masa yang sama mangsa turut boleh menyangka yang H2S sudah tiada lagi di persekitaraan, sedangkan H2S sedang berkumpul dan membunuh mangsa secara perlahan. Bila kepekatan H2S mencecah 320-530 ppm ia boleh menyebabkan masalah paru-paru berair, seterusnya menyebabkan kerosakan pada sistem pernafasan. Kepekatan melebihi 1000 ppm pula boleh menyebabkan kematian serta merta dengan sekali sedutan nafas sahaja.

Penyebab Kepupusan Besar-Besaran

Di zaman purba (252 juta tahun yang dahulu), kandungan oksigen dalam laut adalah sangat rendah. Ini menyebabkan “bakteria reduksi sulfat” boleh berkembang biak dengan pesat dan pada masa yang sama menghasilkan H2S dengan banyaknya. Oleh keranan kepekatan H2S yang tinggi di dalam laut, sebahagian H2S naik ke atmosfera dan meracuni hidupan di atas darat. H2S juga turut menyebabkan penipisan lapisan ozon. Di atas sebab-sebab diataslah, kepupusan besar-besaran terjadi pada pertengahan di antara zaman Paleozoic dan Mesozoic. Ia kepupusan besar-besaran paling besar dalam sejarah purbakala.

Kita boleh melihat sedikit tanda-tanda pristiwa pra-sejarah itu di pesisir pantai Namibia. Keadaan laut yang kekurangan oksigen di situ menyebabkan letusan H2S yang membunuh ikan-ikan di persisir pantai Namibia. Penduduk sekitar pantai juga dapat menghidu bau telur busuk oleh H2S yang terhasil secara semulajadi di persisir pantai tersebut.

 

Kesimpulan

Dalam kes bot nelayan tersebut, kita boleh simpulkan yang kejadian tersebut terjadi kerana pereputan ikan di dalam ruang penyimpanan tersebut. Ruang penyimpanan tersebut yang tertutup kekurangan oksigen menyebabkan bakteria reduksi sulfat yang datang bersama dengan air laut menghasilkan gas H2S melalui proses pereputan ikan. Oleh itu, ruang terkurung tidak boleh dipandang ringan. Sebelum sebarang kerja boleh dilakukan, pengudaraan yang cukup perlulah ada untuk memastikan kerja boleh dilakukan dalam keadaan yang selamat. Peraturan yang sama juga boleh diguna pakai di stor-stor yang lama, termasuklah perigi lama. Bahaya H2S sentiasa menanti bagi mereka yang tidak peka.

Dari segi persekitaran pula, keadaan kepupusan seperti di atas berkemungkinan boleh berlaku di masa hadapan. Jika paras karbon dioksida di atmosfera terus meningkat, paras oksigen dalam laut akan menurun dan akan memangkin kembali kepupusan besar-besaran seperti di atas. H2S tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukannya gas yang wujud melalui proses industri, sebaliknya ia gas yang boleh wujud secara semulajadi dan membawa mudarat yang besar kepada manusia.

 

Rujukan:

[1] https://www.nst.com.my/news/2016/03/135728/3-fishermen-die-after-inhaling-hydrogen-sulphide

[2] https://www.osha.gov/SLTC/hydrogensulfide/hazards.html

[3] http://moocs.southampton.ac.uk/oceans/2014/12/03/ocean-anoxia-can-the-oceans-suffocate/

[4] https://www.nytimes.com/2017/02/16/science/great-dying-permian-extinction-fossils.html

[5] http://www.dosh.gov.my/index.php/ms/penerbitan/brochure-pamphlet/agriculture-forestry-fishing-1/16-bahaya-gas-hidrogen-sulfida-h2s-di-jeti-pendaratan-dan-bot-menangkap-ikan

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.