Hidangan Tahun Baru Cina Di Dunia

327
views

Tahun Baru Cina adalah sambutan perayaan yang terpenting bagi menyambut tahun baru mengikut kalendar qamari Cina, di mana kalendar ini terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Sambutan Tahun Baru Cina ini diraikan di negara-negara serta kawasan-kawasan yang mempunyai ramai bangsa Cina, seperti di Tanah Besar China, Taiwan, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand.

Malah, Tahun Baru Cina juga turut disambut oleh masyarakat dan bangsa-bangsa lain yang dipengaruhi kuat dengan budaya Cina (termasuklah memakai kalendar qamari Cina) seperti di Korea, di mana ia dikenali sebagai Seollal, Tibet dan Bhutan (sambutan Losar), Mongolia (sambutan Tsaagan Sar) dan Vietnam (sambutan Tết).

Tahun Baru Cina ini merupakan sebuah perayaan yang melambangkan suatu permulaan yang mana ia meliputi permulaan bagi nasib atau takdir yang baru serta permulaan bagi kehidupan. Sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini mempunyai pelbagai amalan tertentu yang menjadi identiti serta menjadikannya antara perayaan yang unik di dunia.

Malah, setiap jenis hidangan makanan yang disajikan ketika upacara sambutan Tahun Baru Cina ini juga mempunyai maksud yang tersirat di sebaliknya. Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai pelbagai jenis hidangan serta juadah bagi Tahun Baru Cina di negara-negara yang turut sama meraikannya.

China (Tanah Besar China)

Makanan merupakan antara perkara yang menjadi kebanggaan bagi rakyat di negara China. Dan sudah pasti, apabila menjelangnya sambutan perayaan Tahun Baru Cina, setiap makanan akan disiapkan melalui persediaan yang rapi, dan menggunakan bahan-bahan yang terbaik dari segi kualitinya. Setiap wilayah dan daerah mempunyai juadah istimewa mereka yang tersendiri dan semua makanan ini turut memiliki simbolik yang tersendiri di sebalik penyediaannya. Berikut ialah antara contoh hidangan Tahun Baru Cina yang menjadi kebanggaan mereka:

  1. Spring roll (popia)

Hidangan ini biasanya disediakan oleh masyarakat di bahagian Selatan China dan ia dimakan bagi menyambut kedatangan hari pertama bagi musim bunga. Hidangan ini boleh menjadi juadah makan malam, sebagai pembuka selera (appetizer) atau snek. Ramai dalam kalangan kita yang sudah terbiasa melihat spring roll yang digoreng, namun bagi kawasan di seluruh China, juadah ini juga boleh dikukus atau dibakar. Bentuknya juga pelbagai mengikut setiap wilayah yang menyediakannya, iaitu daripada bentuk empat segi kecil kepada bentuk bulat atau gulungan.

Kulit spring roll ini diperbuat daripada campuran tepung, air dan sedikit garam. Intinya pula adalah terpulang kepada citarasa masing-masing, namun secara tradisinya, di China, intinya terdiri daripada daging khinzir, kobis cina, shiitake, lobak merah dan serbuk perasa. Mengikut sejarah, pada zaman Dinasti Jin, masyarakat pada waktu itu akan menyusun juadah ini bersama dengan sayur-sayuran di dalam sebuah pinggan yang sama, yang mana ia dikenali sebagai Spring Platter. Sewaktu sambutan festival musim bunga, maharaja akan menganugerahkan spring platter ini kepada para pegawai kerajaannya.

Hidangan spring roll

Hidangan spring roll

  • Dumpling

Hidangan ini juga sangat signifikan dalam kalangan masyarakat di China, dan ia adalah sama penting dengan juadah spring roll. Dumpling ini biasanya akan disediakan pada setiap acara atau sambutan istimewa di China, namun ia akan disediakan dalam jumlah yang lebih banyak ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Dalam bahasa Cina, dumpling ini dikenali sebagai jiǎo zi, di mana jiǎo bermaksud pertukaran, manakala zi pula bermakna waktu tengah malam. Secara asasnya, juadah ini disediakan sebagai satu simbolik kepada pertukaran di antara tahun yang lalu dengan tahun baru. Dengan memakan dumpling ini, maka seseorang itu dianggap sebagai telah menyingkirkan segala perkara lama dan menyambut kedatangan perkara yang baru.  

Terdapat pelbagai jenis inti yang disediakan untuk dumpling ini. Asasnya, inti dumpling ini terdiri daripada kobis cina, daun bawang, daging khinzir dan udang. Di wilayah Suzhou contohnya, inti telur adalah suatu kemestian bagi dumpling yang mereka sediakan.

Hidangan dumpling
  • Nian gao

Nian gao, atau dikenali juga sebagai kek beras atau kek tahun baru, merupakan suatu juadah yang menjadi kemestian dalam sambutan Tahun Baru Cina. Pada zaman purba, hidangan ini disediakan khusus buat para dewa dan tuhan mereka.  Namun, lama-kelamaan hidangan ini telah menjadi suatu hidangan tradisi tiap kali menjelangnya festival musim bunga. Perkataan nian gao ini membawa maksud

Nian gao ini diperbuat daripada beras pulut atau beras kuning, dan ia memberikan suatu tekstur dan warna yang berbeza mengikut jenis beras yang digunakan. Hidangan ini adalah berbeza mengikut wilayah di China, di mana nian gao di bahagian utara mempunyai rupa dan tekstur yang sangat lain dengan nian gao di bahagian selatan China. Di bahagian utara, nian gao ini biasanya manis dengan gula yang ditambah ke dalam tepung beras pulut, manakala di selatan pula, nian gao yang dihasilkan adalah savory.

Hidangan nian gao
  • Mi (noodles)

Di sesetengah tempat di China, ia adalah suatu tradisi untuk memasak dumpling bersama-sama dengan mi. Ia dimasak bersama sebagai suatu simbolik yang menunjukkan harapan masyarakat untuk terus meraih kemakmuran pada tahun baru.

Untuk sambutan Tahun Baru Cina, kebanyakan masyarakat akan memilih hidangan mi panjang (long noodles) yang membawa simbol panjang umur dan kemakmuran yang berterusan. Sewaktu makan, seseorang itu dilarang untuk memotong mi tersebut dan juga harus mengelak daripada mengunyahnya terlalu lama. Lebih panjang sesuatu mi itu, maka lebih panjanglah hidup dan jangka hayat yang akan dilalui oleh seseorang itu. Selain daripada mi panjang, ramuan lain yang terdapat di dalam mi tersebut juga turut mempunyai simbolik dan makna yang tersendiri. Contohnya seperti udang yang bererti kekayaan dan kemewahan, daging itik yang bermaksud kesetiaan dan telur yang bererti keluarga besar dan sihat.

Hidangan mi

Korea Selatan

Sambutan Tahun Baru Cina di negara ini dikenali sebagai Seollal atau Korean Lunar New Year. Seollal merupakan antara sambutan perayaan yang paling ditunggu-tunggu oleh masyarakat di Korea di mana ia bukan sahaja menjadi suatu permulaan kepada tahun baru, malah ia juga adalah waku berkumpulnya seluruh ahli keluarga. Sambutan Seollal di Korea berlangsung selama tiga hari, bermula dari satu hari sebelum tahun baru dan berakhir pada satu hari selepas tahun baru. Bahagian paling menarik dan terbesar dalam sambutan Seollal ini adalah penyediaan pelbagai juadah makanannya. Berikut merupakan antara juadah yang menjadi pilihan masyarakat Korea ketika sambutan Seollal.

  1. Tteokguk

Tteok ialah sejenis kek beras yang diperbuat daripada tepung beras pulut. Manakala tteokguk ini pula ialah sup yang mengandungi kek beras yang dihiris nipis (guk=sup). Hidangan tteokguk ini juga biasanya mengandungi daging yang diperap, gim (seaweed) dan telur dadar yang dihiris nipis.

Ia adalah suatu tradisi untuk menjamah hidangan tteokguk ini pada tahun baru di mana ia membawa simbolik tersendiri iaitu seiring dengan pertambahan umur, maka diharapkan juga seseorang itu turut dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang panjang dalam hidupnya. Disebabkan inilah masyarakat di Korea sering berjenaka tentang berapa mangkuk tteokguk yang telah mereka makan. Ia adalah cara yang menarik untuk meneka umur seseorang dan menilai harapan mereka terhadap kehidupan di tahun baru.

Hidangan tteokguk
  • Manduguk

Mandu ialah nama lain untuk dumpling bagi masyarakat di Korea. Manduguk ini merupakan suatu hidangan sup dumpling yang menjadi alternatif kepada tteokguk pada tahun baru. Kebiasaannya, masyarakat di Korea Utara akan menyediakan manduguk sebagai hidangan tahun baru mereka, manakala di Korea Selatan, mereka lebih memilih tteokguk. Namun, pada hari ini, masyarakat di Korea Selatan juga turut memilih hidangan manduguk ini dengan mencampurkan sedikit kek beras ke dalamnya (tteok manduguk).

  • Japchae

Japchae ini merupakan sejenis glass noodles (dangmyeon) yang diperbuat daripada tepung ubi keledek yang digoreng (stir fry) bersama bahan-bahan lain seperti sayur-sayuran dan daging. Pada zaman dahulu, hidangan japchae ini merupakan suatu hidangan diraja, namun pada hari ini japchae merupakan hidangan istimewa yang akan disediakan untuk sambutan acara-acara tertentu seperti Seollal.

  • Jeon (pancakes)

Hidangan jeon ini merupakan sejenis hidangan yang digoreng, di mana ia boleh terdiri daripada pelbagai jenis jeon bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan. Jeon boleh terdiri daripada hirisan daging, ayam, isi ikan, atau makanan laut yang lain seperti udang dan sotong, bersama sayur-sayuran dan akan dibancuh bersama tepung dan air sebelum disalutkan dengan telur dan digoreng. Hidangan jeon ini juga pada suatu ketika dahulu merupakan hidangan diraja dan kini dianggap sebagai hidangan istimewa untuk acara tertentu seperti Seollal, perkahwinan dan majlis ulang tahun.

Filipina

Filipina merupakan sebuah negara yang turut sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada setiap tahun. Malah, masyarakat Cina di Filipina ini juga masih mengamalkan budaya mereka sama seperti apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Berikut merupakan antara hidangan makanan yang menjadi pilihan bagi sambutan Tahun Baru Cina di Filipina.

  1. Tikoy

Tikoy merupakan hidangan yang paling terkenal di negara ini tiap kali menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina. Tikoy di Filipina boleh dianggap sebagai nian gao yang disediakan di negara China. Hidangan ini diperbuat daripada beras pulut yang diproses menjadi tepung dan seterusnya dibancuh bersama gula, air dan lemak khinzir. Bagi menghasilkan tikoy yang putih, gula putih akan digunakan, manakala bagi tikoy yang berwarna coklat, maka gula perang akan digunakan dalam penyediaannya.

Hidangan tikoy
  • Pancit

Pancit ini merupakan sejenis hidangan mi panjang, sama seperti long noodles yang terdapat di China. Malah, simbolik di sebalik menjamah hidangan pancit ini juga adalah sama, iaitu memastikan kehidupan individu yang panjang dan bahagia menjelang tahun baru. Hidangan pancit yang terkenal di Filipina setiap kali sambutan Tahun Baru Cina ialah pancit bihon dan pancit canton.

  • Hopia

Hopia merupakan sejenis hidangan pencuci mulut, iaitu pastri yang berinti pes kacang mung. Hopia ini biasanya berbentuk bulat dan ia dianggap sebagai satu simbol kekayaan dalam kalangan masyarakat Cina. Hidangan hopia ini boleh dianggap sebagai versi lain bagi kuih bulan yang biasanya dihidangkan ketika festival mid-autumn. Menariknya, versi hopia ini dikenali sebagai bakpia di Indonesia, di mana ia sangat terkenal di daerah Jogjakarta.

Hidangan hopia

Kesimpulan

Hidangan yang disediakan di tiga buah negara ini merupakan antara contoh hidangan yang sering disediakan pada setiap kali Tahun Baru Cina. Setiap hidangan yang disediakan pada sambutan Tahun Baru Cina ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri, sama ada dari segi bahan-bahan yang digunakan serta kaedah penyediaannya. Namun, semua hidangan ini sebenarnya berkongsi suatu simbolik yang sama, iaitu untuk memperoleh kesejahteraan, kesihatan, kemakmuran dan kekayaan bagi setiap individu yang menjamahnya. Setiap perbezaan dalam rupa dan tekstur makanan ini diraikan kerana semuanya berkongsi sebuah matlamat dan tujuan yang sama setiap kali menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina.

Rujukan

Anon. (2019). Chinese New Year Food in the Philippines. Retrieved February 2, 2019, from https://www.tagaloglang.com/filipino-food-chinese-new-year-philippines/

Chung, Y.-S. (2013). Meals in Medieval Korea. Food & History, 11(1), 1–18.

Lee, C. H., Kim, Y., Kim, Y. S., & Yun, Y. (2018). Ancestral ritual food of Korean jongka : Historical changes of the table setting. Journal of Ethnic Foods.

Ma, G. (2015). Food, eating behavior, and culture in Chinese society. Journal of Ethnic Foods, 2(4), 195–199. https://doi.org/10.1016/j.jef.2015.11.004

Wolfe, D. (2016). Seollal: Korean Lunar New Year Traditions and Food. Retrieved February 1, 2019, from http://crazykoreancooking.com/foodandculture/seollal-korean-lunar-new-year-traditions-and-food