Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan dalam bulan Syawal selepas menjalani ibadat puasa bulan Ramadan selama sebulan merupakan suatu simbol kemenangan dan kesyukuran bagi seluruh umat Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan antara sambutan perayaan terbesar di seluruh dunia selain sambutan Tahun Baru Cina serta sambutan-sambutan perayaan yang lain seperti Krismas dan Deepavali.

Ia diraikan dengan pelbagai amalan dan kelaziman, termasuklah saling kunjung mengunjungi dan menziarahi antara satu sama lain, sebagai tanda semangat persaudaraan yang terjalin kukuh sesama umat Islam, serta amalan penyediaan pelbagai jenis masakan dan hidangan tradisional khusus bagi menunjukkan kegembiraan dalam meraikan tetamu yang hadir dan saudara mara yang datang berkunjung.

Setiap negara dan umat Islam di dunia yang menyambut Hari Raya Aidilfitri ini mempunyai hidangan dan juadah mereka yang tersendiri dalam meraikan kedatangan Syawal. Malah, hidangan yang disediakan ini juga sebenarnya mempunyai banyak makna serta maksud yang tersirat di sebalik penyediaannya. Artikel ini akan mengupas serba sedikit hidangan dan sajian khusus bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh dunia.

Benua Afrika

Masyarakat Islam merupakan antara sebahagian besar penduduk yang membentuk komuniti dalam benua Afrika ini. Masyarakat Islam di negara-negara Afrika mempunyai hidangan mereka yang tersendiri dalam meraikan kedatangan Aidilfitri.

  • Kahk

Kahk merupakan antara hidangan yang biasanya disediakan oleh masyarakat Islam Sudan dan Mesir apabila menjelangnya Aidilfitri. Kahk atau turut dipanggil sebagai Ka’ak al-Eid, merupakan sejenis biskut berbentuk bulat, dan disalut dengan gula serbuk. Kahk mempunyai inti di dalamnya, yang boleh terdiri daripada agameya (iaitu campuran antara madu, kekacang dan minyak sapi), inti badam, kacang pistachio, kurma atau boleh juga dihasilkan tanpa sebrang inti di dalamnya.

Penyediaan juadah kahk ini adalah sesuatu yang sangat penting dalam kebudayaan masyarakat Mesir dan Sudan. Malah, yang menariknya, hidangan kahk ini bukan sahaja dihasilkan apabila menjelang perayaan Aidilfitri, malah turut dihasilkan oleh masyarakat yang menyambut perayaan Krismas. Menurut sejarah, kahk ini dahulunya dihasilkan sejak zaman Mesir purba, di mana pembuatan kahk purba ini adalah dalam pelbagai bentuk.

Pada masa kini, golongan wanita Sudan dan Mesir akan berkumpul beramai-ramai untuk menghasilkan kahk, sebagai tanda muafakat dan gotong royong mereka dalam meraikan perayaan Aidilfitri. Uniknya, pada bahagian atas biskut kahk ini, akan diletakkan suatu corak tertentu dan corak ini adalah bergantung kepada pilihan yang dibuat oleh orang yang menghasilkannya.

Hidangan kahk
  • Cambaabur

Cambaabur ini merupakan sejenis hidangan lempeng dari Somalia, yang mana ia adalah hidangan istimewa bagi meraikan Aidilfitri di Somalia. Cambaabur yang juga dikenali sebagai Eid Bread, akan disediakan kebiasaannya dua hari sebelum menjelangnya Aidilfitri. Lempeng atau roti ini akan dihasilkan daripada adunan tepung bersama bahan-bahan lain seperti serbuk kunyit, gula, yis, bawang putih, bawang besar dan habbatus sauda sebelum diperam (fermented) selama beberapa jam untuk menjadikannya lebih kembang.

Cambaabur yang telah siap dibakar, akan dihidangkan bersama yogurt, minyak sapi cair atau serbuk gula di atasnya dan menjadi hidangan sarapan pada pagi Aidilfitri. Secara simboliknya, kepelbagaian rasa yang terdapat cambaabur ini merupakan suatu boleh memberikan kegirangan kepada masyarakat Islam Somalia dalam menyambut Aidilfitri.

Hidangan cambaabur
Sumber: https://www.mysomalifood.com/cambaabur-eid-bread/
  • Tajine

Tajine ini merupakan hidangan yang biasa ditemui di bahagian utara negara-negara Afrika, terutamanya di Morocco dan Algeria. Ia merupakan sejenis hidangan stew daging (sama ada daging lembu atau kambing), ikan atau ayam yang dimasak bersama sayur-sayuran dan buah-buahan. Nama tajine ini sebenarnya diambil daripada nama periuk atau perkakasan yang diperbuat tanah liat yang digunakan bagi memasak hidangan ini. Uniknya, nama tajine ini digunakan bagi menggambarkan kedua-duanya, iaitu perkakasan (earthenware pot) serta hidangan itu sendiri. Sejarah penghasilan tajine atau turut dikenali sebagai maraq di negara Timur Tengah dikatakan telah bermula sejak zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, dan ia akhirnya berkembang menjadi hidangan istimewa bagi masyarakat Morocco.

Tajine yang dihasilkan dengan menggunakan pelbagai jenis rempah ratus seperti halia, kunyit, kulit kayu manis dan saffron yang dimasak bersama daging atau ayam. Hidangan ini turut ditambah dengan sayur-sayuran, buah-buahan seperti aprikot dan plum serta pelbagai jenis kekacang. Kepelbagaian rasa yang terdapat pada tajine inilah yang menjadi kegemaran bagi masyarakat di Morocco dan Algeria yang mana ia menggabungkan pelbagai rasa utama yang membangkitkan selera sewaktu musim perayaan Aidifitri. Tajine ini biasanya dimakan bersama roti dan turut dihidangkan bersama dengan kentang goreng.

  • Doro wat

Doro wat, merupakan hidangan kari atau stew dari Ethiopia, yang dimasak menggunakan ayam sebagai bahan utamanya. Berbeza dengan tajine, hidangan doro wat ini dihasilkan kebiasaannya hanya menggunakan ayam dan bukannya daging lembu atau kambing. Doro wat biasanya akan dihidangkan di atas injera (roti nipis Afrika, sejenis roti sourdough) bersama dengan salad.

Uniknya hidangan doro wat ini, apabila ia telah hampir masak, telur yang telah direbus akan diletakkan di atas kuahnya. Ini merupakan antara ciri istimewa yang terdapat pada doro wat yang menjadikannya berbeza daripada tajine. Selain salad, ia juga boleh dihidangkan bersama sayur-sayuran serta kekacang yang lain.

Hidangan doro wat

Asia

Asia mempunyai jumlah masyarakat Islam yang besar berbanding negara-negara lain di dunia. Kepelbagaian budaya dan makanan dalam setiap negara di Asia menjadikan sambutan Aidilfitri lebih meriah dan berwarna warni.

  • Sheer kurma

Hidangan pemanis mulut ini adalah sangat signifikan bagi sambutan Aidilfitri di negara Bangladesh, India dan Pakistan. Sheer kurma merupakan sejenis hidangan kurma bersama susu yang dihidangkan pada pagi Aidilfitri sebelum solat sunat Aidilfitri.

Sheer kurma ini turut mempunyai ramuan lain seperti gula, dan vermicelli, selain daripada pelbagai jenis kekacang seperti badam, kismis, dan cengkih. Menariknya, hidangan sheer kurma ini juga terkenal di Afghanistan, sebagai hidangan pada Hari Raya Aidiladha. Ia dianggap sebagai suatu hidangan lengkap, yang merupakan simbolik kepada hidangan pembuka bagi sambutan Aidilfitri.

  • You Xiang

Kebanyakan masyarakat Islam di negara China bertempat di bahagian barat negara tersebut, dan kumpulan etnik Hui merupakan antara komuniti Islam yang turut meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. You Xiang ini merupakan sejenis kek atau roti yang biasa dihasilkan oleh kumpulan etnik Hui apabila menjelangnya musim perayaan seperti Aidilfitri.

You Xiang yang membawa maksud ‘wangian minyak’ (oil fragrance) diperbuat daripada bahan-bahan yang ringkas, iaitu tepung, yis, garam dan minyak. Penghasilan you xiang ini hanyalah sebagai suatu hidangan kecil di samping hidangan utama yang lain dalam masyarakat China seperti sup jeli dan hidangan kambing. Meskipun bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan you xiang dianggap biasa dan ringkas, namun terdapat beberapa amalan tertentu yang harus dilakukan sebelum seseorang itu memulakan proses pembuatan you xiang.

Proses pembuatan you xiang yang merupakan antara hidangan wajib bagi perayaan Aidilfitri masyarakat Muslim China memerlukan perancangan yang rapi kerana jumlah dan sukatan bagi setiap bahan haruslah tepat kerana ia dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Malah, dalam kebudayaan China, sebelum seseorang itu menghasilkan you xiang, dia terlebih dahulu perlu membersihkan diri dan menyalakan lilin sebagai petanda bahawa proses pembuatan you xiang telah dimulakan.

You xiang yang telah siap dimasak dan digoreng akan dibungkus secara berpasangan dalam bungkusan sebagai hadiah dan diberikan kepada sahabat handai, saudara mara dan tetamu yang berkunjung. Menurut amalan masyarakat China, pemberian bungkusan berisi you xiang ini boleh diberikan lebih daripada dua, tetapi jumlahnya haruslah sentiasa genap. You xiang ini bukan sahaja menjadi juadah ketika sambutan Aidilfitri, malah ia turut dihasilkan bagi upacara yang lain seperti untuk memorial service.

Hidangan You Xiang
  • Rendang

Hidangan ini memang tidak perlu diperkenalkan lagi bagi masyarakat Melayu di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Rendang adalah antara hidangan utama dan kemestian bagi masyarakat Islam di negara-negara ini bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Malah, kepelbagaian dalam masakan rendang ini menjadikannya suatu hidangan yang unik dan begitu simbolik bagi masyarakat Melayu.

Rendang ini merupakan suatu hidangan yang istimewa, yang sebenarnya bukan sahaja dihidangkan apabila menjelangnya Aidilfitri, malah turut menjadi pilihan bagi sajian sambutan majlis-majlis tertentu seperti khatam Al-Quran dan majlis perkahwinan. Kebiasaannya, rendang yang menjadi pilihan ialah rendang daging lembu atau ayam, yang dimasak bersama rempah ratus serta santan sehingga benar-benar empuk. Pasangan pilihan untuk dimakan bersama rendang ini pada waktu Aidilfitri semestinya lemang dan ketupat.

  • Biryani

Hidangan ini kebiasaannya menjadi pilihan bagi masyarakat Muslim di kawasan India dan Pakistan. Biryani yang menggunakan beras basmathi sebagai bahan utamanya bukan sahaja menjadi hidangan utama ketika perayaan Aidilfitri, malah turut disediakan untuk majlis-majlis yang lain juga.

Biryani kolkata (iaitu dari daerah Kolkata) dikatakan mempunyai aroma yang paling enak dengan daging kambing atau ayam yang begitu empuk dengan bau-bauan rempah ratusnya yang tersendiri. Istimewanya biryani kolkata ini adalah pada cara penyediaannya, iaitu dengan meletakkan kentang bakar yang dimasak secara perlahan bersama-sama dengan nasi biryani. Di bahagian Hyderabad pula, biryani yang terkenal di kawasan tersebut ialah biryani telur, yang mana hirisan telur rebus akan diletakkan pada bahagian atas nasi sebelum dihidangkan.

Eropah dan Amerika

Masyarakat Islam di Eropah dan Amerika juga tidak terkecuali dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan penyediaan pelbagai jenis hidangan istimewa mereka yang tersendiri.

  • Manti

Manti merupakan hidangan yang sangat terkenal bagi masyarakat Islam di Russia, yang mana ia merupakan doh yang dijadikan sebagai dumpling dengan inti yang biasanya diperbuat daripada daging lembu atau kambing. Ia menjadi hidangan paling signifikan bagi masyarakat Islam di Russia sewaktu Aidilfitri. Proses pembuatan manti harus dilakukan dengan sempurna bermula dengan penyediaan doh untuk dumpling hingga kepada penghasilan intinya. Ia biasanya dihidangkan bersama sos khas, dan juga mayonis.

Hidangan manti
  • Ruzice

Ruzice ialah sejenis pastri yang dihasilkan oleh masyarakat Bosnia bagi sambutan Aidilfitri. Meskipun ia kelihata berlapis dan agak kompleks, namun proses penyediaan hidangan ini sebenarnya agak ringkas. Doh pastri yang nipis disediakan, dengan inti diletakkan di atasnya, dan lapisan ini digulung secara berlapis-lapis sebelum dibakar. Hidangan ini mungkin agak ringkas, namun ia merupakan antara sajian istimewa masyarakat Islam Bosnia ketika musim perayaan.

Hidangan ruzice
  • Biskut rempah (spice cookies)

Bagi kebanyakan masyarakat Islam Amerika, penyediaan spice cookies adalah antara sesuatu kemestian dalam meraikan sambutan Aidilfitri. Ia adalah seperti gingerbread yang dihasilkan apabila meraikan Krismas, namun dalam versi Islam dengan bentuk unik seperti kubah masjid atau berbentuk bulan sabit. Namun, masyarakat Islam Amerika juga turut meraikan Aidilfitri dengan keluar makan bersama-sama bersama sahabat handai dan saudara mara.

Hidangan spice cookies

Kesimpulan

Hidangan serta makanan yang dinyatakan ini merupakan antara sebahagian besar juadah yang menjadi pilihan utama bagi masyarakat Islam seluruh dunia dalam meraikan kegembiraan menyambut kedatangan Aidilfitri. Setiap hidangan yang disediakan pada sambutan Aidilfitri ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri, sama ada dari segi bahan-bahan yang digunakan serta kaedah penyediaannya. Namun, semua hidangan ini sebenarnya berkongsi suatu simbolik yang sama, iaitu untuk menyatakan kesyukuran, kegembiraan dan sebagai tanda kemenangan bagi seluruh umat Islam.

RUJUKAN:

Heri Sisworo. (2019). Scrumptious Eid el-Fitr Dishes from Africa. Retrieved June 7, 2019, from https://travelingyuk.com/eid-al-fitr-dishes-from-africa/204535/

Nazri, M., Raji, A., Ab, S., Adibah, F., & Ishak, C. (2017). Past and present practices of the Malay food heritage and culture in Malaysia. Journal of Ethnic Foods, 4(4), 221–231.

Sarika Rana. (2017). Ramadan Special 2017 : The Significance of Food During Eid-Ul-Fitr and Eid-Ul-Adha. Retrieved June 2, 2019, from https://www.ndtv.com/india-news/ramadan-special-2017- the-significance-of-food-during-eid-ul-fitr-and-eid-ul- adha-1703883

Talah Bakdash. (2017). 12 traditional Eid al-Fitr dishes from across the globe that you absolutely have to try Muslims prove they know how to feast after a month of fasting. Retrieved June 3, 2019, from https://thetempest.co/2017/07/03/culture-taste/12- traditional-eid-dishes-you-have-to-try/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.