Herod adalah Raja Judah di bawah penguasaan Empayar Rom. Herod memperoleh kuasa bermula dari zaman Mark Anthony yang melantik Herod menjadi Raja Judah berbanding Aristobulus III, anak kepada Hycranus II yang mempunyai legitimasi sebagai pewaris takhta Dinasti Hasmonean.

Herod yang memerintah secara kuku besi dan sentiasa bergelumang dengan darah itu menyebabkan namanya dikenang sebagai raksasa dalam kalangan bangsa Yahudi, sehinggakan peristiwa pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak malang di Croatia pada tahun 1941- 1945 digelar sebagai peristiwa The Son of Herod (Anak Herod).

Walaupun menjadi raja paranoid yang banyak menumpahkan darah, Herod juga dikenang sebagai Raja Yang Agung selepas mentransformasikan Tanah Palestin menjadi sebuah wilayah yang makmur, aman dan berubah menjadi kawasan yang membangun dengan pembinaan pelbagai kejuruteraan yang menjadikan Palestin bertambah maju pada zaman itu.

Palestin adalah sebidang tanah yang sangat penting kepada Rom. Hal ini kerana Palestin merupakan pintu masuk Timur barang dagangan dari dunia Timur ke Laut Mediterranean dan merupakan kawasan penampan kepada kuasa Timur yang sedang meningkat naik iaitu Empayar Parthia. Oleh itu, pemerintah bersama Rom membenarkan Palestin diperintah oleh rajanya sendiri.

Dinasti Herod memerintah negara yang dinamakan Judah, yang mana Judah adalah negara Yahudi yang sentiasa berperang dan keamanan tidak dapat dicapai di tanah suci ini. Keadaan ini menyebabkan kebangkitan Hasmonean hanya sia-sia belaka dan wilayah Palestin sentiasa huru-hara.

Herod mengambil serius akan perkara ini. Baginda memulakan era pemerintahan kejamnya dengan menghapuskan lebih separuh pendita-pendita Yahudi Sanhedrin dan tindakan baginda ini berjaya mengekang pemberontakan dan perbalahan di antara orang-orang Yahudi.

Herod juga merupakan raja yang setia kepada Empayar Rom. Tanpa disokong oleh Rom, Herod belum tentu dapat menjadi Raja Judah dan dapat mengekalkan kuasanya selama lebih kurang 33 tahun, sehingga kemangkatannya akibat kesakitan dalam perut (mungkin kegagalan hati) pada Tahun 4 SM. Oleh itu, Herod perlu membangunkan binaan-binaan yang boleh memuaskan hati dua pihak, pihak Rom sebagai tuan besar dan pihak Yahudi sebagai rakyat jelatanya.

Pembinaan Kubu Istana Masada

Kubu Istana Masada terletak di atas sebuah gunung bongkah setinggi 400 m dari permukaan di Barat Laut Mati. Kawasan sekitar Laut mati merupakan kawasan yang paling rendah di muka bumi, sekitar 400 m di bawah aras laut. Keadaan ini menyebabkan Masada merupakan kawasan pertahanan yang sangat strategik, walaupun terletak di tengah-tengah gurun.

Herod membina Kubu Istana Masada ini dalam tiga peringkat iaitu pada Tahun 35 SM, 25 SM dan 15 SM. Pembinaan Kubu Istana Masada di puncak bukit menunjukkan kepakaran Herod dalam memanipulasikan alam untuk membuat bangunan. Setinggi 400 m di tengah-tengah gurun, Herod berjaya membina kubu beserta istana yang mempunyai kolam air sejuk dan kolam air panas yang boleh dikawal suhunya.

Oleh sebab kawasan sekitar Masada sangat kering, Herod membina terusan bawah tanah daripada kawasan yang lembab ke lembah di kaki Bukit Masada, sebelum air tersebut ditakungkan di dalam sebuah cisterns yang besar. Herod mengarahkan hamba serta pekerjanya untuk mengangkut air dari bawah ke puncak kubu secara manual sehingga dapat memenuhkan kolam-kolamnya dan mengubah kawasan yang sangat kering itu menjadi oasis di puncak bukit.

Rajah 1: Gambaran Kubu Istana Masada setinggi 400m dengan binaan tergantung. (Sumber: Wikimedia)

Masada adalah bukti kehebatan pembinaan pertama Herod dengan tiga tingkat istana tergantung di bucu Utara Bukit tersebut. Pembinaan ini menjadikan istana Masada salah satu daripada keajaiban dunia ketika itu. Kubu Masada juga terbukti ampuh kerana dapat menahan serangan demi serangan dari zaman peperangan dengan Parthia sehinggalah perang dengan Rom di kemudian harinya.

Pembinaan di Dataran Jericho

Jericho merupakan sebuah dataran di Tebing Barat yang subur dengan pertanian setelah mata airnya dimanipulasikan untuk pertanian. Jericho dimiliki oleh Ratu Cleopatra daripada kerajaan Mesir (Ptolemy) dan setelah Cleopatra dan Mark Anthony membunuh diri, Kaisar Augutus menyerahkan Jericho kepada Herod. Herod meneruskan pembinaan istananya di Jericho. Jericho merupakan kawasan yang terpenting di Palestin. Ia merupakan kawasan yang sangat rendah di muka bumi menyebabkan suhunya kekal panas semasa musim salju. Jericho juga merupakan kawasan pertemuan antara pedagang-pedagang dari serata tempat sebelum boleh sampai ke Jerusalem.

Rajah 2: Pelan utama istana-istana Herod di Jericho.

Raja-raja Hasmonean pernah membina Istana Musim Salju di sini kerana ia dapat melindungi raja daripada kesejukan musim salju, di samping dapat mengekalkan aktiviti mandi dalam kolam air yang menyegarkan, walaupun kawasan lain dipenuhi salji putih yang menebal. Herod membina TIGA istananya di sini. Istana pertama dibina pada Tahun 35 SM, semasa Cleopatra masih memiliki tanah tersebut. Herod membina istana tersebut dengan kolam mandi mengikut acuan Rom. Istana yang agak tertutup itu dibina daripada bata lumpur yang tebal. Semasa gempa bumi kuat melanda Jericho pada Tahun 31 SM, kebanyakan bangunan yang dibangunkan oleh Raja-raja Hasmonean runtuh. Istana Herod ini masih bertahan dan hanya mengalami kerosakan yang minima.

Rajah 3: Gambaran Istana Ketiga Herod dengan kolam dan taman.

Pembinaan istana kedua dilakukan pada tahun 25 SM dan pembinaan istana ketiganya dilakukan pada tahun 15 SM. Setiap istananya dibina lebih besar daripada istana sebelumnya. Kewujudan istana ketiga merupakan dedikasi kepada Marcus Agrippa, anak saudara Augustus semasa kunjungannya ke Judah. Pembinaan istana ketiga yang sangat besar serta kompleks istana yang menggabungkan kawasan rata dengan kawasan berbukit menunjukkan kehebatan pembinaan di zaman tersebut. Istana itu juga sangat indah dengan kolam mandian yang sangat besar dan taman tenggelam yang sangat indah.

Rajah 4: Jericho merupakan kawasan yang paling rendah di muka bumi.

Selain istana, Herod juga membina sebuah Hippodrome, gelanggang kumba kereta kuda di Jericho. Hippodrome dengan tempat duduk melengkung (cavea) yang mempunyai diameter sepanjang 70 m dan panjangnya 315 m. Di belakang cavea, Herod membina sebuah platform yang besar, berkemungkinan untuk pelbagai acara lain selain lumba kuda. Hippodrome yang sangat besar ini setanding dengan pelbagai hippodrome dalam empayar Rom. Herod juga membina Teater dan amfiteater di Jericho sebagai kawasan hiburan. Bangunan-bangunan penting dibina di Jericho, kota yang paling rendah di dunia ini bagi memakmurkan kota ini sebagai kawasan pertemuan pedagang dan menjadi kawasan tumpuan di musim sejuk.

Pembinaan Kota Samaria-Sebaste.

Kota Samaria merupakan ibukota Kerajaan Israel yang berpisah daripada kerajaan asal Nabi Sulaiman a.s. Semasa zaman Iskandar Yang Agung, baginda telah mengarahkan pembinaan kota bercirikan Yunani, di samping mengekalkan kubu asal kerajaan Yahudi itu. Pada tahun 200 SM, Seleucid yang menguasai Kerajaan Hellenistik di Timur telah mengarahkan pembinaan kubu dan tembok baharu yang lebih kukuh. Namun begitu, ia musnah selepas pemberontakan Maccabean. John Hycranus I, memusnahkan seluruh tembok kota Samaria pada Tahun 108 SM. Pada tahun 55 SM, kubu Kota Samaria dibangunkan semula oleh Gabinius  Gabenor Roman di Syria.

Rajah 5: Sebaste pada akhir kurun pertama SM

Selepas kekalahan Mark Anthony dan Cleopatra ke tangan Augustus, Samaria diserahkan kepada Herod untuk ditadbir. Baginda cuba membangunkan kota Samaria yang boleh memuaskan hati penduduknya dan menamakannya sebagai Kota Sebaste, mengikut gelaran Raja Yunani. Baginda juga memindahkan 6,000 veteran perangnya ke sana untuk memastikan keamanan dan pemberontakan dapat dipatahkan. Samaria merupakan Kota yang didiami oleh ramai bangsa Yunani dengan ditadbir oleh Cleopatra dari Mesir sebelum Herod mendapat amanat mentadbirnya.

Herod mengekalkan seni bina Yunani di sana dengan sebuah Acropolis kekal tidak diubahsuai. Seterusnya, Herod menambahbaik tembok kota Sebaste sepanjang 3,600 m ukur lilitnya dan terletak di sebuah bukit. di Puncak bukit, Herod menambahbaik tembok acropolis dan membina atau menambahbaik sebuah Rumah Ibadat yang dinamakan Kuil Augustus. Kuil Augustus dengan senibina Yunani dan Rom serta Herod membina sebuah stadium di hujung Sebaste. Selain itu, Herod juga membina sebuah teater di Sebaste untuk liburan rakyatnya di Sebaste.

Rajah 6: Herodium dari pandangan atas.

Herodium ialah sebuah kubu yang terletak di pinggir gurun, sejauh 12 km ke Selatan Baitulmaqdis. Semasa pertempuran dengan tentera Parthia pada Tahun 40 SM di sini, semasa pengunduran ke Masada, Herod mencapai kemenangan yang gemilang. Oleh itu, Herod membina sebuah kubu istana di sini sebagai peringatan ke atas kemenangannya itu. Dengan menggunakan beribu-ribu buruh dan hamba, Herod telah mengubah lanskap kawasan tersebut secara besar-besaran.

Baginda membina sebuah bukit palsu (ketinggian 758m dari aras laut) sebagai pertahanan dan membina istana di atas puncak bukit tersebut. Kehebatan pengetahuan bangsa Arab Edom dalam pembinaan ditunjukkan oleh Herod di sini dengan pembinaan istana yang hebat dan mempunyai empat menara setinggi 7 tingkat.

Rajah 7: Puing-puing runtuhan Herodium yang masih boleh dilihat pada hari ini

Istana yang mengagumkan ini mengandungi Rumah Mandian Rom yang terdiri daripada 3 bilik. Oleh sebab kubu istana ini terletak di pinggir gurun Judah yang sangat panas, beberapa sistern (sistem pengumpulan air Roman) dibina di kaki bukit dan terusan bawah tanah dibina untuk memastikan air hujan yang dikumpulan dari lembah berdekatan boleh dialirkan ke kawasan ini.

Herod menggunakan hamba untuk mengangkut air dari sistern ke kolam mandiannya di puncak bukit.  Di samping itu, Herod juga membangunkan sebuah teater, dewan makan dan susur pejalan kaki yang sangat besar. Herod juga mendirikan sebuah Rumah Ibadat Yahudi di atas bukit buatan ini. Apabila baginda mangkat, baginda disemadikan di kubu istana ini.

Rajah 8: Gambaran Herodium dan Kawasan petempatannya.

Selain itu, Herod juga membina banyak kubu pertahanan di seluruh negara Judah seperti Machareus, Kypros dan sebagainya.

Rajah 9: Kubu pertahanan Machareus di puncak bukit.

Pembinaan Kota Pelabuhan Caesarea

Caesarea merupakan kota pelabuhan mengikut acuan Rom. Di sini, Herod membangunkan sebuah Kota Rom yang lengkap dengan pelbagai bangunan dan seni bina Rom. Palestin merupakan pertemuan antara tamadun Timur dan Barat. Olrh itu, kota pelabuhan penting untuk dibina di pinggir laut Mediterranean. Kota Caesarea merupakan antara kota pelabuhan yang terbesar di zamannya. Herod merubah kawasan pinggir pantai negara tersebut kepada sebuah kota metropolitan yang sangat mengagumkan. Baginda membina sebuah Rumah Ibadat Rom, sebuah Hyppodrome yang besar, Amfiteater dan teater.

Rajah 10: Gambaran Caesarea

Caesarea mengandungi sebuah pelabuhan buatan terbesar di zamannya, merangkumi keluasan 100,000 m2 kawasan pelabuhan. Pelabuhan ini dinamakan Pelabuhan Sebastos. Herod membina pemecah air dengan Pozzolana (sejenis bahan binaan bersilika) yang diimport dari Itali dengan sangat banyak dan menjadikan pembinaan pelabuhan Caesarea sangat kukuh dan mengagumkan. Pembinaan pelabuhan ini menjadikan kapal-kapal besar boleh berlabuh dan terus mengangkut barangan sehingga beratus-ratus tan dalam satu-satu masa.

Rajah 11: Gambaran Kota Pelabuhan Caesarea beserta Kuil Pagan Rom, Hippodrome dan Amfiteater

Kota Caesarea merupakan dedikasi Herod kepada kekaisaran Rom. Ia merupakan kota yang dibina mengikut acuan Rom selengkapnya. Banyak acara-acara Rom diadakan di sini. Malahan, Caesar Augustus juga selalu mengadakan upacara keagamaan Rom yang pagan di Rumah Ibadat Rom yang dibina oleh Herod di sini.

Sistem Bekalan Air (Aqueduk)

Herod telah membina banyak aqueduk di seluruh negara Judah. Aqueduk adalah sistem bekalan air yang dibina menghubungkan kawasan takungan air ke bandar menggunakan saliran yang diperbuat daripada batu-bata dan konkrit yang dapat mengalirkan air bersih ke seluruh kawasan perbandaran dengan baik. Herod membina atau menambahbaik sistem aqueduk di seluruh kota yang dibinanya di Judah.

Baginda membangunkan dua jenis aqueduk, aqueduk aras rendah dan aqueduk aras tinggi. Aqueduk aras tinggi merupakan binaan aqueduk yang disokong oleh tembok batu-bata, manakala aqueduk aras rendah dibina di bawah tanah berbentuk terowong yang panjang. Air bersih yang ditakungkan di kolam-kolam takungan pada aras yang lebih tinggi seperti Kolam Sulaiman, Kolam Bethesda dan Nahal Taninim dialirkan menggunakan sistem aqueduk menggunakan konsep graviti ke kawasan perbandaran yang lebih rendah.

Rajah 12: Aqueduk aras tinggi yang didapati di Kota Pelabuhan Caesarea

Jaringan sistem aqueduk ini menjadikan Judah sebuah kerajaan yang dapat membekalkan bekalan air mentah ke istana raja, haikal dan sinagog, kawasan perbandaran dan perkampungan. Pembinaan aqueduk ini menunjukkan kesungguhan Herod dalam membangunkan Judah dan memastikan rakyatnya mendapat kemudahan asas yang lebih baik.

Rajah 13: Kolam Sulaiman yang dibina sejak zaman Hasmonean lagi.
Rajah 14: Kolam Bethesda serta anggaran kedalamannya
Rajah 15: Terowong yang menjadi aqueduk aras rendah

Pembinaan Haikal Kedua (Haikal Herod)

Haikal pertama yang dibina oleh Nabi Sulaiman a.s. telah dimusnahkan oleh Raja Nebuchadnezzar II pada Tahun 597 SM. Selepas sekembalinya masyarakat Yahudi dari Babylon pada Tahun 515 SM, mereka membina Haikal yang baharu yang dinamakan Haikal Zerubabbel.

Selama hampir 500 tahun, tiada inisiatif yang diambil oleh kerajaan selepasnya termasuklah semasa penguasaan Dinasti Hasmonean yang berjaya merdeka seketika daripada penguasaan Rom untuk membina semula haikal kedua tersebut dengan lebih besar.

Herod juga tidak berpuas hati dengan Haikal yang kecil itu.  Baginda membina sebuah haikal baharu sebagai rumah ibadat utama bangsa Yahudi yang lebih besar pada Tahun 19 SM. Walaubagaimanapun, baginda sendiri tidak dibenarkan memasuki haikal baharu tersebut kerana tidak berdarah 100% Yahudi.

Rajah 16: Gambaran Haikal Herod yang dibina di Mount Temple (Haram Es-Sharif)

Haikal Herod dibina di atas Haikal Zerubabbel, manakala Haikal Zerubabbel dibina di tempat yang sama dengan Haikal Sulaiman. Herod memanipulasi keadaan di puncak Bukit Moriah yang menempatkan Haikal Zerubabbel. Baginda mengerahkan 10,000 tenaga buruh dengan banyak bangsa Yahudi (Levi) yang diajarkan teknik pembinaan kerana Herod mahu mengekalkan kesucian tapak pembinaan Haikal ini mengikut kepercayaan Yahudi. Baginda membina tembok baharu dan struktur berbentuk melengkung untuk menampung berat tapak pembinaan.

Arkeologi telah menjumpai binaan melengkung yang amat mengagumkan dan mempunyai tarikh yang sama dengan pembinaan Haikal Herod ini.  Apabila Tanah dimasukkan ke dalam tembok tersebut beserta dengan binaan  bawah tanah di Bukit Al-Aqsa ini, Herod berjaya menghasilkan sebuah dataran seluas lebih kurang 24 buah padang bola di atas bukit ini.

Baginda membangunkan sebuah kubu pertahanan di utaranya, yang dinamakan Kubu Antonio. Herod membina tembok baharu yang merangkumi keseluruhan binaan dengan kekuatan yang mengagumkan. Setiap batu yang dijadikan asas di Baitul Maqdis ini dipotong daripada lembah berhampiran dan diangkut beramai-ramai dengan kayu penggolek ke atas bukit ini. Anggaran berat setiap batu ialah 500 tan setiap satu.

Rajah 17: Terowong di bawah Kubah Batu

Di sebelah selatan Haikal ini, didirikan sebuah dataran (Royal Stoa) supaya Herod dan tentera Roman boleh memerhartikan aktiviti seharian orang Yahudi. Sebuah kolam yang dinamakan Kolam Israel dibina di bahagian utara, bahagian yang paling tinggi supaya air boleh diairkan ke seluruh kawasan. Di bahagian bawah tanah pula, terdapat lebih 30 sistern dan aqueduk yang menghubungkan seluruh kawasan haikal dengan seluruh kawasan perbandaran Jerusalem termasuklah ke istana Herod. Lembah Kidron yang mengelilingi kawasan bukit tersebut pula diempang dan dibina dengan jambatan. Jambatan ini juga menghubungkan Baitul Maqdis dengan istana Herod.

Rajah 18: Binaan bentuk melengkung terdapat banyak di bawah masjid Al-Aqsa.
Rajah 19: Jerusalem semasa pemerintahan Herod Yang Agung

Melalui kemahiran baginda terhadap kejuruteraan, Herod berjaya merubah lanskap Palestin kepada kawasan yang mempunyai kemudahan asas yang baik. Herod membuat pembinaan demi pembinaan atas dua tujuan. Tujuan pembinaan-pembinaan ini adalah untuk memuaskan hati pihak Rom yang menjadikan baginda Raja Judah dan baginda juga perlu menenangkan orang-orang Yahudi daripada merusuh dengan membuat pembinaan keagamaan dan keperluan yang terbaik untuk kegunaan orang-orang Yahudi di sana.

Justeru itu, Herod I layak digelar sebagai Herod Yang Agung dengan pelbagai pembinaan yang mengagumkan. Walaupun Herod sangat hebat dengan pembinaan, Herod memerintah dengan kejam dan kuku besi. Baginda membunuh banyak musuh-musuh dan pesaing-pesaing politiknya, termasuklah anak-anaknya sendiri.

Rujukan:

Netzer, E. (2008), Architecture of Herod, the Great Builder, Washington, Baker Academic, muka surat 3-93

Josephus, F. (Kemaskini 2017), BOOK XIII. Containing The Interval Of Eighty-Two Years.—From The Death Of Judas Maccabeus To The Death Of Queen Alexandra (Antiquities of The Jews), Translated by William Whiston, Project Gutenberg (kemaskini terakhir pada 9 Ogos 2017), Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation

Wilson, M (2015). Caesarea — No Longer Visible Rooms and Passages, diambil daripada https://holylandphotos.wordpress.com/2015/03/03/caesarea-no-longer-visible-rooms-and-passages/, dilayari pada 23 Oktober 2018.

Temple Mount (kemaskini 16 Oct, 2014), diambil daripada https://biblewalks.com/sites/TempleMount.html, dilayari pada 23 Oktober 2018

Roller, Duane W. (1998), The Building Program of Herod the Great, Berkeley, California: University of California Press, muka surat 101 – 208

 

 

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.