Hernan Cortes: Dari Seorang Lelaki Miskin, Kepada Seorang Penjajah

620
views

Hernan Cortes adalah dikenali sebagai salah seorang komander di dalam misi penjajahan Sepanyol di Mexico. Kisah hidupnya mendedahkan dimensi tentang manusia, politik, dan kebijaksanaan penjajahan empayar Sepanyol di benua Amerika Selatan.

Hernan Cortes atau nama penuh dan gelarannya Hernan Cortes, Marques del Valle de Oaxaca. Dilahirkan pada tahun 1485 di sebuah pekan kecil bernama Medellin bersebelahan Sungai Guadiana, daerah Extramadura, Castille (Sepanyol). Cortes dilahirkan kepada pasangan Martin Cortes de Monroy dan Dona Catalina Pizarro Altamarino. Ibu bapa Cortes merupakan golongan ‘hidalgos’ iaitu golongan darjat yang rendah. Berdasarkan catatan pembantu Cortes iaitu Francisco Lopez de Gomara, “They had little wealth, but much honor”.

Ketika berumur 14 tahun, beliau dihantar untuk menduduki pengajian di Bandar Salamanca, tetapi pulang ke daerah Extramadura selepas 2 tahun pengajian. Bosan dengan kehidupan di pekan kecil serta kagum dengan kisah-kisah hebat penemuan Benua Amerika Selatan oleh Christopher Columbus, Cortes kemudian berhijrah ke pelabuhan Valencia dengan harapan untuk menyertai ekspedisi ke “Dunia Baru” tersebut.

Tetapi oleh sebab yang tidak dinyatakan, hampir setahun Cortes merayau tanpa arah di bandar pelabuhan tersebut. Dan kedatangan kapal-kapal baru setiap hari yang membawa pelbagai kargo emas dan harta serta hamba-hamba orang asli diperoleh dari penjajahan tersebut, seolah membakar semangat Cortes untuk mengembara. Cortes akhirnya menerima peluang keemasan untuk belayar ke Hispaniola (kini Santa Domingo) pada tahun 1504.

Potret Hernan Cortes

Kehidupan Cortes di Hispaniola Dan Cuba.

Cortes tiba di Hispaniola menaiki sebuah kapal dibawah arahan Alonso Quintero, yang cuba memperdaya orang atasan dengan tiba di “Dunia Baru” tersebut sebelum mereka oleh kerana ingin mendapatkan “kelebihan” atau kawalan ke atas lubuk emas tersebut. Sikap Quintero seolah-olah memberi “inspirasi” kepada Cortes di dalam perjalanan kariernya sebagai seorang penjajah. Sejarah “Conquistadores” (gelaran yang diberi kepada penjajah Sepanyol) dipenuhi atau tersebar luas dengan kisah persaingan, tipu muslihat demi kedudukan, pemberontakan serta pengkhianatan.

Setibanya Cortes di Hispaniola yang ketika itu berumur 18 tahun, beliau mendaftar sebagai seorang warganegara. Pendaftaran ini memberi hak kepada Cortes untuk menerima sebidang tanah untuk mendirikan rumah serta bercucuk tanam. Seterusnya, Gabenor Nicholas de Ovando yang merupakan kenalan keluarga Cortes di daerah Extramadura, melantik Cortes sebagai seorang notari awam dan memberi “encomienda” iaitu hak untuk memiliki hamba yang terdiri daripada orang-orang asli yang dijajah.

Untuk lebih 5-6 tahun, Cortes menjalankan tanggungjawab sebagai seorang notari awam dengan baik dan mengukuhkan kedudukan beliau di dalam koloni Sepanyol tersebut. Semasa ini juga, Cortes dijangkiti penyakit kelamin sifilis dan terlepas peluang untuk mengikuti ekspedisi Diego de Nicuesa dan Alonso de Ojeda yang belayar ke tanah besar Amerika Selatan pada tahun 1509.

Pada tahun 1511, Cortes telah pulih sepenuhnya dan dihantar belayar ke Cuba untuk cubaan menghapuskan ancaman pemberontak bersama-sama dengan Diego Velazquez untuk kembali menakluk Cuba. Pemberontakan berjaya dihalang serta proses penaklukan berjaya. Di Cuba, Velazquez telah dilantik sebagai gabenor manakala Cortes menjadi kerani pembendaharaan, sebuah jawatan penting ketika itu. Oleh kerana jawatan penting tersebut, Cortes menerima “repartimiento” (hadiah tanah estet serta hamba-hamba orang asli).

Ketika ini, Cortes didalam posisi berkuasa serta menjadi rujukan oleh orang awam didalam koloni tesebut. Cortes telah dilantik menjadi Datuk Bandar “mayor” Bandar Santiago, Cuba dan merupakan seorang lelaki dimana setiap tingkah laku, perbualan, gaya makan dan berpakaian memberi tanda-tanda bahawa beliau merupakan seorang bangsawan. Ketika ini, kehadiran Cortes mula tidak disenangi oleh Velazquez namun mereka masih bekerjasama. Setibanya berita tentang cubaan Juan de Grijalba untuk membangunkan sebuah koloni di tanah besar Amerika Selatan, Velazquez membuat perjanjian dengan Cortes untuk memberikan bantuan kepada Juan. Perjanjian tersebut telah memberi jawatan ketua ekspedisi “captain-general” kepada Cortes ditandatangani pada tahun 1518.

Gabenor Velazquez memberi arahan kepada Cortes dalam ekspedisi ke Mexico. Museum of America, Madrid.

Pengalaman Cortes didalam situasi geopolitik di koloni-koloni penjajahan Sepanyol, mempercepatkan proses menyiapkan segala kelengkapan sebelum Velazquez menukar fikiran. Dan pengalaman ditimba Cortes sebelum ini juga ternyata membuahkan hasil apabila dapat membuat persiapan lengkap mengumpulkan 6 buah kapal, 300 orang askar dan pelbagai kelengkapan lain dan hanya mengambil masa kurang dari sebulan.

Iri hati mula timbul di hati Velazquez, ini menyebabkan Velazquez membuat perancangan lain dengan meletakkan ekspedisi tersebut kebawah seorang yang dipercayainya. Walaubagaimanapun, Cortes dengan bijak juga telah mengumpulkan segala persiapan dan kelengkapan di sebuah pelabuhan berasingan di Cuba dan melanggar arahan Velazquez serta terus berlayar ke perairan pantai Semenanjung Yucatan (Yucatan Peninsula).

Permulaan pelayaran Cortes dari Cuba ke Yucatan, oleh Mary Evans.
https://images.fineartamerica.com/images-medium-large-5/cortes-sails-from-cuba-destination-mary-evans-picture-library.jpg
Laluan yang diambil Cortes dari Cuba untuk ke Mexico.
https://s3.amazonaws.com/s3.timetoast.com/public/uploads/photos/7369073/cortes_parte_de_cuba.?1477938276

Ekspedisi ke Mexico.

Apabila Cortes telahpun belayar ke pantai Yucatan pada 18 Februari, 1519, beliau mempunyai 11 buah kapal, 500-600 orang tentera, 100 orang kru kapal, 16 ekor kuda, serta beberapa laras meriam artileri. Mengumpul lebih bekalan di sepanjang pelayaran tersebut, Cortes singgah ke pelabuhan Trinidad serta Havana dan mendapati bahawa arahan untuk Cortes dilepaskan dari tanggungjawab sebagai ketua ekspedisi telah dihantar oleh Velazquez. Walaubagaimanapun, arahan tersebut tidak diendahkan Cortes.

Cortes kemudian mengarang surat bantahan kepada Gabenor Velazquez dan seterusnya meneruskan pelayaran ke Mexico. Pada bulan Mac 1519, kumpulan penjajahan Cortes akhirnya tiba di sebuah tempat yang dinamakan Tabasco. Cortes berada disini untuk seketika bagi memperoleh risikan daripada orang-orang asli setempat. Cortes berjaya memenangi hati orang asli tersebut dan mereka memberi pelbagai hadiah beserta 20 orang wanita. 1 daripada wanita tersebut iaitu Marina menjadi perempuan simpanan Cortes serta bertugas sebagai penterjemah bahasa oleh kerana Marina mahir berbahasa seperti Nahuatl atau Aztec.

Cortes kemudian belayar ke sebuah tempat di timur laut pantai Mexico dan mengasaskan penubuhan bandar Veracruz, hanya untuk memperkukuhkan kedudukan beliau apabila dilantik menjadi ketua ekspedisi “captain-general” serta ketua hakim oleh tentera-tentera beliau dan mereka yang turut bersama di dalam ekspedisi tersebut. Perkara ini menyebabkan autoriti Gabenor Velazquez dan Cortes setaraf.

Di tanah besar tersebut, Cortes melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana ketua ekspedisi sebelum ini, iaitu melatih serta mendisiplinkan askar-askar dibawah arahannya menjadikan sebuah kumpulan tentera kecil yang efektif. Kemudian, perbuatan “gila” Cortes apabila mengenggelamkan kapal-kapal yang dinaiki seterusnya menjadikan penjajahan ini “misi kalah-mati” dan mengharapkan kejayaan ekspedisi sebagai kemandirian mereka semua di “Dunia Baru”.

Gambaran penenggelaman kapal oleh Cortes
http://exploration.marinersmuseum.org/wp-content/uploads/sites/7/2013/11/Screen-Shot-2014-05-02-at-1.56.35-PM.png

Rujukan:

[i] Innes, R.H. (2018) ‘Hernán Cortés’. Encyclopaedia Britannica [online]. available from <https://www.britannica.com/biography/Hernan-Cortes> [9 August 2018].

[ii] Virtualology.com. (2000) ‘Hernan Cortes’. Virtualology.com [online]. available from <http://www.virtualology.com/virtualmuseumofhistory/hallofexplorers/HERNANDOCORTES.COM/> [9 August 2018]

[iii] Boruchoff, D.A. (2008) ‘Cortés, Hernán’. Encylopedia.com [online]. available from <https://www.encyclopedia.com/people/history/explorers-travelers-and-conquerors-biographies/hernan-cortes> [8 August 2018]

[iv] Beck, S. (2006) ‘Spanish Conquest 1492-1580’. in America to 1744. California: World Peace Communications. retrieved from <http://www.san.beck.org/11-2-SpanishConquest.html#3> [7 August 2018]


Sejak kebelakangan ini, kos operasi untuk menguruskan laman page dan portal The Patriots semakin meningkat. BANTU KAMI KEKAL MENULIS DI ATAS TALIAN dengan membeli buku-buku kami. Untuk keluaran Ogos, kami mempertaruhkan NAZI DI HUJUNG JARI dan DISEBALIK TIRAI LAYAR. Untuk pembelian, bolehlah ke pautan di bawah.

http://bit.ly/pratempah

ataupun

Nazi Di Hujung Jari – http://bit.ly/nazidihujungjari
Di Sebalik Layar – http://bit.ly/disebaliktirailayar