Hernan Cortes Dan Pemerintah Empayar Aztec, Montezuma II

0
292
views

Setibanya pasukan penjajahan Cortes di Tanah Besar Amerika Selatan, Cortes mengasaskan sebuah kota kara yang dikenali sebagai Veracruz. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kapal-kapal dinaiki mereka ditenggelamkan bagi menghalang pengkhianatan oleh tentera dan kelasi yang turut serta didalam ekspedisi tersebut dan juga bagi meningkatkan kebolehan mereka apabila berada di dalam situasi mendesak supaya ekspedisi ini berjaya dilaksanakan. Veracruz akan menjadi tempat mereka berundur jika terdapat sebarang ancaman dari orang asli yang mendiami hutan tersebut. Sebuah kumpulan kecil tentera berkekuatan 180 orang ditempatkan bagi menjaga keamanan Veracruz.

Bunyi ledakan yang dihasilkan meriam artileri, rupa bentuk kapal-kapal besar besar yang sebelum ini kelihatan berlabuh dipantai, serta kuda-kuda yang dinaiki orang-orang Sepanyol tersebut merupakan suatu “pengalaman” yang baru serta asing bagi orang asli. Perkara ini menyebabkan mereka timbul rasa ingin tahu, kagum serta timbul rasa ketakutan dengan rupa orang Sepanyol yang lengkap berbaju besi dan membawa peralatan aneh.

Di sebuah tempat yang dinamakan San Juan Ulua, Cortes mendapat perkhabaran bahawa Empayar Aztec  ini dibawah pemerintahan seorang ketua orang asli bernama Montezuma II. Empayar Aztec dibawah Montezuma II sangat besar dan beliau merupakan penaung ke bawah 3 lagi daerah atau negeri yang diberi nama (“cacique”). Cortes juga dikhabarkan bahawa Montezuma II ini merupakan seorang ketua yang sangat berkuasa dan sangat kaya. Ini adalah disebabkan “daerah” dibawah jajahan Montezuma II perlu memberi ufti sama ada dalam bentuk emas, batu permata atau hamba abdi.

Tentangan Dan Sekutu Orang Asli.

Di sebuah daerah yang dinamakan Tlaxcala, yang terletak diantara pantai dan pusat pemerintahan Empayar Aztec iaitu Kota Tenochtitlan, walaupun secara umumnya orang asli Tlaxcala ini tidak sehaluan dan bermusuh dengan pemerintah Empayar Aztec iaitu Montezuma II, mereka menentang Cortes sekeras-kerasnya. Selepas kira-kira 4 pertempuran besar diantara tentera Sepanyol dipimpin Cortes dan pahlawan-pahlawan orang asli Tlaxcala, Cortes berjaya menundukkan tentangan Tlaxcala dan memasuki Ibu Kota Tlaxcala pada 18 September 1519.

Ilustrasi Cortes menewaskan pahlawan-pahlawan Tlaxcala.
https://s3.amazonaws.com/s3.timetoast.com/public/uploads/photos/8207274/cortez_returns.?1478385909

Disini terserlah kemahiran Cortes sebagai seorang ketua dan seorang penjajah apabila mengambil pendekatan strategi (“the enemy of my enemy is my friend”). Yang membawa maksud, musuh kepada musuhku adalah kawanku. Cortes menawarkan perjanjian damai serta mengambil pendekatan bekerjasama dengan orang asli Tlaxcala. Orang asli Tlaxcala bersetuju, kerana keadaan pembayaran ufti ini tidak disenangi oleh daerah-daerah dibawah pemerintahan Aztec. Tetapi oleh kerana Montezuma II mempunyai tentera yang lebih besar, mereka hanya mengikut kehendak pemerintah Empayar Aztec itu. Orang asli Tlaxcala akhirnya menjadi salah satu dari sekutu penting Cortes di dalam ekspedisi “Dunia Baru”.

Cortes cuba memperkenalkan agama Kristian kepada orang-orang asli tersebut, namun mereka tidak tertarik dengan agama. Cortes kemudian meneruskan perjalanan untuk ke Kota Tenochtitlan, bersama-sama ribuan sekutu barunya dari puak orang asli Tlaxcala menuju ke daerah pinggir Tenochtitlan iaitu Cholula. Namun oleh kerana amaran dari perempuan simpanan Cortes, Marina yang mampu berbahasa seperti orang-orang asli tersebut mendedahkan bahawa terdapat rancangan serangan hendap oleh puak Cholula.

Pasukan penjajahan Cortes terselamat dari serangan hendap tersebut. Tetapi oleh kerana ingin mengelakkan kejadian seperti ini terjadi lagi. Cortes mengarahkan pembunuhan besar-besaran ke atas orang-orang asli Cholula. Dianggarkan bahawa ribuan orang asli dari puak Cholula mati dibunuh. Walaupun perkara ini “efektif” bagi mencegah pengkhianatan terhadap Cortes, perbuatan ini akhirnya dikecam oleh saingan politik dan pengkritik Cortes. Cortes kembali meneruskan perarakan bersama-sama 6000 pahlawan orang asli Tlaxcala serta ratusan tentera dari pasukan Sepanyol menuju ke Kota Tenochtitlan, pusat pemerintahan Empayar Aztec yang tersergam indah.

Waqaf Saham

Jalan yang diambil Cortes untuk ke Tenochtitlan.
https://cdn.static-economist.com/sites/default/files/images/print-edition/20141220_COM918.png

Kota Tenochtitlan dan Montezuma II

Pada 8 November 1519, kedatangan Cortes bersama bala tentera disambut baik oleh monarki Aztec iaitu Montezuma II dan orang-orang asli yang merupakan penduduk di kota tersebut. Ini adalah kerana mereka menganggap Cortes sebagai jelmaan dewa matahari yang disembah mereka iaitu Dewa Quetzalcoatl. Cortes dan tenteranya diberikan istana yang hebat milik mendiang bapa Montezuma II, Axayacatl untuk berehat. Kawasan istana ini kemudian diperketatkan kawalan oleh Cortes kerana khuatir akan serangan hendap seperti apa yang dilakukan orang asli Cholula sebelum ini.

Cortes disambut baik oleh masyarakat Aztec dan Montezuma II.
https://i.pinimg.com/originals/29/b9/57/29b9579bc1cb33cf3a2dfe3181ea223c.jpg

Cortes kemudian dibawa melawat ke “pusat komersial” Tlatelolco. Montezuma II sendiri menunjukkan kepada Cortes kuil-kuil suci bagi masyarakat Aztec dimana upacara korban manusia dilakukan setiap hari. Cortes kemudian mencuba memperkenalkan ajaran Kristian kepada pemerintah itu. Montezuma II tidak berminat namun memperkenankan pembinaan gereja di salah satu kuil tersebut. Tentera Cortes kemudian menjumpai sebuah laluan rahsia di kuil tersebut, yang menuju ke sebuah ruang penyimpanan harta karun yang sangat banyak. Montezuma II memberikan mereka sejumlah besar emas serta batu permata, namun meminta supaya bulu-bulu dari haiwan eksotik yang menghiasi pakaian tradisi mereka dikembalikan.

Cortes yang ketika itu sedang merangka pelan bagaimana ingin mendapatkan kemewahan dan harta dari Empayar Aztec ini kemudian dikejutkan dengan berita buruk bahawa kota kata Veracruz telah diserang oleh orang asli dari puak berlainan. Menyedari bahawa jika berita ini disampaikan kepada orang-orang asli di Kota Tenochtitlan, nyawa mereka dalam bahaya. Ini kerana orang asli Tenochtitlan percaya bahawa orang asing Sepanyol ini kebal. Cortes bersama-sama pegawai tenteranya kemudian ke istana Montezuma II. Mereka mengambil tindakan berani mati dengan menangkap Montezuma II dan menjadikannya tahanan.

Kemudian, dengan menggunakan Montezuma II sebagai tebusan, Cortes meminta mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan Veracruz dibawa ke muka pengadilan. Orang asli yang menyerang Veracruz dibawa ke hadapan dataran istana tersebut. Cortes kemudian memberi arahan supaya mereka dibakar hidup-hidup. Sementara Montezuma II dirantai oleh Cortes, Cortes meminta Montezuma II supaya “mengaku” menjadi sebuah negara dibawah jajahan takluk Sepanyol dan sumpah setia ke atas raja Sepanyol iaitu Raja Charles V. Caminatzin, anak saudara Montezuma II yang merupakan seorang pahlawan juga turut dirantai bersama-sama Montezuma II. Manakala bangsawan-bangsawan di kalangan orang Aztec juga turut dipaksa sumpah taat setia kepada Sepanyol. Dengan menjadikan Montezuma II sebagai tebusan, Cortes bukan sahaja dapat mengawal politik dan Empayar Aztec sahaja, mereka turut dipaksa untuk menukar agama kepada Kristian.

Cortes dan tenteranya menangkap dan menjadikan Montezuma II tahanan.
https://cdn.britannica.com/500×350/44/133944-004-BEF188AC.jpg

Iri Hati Gabenor Velazquez Dan Pembunuhan Besar-Besaran.

Oleh sebab Cortes telah melanggar arahan Gabenor Velazquez, sebuah pasukan tentera yang besar berkekuatan 900 orang tentera dihantar dari Cuba untuk menggantikan Cortes dengan orang-orang Gabenor Velazquez. Tentera itu dipimpin oleh Panfilo Narvaez. Cortes yang menyedari bahawa ekspedisi beliau dalam bahaya, meninggalkan sejumlah kecil tentera Sepanyol terdiri dari 120 orang tentera bersama ratusan orang asli Tlaxcala yang menjadi sekutu kepada Cortes berkawal di Kota Tenochtitlan dan mengawal Montezuma II. Pasukan ini dipimpin oleh seorang kapten yang dipercayainya iaitu Pedro de Alvarado.

Cortes kemudian bertindak berarak ke kawasan perkhemahan tentera Panfilo Narvaez, dengan rancangan untuk mengalahkan pasukan Panfilo Narvaez. Mengumpul sejumlah tentera Sepanyol seramai 340 orang kesemuanya serta ribuan orang asli Tlaxcala, Cortes sekali lagi dengan bijak menggunakan emas yang diperolehnya bagi menghasut anggota tentera di bawah pimpinan Narvaez untuk bersama-sama Cortes dan mengkhianati Narvaez. Semasa Narvaez sedang tidur, pasukan tentera Cortes menyerang dan akhirnya Narvaez dikalahkan. Cortes kemudian sekali lagi menggunakan emas untuk memujuk tentera-tentera yang masih setia dibawah Narvaez untuk bersama-sama beliau di dalam ekspedisi ini. Ternyata mereka semua bersetuju. Mereka yang masih berdegil setia kepada Narvaez, dipaksa berjalan kaki. Mereka sama ada ditangkap atau dibunuh oleh orang asli dari puak Tepeacans di daerah Quechula.

Berlainan pula situasinya di Kota Tenochtitlan, tentera Cortes dipimpin oleh Pedro de Alvarado diberhentikan pemberian makanan. Perkara ini menyebabkan Pedro de Alvarado mula memaksa malah bertindak menyiksa ahli keluarga Montezuma II selagi kehendaknya tidak dipenuhi. Setibanya upacara persembahan Tezcatlipoca (upacara kesyukuran dengan nyanyian dan makanan), Alvarado yang merasa asing dengan upacara tersebut merasakan bahawa orang-orang asli Tenochtitlan sedang merancang untuk membunuh mereka semua.

Pasukan tentera Alvarado melakukan pembunuhan beramai-ramai semasa upacara Tezcatlipoca.

Ketika upacara hebat yang dihadiri ketua-ketua penting puak masing-masing, Alvarado bertindak menyerang mereka terlebih dahulu. Orang-orang asli Tenochtitlan mula bertindak balas dengan cubaan membakar istana tersebut, dan berjaya membakar kapal-kapal yang sedang dibina oleh orang Sepanyol untuk membawa keluar harta karun yang dirampas mereka. Namun, korban orang asli Tenochtitlan akibat pembunuhan ini terlampau besar iaitu sejumlah 1000 orang asli Tenochtitlan terbunuh dalam rancangan jahat Alvarado. Ada catatan menunjukkan bahawa korban orang asli Tenochtitlan menjangkau ribuan orang. Pihak tentera Sepanyol, walaubagaimanapun hanya kehilangan beberapa orang sahaja.