Hernan Cortes Dan Keruntuhan Empayar Aztec

0
440
views

Setelah pembunuhan besar-besaran pada malam upacara kesyukuran tersebut diketahui oleh orang-orang asli Tenochtitlan yang lain, mereka bertindak mengepung kota tersebut. Di saat ini, api kemarahan orang asli Tenochtitlan membara dan ingin menghalau dan membunuh penjajah yang telah membunuh ketua-ketua mereka dengan kejam. Sementara itu, Montezuma II masih berada di dalam tahanan orang Sepanyol.

Apabila Cortes akhirnya kembali ke Kota Tenochtitlan pada 24 Jun, alangkah terkejutnya Cortes apabila mendapati bahawa tenteranya terpaksa bertahan di dalam Istana Axayacatl akibat serangan demi serangan orang asli Tenochtitlan. Walaubagaimanapun, Cortes masih dapat memasuki kota dengan penentangan yang mudah “dineutralkan”. Didalam kekacauan itu, orang-orang asli Tenochtitlan telah mula berkumpul dan mempersiapkan diri mereka untuk berperang dengan orang Sepanyol.

Kematian Montezuma II

Di saat ini, rakyat empayar Aztec telah hilang rasa hormat pada “Tlatoani” atau ketua mereka Montezuma II. Ini adalah kerana Montezuma II enggan menghalau penjajah Sepanyol tersebut dan bertindak memberikan harta dan hak untuk mendirikan gereja di salah sebuah kuil suci bagi masyarakat Aztec.

Pada 26 Jun, Cortes mengheret Montezuma II yang ketika itu dirantai ke bahagian tertinggi bangunan istana Axayacatl. Cortes dengan bantuan Marina yang mampu berbahasa Aztec, mengarahkan Montezuma II menenangkan rakyatnya dan membenarkan orang Sepanyol meninggalkan Kota Tenochtitlan dengan aman. Taktik yang terbukti berkesan sebelum ini kini tidak diendahkan orang asli Tenochtitlan.

Ini kerana mereka telah melantik “Tlatoani” atau Raja yang baru bagi menggantikan Montezuma II, seakan undi tidak percaya di dalam parlimen. Tlatoani yang baru itu adalah Cuitlahuc, yang merupakan antara pahlawan yang disegani oleh masyarakat Aztec. Masyarakat Aztec ketika melihat batang tubuh Montezuma II, mereka menghamburkan kata-kata kesat, menghina raja yang lemah itu, malah ada diantara mereka yang membaling batu yang tepat mengenai Montezuma II.

Cortes membawa semula Montezuma II yang cedera tersebut ke bahagian dalam istana. Montezuma II akhirnya mati akibat kecederaan yang dialaminya. Kematian Montezuma II menimbulkan tanda tanya bahawa adakah beliau mati akibat dibaling batu oleh rakyatnya sendiri, atau beliau mati kerana telah dibunuh Cortes oleh kerana Cortes menganggap Montezuma II tidak lagi berguna kepadanya.

Ilustrasi Montezuma II cuba untuk meyakinkan rakyat
https://i.pinimg.com/236x/13/1c/89/131c89dac04ef1497aee3a02b8c29457.jpg
Perancangan Melarikan Diri.

Dengan kematian Montezuma II, tiada sesiapa lagi yang mampu menghalang kebangkitan orang-orang asli Tenochtitlan terhadap penjajah Sepanyol dan sekutu mereka orang asli Tlaxcala. Cortes bersama-sama kapten tenteranya membuat keputusan untuk lari meninggalkan kota tersebut. Hasil pengalaman pertempuran sebelum ini, Cortes mengetahui bahawa orang-orang asli ini tidak gemar bertempur pada waktu malam. Ini menyebabkan Cortes merangka perancangan untuk lari pada waktu tengah malam 1 Julai.

Tetapi sebelum melarikan diri, Cortes mengarahkan segala emas dan batu permata dibawa bersama-sama. 1/5 dari harta tersebut diasingkan untuk Raja Sepanyol iaitu Raja Charles V, 1/5 adalah untuk Cortes sendiri, manakala selebihnya adalah untuk para penjajah dan tentera yang turut serta di dalam ekspedisi tersebut. Cortes membenarkan tenteranya dan orang asli Tlaxcala untuk mengambil sebanyak mana emas dan batu permata yang mereka mampu bawa bersama.

Mereka yang tamak memenuhkan segala ruang yang ada bagi mengisi harta tersebut. Manakala tentera yang berpengalaman hanya mengambil sedikit sahaja kerana khuatir akan menyukarkan pergerakan mereka untuk bertempur. Dikhabarkan bahawa ketika ini, Cortes dan tenteranya mempunyai 8 tan emas dan batu permata yang dirampas serta dihadiahkan oleh Montezuma II.

Cortes membuat strategi untuk meninggalkan Kota Tenochtitlan yang dikelilingi tasik tersebut dengan melalui tambak yang diberi nama Tacuba yang tinggi sedikit dari paras air tasik di sebelah barat Kota Tenochtitlan. Cortes meletakkan sejumlah 200 askar terbaiknya di bahagian hadapan (vanguard) untuk membuka jalan mereka. Cortes juga meletakkan orang-orang penting seperti perempuan simpanannya Marina dan beberapa yang lain dikawal dengan askar-askar yang setia kepada Cortes.

Di bahagian tengah kumpulan itu adalah majoriti daripada pasukan penjajahan Sepanyol dipimpin oleh Cortes, ini termasuk orang-orang asli Tlaxcala sekutu Cortes yang membawa tahanan penting antaranya adalah 3 orang anak-anak Montezuma II yang turut ditahan ketika penjajahan tersebut. Manakala dibahagian belakang (rearguard) dikawal oleh askar-askar veteran Sepanyol dan pasukan berkuda yang dipimpin oleh dua orang kapten terbaik iaitu Pedro de Alvarado serta Juan Velazquez de Leon.

“La Noche Triste” / Malam Kesedihan

Apabila tiba waktu tengah malam 1 Julai itu, pasukan Cortes keluar dari Kota Tenochtitlan melalui Tambak Tacuba dengan berhati-hati. Malang tidak berbau, seorang wanita yang sedang mengambil air di pinggir tasik itu ternampak pasukan Cortes dan memberikan amaran kepada pahlawan orang asli Tenochtitlan. Hanya dengan ini, ribuan pahlawan Tenochtitlan menyerang pasukan Cortes melalui jalan darat dan juga melalui jalan air menaiki perahu perang mereka.

Tentera Sepanyol dan sekutu Tlaxcala mereka bertempur dengan baik oleh kerana strategi Cortes menyusun formasi. Tetapi situasi tidak memihak pasukan Sepanyol apabila jumlah pahlawan Tenochtitlan yang lebih ramai berbanding pasukan Cortes. Bahagian hadapan (vanguard) serta majoriti daripada pasukan utama Cortes tiba di daratan bahagian barat boleh dikatakan kebanyakannya terselamat dari pertempuran tersebut, manakala bahagian belakang (rearguard) hampir dihapuskan oleh pahlawan Tenochtitlan.

Waqaf Saham

Ramai diantara ketua-ketua orang asli yang memihak kepada Cortes mati akibat pertempuran di tambak tersebut. Ini termasuk Xiuhtototzin, yang merupakan ketua bandar orang asli Maya Teotihuacan. Selain itu, 2 daripada 3 anak Montezuma II terbunuh termasuk anak lelakinya Chimalpopoca. Salah seorang kapten yang memimpin bahagian belakang pasukan Cortes iaitu Juan Velazquez de Leon juga terbunuh di dalam pertempuran tersebut. Dikhabarkan bahawa tubuh badan Juan Velazquez dipenuhi anak panah.

Terdapat beberapa terusan (canal) disepanjang laluan tambak itu. Dan oleh kerana beban berat daripada emas dan batu permata yang dibawa oleh tentera pasukan Cortes, menyebabkan ia sukar untuk dilepasi. Terusan terbesar di tambak itu dikenali sebagai “Toltec Canal”. Banyak kematian dari tentera Sepanyol, orang asli Tlaxcala serta kuda yang membawa harta tersebut menemui ajal mereka. Sehinggakan terlalu ramai yang maut, terusan itu boleh direntasi apabila mayat-mayat yang tertimbun itu bertindak sebagai jambatan.

Sejumlah tentera Sepanyol yang berada di bahagian belakang formasi tersebut bertindak berpatah balik oleh kerana tambak tersebut mula dipenuhi oleh pahlawan Tenochtitlan. Mereka berkubu di dalam Istana Axayacatl. Dianggarkan sejumlah 270 orang tentera Sepanyol bertahan di dalam istana tersebut, mereka bertahan untuk 2 hari dan akhirnya mereka dikalahkan. Tentera Sepanyol yang masih hidup dijadikan “hadiah” didalam upacara korban kepada dewa Aztec.

Serangan pahlawan Tenochtitlan terhadap tentera Sepanyol di Tambak Tacuba.
Terusan yang berada di sepanjang tambak menyukarkan pergerakan tentera Sepanyol.
https://annoyzview.files.wordpress.com/2015/05/la-noche-triste.jpg
Serangan Balas Cortes.

Orang asli Tenochtitlan bergembira diatas kejayaan mereka mengusir penjajah dari Kota Tenochtitlan. Tetapi mereka melakukan kesilapan besar apabila membiarkan Cortes bersama anggota tenteranya yang terselamat untuk berkumpul semula. Cortes dan kumpulan tentera Sepanyol bersama-sama orang asli Tlaxcala berehat sementara di daerah Tlaxcala di pinggir Kota Tenochtitlan. Mereka berkumpul dan mengatur strategi untuk kembali merampas kota tersebut.

Hanya selepas beberapa hari kemudian, “Tlatoani” atau Raja baru Empayar Aztec iaitu Cuitlahuc mengepalai kutumbukan tentera yang besar terdiri daripada pahlawan-pahlawan Tenochtitlan dan pahlawan daerah lain yang setia bersama pemerintah Aztec yang baru itu. Pertempuran besar berlaku diantara pasukan Cuitlahuc dan pasukan tentera Cortes disebuah tempat yang bernama Otumba.

Walaubagimanapun, oleh kerana bentuk geografi Otumba, kelebihan adalah dipihak Sepanyol dan sekutu Tlaxcala mereka. Meriam dan senapang lantak Sepanyol terbukti lebih berkesan berbanding anak panah pahlawan orang asli yang dipimpin Cuitlahuc. Cuitlahuc kemudian berundur ke Kota Tenochtitlan.

Selepas menewaskan serangan demi serangan orang asli, Cortes kembali memasuki Kota Tenochtitlan, yang selepas dipertahankan oleh pahlawan-pahlawan orang asli Tenochtitlan selama 77 hari, akhirnya tewas ditangan pasukan tentera dipimpin oleh Cortes pada tanggal 13 Ogos, 1521.

Kekejaman orang asli Tlaxcala seakan-akan haiwan yang dahagakan darah. Mereka tidak melepaskan sesiapa yang berada di kota tersebut. Kekejaman ini menyebabkan tentera penjajah dari Sepanyol serta Cortes sendiri berasa tidak selesa. Ribuan orang asli Tenochtitlan dibunuh semasa serangan balas untuk merampas kembali Tenochtitlan dilakukan.

Dengan ini, berakhirlah Empayar agung Aztec.

Ilustrasi Cortes semasa perempuran di Otumba.
https://www.wpclipart.com/world_history/exploration/Cortes_at_Battle_of_Otumba.png
Serangan merampas kembali Kota Tenochtitlan

Cortes, Gabenor Mexico & Pengakhiran Hidupnya

Oleh kerana keluasan tanah penjajahan dan keberanian Cortes dalam ekspedisi penjajahan Mexico ini, sekaligus menyebabkan kesalahannya dimaafkan oleh Raja Charles V. Ini dilakukan tanpa mengambil kira bantahan daripada Gabenor Cuba iaitu Velazquez yang menghantar surat kepada Raja Charles V ketika Cortes melanggar arahan dan belayar ke Mexico dari Cuba.

Cortes dilantik sebagai Gabenor dan “captain-general” Mexico. Cortes juga menerima darjah kebesaran “Marquis de Oaxaca”. Walaubagaimapun, penjajahan Cortes tidak disenangi orang-orang asli kerana Cortes memusnahkan patung-patung dewa Aztec dalam terburu-buru sehingga memaksa orang-orang asli tersebut memeluk agama Kristian. Perkara ini menyebabkan orang-orang asli tersebut memberontak, tetapi oleh kerana pasukan tentera Sepanyol yang telah menerima kelengkapan dan anggota tentera yang baru dari Sepanyol, mereka mudah menundukkan ancaman pemberontak.

Kejayaan Cortes di “Dunia Baru” dicemburui mereka yang berada di Madrid, dan oleh kerana Cortes mempunyai kuasa serta dihormati tentera, menyebabkan Cortes ditakuti oleh bangsawan Sepanyol yang lain. Sementara Cortes didalam perjalanan untuk ekspedisi baru di Honduras, harta-harta Cortes yang berada di Sepanyol dirampas dan ahli keluarganya dipenjara.

Marah dan kecewa oleh perkara itu, Cortes dengan segera pulang ke Sepanyol. Cortes yang membawa harta rampasan iaitu emas, batu permata dan pelbagai barang berharga yang lain diterima dan disambut baik oleh Raja Charles V. Cortes dikurniakan darjah kebesaran oleh Raja Charles V dan kemudian pulang ke Mexico. Walaubagaimanapun, kuasa Cortes sedikit berkurangan oleh kerana kuasa pentadbiran diberikan kepada Wizurai, manakala Cortes masih lagi memegang kuasa terhadap pasukan tentera.

Pembahagian kuasa ini menyebabkan berlaku pertelingkahan diantara Cortes dan Wizurai tersebut. Cortes yang akhirnya lelah bertelingkah dengan orang yang dilihat tidak setaraf dengannya, membuat keputusan untuk kembali ke Sepanyol dan berhadapan dengan bangsawan yang bermusuh dengannya. Atas sebab yang tidak diketahui, Cortes seakan tidak diendahkan oleh Raja Charles V. Walaubagaimanapun, Cortes tetap berbakti kepada monarki Sepanyol itu.

Cortes kemudian melibatkan diri di dalam ekspedisi ke Algeria pada tahun 1541. Malangnya, ekspedisi ini menemui kegagalan yang besar. Ini merupakan ekspedisi terakhir Cortes. Di saat Cortes pulang semula ke Sepanyol, beliau seperti diabaikan, dan tidak mendapat tempat di hati Raja ketika itu.

Sehinggakan pada suatu masa, Cortes terpaksa merempuh kumpulan orang ramai untuk bertemu Raja yang berada di dalam kereta kuda dan berjaya memanjat pemijak kaki kereta berkuda tersebut. Keberanian dan kelancangan Cortes menyebabkan Raja itu bertanya, “Siapa kau?” dan Cortes dengan bangga menjawab “Aku adalah seorang lelaki yang telah memberikan kau wilayah jajahan yang lebih banyak berbanding nenek moyang kau yang telah mewariskan bandar-bandar”.

Pengisytiharaan khidmat ini tidak diendahkan Raja yang angkuh itu. Cortes kemudian bersara di sebuah daerah yang bernama Seville dan menghabiskan sisa hidupnya bersendirian. Cortes kemudian mati pada tahun 1547, berumur 62 tahun.

Rujukan:

[i] http://www.san.beck.org/11-2-SpanishConquest.html#3
[ii] https://www.encyclopedia.com/people/history/explorers-travelers-and-conquerors-biographies/hernan-cortes
[iii]http://www.virtualology.com/virtualmuseumofhistory/hallofexplorers/HERNANDOCORTES.COM/
[iv] https://www.thoughtco.com/the-night-of-sorrows-2136530
[v.] http://faculty.fullerton.edu/nfitch/nehaha/sorrows.htm