Hereditary: Misteri Kultus Dan Pemujaan Saka

0
1553
views

Gara-gara perjanjian syaitan, satu keluarga sengsara. Boleh jadi satu keluarga menderita angkara seorang manusia. Lebih menyakitkan bila orang itu ialah ahli keluarga sendiri. Bagaimana rasanya terperangkap dalam sihir? Filem ini merakamkan pengalaman angker di dalam keluarga pengamal cult. Unik berbanding cerita seram lain, Hereditary menggarap pergolakan jiwa dan penderitaan hidup bila seorang anak mewarisi perjanjian syaitan daripada ibunya.

Hereditary berasal daripada perkataan Heirs, iaitu waris.

Sinopsis. (Spoiler alert!)

Cerita bermula dengan kematian Allen, ibu kepada Anne. Ramai muka-muka yang tidak dikenalnya hadir pada pengebumian. Ini menyimpan rahsia bahawa ibu Anne bukan calang-calang. Audien dapat menyingkap siapakah wanita ini melalui eulogy dalam ucapan Anne. “Ibu sering bersendirian, tak banyak bercakap, ada ritual sendiri, ada kelompok sendiri.”

Anne mempunyai dua anak; Peter dan Charlie. Kedua-duanya mengalami trauma dan tampak depresi pada ekspresi muka. Peter mempunyai social anxiety. Charlie bagaikan bisu, tidak riang seperti kanak-kanak lain.

Anak perempuan Anne, Charlie pernah berkata; “nenek tak suka saya jadi perempuan, nenek lagi suka saya jadi lelaki.” Dialog ini bukan biasa-biasa. Ia melampirkan hasrat Allen yang terpendam, tidak tercapai.

Misteri semakin memuncak dengan kematian Charlie.

Kemalangannya tragik. Mati secara tiba-tiba bila kepalanya putus terlanggar tiang. Bayangkan, jasad tertinggal di kereta sedang kepala tertanggal di jalan. Peter terpaku. Tidak dapat berfikir apa-apa. Tidak seperti kebanyakan filem seram lain yang wataknya akan cuba menyelamatkan mangsa, cerita ini menunjukkan sikap manusia yang trauma bila berhadapan situasi tragis. Bayangkan, insan tersayang direntap sekelip mata. Mati akibat kelalaian sendiri. Seolah-olah tangan sendiri yang berlumuran darang orang tersayang.

Ulasan
Hereditary membawa situasi mengerikan ketika rasa bersalah dan kesedihan bergandingan: perasaan bersalah seolah-olah kamu tidak cukup bersedih, atau rasa bersalah seolah-olah kamu mungkin bertanggung jawab atas tragedi yang terjadi.

Filem ini tidak menjanjikan adegan terkejut-terkejut. Ianya sarat dengan dilema.

Tiada karakter yang annoying. Tiada watak yang anda harapkan patut mati lebih awal. Semua figur di dalamnya ditampilkan fragile, lemah bila berhadapan kehilangan. Seperti itulah kehidupan, manusia lemah bila menghadapi ujian hidup jika tiada pegangan yang kuat. Bertimpa lagi bila ajaran khurafat menguasai keluarga. Situasi dan respon yang realistik bila berhadapan konflik menjadikan fiksyen ini terasa real.

Cerita ini akhirnya membuka igauan, bahawa boleh jadi apa yang menghantui selama ini bukan kebetulan. Ada rahsia besar yang tidak diceritakan. Ada kisah silam yang menghantui peristiwa sekarang. Boleh jadi seseorang itu mewarisi perjanjian syaitan yang diikat oleh nenek moyangnya. Justeru sengsara disebabkan sesuatu yang tidak pun dia inginkan.

Anne bukanlah seteruk yang kita sangka. Jika anda ingat semula. Dalam berkias, Anne mengatakan selama ini ia cuba melindungi Peter daripada sesuatu. Anne mahu melindungi keluarganya. Sampaikan Anne mahu menggugurkan anaknya Peter. Anne tidak mahu melahirkan anak lelaki. Kerana dia tahu, anaknya akan dipergunakan oleh ibunya Alle sebagai korban syaitan. Yang tersurat, Anne nampak gagal mengawal diri. Yang tersirat, Anne sedang melawan permainan syaitan yang dimulakan oleh ibunya.

Bayangkan, sebuah keluarga yang menanggung beban daripada dosa nenek moyang. Di pihak Anne, ia dipaksa hidup dengan misteri pemujaan ibunya. Anne mengalami gangguan mental dan depresi. Manakan tidak, abangnya sendiri membunuh diri mungkin kerana enggan menjadi hos King Paimon. Anaknya pula menjadi mangsa. Tanpa dia sedar, dia menyakiti orang-orang yang dia sayang. Bayangkan pula Peter dan Charlie, di waktu kecil ibunya pernah menyimbah tar, hampir-hampir membakar mereka dengan api. Keluarga ini penuh kekeliruan. Satu-satunya ahli keluarga yang waras ialah Steve. Walau seteruk mana pun situasi, dia tidak hilang kawalan. Lihatlah kesabarannya ketika Anne bertekak dengan Peter. Dia menjadi air yang mendamaikan kebakaran. Sayang sekali dia terbakar bila Anne cuba memusnahkan buku tulis Charlie.

Tiada happy ending.

Akhirnya roh syaitan Paimon masuk ke tubuh Peter. Boleh jadi beginilah ritual sihir. Mempergunakan apa sahaja peluang yang ada untuk kepentingan hawa nafsu. Tak kisah Alex hilang kewarasan mental, asalkan syaitan Paimon dapat dipuja ke jiwa Peter

Jikalau anda mengelamun lebih panjang, anda dapat membayangkan segenerasi lagi keturunan akan mengalami nasib penderitaan yang sama. Trauma yang sama. Tragedi bakal berulang kembali.

Cult masih ada. Syaitan Paimon masih ada. Menghantui keluarga demi keluarga.

Selamat tidur malam!

Saka

Hereditary ialah fiksyen tentang sebuah keluarga yang menderita akibat cult neneknya, Allen. Anne mati putus kepala, Steve mati terbakar dan Peter terkorban menjadi hos King Paimon, menggantikan Charlie yang kemalangan maut. Pendek kata, akibat perjanjian syaitan.

Jika di barat ada cult, di alam melayu ada saka.
Kedua-duanya ialah perjanjian syaitan.

Secara tidak langsung, filem ini dekat dengan kita. Kerana misteri yang menyelubungi Hereditary dilalui oleh beberapa kes misteri di nusantara. Bahkan lebih hebat. Jika di barat, untuk memuja ouija board memerlukan teman. Sebarang pemujaan syaitan tidak boleh bersendirian. Sedangkan di alam melayu, bangsa ini cukup kuat spiritualnya untuk memuja syaitan berseorangan. Angker di alam melayu lebih gah arkibnya.

Saka ialah sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan memeliharakan diri. Saka dikatakan terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa. Biasanya diwarisi turun-temurun oleh waris walaupun tanpa pengetahuan mereka. Ia biasanya perlu dijaga dengan dijamu acak (telur, ayam panggang, pulut kuning) sesuai menurut persetujuan tuan asalnya. Pemilik saka akan memanggil saka mereka dengan pelbagai panggilan termasuk akuan, datuk, sahabat, pendamping dan lain-lain panggilan.

Saka ini perlu diwariskan kepada orang lain sebelum tuannya mati. Sekiranya tidak, pemilik saka sukar mati atau sakanya membuat onar dengan mengganggu jiran-jiran pemilik lamanya.

Pada kebiasaannya saka ini diwarisi dikalangan keluarga pemilik asal, tetapi terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa saka ini boleh diwariskan kepada kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula terdiri sama ada menerusi perbuatan seperti bersalaman atau menerusi lafaz seperti: “engkaulah sahabat aku dunia dan akhirat.”

Nasihat Ustaz Sharhan Shafie,Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani,

Penurunan ilmu saka boleh berlaku secara tidak langsung apabila waris menerima barang tertentu peninggalan si mati seperti barangan kemas, keris, lembing atau tombak. Syaitan akan sentiasa memastikan setiap manusia atau orang yang mewarisinya sesat ketika sampai ajal mereka. Pada mulanya memang saka kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya seperti melindungi diri, keluarga dan harta benda tetapi itu semua hanya tipu helah untuk menyesatkan manusia.

Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul dalam jangka masa panjang di mana kemuncaknya menyebabkan manusia itu berdosa besar kerana mensyirikkan Allah SWT. Antara kesan buruk memelihara saka ialah pemiliknya menghadapi seksaan yang amat perit ketika menghadapi saat kematian kerana roh mereka sukar untuk keluar daripada jasad menyebabkan mereka terseksa ketika menemui ajal.

Situasi lebih dahsyat berlaku apabila pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya. Gangguan saka juga menyebabkan seseorang dilanda penyakit misteri. Justeru ahli keluarga atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada pemilik asal.

Bagi mereka yang sudah menerima, berusahalah untuk memutuskan hubungan dengan makhluk terbabit dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam yang menggunakan al-Quran dan sunnah sebagai kaedah rawatan. Saka adalah perjanjian yang dibuat antara nenek moyang dengan jin untuk mendapat kehebatan, kekuatan, kecantikan, perlindungan tertentu melalui perjanjian tertentu dalam tempoh yang ditentukan (tujuh keturunan).

“Saka berada dalam tubuh badan manusia sejak sekian lama hingga menjadi sebati dengan manusia. Ia berlaku sama ada seorang itu mengetahuinya ataupun tidak. “Jin berkenaan ditinggalkan nenek moyang pembawa saka apabila mereka meninggal dunia. Ketika hidupnya, mereka berkawan atau membela jin berkenaan yang dikenali dengan pelbagai nama dalam masyarakat kita seperti polong, pelesit, toyol dan sebagainya,” katanya. Beliau berkata terdapat kronologi bagaimana jin saka berpindah selepas kematian tuan punya saka berkenaan.

“Selepas nenek moyang yang membela jin terbabit meninggal dunia, jasadnya mati selepas roh keluar dari badannya. Namun Begitu, jin yang berdamping dengan nenek moyang itu tidak mati kerana umur jin bukan seperti manusia. Apabila jasad perumah saka dikebumikan, jin akan bebas seperti keadaan layang-layang yang terputus talinya. Maka ia akan berkeliaran di atas muka bumi ini untuk mencari pewaris baru,” katanya.

Ustaz Sharhan berkata kebiasaannya jin berpindah kepada anak cucu yang mengamalkan jampi tertentu yang diambil daripada si mati.
“Saka turut berpindah kepada waris seperti anak atau cucu yang menyimpan barang peninggalan si mati. Mereka berpotensi besar mewarisi saka disebabkan pernah tinggal serumah bersama si mati.

“Selain itu, golongan yang menjadi sasaran kepada saka adalah anak cucu yang cetek pengetahuan agamanya, sentiasa melakukan maksiat, meninggalkan ibadat seperti solat, mereka yang lemah fizikalnya serta memang terlalu menginginkan sangat kehebatan serta kelebihan nenek moyang mereka,” katanya. Beliau berkata memang terdapat pertalian erat antara jin dan saka kerana jin yang diwariskan itu umpama harta peninggalan.

“Terdapat hadis daripada Abu Tha’labah berkata. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jin itu mempunyai tiga jenis iaitu jenis yang mempunyai sayap dan berterbangan di udara, jenis yang berbentuk ular dan anjing dan jenis yang berpindah randah. “Jenis jin ketiga itu dikelaskan jenis jin yang menjadi saka kerana mampu berpindah dari satu keturunan ke satu keturunan di bawahnya,” katanya.

Ustaz Sharhan berkata pemilik saka berkebolehan mengubati penyakit yang disebabkan oleh jin dan syaitan tetapi mereka menggunakan dengan cara meragukan. “Kebanyakan mereka berubat dengan kaedah menurun. Pembawa saka mampu mengubat tetapi dengan menggunakan jampi yang mempunyai unsur syirik.” Berbeza dengan perubatan islam yang menggunakan ruqyah ayat Quran.

“Malah jampi yang digunakan langsung tidak difahami maknanya,” katanya. Beliau berkata terdapat amalan yang mampu menghalang seseorang itu menjadi mangsa saka dengan berkat keizinan Allah SWT. “Segala bentuk gangguan jin dapat dielakkan dengan syarat kita percaya dan benar-benar yakin Allah yang menyembuhkan.

“Antaranya boleh mengamalkan zikir, membaca surah Mulk sebelum tidur, berwuduk sebelum tidur atau ketika mengadakan hubungan kelamin dengan isteri, jadikan amalan membaca surah Yaasin setiap Subuh, membaca Basmalah sebagai wirid setiap kali melakukan pekerjaan dan perdengarkan bacaan ayat ruqyah di dalam rumah,” katanya.

Terdapat beberapa gejala menandakan wujudmya saka di dalam tubuh pesakit.
Gejala waktu tidur

1. Susah tidur malam.
2. Sering terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas dan takut.
3. Mimpi buruk yang dikenali sebagai kabus seperti mimpi melihat sesuatu yang mengancamnya kemudian menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa mendengarnya.
4. Mimpi perkara menakutkan dan menyeramkan.
5. Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, unta, ular, serigala, tikus.
6. Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
7. Ketawa, menangis dan menjerit
8. Menjerit ketika tidur.
9. Berdiri dan berjalan ketika tidur.
10. Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
11. Mimpi berada di kawasan kotor atau di tanah perkuburan.
12. Mimpi melihat budak kecil.
13. Mimpi melihat salib atau gereja.
14. merintih dan menangis ketika tidur.

Gejala waktu jaga

1. Selalu pening kepala.
2. Lalai mengingati Allah SWT
3. Sering lesu dan malas.
4. Rasa sakit di salah satu anggota badan.
5. Sakit di belakang terutamanya tulang belakang.
6. Lenguh sendi-sendi utama.
7. Mempunyai ketumbuhan yang sukar diubati.
8. Mudah panik apabila berhadapan dengan sesuatu ujian.
9. Jiwa sentiasa lemah dan tiada motivasi untuk meneruskan hidup.
10. Mudah marah dan panas baran.
11. Emosional dan terlalu sensitif.
12. Terasa seperti terdapat sesuatu di bawah tapak kaki seperti terpijak batu atau telur.
13. Sentiasa mengantuk terutamanya dalam majlis ilmu.

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan:

“Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan istrinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahwa barangsiapa yang menukarkan ayat (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di Akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.”

(QS: Al-Baqarah. 102)

Jangan sesekali bermain-main dengan syaitan.
Syaitan ialah musuh ketat. Bukan sahabat rapat.

Syarat perjanjian syaitan;
“Hari ini engkau pakai aku. Esok lusa bila engkau mati, Aku akan pakai engkau.”

7/10 bintang untuk Hereditary.

 

Previous articleKesesakan Trafik Di Zaman Purba
Next articleSesungguhnya Masa Itu Tidak Mutlak
Graduan Darul Quran JAKIM. Ahli grup Pena Ilmiah (sQQr). Pemuisi yang patah hati. Khadam mashayeikh yang gigih bertatih, terjatuh dan bangkit kembali dalam mengenali adab & ilmu. Obses terhadap dunia penulisan, puisi dan sejarah. Believe in love like always do.
SHARE