“Kisah dan cereka dongeng bolehlah diumpamakan seperti sebuah cermin sakti: Ia menunjukkan kita, apa yang kita ingin lihat”

-Oleh Neil Gaiman

Sebagai seorang gamer yang juga merupakan peminat cerita detektif, saya mendapati permainan video bertema penyiasatan yang tulen tidak wujud. Cuba anda perhati dan amati dengan teliti semua permainan-permainan video bertema penyiasatan yang ada di pasaran. Kebanyakannya hanya menggunakan tema penyiasatan sebagai alat untuk menggerakkan jalan cerita. Tiada satupun permainan bertema penyiasatan yang benar-benar memberikan kepuasan kepada pemain dengan memberikan pemain pengalaman seperti seorang detektif yang sedang menyelesaikan kes.

Perkara yang sama juga pernah diutarakan oleh pembangun permainan video popular, Sam Barlow. Barlow yang sangat dikenali dengan francais Silent Hill (seperti Silent Hill: Origin dan Silent Hill: Shattered Memories), meninggalkan Climax Studios bagi menghasilkan permainan video secara bebas (indie). Beliau menyatakan kekecewannya terhadap permainan video bertema penyiasatan selepas bermain L.A Noire yang dibangunkan oleh Rockstar Games. Walaupun L.A Noire adalah sebuah permainan video yang bagus, ia gagal dalam membentuk simulasi proses penyiasatan yang sebenar, seperti meneliti kes yang dipaparkan, mengumpul petunjuk yang penting dan menemubual suspek.

Tarikan yang ada pada permainan video adalah nilai interaktif-nya dan kebolehan permainan video memberikan pengalaman dunia nyata kepada pemain. Jika anda bermain permainan video FPS seperti Call of Duty,dan Battlefield, anda dijanjikan dengan pengalaman sebagai seorang tentera yang merempuh medan perang bagi menyelamatkan diri dan berjuang demi negara. Jika anda bermain permainan video sukan seperti FIFA anda disajikan dengan pengalaman seperti seorang penyerang yang menggelecak melepasi Messi dan Ronaldo sebelum menjaringkan gol. Nilai interaktif dan imersif inilah yang menjadikan permainan video sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan. Jadi amat sayanglah sekali apabila permainan video penyiasatan, tidak dapat memberikan pemain pengalaman seperti seorang penyiasat.

Ini merupakan satu hakikat yang terhasil dari kekangan yang ada pada proses penyiasatan itu sendiri. Anda perlu sedar bahawa kebanyakan proses penyiasatan berlaku di dalam minda seseorang detektif. Disebabkan itulah memberikan pengalaman sebagai seorang penyiasat yang sebenar melalui kerangka permainan video merupakan sesuatu yang hampir mustahil kerana mana mungkin permainan video dapat menembusi dan memanipulasi minda kita. Ia merupakan satu kekangan dan dilema yang sangat jelas dan diketahui oleh kebanyakan pembangun permainan video.

Menyedari akan perkara itu, Sam Barlow bertekad untuk menyelesaikan masalah tersebut. Barlow mendapat inspirasi dari menonton siri penyiasatan televisyen popular, Homicide: Life on the Street yang terkenal dengan konsep realistik yang mereka bawa dalam memaparkan proses penyiasatan oleh detektif. Melalui Homicide, Barlow mendapati yang proses soal siasat merupakan proses yang paling penting sekali yang dijalani detektif dalam menyelesaikan sesebuah kes. Dia menggambarkan proses soal siasat sebagai sebuah gelanggang tempur terakhir dimana para detektif akan cuba menyerang suspek dengan berbagai soalan berdasarkan petunjuk ataupun bukti yang telahpun diperoleh. Maka proses soal siasat merupakan elemem yang paling penting yang perlu dimasukkan di dalam permainan video yang Barlow ingin hasilkan.

Tetapi nanti dulu. Sudahpun kita ketahui yang proses soal siasat merupakan perkara yang biasa ada dalam permainan video bertema penyiasatan. Namun begitu, kekangan yang wujud adalah soalan yang kita boleh tanya kepada suspek. Teknologi kepintaran buatan (AI) yang sedia ada sekarang masih belum cukup maju untuk membolehkan pemain menanyakan apa sahaja soalan yang boleh difikirkan. Disebabkan itulah ketika proses soal siasat, kebanyakan permainan video meletakkan pilihan soalan yang boleh ditanya dan ini sekaligus mematahkan usaha Barlow untuk menyediakan pengalaman tulen sebagai seorang detektif kepada pemain.

Hendak ataupun tidak, Barlow perlu memikirkan cara untuk membolehkan pemain menjadi detektif sebenar sewaktu menjalani proses soal siasat. Persoalannya sekarang bagaimana? Setelah Barlow menonton pelbagai pita rakaman soal siasat antara detektif dan suspek, Barlow mendapat idea untuk merubah perspektif pemain dengan meletakkan pemain sebagai orang yang mendengar soal siasat, bukannya orang yang bertanya. Dengan mendengar, secara automatiknya Barlow meletakkan pemain menjadi sang penyiasat dengan mencari petunjuk yang tersimpan di dalam wawancara dan soal siasat.

Tetapi, mendengar sahaja pita rakaman soal siasat menjadikan “permainan video” itu bukanlah lagi sebuah permainan video. Ia bakal menjadi sebuah filem yang bosan untuk ditonton. Barlow perlu memasukkan elemen interaktif bagi merealisasikan permainan video yang beliau impikan. Hasil bacaan transkrip soal siasat, Barlow mendapati bahawa suspek kebiasaannya akan menyebut satu ataupun dua kata kunci (walaupun tanpa sedar), dan kata kunci itulah yang dicari oleh detektif dalam membentuk naratif bagi menyelesaikan kes.

Penyelesaian terakhir Barlow, walaupun tampak ringkas, tetapi ia sebenarnya elegan dan berjaya memukau pemain industri dan para pengkritik. Barlow meletakkan pemain sebagai seorang protagonis yang sedang menghadap sebuah komputer lama. Di depannya sebuah aplikasi yang digunakan oleh polis terbuka dan aplikasi ini merupakan arkib pita rakaman soal siasat dengan seorang suspek. Aplikasi ini datang dengan bar carian dan terdapat perkataan “murder” ditaipkan pada bar carian tersebut memberi indikasi bahawa anda sedang menyiasat sebuah kes pembunuhan.

Gambar 2: Rekabentuk permainan video Her Story
Sumber: https://nuclearmonster.com/2015/06/her-story/

Di bawah bar carian terdapat beberapa buah klip yang memaparkan soal siasat di antara seorang detektif dan seorang wanita. Dan jelas sekali wanita itu menyebut perkataan “muder” sewaktu disoal siasat. Dengan hanya beberapa petunjuk sahaja, anda sebagai pemain boleh memikirkan langkah seterusnya. Pemain hanya perlu mendengar pita rakaman soal siasat dengan teliti, bagi mencari kata kunci atau petunjuk yang penting. Selepas itu pemain boleh menaipkan kata kunci yang mereka jumpai, dan video lain pula akan keluar berdasarkan kata kunci yang ditaipkan.

Ini merupakan satu penyelesaian yang genius dan elegan walaupun sangat ringkas dari segi perlaksanaannya. Sam Barlow, yang membangunkan Her Story secara bersendirian berjaya menyelesaikan masalah yang dianggap mustahil untuk diselesaikan oleh kebanyakan pembangun permainan video bertema penyiasatan. Dalam masa beberapa minit sahaja bermain, saya sudahpun mengeluarkan buku nota dan pen, dan cuba menulis setiap klu dan kata kunci yang saya dengar. Carian demi carian yang saya dapat membantu saya dalam membentuk naratif tentang apa sebenarnya yang berlaku kepada wanita itu. Adakah dia suspek? Ataupun mangsa? Adakah dia pembunuh yang sebenar?

Rekabentuk Her Story juga bukan setakat memaksa saya mendengar dengan teliti, ia juga memaksa saya menonton dengan teliti. Apa yang perempuan itu minum sepanjang soal siasat? Baju apa yang beliau pakai? Gerak geri dan raut wajahnya juga saya perhatikan dengan teliti sepanjang soal siasat. Ini secara tidak lansung memberikan saya pengalaman sebagai seorang detektif tulen (dengan buku nota dan pen) yang sedang cekal mengumpul petunjuk dalam menyelesaikan kes.

Barlow bukan sahaja memberi fokus pada rekaan permainan, malah pada jalan cerita yang mengiringi pemain. Her Story diakhiri dengan pengakhiran (epilog) yang samar-samar dan terbuka kepada interpretasi yang berbeza. Seperti juga Inception, penamat Her Story tidak tetap. Siapa sahaja yang bermain pasti akan mempunyai pengakhiran sendiri yang menurut pandangan mereka adalah epilog yang sebenar. Barlow sendiri mengakui yang beliau sengaja meletakkan epilog yang samar-samar supaya ia selaras dengan tema dan mesej yang beliau ingin sampaikan.

Ya, Her Story adalah sebuah cerminan sakti. Persis Mirror of Erised dalam novel sulung Harry Potter, Her Story memaparkan kita apa yang kita ingin lihat, tidak kurang dan tidak lebih daripada itu. Ia sebuah cereka dongeng moden yang mempunyai mesej mendalam untuk manfaat kita bersama.

(Nota: Bahagian seterusnya akan membedah lebih mendalam tentang Her Story dari segi jalan cerita dan tema yang ingin dibawa. Bagi mereka yang masih belum bermain, saya sarankan anda dapatkan dulu permainan video ini di mana sahaja platform yang ada (termasuklah telefon pintar) sebelum anda membaca bahagian yang seterusnya).

Palindrome

Gambar 3: Hannah Smith, wanita yang kehilangan suami
Sumber: https://www.giantbomb.com/her-story/3030-49898/forums/deconstructing-her-story-1774694/

(Nota:Sekali lagi saya ingatkan, bahagian yang seterusnya penuh dengan analisis plot dan jalan cerita. Jadi bagi mereka yang tidak mahukan spoiler, boleh kiranya anda dapatkan dulu permainan video ini sebelum membaca bahagian seterusnya).

Palindrome.Itu merupakan perkataan yang Hannah sebutkan sebaik sahaja beliau memperkenalkan dirinya sebagai Hannah Smith, seorang wanita yang tinggal di Nombor 31, Jalan Gladstone. Palindrome adalah antara petunjuk awal yang diletakkan oleh Barlow memandangkan ia merupakan antara elemen penting dalam jalan cerita Her Story. Palindrome merupakan satu kata nama yang menggambarkan perkataan ataupun frasa yang mempunyai sebutan yang sama jika disebut secara biasa mahupun secara terbalik (seperti nama Hannah, perkataan seperti malam, masam dan juga frasa seperti nurses run).  Dalam ertikata lain, palindrome boleh diibaratkan seperti sebuah cermin yang terbenam di dalam kata/frasa.

Kisah ini bermula apabila Hannah Smith datang kepada pihak polis bagi melaporkan kehilangan suaminya Simon. Simon menghilangkan diri selepas mereka berdua bertengkar pada petang sambutan Hari Lahir Hannah. Simon merupakan seorang pembuat cermin (satu lagi elemen cermin digunakan) dan bekerja di Ernst Brother Glass. Mereka sudah berkahwin lama sejak Hannah berumur 17 tahun lagi. Hannah mendakwa yang Simon tidak pernah melarikan diri sebelum ini dan rumah tangga mereka bahagia tanpa sebarang konflik dan pertengkaran yang besar.

Beberapa hari selepas itu, Hannah menjumpai mayat Simon di ruangan bawah tanah rumah mereka. Hannah melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan berdasarkan bedah siasat, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh. Disebabkan mayat dijumpai di ruangan bawah tanah rumah Hannah, secara automatiknya ia menjadikan beliau sebagai suspek utama. Hannah dipanggil semula oleh pihak polis bagi menjawab beberapa soalan.

Pada ketika ini polis sudah mula mengesyaki yang Hannah-lah pembunuh suaminya sendiri. Namun begitu, apabila ditanyakan kepada Hannah, beliau mempunyai alibi yang kukuh pada waktu pembunuhan. Pada malam Simon dibunuh, Hannah membawa diri ke Glasgow bagi menenangkan hati. Terdapat rakaman litar tertutup yang mengesahkan kehadiran Hannah di Glasgow pada waktu pembunuhan. Jam di tangan Simon pula merupakan satu petunjuk yang memberitahu polis waktu pergelutan antara Simon dengan pembunuh (jam di tangan Simon rosak dan terhenti pada waktu yang sama ketika Hannah berada di Glasgow).

Ini semua merunsingkan pihak polis kerana alibi yang dimiliki oleh Hannah merupakan satu alibi yang kukuh.  Tetapi soal siasat demi soal siasat yang dilakukan oleh pihak detektif terhadap Hannah akhirnya memberi sedikit petunjuk kepada kekeliruan yang mereka hadapi. Anda yang bermain pun akan perasan perkara ini. Hannah seolah-olah orang yang berbeza pada waktu-waktu yang tertentu. Pada hari pertama Hannah datang kepada pihak polis, beliau meminum kopi tanpa gula. Pada kali kedua Hannah datang pula, beliau meminta teh dengan dua sudu gula. Bukan itu sahaja, gaya dan penampilan mereka juga berbeza. Ada Hannah yang suka melepaskan rambutnya ke bawah, dan ada Hannah yang suka mengikat rambutnya ke atas.

Dari situ, pihak detektif (termasuklah pemain) membentuk hipotesis bahawa Hannah mempunyai kembar seiras yang tidak diketahui orang ramai. Pada mulanya Hannah tidak mengaku beliau mempunyai kembar seiras, tetapi pada soal siasat yang terakhir, dan setelah mengambil Ujian Pengesan Penipuan (lie detector test), Hannah akhirnya mendedahkan rahsianya. Hannah sebenarnya mempunyai seorang adik perempuan, seorang kembar seiras, umpama melihat pada sebuah cermin, yang dipanggil sebagai Eve (satu lagi palindrome).

Kembar atau Cerminan Personaliti? Gambar 4: Hannah ataupun Eve? Sumber: https://www.giantbomb.com/her-story/3030-49898/forums/deconstructing-her-story-1774694/

Kisah Hannah dan Eve boleh diibaratkan seperti sebuah kisah dongeng moden. Diceritakan oleh Hannah, ketika beliau lahir, beliau disambut oleh seorang bidan, bernama Florence. Florence yang kesunyian selepas kematian suaminya, melihat satu peluang keemasan muncul di depan matanya apabila bayi yang lahir itu merupakan bayi kembar. Florence memberitahu ibu Hannah, bahawa kembar Hannah mati tercekik tali pusat dan mengambil kembar Hannah menjadi anaknya sendiri.

Florence menamakan anak itu sebagai Eve dan membesarkannya di rumah mereka yang terletak bertentangan dengan rumah Hannah. Tidaklah terlalu pelik apabila seorang bidan membesarkan anak sendiri namun begitu, Florence menyembunyikan Eve dari dunia luar. Eve membesar menjadi seorang budak perempuan yang sihat tetapi terkurung di dalam rumah Florence. Sewaktu membesar, Eve selalu melihat budak perempuan yang seiras dengannya duduk di rumah bertentangan. Eve pada mulanya menyangka ia hanyalah bayangan refleksi dari cermin tingkap, tetapi apabila ia melambai ke arah budak perempuan itu, budak perempuan itu melambai kembali.

Dari saat itu, Eve sedar yang beliau mempunyai seorang kembar yang dirahsiakan dari pengetahuannya oleh ibunya sendiri Florence. Eve tidak mengetahui bahawa Florence melarikan beliau dari ibu bapa beliau sendiri sehinggalah beliau terjumpa diari Florence. Beberapa ketika selepas itu, Florence akhirnya maut terjatuh dari tangga. Eve lalu membakar diari Florence dan beredar dari rumah tempatnya membesar dan menyeberang jalan untuk menemui kembarnya sendiri, Hannah.

Hannah dengan besar hatinya menerima kedatangan kembarnya, Eve dan beliau menyembunyikan Eve di loteng rumahnya. Keluarga Hannah menjadikan loteng rumah mereka sebagai ruang tempat Hannah bermain, dan di situ terdapat sebuah rumah patung permainan yang menjadi tempat persembunyian Eve. Dari saat itu, Eve dan Hannah hidup bersama dan menjalani aktiviti seharian tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Kadang kala Eve yang akan ke sekolah menggantikan Hannah. Kadang kala pula Hannah yang akan keluar mengambil ujian bagi subjek yang beliau mahir. Masing-masing akan mengambil giliran untuk menjalani aktiviti seharian bagi memastikan tiada siapa syak akan perkara yang sebenar. Hannah dan Eve menyimpan sebuah diari bagi merekodkan aktiviti seharian mereka untuk memastikan yang mereka berdua tahu apa yang mereka masing-masing lakukan.

Perkara ini berterusan sehinggalah Hannah dan Eve menginjak remaja dan mula berjinak mengenali cinta. Bagi setiap lelaki yang mereka kenali, Hannah dan Eve akan mengambil giliran bagi setiap temu janji. Malah kadang-kadang kedua-dua Hannah dan Eve akan keluar bersama bagi menemui lelaki yang mereka minati dan bertukar giliran apabila Hannah ataupun Eve ke tandas. Ini bagi memastikan mereka berdua tetap dapat berseronok dengan pasangan mereka.

Begitulah rapatnya perhubungan di antara dua beradik kembar ini. Bagi mereka, tiada siapa yang mereka lebih sayang berbanding kembar mereka sendiri. Disebabkan itulah mereka sanggup untuk berkongsi kasih asalkan mereka tidak terpisah. Tetapi segala-galanya berubah apabila mereka mengenali Simon.

Perwatakan dan ketampanan Simon membuatkan Hannah jatuh hati sehingga beliau takut untuk berkongsi kasih dengan Eve. Hannah akhirnya berasmara dengan Simon bagi memastikan yang Simon kekal menjadi miliknya dan ini menjadikan Eve berang. Perbuatan Hannah itu membuatkan beliau mengandung dan atas nasihat kedua ibu bapa Simon, dan Hannah, mereka berdua berkahwin menyebabkan Eve terpisah sekali lagi dengan Hannah.

Eve yang mula merasakan kehilangan kembarnya, mula hidup tak keruan. Beliau masih lagi tinggal di loteng rumah ibu bapa mereka sedangkan Hannah sudah berpindah ke rumah ibu bapa Simon;Doug dan Eleanor. Dari saat itu Eve mula merasa cemburu dengan kehidupan bahagia kembarnya dan beliau juga cuba untuk mengandung tapi cubaannya gagal walaupun selepas bersama dengan ramai lelaki.

Hannah dan Eve masih terus berjumpa walaupun secara rahsia. Bagi mengelakkan rahsia mereka terbongkar, Eve akan memakai rambut palsu sewaktu berjumpa Hannah. Hannah berjanji yang beliau dan Simon akan cuba mendapatkan tempat mereka sendiri bagi membolehkan Eve tinggal bersama mereka. Hannah pula pada ketika itu sungguh gembira menantikan kelahiran anak sulungnya sendiri, tapi sayang sekali sewaktu menghampiri tarikh kelahiran, Hannah keguguran sekaligus memberi kesan kepada sistem peranakannya.

Pada tahun yang sama juga, Hannah dan Eve kehilangan kedua ibu bapa mereka akibat keracunan makanan dan ini mematahkan hati Hannah. Pun begitu, kematian kedua ibu bapa mereka, membolehkan rumah tersebut diwarisi oleh Hannah dan dari saat itu Simon, Hannah dan Eve tinggal bersama di rumah peninggalan tersebut.

Tetapi, walaupun sudah bersama, perhubungan antara Hannah dan Eve masih lagi jauh. Hannah yang tidak mahu Eve terlalu rapat dengan Simon masih lagi tidak mendedahkan tentang kembarnya itu kepada suaminya. Ini menyebabkan Eve patah hati dan akhirnya beliau keluar dari rumah tersebut dan menginap di sebuah motel. Beliau mengambil upah menyanyi di sebuah bar bagi menyara makan minum beliau sendiri. Hannah pula terus hidup bersama Simon dan walaupun beliau tidak boleh mengandung lagi, kehidupan beliau kekal bahagia dengan Simon.

Eve tidak ada peluang untuk mendekati Simon sehinggalah pada suatu hari apabila Simon terjumpa Eve yang sedang membuat persembahan di sebuah bar. Simon pada mulanya terkesima melihat Eve. Seolah-olah beliau tersedar daripada mimpi. Dan dari saat itu, Simon dan Eve bercinta tanpa pengetahuan Hannah. Dan hasil percintaan mereka menyebabkan Eve pula mengandung.

Eve tidak memberitahu akan perkara itu kepada Simon tetapi beliau menceritakan tentang kandungannya kepada Hannah dan mendakwa bahawa ia berlaku dengan seorang lelaki yang beliau kenal di bar. Hannah gembira mendengar perkhabaran itu dan menjemput Eve untuk tinggal bersama dengannya. Hannah berjanji akan menceritakan segala-galanya pada Simon bila tiba masanya kelak.

Pada petang Hari Lahir Hannah, Hannah menceritakan segala-galanya pada Simon. Melihat pada raut wajah Simon, Hannah mula mengesyaki yang Simon sudah pun mengetahui tentang Eve dan kemungkinan besar sekali yang dikandungkan Eve adalah anak Simon. Hannah berang terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh Simon dan ini menyebabkan pertengkaran berlaku di antara mereka. Simon akhirnya berlalu pergi ke bar bagi menenangkan diri dan Hannah memanggil Eve untuk meminta penjelasan darinya.

Apabila Eve sampai ke rumah Hannah, mereka berdua bertengkar teruk sehingga Eve menampar Hannah dan berlalu pergi meninggalkannya dan terus memandu ke Glasgow. Hannah pula menunggu kepulangan Simon. Tiada siapa tahu apa yang berlaku di antara Hannah dan Simon selepas itu, tapi ia jelas yang Hannah-lah pembunuh Simon melalui pengakuan dari Eve sendiri. Sebaik sahaja Eve pulang dari Glasgow, beliau mendapati Hannah di ruang tamu dan mayat Simon terbaring di bawahnya. Eve kemudiannya membantu Hannah menyembunyikan mayat Simon dan mereka berdua merangka strategi bagi mengelak ditangkap polis. Eve menawarkan alibinya di Glasgow sebagai bukti kukuh yang Hannah bukanlah pembunuh Simon.

Nah, anda sudahpun mengetahui kisah penuh apa sebenarnya yang berlaku kepada Eve, Hannah dan Simon. Namun begitu, kisah ini hanya didapati melalui pengakuan dari mulut Eve sendiri dan pada saat itu kita sebagai pemain sudah sedar yang kisah yang diceritakan oleh Eve ini seumpama kisah dongeng dan agak sukar untuk dipercayai. Lebih membingungkan apabila ditanya oleh detektif di manakah Hannah, Eve menjawab:

“Hannah sudah tiada. Dia sudah pergi jauh dari sini. Bolehkah awak tangkap orang yang tidak wujud?”

Apabila didesak lagi, Eve menjawab:

“Saya perlukan peguam saya. Tolonglah, awak tiada bukti, awak lansung tiada senjata pembunuhan. Dan apa yang saya ceritakan pada awak ini, hanyalah sebuah cerita, tidak lebih dari itu”

Melalui pernyataan Eve, ada kemungkinan yang Eve hanya berbohong. Perkara ini menimbulkan beberapa persoalan yang besar, dan akhirnya mewujudkan penamat yang samar-samar kepada pemain. Persoalan-persoalan inilah yang ditanya oleh kebanyakan orang yang bermain Her Story dan masing-masing datang hujah dan dalil tersendiri bagi epilog yang mereka rasakan betul. Jika difikirkan dengan teliti, sebenarnya wujud 2 penamat kepada Her Story.

  • Kembar Seiras

Hannah memang mempunyai seorang kembar apabila diteliti dari alibi di Glasgow. Itu merupakan penjelasan yang boleh menjelaskan bagaimana Hannah boleh berada di dua tempat pada masa yang sama. Namun begitu, beberapa percanggahan wujud dalam kisah yang diceritakan Eve. Bagaimana seorang budak boleh tinggal bersembunyi di loteng rumah bertahun lamanya tanpa diketahui oleh sesiapa?

  • Dissociative Identity Disorder (dulunya dikenali sebagai Multiple Personality Disorder)

Persoalan itu membawa kepada penamat yang ini. Kemungkinan sekali Hannah menghidap DID (Dissociative Identity Disorder) dan ini menyebabkan wujud satu lagi personaliti yang ada dalam dirinya. Ini boleh dijelaskan melalui kenyataan Eve sendiri yang mengatakan “Bolehkah awak menangkap orang yang tidak wujud?” Alibi di Glasgow itu boleh dijelaskan dengan mudah jika difikirkan Hannah sengaja merosakkan jam Simon dan berlalu pergi ke Glasgow bagi mencipta alibi.

Bagi memahami tentang kedua-dua penamat ini (dan mana satukah penamat yang sebenarnya), eloklah saya menceritakan terlebih dahulu tentang Rapunzel dan kaitannya terhadap kisah Hannah dan Eve.

Jika anda bermain permainan video ini, anda akan perasan bahawa Hannah (ataupun Eve), cukup meminati kisah dongeng terutamanya kisah dongeng Rapunzel. Tidak, saya bukan bercakap tentang kisah Rapunzel kontemporari yang kini sudahpun diadaptasikan sebagai sebuah animasi 3D oleh Disney yang dikenali sebagai Tangled. Saya bercakap tentang kisah asal yang ditulis dalam Koleksi Kisah Dongeng dan dikumpulkan bersama dengan kisah Snow White, Sleeping Beauty, Cinderella dan juga Hansel and Gretel.           

Koleksi Kisah Dongeng ini ditulis oleh adik beradik Grimm (Brother’s Grimm) dan tidak ramai mengetahui bahawa kisah dongeng ini sebenarnya pada asalnya lebih angker dan penuh tragedi berbanding kisah yang kita sedia tahu sekarang.

Contohnya kisah Rapunzel. Semua sedia maklum yang kisah Rapunzel adalah mengenai seorang puteri dengan rambut yang sangat panjang yang dikurung oleh seorang ahli sihir di sebuah menara tinggi.Beliau akhirnya menemui seorang putera raja yang menyelamatkannya dari menara tersebut dan mereka berdua hidup bahagia selamanya.

Tetapi sebenarnya kisah yang ditulis oleh Brother’s Grimm lebih gelap dan penuh tragis berbanding apa yang kita ketahui sekarang. Dikatakan di sebuah kampong, tinggal dua orang pasangan suami isteri.Di belakang rumah mereka terdapat sebuah taman bunga yang luas terbentang dengan bunga yang cantik pada pandangan tapi malangnya dimiliki oleh seorang ahli sihir yang tua.

Kedua-dua pasangan suami isteri ini sudah lama mahukan anak. Mereka mencuba tahun demi tahun sehinggalah pada suatu hari si isteri berjaya mengandung. Si isteri yang mengandung mula mengidam inginkan bunga Rapunzel yang tertanam di taman bunga milik ahli sihir tersebut. Si isteri meminta suaminya untuk mengambil bunga tersebut, dan kerana sayangkan isterinya, si suami pun memanjat tembok ahli sihir tersebut dan mengambil bunga tersebut untuk isterinya.

Si isteri mengambil bunga tersebut dan memakannya. Oleh kerana sedapnya bunga Rapunzel itu, si isteri meminta isterinya untuk mengambil lebih banyak Rapunzel dari taman bunga sang ahli sihir. Tidak mahu mengecewakan isterinya, si suami memanjat lagi tembok ahli sihir tersebut tapi kali ini, ahli tersebut berjaya menangkap si suami. Si suami memberi penjelasan yang isterinya mengidam bunga Rapunzel dan meminta ahli sihir tersebut untuk melepaskannya kerana isterinya mengandung.

Ahli sihir itu bersetuju untuk melepaskan si suami dan mengizinkannya untuk mengambil bunga Rapunzel dari tamannya setiap hari, tetapi dengan syarat, anak yang isterinya kandungkan itu perlulah diberikan kepadanya selepas lahir. Si suami kerana terlalu takut akhirnya bersetuju dengan syarat tersebut dan pulang semula kepada isterinya tanpa memberitahunya apa-apa.

Apabila tiba masa untuk anaknya lahir, ahli sihir datang untuk mengambil anak perempuan itu. Dengan berat hatinya mereka menyerahkan anak perempuan itu kepada ahli sihir, dan ahli sihir tersebut menamakan anak itu sebagai Rapunzel dan mengambilnya sebagai anak sendiri.

Rapunzel membesar menjadi seorang budak perempuan yang sangat cantik dengan rambut panjang keemasan. Pada saat itu ahli sihir tersebut mula mengurung Rapunzel di sebuah menara tinggi dan setiap hari ahli sihir tersebut akan meminta Rapunzel untuk menurunkan rambutnya yang panjang supaya beliau dapat naik ke menara itu.

Pada suatu hari, seorang putera raja sedang bersiar-siar di hutan di tempat menara itu berdiri. Putera raja itu terdengar suara yang sangat lunak menyanyi di hutan itu. Putera raja itu cuba mencari dari mana datangnya suara tersebut, dan akhirnya beliau ternampak Rapunzel di atas menara menyanyi dengan suara yang sangat merdu sekali. Tetapi putera raja tidak menjumpai jalan masuk untuk ke menara itu dan akhirnya pulang kecewa kerana tidak dapat berjumpa dengan gadis di atas menara itu.

Putera raja itu datang setiap hari ke menara tersebut berharap beliau dapat bertemu dengan gadis idamannya sehinggalah beliau ternampak bagaimana ahli sihir itu menaiki menara tersebut menggunakan rambut Rapunzel. Apabila ahli sihir itu telah beredar, putera raja itu pula mencuba untuk menaiki menara itu. Rapunzel tidak mengesyaki apa-apa ketika beliau membawa naik putera raja itu ke atas. Pada mulanya Rapunzel takut, tapi setelah mengenali putera raja itu lebih mendalam, Rapunzel dan putera raja itu mula bercinta dan berjumpa setiap hari.

Perkara ini tidak disedari oleh ahli sihir itu sehinggalah pada suatu hari Rapunzel bertanya mengapa bajunya sudah mula tidak muat dan perutnya sudah mula membesar. Sedarlah ahli sihir itu yang Rapunzel sudah berlaku tidak senonoh di belakangnya. Ahli sihir itu berang dengan pengkhianatan Rapunzel dan beliau memotong rambut panjang Rapunzel dan menghalaunya ke hutan.

Petang itu ahli sihir itu menunggu putera raja tersebut dan dengan rambut Rapunzel yang sudah dipotong itu, ahli sihir itu mengangkat purera raja itu ke atas menara. Sebaik sahaja putera raja itu sampai, beliau dijerkah oleh ahli sihir tersebut dan memberitahunya bahawa Rapunzel sudah pergi buat selamanya. Putera Raja itu yang terlalu kecewa terjun dari menara tersebut dan menjadi buta akibat matanya tercucuk duri.

Putera raja itu menderita di hutan tersebut mencari buat hatinya dengan hanya memakan rumput dan ranting-ranting. Rapunzel juga menderita membesarkan anak kembar yang beliau baru sahaja lahirkan tanpa sebarang bantuan. Akhirnya kedua pasangan itu bertemu semula dan mengenangkan penderitaan mereka, Rapunzel menangis, tetapi air matanya berjaya menyembuhkan mata putera raja itu dan membolehkannya melihat semula.

Begitulah pengakhiran kisah tragis Rapunzel. Jika dilihat dan dibandingkan dengan kisah Her Story, kisah Rapunzel mempunyai banyak persamaan. Ahli sihir wanita itu adalah Hannah, putera raja itu adalah Simon dan Eve, adalah Rapunzel. Jadi benarlah Her Story adalah sebuah kisah dongeng. Tetapi mengapa begitu tragis?

Sebenarnya, kisah dongeng kebanyakannya dibuat dalam bentuk tragis sebagai satu kisah peringatan kepada kanak-kanak. Seperti juga bangsa Melayu yang mempunyai pantang larang seperti “jangan bermain di luar selepas maghrib”, “apabila makan duduklah tetap di satu tempat”, kisah dongeng dunia barat menjalankan fungsi yang sama; memberi peringatan dan pengajaran kepada kanak-kanak.

Jadi mesej yang ingin disampaikan dalam Rapunzel dan juga Her Story adalah jelas. Ianya berkenaan dengan seksualiti, nafsu dan kesan buruk daripadanya. Tetapi Her Story tidaklah terlalu ringkas. Disebabkan oleh epilog yang samar-samar, Her Story boleh membawa pengajaran yang pelbagai.

Jika anda menerima epilog “kembar”, pengajaran yang boleh didapati adalah mengenai hubungan kekeluargaan yang penting, tentang kesetiaan dan kesan buruk daripada sifat amarah. Tetapi jika anda menerima epilog “personality berbagai”, pengajaran yang boleh didapati adalah mengenai mengenali diri sendiri, tanggungjawab sebagai ibu bapa dan juga mengenai sindrom “Dissociative Identity Disorder” itu sendiri.

Her Story adalah sebuah karya yang hebat. Ia bukan sahaja dapat memecah tembok yang mustahil dan membina permainan video penyiasatan terulung, ia juga mempamerkan jalan cerita yang menarik, penuh pengajaran, dan pada pendapat saya boleh diumpamakan sebagai sebuah cermin sakti. Kerana tidak kiralah siapa ada, setiap yang bermain pasti akan mempunyai Her Story mereka sendiri.

Rujukan dan Bacaan Lanjut:

Chmielarz,Adrian (Ogos, 2015), “Deciphering Her Story” Medium

Fahertym (Oktober,2015), “Her Story – Analysis” Theory of Objective Video Game Aesthetics

Chmielarz,Adrian (Ogos,2015), “WHAT HER STORY TELLS US ABOUT THE CURRENT STATE OF VIDEO GAMES” TheAstronauts

Brown,Mark (Disember, 2015), “How Her Story Works | Game Maker’s Toolkit” YouTube

https://www.youtube.com/watch?v=EFvbN3K6EA8&t=167s

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.