Figura ini mempunyai kisah gemilang pada sekitar abad ke-16 di tanah Korea (Joseon). Kisahnya sebagai seorang ahli perubatan bijaksana banyak diabadikan ke layar perak dan layar kaca serta digambarkan dalam pelbagai versi. Artikel ini akan menceritakan kembali kisah figura bernama Heo Jun ini, serta sumbangan dan impak yang diberikannya kepada bidang perubatan di Korea.

Sejarah Awal

Heo Jun dilahirkan pada tahun 1539 di dalam sebuah keluarga pegawai ketenteraan yang terkenal pada waktu itu. Meskipun lahir dalam keluarga yang mewah dan cukup serba serbi, namun Heo Jun tetap mengalami diskriminasi dan dipandang rendah oleh golongan aristokrat serta ahli keluarga yang lain kerana ibunya hanyalah seorang gundik dan bukanlah isteri sah.

Sewaktu era pemerintahan Dinasti Joseon (1392-1897), anak yang tidak sah taraf dan dilahirkan oleh gundik kepada ahli aristokrat tidak boleh memegang taraf bapa mereka sebagai ‘yangban’ atau status terhormat dan hanya layak diberikan status ‘chungins’. Chungin atau rakyat pertengahan ini kebiasaannya merujuk kepada golongan yang bekerja sebagai pekerja biasa, atau juruteknik yang menjadi orang bawahan kepada yangban.  Dalam situasi Heo Jun ini, oleh kerana status beliau sebagai chungin, maka ia tidak memungkinkan dirinya untuk memegang jawatan sebagai pegawai kerajaan atau pegawai ketenteraan seperti bapanya.

Kisah lagenda di sebalik permulaan sebagai ahli perubatan

Sehingga ke hari ini, para pengkaji sejarah masih tidak dapat merungkai apakah motivasi serta penggerak yang menjadi sebab utama kenapa Heo Jun mengambil keputusan untuk mendalami bidang perubatan dan seterusnya menjadi ahli perubatan yang terkemuka di Joseon. Terdapat beberapa kisah lagenda yang pernah dikaitkan dengan bagaimana Heo Jun mula meminati bidang perubatan dan mula mempelajari bidang tersebut.

Salah satu kisah lagenda utama ini adalah ia bermula daripada kisah hidup Heo Jun yang sukar apabila kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia. Pada waktu itu, Heo Jun baru sahaja berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Isterinya telah mencadangkan agar beliau memulakan perniagaan di pasar, bermodalkan wang yang diperolehnya selepas bekerja sebagai tukang tenun.

Pada hari ketiga beliau berniaga di pasar, Heo Jun telah menemui seorang lelaki tua berambut putih dan meminta lelaki tua itu untuk mengambilnya sebagai anak murid. Dan, akhirnya, orang tua itu telah bersetuju untuk mengambilnya sebagai anak murid dengan satu syarat, iaitu Heo Jun harus meneruskan latihan dan pembelajarannya selama 10 tahun.

Pada tahun kelapan pembelajarannya, sewaktu ketiadaan gurunya itu, Heo Jun telah berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal. Namun, apabila gurunya itu kembali, beliau telah menyatakan kepada Heo Jun bahawa dia tidak seharusnya menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang telah ditakdirkan untuk mati itu.

Gurunya telah menghalau Heo Jun, dan beliau akhirnya pulang ke kampung halamannya. Bermula di kampung halamannya inilah Heo Jun memulakan kerjayanya dengan merawat dan mengubati orang kampung sehingga dikenali ramai dengan kehebatan dan kemahirannya.

Pada suatu hari, Heo Jun dikatakan telah menerima jemputan daripada maharaja China dan dalam perjalanannya menuju ke China, beliau telah menemui seekor harimau yang tercucuk pin rambut pada bahagian lehernya.

Menurut lagenda, Heo Jun telah membantu harimau tersebut dengan mencabut pin yang tercucuk itu dan sebagai balasannya, Heo Jun telah menerima jarum akupunktur, sebuah batu asah serta sehelai kain ajaib yang dipercayai boleh menghidupkan kembali orang yang telah mati.

Inilah kisah lagenda yang dikaitkan dengan kebolehan serta kemahiran Heo Jun dalam menggunakan teknik akupunktur dalam mengubati masyarakat pada waktu itu.

Kerjaya di Istana

Pada tahun 1571, ketika usianya mencecah 33 tahun, Heo Jun telah berjaya memasuki Naeuiwon, iaitu sebuah klinik diraja pada zaman Dinasti Joseon. Selepas itu, Heo Jun semakin cemerlang dalam kerjayanya sehingga dinaikkan pangkat dalam jangkamasa yang begitu cepat.

Pada tahun 1575, Heo Jun telah diberi peluang untuk merawat Raja Seonjo (1568-1608), iaitu raja ke-14 dalam Dinasti Joseon. Seterusnya, beliau telah dianugerahkan pangkat ketiga teratas (senior third) dalam jawatan tertinggi kerajaan selepas berjaya merawat penyakit cacar yang dialami oleh putera mahkota pada tahun 1590.

Sewaktu pencerobohan Jepun ke atas Korea atau dikenali sebagai Perang Imjin (1592-1598), kepercayaan Raja Seonjo terhadap Heo Jun semakin bertambah apabila beliau setia menemani Raja sepanjang peperangan berlangsung, berbanding para pegawai kerajaan lain yang melarikan diri demi menyelamatkan nyawa masing-masing.

Raja Seonjo telah menganugerahkan pangkat kedua teratas (senior second rank) selepas Heo Jun sekali lagi berjaya merawat penyakit putera mahkota pada tahun 1596. Menjelang tahun 1600, Heo Jun telah dilantik sebagai ketua bagi semua ahli perubatan dalam klinik diraja Naeuiwon.

Pada waktu inilah, Raja Seonjo telah mengarahkan beliau untuk menghasilkan sebuah buku perubatan untuk rakyat baginda, yang menderita akibat wabak penyakit selepas peperangan tamat. Baginda mahu Heo Jun menghasilkan buku yang menerangkan cara pencegahan penyakit serta formula ubat dan kaedah rawatan yang mampu untuk difahami meskipun oleh rakyat bawahan dan boleh digunakan oleh semua. Inisiatif yang dicadangkan oleh Raja Seonjo ini telah menjadi salah satu program kesihatan pertama untuk masyarakat awam pada zaman Dinasti Joseon.

Pada tahun 1608, Raja Seonjo telah mangkat. Para pegawai kerajaan lain yang cemburu dengan kerjaya cemerlang Heo Jun telah menyebarkan fitnah dan menuduh beliau bertanggungjawab ke atas kemangkatan Raja Seonjo. Heo Jun telah dibuang negeri ke Ulju, di mana beliau meneruskan penulisan buku seperti mana yang dikehendaki oleh Raja Seonjo. Pada tahun 1609, Raja Gwanghaegun, yang menaiki takhta selepas Raja Seonjo telah memanggil Heo Jun kembali ke istana walaupun ditentang oleh ramai pegawai kerajaan yang lain.

Sama seperti ayahandanya, Raja Gwanghaegun turut menghargai dan memandang tinggi akan kebolehan yang dimiliki oleh Heo Jun. Pada tahun 1610, Heo Jun akhirnya berjaya menyiapkan 25 naskhah/jilid Donguibogam selepas beberapa tahun menulis dan membuat kajian. Heo Jun telah menghabiskan keseluruhan usianya dengan memberi tunjuk ajar kepada para ahli perubatan muda yang lain di Naeuiwon sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1615.

Kisah Heo Jun dan Heo Im

Bagi anda yang pernah menyaksikan drama Korea bertajuk Live Up to Your Name Dr Heo, pasti akan mengingati watak utamanya, iaitu seorang ahli perubatan akupunktur bernama Heo Im (1570-1647). Namun, siapakah Heo Im ini yang sebenarnya dan apakah hubungannya dengan Heo Jun? Sebelum itu, kita akan menelusuri dahulu latar belakang Heo Im yang sebenarnya.

Heo Im, dilahirkan pada sekitar tahun 1570, dan berasal dari kelas bawahan. Bapanya seorang pemuzik jalanan manakala ibunya seorang hamba. Meskipun lahir dari golongan kelas bawahan, namun kerana minat serta usaha kerasnya dalam mempelajari bidang perubatan, beliau akhirnya berjaya menjadi seorang ahli akupunktur yang hebat dan terkenal pada zaman tersebut.

Heo Im dikenali ramai sebagai seorang anak muda yang agak aneh kelakuannya. Ketika ahli perubatan yang lain bergegas untuk memasuki istana selepas mendengar arahan daripada Raja, Heo Im masih boleh bersenang-lenang dan bersikap sambil lewa.

Sikapnya yang agak biadap telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pegawai kerajaan yang lain, dan menggesa Raja untuk menghukumnya. Namun, kerana kemahiran serta bakat yang dimilikinya, Raja tidak mempedulikan permintaan para pegawai yang lain dan mengekalkan kedudukan Heo Im sebagai ahli perubatan istana.

Kisah Heo Jun dan Heo Im ini dikatakan agak menarik, kerana ia merupakan suatu hubungan antara dua figura yang begitu mahir serta berkebolehan dalam bidang perubatan pada waktu itu. Heo Im begitu dikenali ramai dengan kemahirannya yang tersendiri dalam teknik akupunktur yang dikatakan diperolehnya sejak usia muda kerana dia sering berusaha untuk mengubati penyakit ibu bapanya.

Manakala Heo Jun pula terkenal dengan formula ubat-ubatannya yang tersendiri dalam merawat pelbagai penyakit. Heo Jun yang merupakan ketua di Naeuiwon turut mengakui kehebatan kemahiran Heo Im yang pada dirinya begitu berbeza berbanding ahli perubatan yang lain.

Pada ketika itu, Heo Jun telah berusia 58 tahun, manakala Heo Im baru berusia 34 tahun. Perbezaan usia serta pandangan antara mereka banyak mencetuskan konflik, dan hubungan mereka bukanlah dilihat seperti seorang mentor dengan anak murid, tetapi lebih seperti musuh. Heo Im turut menghasilkan dua buah buku berkaitan perubatan yang kemudiannya menjadi terkenal di China dan Jepun sebagai rujukan utama dalam bidang akupunktur.

Heo Jun dan Donguibogam

Buku perubatan terkenal hasil karya Heo Jun, Donguibogam ini bermaksud ‘Mirror of Eastern Medicine’ secara literalnya. Pada tahun 2009, Donguibogam ini telah diletakkan sebagai salah satu item warisan bagi UNESCO Memory of the World Register.

Buku ini dibahagikan kepada lima bab utama, iaitu Perubatan Dalaman, Perubatan Luaran, Kepelbagaian Penyakit, Rawatan Pemulihan dan Akupunktur. Setiap bab telah dihuraikan secara terperinci oleh Heo Jun dan menjadikannya antara buku perubatan unik yang pernah dihasilkan dalam sejarah Korea.

Donguibogam menjadi sakah satu harta yang paling bernilai bagi Korea kerana keaslian kandungannya serta kualiti dalam penulisannya. Malah, ia turut mengandungi pelbagai ilmu perubatan yang bernilai dan menunjukkan falsafah serta budaya pada abad ke-17 bagi Asia Timur.

Sebagai contoh, dalam bab Rawatan Pemulihan, Heo Jun telah menerangkan tentang pelbagai tumbuhan herba yang boleh membantu dalam proses rawatan penyakit. Beliau turut menerangkan secara terperinci bagaimana untuk mengekstrak, mengekalkan kesegaran herba serta mengambil herba tersebut.

Kesimpulan

Heo Jun telah dianggap sebagai seorang figura bijaksana dalam bidang perubatan dan banyak membantu pihak kerajaan dalam memberi pengetahuan buat ahli perubatan yang lain. Namun, apa yang paling diingati adalah kesetiaan beliau dalam menemani Raja serta semangatnya dalam membantu merawat penyakit bagi pelbagai golongan lapisan masyarakat di Joseon.

RUJUKAN:

Kim, H., Han, Y., & Kim, M. (2010). Donguibogam or DongUiBoGam : Is It Still a Different Book? – A Study on the Translation of Donguibogam into English Orthography -. The Journal of Korean Oriental Medicine, 31(6), 29–39.

Lee, T., Jung, W., Lee, I., Lee, Y., Lee, H., Park, H.,Chae, Y. (2014). Data Mining of Acupoint Characteristics from the Classical Medical Text : DongUiBoGam of Korean Medicine. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, 1–10.

Son, J. (2017). Heo Jun: brilliant physician in 16th century Korea.

Song, B., Won, J., & Kim, S. (2016). Historical Medical Value of Donguibogam. Journal of Pharmacopuncture, 19(1), 016–020.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.