Pada 8 Julai hingga 11 Julai 2018 yang lalu, Presiden Korea Selatan, iaitu Moon Jae In, bersama isterinya, Kim Jung Sook telah membuat lawatan kerja ke India bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi di antara kedua-dua buah negara melalui Korea-India Business Forum. Kedatangan Moon Jae In ini sebenarnya adalah kerana memenuhi jemputan daripada Perdana Menteri India, iaitu Narendra Modi. Kedatangan Moon Jae In ini sebenarnya secara tidak langsung telah menyingkap kembali sejarah mengenai seorang figura lagenda yang mempunyai hubungan silam antara kedua-dua negara, iaitu India dan Korea Selatan.

Moon Jae In dalam ucapannya telah mengenang kembali kisah lagenda seorang puteri dari India yang merantau ke Korea dan akhirnya berkahwin dengan Raja Kerajaan Gaya di Korea (Silla). Puteri lagenda yang dimaksudkan oleh Presiden Korea ini adalah Heo Hwang Ok atau nama sebenarnya, Puteri Suriratna. Puteri Suriratna ini sebenarnya berasal dari Kerajaan Ayodhya di India sebelum dilantik menjadi Permaisuri Heo Hwang Ok selepas berkahwin dengan Raja Sura dari Kerajaan Gaya (Karak) di Korea.

Permaisuri Kerajaan Gaya (Karak)

Kisah mengenai Heo Hwang Ok ini sebenarnya telah dinyatakan di dalam Samguk-yusa, atau Memoribilia of Three Kingdoms, sebuah koleksi catatan tentang sejarah, lagenda dan kisah-kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan tiga kerajaan di Korea (Goguryeo, Baekje dan Silla) serta negeri-negeri lain yang berada dalam taklukan mereka pada waktu itu. Kerajaan Gaya (Garak/Karak) merupakan sebuah negeri yang wujud pada sekitar tahun 42 Masehi sehingga 562 Masehi, yang dipercayai terletak di daerah Gyeongsang Selatan, berdekatan dengan Sungai Nakdong. Kerajaan Gaya pada hari merupakan daerah yang dikenali sebagai Gimhae.

Berdasarkan catatan di dalam Samguk-yusa, Kerajaan Gaya ini dikatakan terbentuk hasil penyatuan daripada sembilan buah kampung oleh Raja Suro, iaitu Raja Kerajaan Gaya.

Mitos tentang kelahiran Raja Suro ini seperti yang dikisahkan di dalam Samguk-yusa ialah baginda merupakan putera sulung daripada enam putera yang lahir daripada telur yang turun dari langit di dalam sebuah mangkuk emas berbalut kain merah. Raja Suro inilah yang telah mengetuai putera-putera yang lain dalam membangunkan enam buah negeri dan baginda sendiri menjadi Raja bagi Kerajaan Gaya.

Sementara itu, Puteri Suriratna pula merupakan seorang puteri yang berasal dari Kerajaan Ayodhya yang terletak di Uttar Pradesh, India. Pada asalnya, catatan di dalam Samguk-yusa menyatakan bahawa Puteri Suriratna atau Heo Hwang-Ok ini merupakan seorang puteri yang berasal dari Kerajaan Ayuta, namun rekod tidak menyatakan di manakah lokasi sebenar kerajaan berkenaan, meskipun banyak kisah serta sumber- sumber lain yang mengaitkan Ayuta dengan negara India. Ada beberapa orang pengkaji sejarah telah menyatakan bahawa Kerajaan Ayuta ini sebenarnya adalah Kerajaan Ayutthaya yang terletak di Thailand. Namun teori ini disangkal kerana kewujudan kerajaan di Thailand ini tidak dapat dikenalpasti sehinggalah pada 1350 Masehi, sedangkan pada waktu itu rekod catatan Samguk-yusa telah pun wujud.

Seorang ahli antropologi dari Universiti Hanyang,  iaitu Kim Byung-Mo akhirnya telah mengenalpasti Ayuta sebagai Ayodhya berdasarkan sebutannya yang hampir serupa. Nama Ayodhya ini dikenali sebagai Saketa pada zaman purba, namun kewujudannya diakui telah ada pada waktu yang sama dengan kewujudan rekod catatan Samguk-yusa. Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa Puteri Suriratna yang mengahwini Raja Suro ini adalah benar-benar berasal dari sebuah kerajaan yang berlokasi di India.

Menurut kisah lagenda, usia Heo Hwang Ok ketika perkahwinannya dengan Raja Suro ialah 16 tahun. Beliau menyatakan bahawa nama keluarganya ialah Heo atau Hurh, manakala nama yang diberi untuknya ialah Hwang Ok yang bermaksud Jed Kuning. Heo Hwang-Ok selepas perkahwinannya dengan Raja Suro telah menggambarkan bagaimana kali pertama beliau mendapat tahu bahawa beliau akan mengembara hingga ke Kerajaan Gaya. Beliau menyatakan bahawa ibu bapanya bermimpi tentang Sange Je (Dewa Langit) yang telah meminta mereka agar membawa Heo Hwang-Ok kepada Suro untuk dikahwinkan. Selepas menempuh perjalanan melalui jalan laut selama dua bulan, Heo Hwang-Ok akhirnya sampai dan menemui beondo, iaitu sejenis buah pic yang hanya muncul sekali dalam 3000 tahun.

Kisah lagenda ini turut menyatakan bagaimana Raja Suro mengetahui bahawa baginda akan mengahwini Heo Hwang Ok. Para penasihat Raja Suro dikatakan telah berkali-kali meminta baginda untuk memilih mana-mana gadis yang dibawa ke istana sebagai permaisuri, namun baginda menolaknya di atas alasan bahawa pemilihan baginda akan ditentukan oleh Dewa Langit dan bukan terletak dengan keputusannya sendiri. Raja Suro selepas mendapat petunjuk akhirnya telah mengarahkan pegawainya untuk menjemput Heo Hwang Ok yang tiba di kawasan Mangsan-do, sebuah pulau di bahagian selatan Kerajaan Gaya.

Perkahwinan Raja Suro bersama Heo Hwang Ok telah dikurniakan 12 orang anak, dan Heo Hwang Ok telah membuat permintaan agar dua daripada anaknya dapat menggunakan nama keluarganya, iaitu Heo. Sejarah juga menyatakan bahawa keturunan keluarga Heo yang berada di Gimhae kini merupakan pewaris kepada kedua-dua anak Raja Suro yang memakai nama keluarga Heo Hwang Ok ini. Malah, tapak perkuburan yang dipercayai milik Raja Suro dan Heo Hwang Ok ini berada di Gimhae, dan sebuah pagoda yang dikatakan dibawa bersama dalam kapal Heo Hwang Ok kini ditempatkan berhampiran tapak berkenaan.

Memorial Heo Hwang Ok di India

Pada tahun 2001, bekas Perdana Menteri Korea Selatan, iaitu Kim Jong-Pil telah menulis surat kepada Raja Ayodhya, iaitu Bhimlendra Mohan Pratap Mishra dan menyatakan bahawa lawatannya ke India sebagai sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya. Beliau juga menyatakan bahawa lawatannya ke Ayodhya itu sebagai telah memenuhi hasratnya sebagai generasi ke-72 bagi Heo Hwang Ok dan Raja Suro untuk melihat tempat asal usul permaisuri berkenaan.

Pada 4 hingga 7 November 2018 yang lalu, isteri Presiden Korea Selatan (First Lady) telah menghadiri upacara pecah tanah bagi pembinaan memorial rasmi bagi Permaisuri Heo Hwang Ok atau Permaisuri Suriratna di Ayodhya, India. Kehadiran beliau adalah sebagai tetamu utama bagi Festival Deepotsav yang diadakan di Ayodhya.

Kesimpulan

Kisah mengenai Permaisuri Heo Hwang Ok ini merupakan antara cebisan kisah bagaimana raja-raja di seluruh dunia memilih bakal permaisuri mereka daripada pelbagai keturunan dan bangsa. Keadaan ini sebenarnya mempunyai pelbagai kaitan dengan pengukuhan dari segi hubungan politik, ekonomi dan sosial antara pelbagai negara tersebut. Heo Hwang Ok adalah seorang puteri India yang mengembara jauh hingga ke Korea bagi mengahwini Raja Suro yang mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam sejarah penubuhan negara Korea Selatan.

Kebanyakan rakyat di Korea Selatan begitu mengagumi akan kisah unik lagenda perkahwinan antara Heo Hwang Ok bersama Raja Suro ini, malah kisah Raja Suro bersama permaisurinya ini telah dijadikan sebagai drama pada tahun 2010 melalui sebuah siri televisyen, yang bertajuk Kim Su-Ro, The Iron King.

Rujukan

Kim, T. (2005). The Cultural Characteristics of Korea’s Ancient Kaya Kingdom. International Journal of Korean History, 8, 169–221.

Lee, Y.-S. (2000). Recent Research Trends on The History of Kaya in Korea. International Journal of Korean History, 1, 1–16.

Mandhani, N. (2018). The Indian princess who became a South Korean queen. Retrieved November 24, 2018, from https://www.bbc.com/news/world-asia-india-46055285

Nagarajan, V. (2016). The legend of Heo Hwang-Ok, the first queen of Korea: Historizing her as the princess from India. In N. Kannan (Ed.), Historical, Acheological, Linguistic, Cultural and Bilogical Links Between Korea and India (pp. 1–137). Tamil Heritage Foundation Research.

Sharma, C. (2018). Who Is Heo Hwang-ok? Retrieved November 25, 2018, from https://www.youthkiawaaz.com/2018/11/are-south-koreans-born-out-of-this-indian-princess-from-ayodhya/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.