Negara kota Sparta dalam tamadun Yunani purba mempunyai hierarki sosial yang berbeza dengan kebanyakan negara-kota Yunani yang lain. Di puncak piramid sosial Sparta terdapat dua orang raja.

Kuasa mereka diseimbangkan oleh ‘majlis orang tua-tua’. Orang tua-tua ini pula dipilih dari kalangan kelas seterusnya, iaitu Spartiates. Kelas aristokrat ini kemudiannya disusuli oleh kelas pertengahan yang dipanggil sebagai Perioeci. Kelas yang paling bawah, juga yang merupakan kelas paling besar dalam kelompok masyarakat Sparta adalah kelas yang dikenali sebagai Helot.

Menurut seorang ahli geografi Yunani yang bernama Pausanias, nama Helot diambil dari sebuah kota yang bernama Helos. Kota ini dipercayai telah ditakluk oleh tentera Sparta dan penduduknya menjadi hamba awal mereka. Semenjak itu, kelompok-kelompok masyarakat yang diperhambakan oleh penduduk Sparta turut dikenali sebagai Helot.

Namun, sejarahwan Yunani yang bernama Thucydides memberikan catatan yang berbeza tentang asal-usul Helot. Menurutnya, Helot adalah keturunan Messenia yang diperhambakan oleh Sparta semasa Perang Messenia Pertama yang berlangsung pada kurun ke-8SM.

Catatan lain berkenaan asal-usul Helot boleh didapati dalam karya Strabo yang berjudul Geography. Menurut beliau, kelompok-kelompok masyarakat yang bernaung di bawah pemerintahan Sparta pada awalnya diberikan hak yang sama rata. Namun pada era pemerintahan Agis I, hak-hak ini dicabut dan mereka dipaksa membayar ufti. Kesemua mereka akur, kecuali penduduk Helus yang memberontak. Lantas, mereka dihancurkan dalam sebuah peperangan dan penduduknya diperhambakan.

Kuasa terletak di tangan Majlis Orang Tua-Tua, yang terdiri dari seramai 30 orang. Dua orang daripada mereka adalah raja yang mewarisi kuasa. Baki 28 orang yang lain dipilih oleh sebuah sidang

Walaupun Helot dianggap sebagai kelompok hamba, sejarahwan mendapati status mereka agak berbeza dengan golongan hamba di negara-negara kota Yunani yang lain. Misalnya di Athens, golongan hamba tidak dibenarkan mempunyai keluarga atau kelompok masyarakat tersendiri. Akan tetapi, Helot di Sparta dicatatkan mempunyai keluarga dan bahkan komunitinya yang tersendiri. 

Tambahan lagi, Helot tidaklah dimiliki secara peribadi. Sebaliknya, mereka dimiliki oleh negara (Sparta). Menurut Strabo, “Masyarakat Lacedaemonia (Sparta) menganggap Helot sebagai hamba-negara, memberikan petempatan khusus kepada mereka untuk melangsungkan kehidupan dan menetapkan khidmat yang khusus untuk mereka laksanakan.”

Memandangkan golongan lelaki Sparta dituntut supaya mendedikasikan hidup dalam latihan-latihan sukan dan ketenteraan, serta perang, politik dan memburu, maka mereka tidak berpeluang untuk meluangkan masa dalam aktiviti pertanian. Justeru, tugas menghasilkan makanan diserahkan kepada kelas Helot. Walaupun secara umumnya Helot adalah golongan petani, mereka juga boleh diberikan tugasan dalam hal-hal lain, seperti khadam (pelayan atau pengkhidmat) atau penjaga kuda.

Selain itu, Helot turut boleh dikerah dalam kerja-kerja ketenteraan semasa tempoh peperangan. Sebagai contoh, sejarahwan Yunani yang bernama Herodotus pernah mencatatkan bahawa bagi setiap 5000 orang Spartiate yang menyertai Pertempuran Plataea pada tahun 479SM, terdapat tujuh orang Helot bersenjata-ringan yang melindungi mereka. Dalam erti kata lain, secara keseluruhan terdapat seramai 35 000 orang Helot menyertai pertempuran tersebut.

Walaupun Helot memainkan peranan yang sangat penting dalam melicinkan kefungsian masyarakat Sparta, kelas-kelas lain tidak begitu bersenang hati dengan mereka. Berikutan jumlah Helot yang jauh melebihi bilangan kelas-kelas lain di Sparta, kemungkinan untuk mereka memberontak terhadap pemerintah sentiasa wujud.

Pemberontakan berskala besar pertama yang dilakukan oleh Helot berlaku sekitar tahun 665SM dan ia dikenali sebagai Perang Messenia Kedua (Perang Messenia Pertama berakhir sekitar 40 tahun sebelum konflik ini tercetus). Helot mengambil peluang atas kekalahan Sparta dalam Pertempuran Hysiae untuk melakukan pemberontakan ini. Sparta mengambil masa hampir 20 tahun untuk menundukkan kemelut tersebut.

Berikutan situasi yang berbahaya seperti ini, Sparta kemudiannya mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghindarkan Helot dari memberontak. Sebagai contoh, semasa Perang Parsi, Sparta tidak begitu berhasrat untuk menghantar pasukan hoplite mereka ke medan perang bagi membela kemerdekaan Greece. Keadaan ini disebabkan oleh kekhuatiran mereka kalau-kalau Helot akan memberontak semasa ketiadaan tentera elit Sparta.

Walaupun langkah-langkah berawas sebegini diambil, sejumlah pemberontakan Helot tetap berlaku. Misalnya semasa gempa bumi melanda Lembah Eurotas pada tahun 464SM, Helot memanfaatkan peluang tersebut untuk mencetuskan pemberontakan. Pemberontakan tersebut dianggap sebagai yang paling besar pernah dicatatkan.

Helot memperkuatkan kubu mereka di Gunung Ithome, yang dikepung oleh Sparta. Pengepungan ini hanya berakhir lima tahun kemudian apabila kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berdamai. Golongan Helot ini kemudiannya diambil oleh Athen dan mereka hidup di Naupactus, yang terletak di Teluk Corinthian.

Tapak di mana Sparta pernah berdiri, terletak di tebing Sungai Eurotas di Laconia, tenggara Peloponnese, Greece


Layanan penduduk Sparta terhadap Helot bertambah baik seiring peredaran masa. Mungkin hal ini merupakan satu kaedah untuk mengelakkan konflik daripada mereka. Helot sentiasa memasang harapan agar dimerdekakan, dan sejarah mencatatkan bahawa sekumpulan demi sekumpulan Helot dimerdekakan merentas masa.

Apapun, sistem perhambaan Helot ini runtuh pada kurun ke-4SM. Pada tahun 371SM, Sparta mengalami kekalahan memalukan dalam Pertempuran Leuctra.

Penduduk Thebes yang menang kemudiannya menyerang Peloponnese, dan golongan Helot yang berasal dari Messenia dibebaskan. Helot terakhir, iaitu Helot dari Laconia dimerdekakan pada lewat kurun ke-3SM, oleh Cleomenes III dan Nabis.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.