Helle Nice – Legenda F1 Yang Dilupakan

0
117
views

Sukan Formula 1 (F1) sentiasa menarik perhatian penonton dengan aksi-aksi perlumbaan yang mengujakan dari para pelumba. Tidak kiralah sama ada mereka berlumba untuk merebut kejuaraan pemandu atau berpasukan, kedudukan podium, mata kejohanan atau maruah, ia merupakan sesuatu yang menarik. Tetapi jika anda perasan, majoriti pelumba F1 merupakan lelaki dan tiada kelibat pelumba wanita yang menyertai perlumbaan hari ini. Tetapi tidak ramai tahu 80 tahun lepas, seorang wanita bernama Helle Nice mencetuskan fenomena dalam sukan lumba kereta.

Nice atau nama sebenarnya Helene Delangle dilahirkan pada tahun 1900 di sebuah perkampungan kecil bernama Aunay-sous-Auneau yang terletak 47 batu dari Paris. Minatnya terhadap sukan lumba kereta mula tercetus pada usia tiga tahun. Ini dicetuskan oleh memori perlumbaan epik Paris ke Madrid yang membabitkan 224 kereta dan pelumba. Antara pelumba yang terlibat ketika itu ialah pengasas Rolls Royce Charles Rolls, pengasas Lancia Vincenzo Lancia dan Renault bersaudara (Marcel dan Louis) yang bertanggungjawab menubuhkan Renault. Semasa kecilnya, beliau juga dikenali kerana sukakan cabaran dan bersedia melakukan apa saja untuk mengatasi cabaran yang dihadapinya.

Selepas berpindah ke Paris pada usia remajanya, antara pekerjaan pertamanya ialah sebagai model bogel untuk pelukis Rene Carrere. Carrere dikenali menerusi lukisannya yang digunakan untuk mempromosi program-program muzik. Melihat potensi dalam diri wanita ini, beliau menggalakkan Nice belajar tarian balet. Selepas berjaya menguasai tarian balet, sumber inspirasinya itu bukan saja muncul di papan iklan tetapi juga dalam dewan persembahan. Bagi Nice, persembahan di khalayak nampak mudah saja dan meningkatkan popularitinya dalam kalangan orang ramai. Dengan pendapatannya yang bertambah, ini membolehkan beliau membeli kereta pertamanya, sebuah kereta jenama Citroen.

Minatnya terhadap sukan lumba kereta semakin bertambah bila Nice bertemu dan berkawan rapat dengan pelumba kereta Henri de Courcelles. De Courcelles bertanggungjawab memperkenalkan litar-litar permotoran terkenal ketika itu kepada beliau. Ini berlaku tatkala sukan lumba kereta Grand Prix mula menjadi bualan orang ramai di Eropah. Bagi merealisasikan minatnya berlumba kereta, Nice cuba menyertai sebuah perlumbaan kereta di Brooklands, Surrey pada tahun 1921. Tetapi permohonannya ketika itu ditolak pihak penganjur atas alasan beliau seorang wanita. Alasan tersebut nyata menimbulkan kemarahan wanita yang terkenal dengan kecantikannya itu dan ia berterusan sepanjang dekad 20-an. Walaupun Nice dapat berlumba dalam sesetengah perlumbaan tetapi beliau tetap kecewa kerana tidak dapat berlumba secara sempurna dengan pelumba-pelumba lain.

Minat lumba keretanya itu disalurkan kepada sukan ski dan ia amat membantunya memuaskan keinginan berlumba dalam keadaan laju. Sementara itu, kerjayanya sebagai penari semakin berkembang dan kemuncak kepada kariernya itu ialah penglibatannya dalam persembahan Les Ailes de Paris (Wins Over Paris/Kemenangan Ke Atas Paris) pada tahun 1927. Tetapi langit tidak selalu cerah. Pada tahun 1929, Nice ditimpa kemalangan ski semasa bercuti dan mengalami kecederaan lutut yang teruk. Semasa kemalangan tersebut berlaku, beliau mendengar aktiviti runtuhan salji berlaku di belakangnya dan terpaksa melompat dari jarak jauh untuk mengelak kehilangan jiwa. Akibat kecederaan tersebut, Nice tidak boleh lagi menari atau berski. Tetapi keinginannya untuk mengatasi had laju mendorongnya memfokuskan diri sebagai pelumba kereta.

Kemenangan pertama

Pada tahun sama, perlumbaan Grand Prix Wanita diadakan buat pertama kalinya bagi meraikan perlumbaan hujung minggu membabitkan kaum Hawa. Acara tersebut dianjurkan oleh Journee Feminine de l’Automobile (Persatuan Wartawan Automobil Wanita) di Montlhery, sebuah litar pertama yang dibina khusus untuk lumba kereta. Nice bertekad menjadikan perlumbaan ini sebagai perlumbaan pertama yang dimenanginya dan mengelilingi litar sebanyak 10 kali dua kali sehari sebagai persediaan perlumbaan. Tetapi malam sebelum perlumbaan, Nice terlibat dalam satu malam liar membabitkan champagne, morfin dan seks.

Jika anda sangka aktiviti malam tersebut menjadi penghalangnya untuk menang, anda salah. Nice dapat memenangi perlumbaan tersebut dengan kereta yang diberi oleh pengeluar kenderaan Jules Daubecq. Daubecq berbuat demikian kerana melihat kelibat seorang wanita memandu keretanya merupakan satu bentuk strategi pemasaran dan dapat menaikkan lagi profil syarikat pengeluar kereta tersebut. Akhbar L’Intransigeant yang membuat liputan perlumbaan berkenaan menyebut dalam laporannya, “Pemanduannya amat menakjubkan: sesiapa yang melihatnya pasti tiada hujah yang menyatakan wanita kurang baik dari segi memandu berbanding lelaki.”

Figure 1: Nice bersama kereta lumba Bugattinya

Sehari selepas kemenangannya itu, Nice mendapat mesej dari syarikat pengeluar kereta Bugatti yang mahukannya sebagai pelumba kereta. Selepas tawaran syarikat itu diterima, wujudlah satu perkongsian yang bersifat menang-menang membabitkan kedua-dua belah pihak. Nice memandu kereta Bugatti dan berjaya memenangi perlumbaan Actors Championship, satu kejohanan yang berprestij dan turut disertai pelumba-pelumba lelaki. Sejak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan menjadi buruan syarikat-syarikat ternama. Nice dilamar menjadi duta produk syarikat tembakau Lucky Strike dan imejnya menjadi tumpuan utama dalam kebanyakan poster. Tidaklah mengejutkan bila tarafnya sama seperti individu-individu terkenal lain ketika itu seperti Charles Lindbergh dan Amelia Earheart di Perancis.

Ratu Bugatti

Untuk beberapa tahun berikutnya, nama Bugatti dan Nice semakin naik dan dikenali di seluruh dunia. Sekembalinya ke kampung halaman di Montlhery, beliau mencatat rekod kelajuan darat baru Bugatti iaitu 197.7 kilometer sejam. Pada tahun 1930, Nice bertolak ke Amerika Syarikat dan berlumba di litar-litar tanah merah dengan kereta buatan Miller yang mengandungi enjin supercas. Pada mulanya, beliau hanya berlumba sebagai pelumba pameran bergaji saja dan memandu tanpa memakai topi keledar. Alasan di sebalik tindakannya itu ialah memberi peluang kepada orang ramai melihatnya bila beliau memandu.

Selain Lucky Strike, syarikat bahan api Esso turut melamarnya sebagai duta produk mereka. Selepas penajaan itulah, media dan orang ramai melabelnya Ratu Bugatti. Walaupun sudah bertaraf jutawan dan dikenali di seluruh dunia, Nice tetap mahu dikenali sebagai pelumba kereta Grand Prix yang hebat dan tidak mahu dipandang rendah oleh pihak lawan. Pada perlumbaan pertamanya musim berkenaan, Nice berjaya menduduki tempat keempat di belakang pelumba-pelumba terkenal seperti Louis Chiron dan Rene Dreyfuss.

Waqaf Saham

Nice turut berlumba di Itali dan Perancis dan bagi setiap yuran penyertaan yang diterimanya, nilainya sama dengan $100,000 nilai hari ini bagi setiap perlumbaan yang disertai. Dan Nice sudah dianggap legenda kerana memenangi gelaran juara Grand Prix Wanita bukan sekali tetapi berkali-kali. Dalam acara lumba kereta lelaki, walaupun keretanya tidak pernah melintasi garisan penamat sebagai pemenang, Nice tetap menjadi tumpuan ramai sama ada pihak media, peminat atau syarikat-syarikat besar. Kadangkala, tumpuan yang diterimanya melebihi tumpuan yang diterima pelumba-pelumba lelaki ketika itu. Dan beliau juga sentiasa bersikap kompetitif dalam perlumbaan dan jarang sekali menghampakan peminat perlumbaan dengan aksi kejar-mengejar dan potong-memotong membabitkannya dengan pelumba lain.

Bencana Sao Paulo

Pada tahun 1933, Nice beralih arah dengan menyertai pasukan Alfa Romeo. Pada tahun itu juga, beliau berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan podium iaitu tempat ketiga semasa Grand Prix Monza di Itali. Tetapi perlumbaan tersebut diselubungi dengan tragedi yang menyaksikan tiga pelumba terbunuh dalam satu kemalangan. Hari tersebut diingati ramai untuk tahun-tahun berikutnya sebagai Black Sunday.

Dan tiga tahun berikutnya, Nice sendiri hampir-hampir terbunuh semasa berlumba di Grand Prix Sao Paulo, Brazil. Perlumbaan itu amat dinanti ramai peminat kerana beliau mempunyai ramai peminat di sana. Pada pusingan akhir perlumbaan, Nice berada di tempat ketiga dan sedang menghampiri pelumba Manuel de Teffe yang berada di tempat kedua. Tatkala beliau cuba memotong de Teffe, Nice cuba mengelak halangan jerami yang diletakkan sebagai penghadang antara perlumbaan dengan penonton tetapi gagal dan melanggar halangan tersebut. Dalam kemalangan berkenaan, enam orang penonton terbunuh dengan beliau sendiri dikatakan terbunuh dalam perlumbaan. Hakikatnya, Nice terselamat dan koma selama tiga hari. Namun, kecederaan parah yang dialaminya menyebabkan ramai pasukan pengilang tidak mahu mengambil risiko mengambilnya sebagai pelumba.

Namun, Nice enggan mengaku kalah dan cuba membuktikan dirinya boleh berlumba seperti biasa. Ini dibuktikan menerusi penyertaannya dalam ujian ketahanan Yacco membabitkan pelumba wanita di kampung halamannya, Montlhery. Dengan empat lagi pelumba sebagai satu pasukan, Nice dapat memandu selama 10 hari dan 10 malam sekaligus berjaya mencipta 10 rekod baru perlumbaan. Setakat ini, rekod berkenaan masih bertahan sehingga sekarang. Bagaimanapun, itu masih gagal menyakinkan pasukan pengilang untuk mengambilnya berlumba semula.

Mati dalam keadaan papa-kedana

Eropah kemudiannya dilanda Perang Dunia Kedua pada akhir tahun 1930-an dan berakhir pada tahun 1945. Tidak diketahui apa yang dilakukan Nice semasa tempoh tersebut dan ia masih menjadi sumber perdebatan. Yang pasti, satu tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sudah pasti tidak benar. Empat tahun selepas perang dan cuba kembali berlumba dalam arena Grand Prix Monaco, Nice dikejutkan dengan tuduhan yang dilemparkan Chiron bahawa beliau pernah bekerja sebagai ejen Gestapo.

Anda kena ingat, mana-mana warga Perancis dikatakan ada kaitan dengan rejim Nazi atau Vichy pimpinan Marshal Philippe Petain akan mendapat layanan buruk dari warga Perancis. Ini kerana pada pandangan mereka, orang sebegini juga layak digelar penjenayah walaupun tuduhan tersebut benar atau sebaliknya. Nice yang berang cuba mendesak bekas pesaingnya itu menarik balik tuduhan melulu yang dilemparkan terhadapnya. Tetapi cubaannya itu gagal kerana Chiron tidak dapat dihubungi berikutan sudah berada di luar negara. Tiada sebarang surat dari legenda lumba kereta Monaco yang menyokong tuduhannya itu. Tetapi itu sudah cukup mendorong pasukan pengilang dan keluarga untuk terus menjauhkan diri.

Untuk dekad-dekad seterusnya, Nice hidup susah dan ditinggalkan kekasihnya sendiri yang mahukan seorang wanita yang lebih muda dan jelita. Beliau dibelenggu masalah kemiskinan dan mendapat bantuan dari pertubuhan kebajikan artis – pertubuhan sama yang dibantunya semasa Nice masih aktif sebagai penari dan penghibur. Dan pada usia 75 tahun, beliau berpindah ke sebuah ruang loteng di satu kawasan di Nice. Kerana terlalu miskin, beliau terpaksa mengambil susu dari mangkuk susu kucing kerana tidak mempunyai sebarang makanan dan minuman. Pada usia 83 tahun, Nice menghembuskan nafas terakhirnya.

Nice seharusnya dikebumikan pada satu plot kubur milik keluarganya. Tetapi kerana cemburu, namanya tidak langsung tidak diletakkan pada batu memorial keluarga mereka. Ini memaksa pihak berkenaan terpaksa mengebumikannya di satu plot kubur tak bertanda. Hanya selepas dua dekad dan dengan bantuan Yayasan Helle Nice dan penulis buku Miranda Seymour, sebuah plak peringatan diletakkan pada kubur tak bertanda yang menempatkan mayatnya.

Legasi

Legasi Nice dalam sukan lumba kereta cuba diteruskan tetapi tidaklah sampai ke tahap kecemerlangan yang ditampilkannya. Satu-satunya wanita yang berjaya mendapat mata dalam sukan F1 ialah Lella Lombardi dari Itali semasa perlumbaan Grand Prix Sepanyol 1975. Ada juga yang berlumba dalam F1 dalam acara bukan kejohanan di mana salah satu perlumbaan dimenangi pelumba Afrika Selatan Desire Wilson. Ini menyebabkan salah satu kawasan tempat duduk di litar Brands Hatch di England dinamakan sempenan nama Wilson. Dan hari ini di Amerika Syarikat, Danica Patrick dikenali sebagai antara pelumba wanita yang kompetitif di litar.

F1 sendiri sebenarnya sudah cuba memberi peluang kepada pelumba wanita beraksi di litar. Pada tahun 1992, pelumba Brabham Giovanna Amati gagal mencatatkan masa kelayakan sebanyak tiga kali berikutan kekurangan pengalamannya dalam sukan berkenaan. 22 tahun selepas itu, giliran Suzanne Wolff memainkan peranan sebagai pemandu pembangunan dan pemandu uji bersama pasukan F1 Williams. Pencapaian Wolff dilihat lebih baik berbanding Amati semasa sesi latihan semasa musim 2014 dan 2015 tetapi itu tidak membawa kepada kenaikannya sebagai pemandu utama.

Siapa bakal menjadi penerus legasi Nice di litar lumba? Kita hanya perlu tunggu dan lihat kejohanan Siri Permotoran W yang akan dilancarkan pada tahun hadapan…

SUMBER

BBC. (2018). Helle Nice: The incredible life story of the first Women’s Grand Prix winner. https://www.bbc.com/sport/formula1/45796892

Previous articleCahaya Masa Hadapan- LiFi vs WiFi
Next articleMitos Disebalik 10 Muharram
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE