Moving Forward As One

Helikopter Pertama Di Marikh?!

421

Semua sedia maklum ketika ini, usaha penjelajahan ke planet Marikh sedang giat dijalankan di sebalik pandemik Covid-19. Bagi komuniti saintifik terutama dari disiplin astronomi, Marikh ialah sempadan terbaru yang perlu diatasi untuk aktiviti penjelajahan ke angkasa lepas. Salah satu usaha yang digerakkan ialah menggerakkan helikopter tanpa pemandu di planet merah itu.

Usaha ini digerakkan oleh Agensi Angkasa Lepas dan Aeroangkasa Kebangsaan (NASA) menerusi projek Ingenuity. Ingenuity ialah sebuah helikopter seberat 1.8 kg (680 gram di Marikh) dan setinggi 50 cm  yang dibawa ke planet tersebut menerusi misi Perseverance. Ingenuity mendarat di Kawah Jezero pada bulan lepas dan dijangka membuat penerbangan pertama pada 12 April ini. Begitupun, masalah teknikal membabitkan rotor helikopter memaksa ujian penerbangan Ingenuity ditangguhkan.

Menurut kenyataan rasmi NASA, masalah teknikal tercetus apabila komputer penerbangan cuba beralih daripada mod pra-penerbangan kepada mod penerbangan. Bagaimanapun, NASA memberi jaminan Ingenuity dalam keadaan baik dengan semua data telemetri yang diterima tidak terjejas.

Ingenuity dilancarkan dengan tujuan menguji teknologi baru untuk aktiviti penjelajahan angkasa lepas terutama di Marikh. Salah satu objektifnya ialah menguji sama ada helikopter tanpa pemandu ini dapat bertahan dalam suhu sejuk yang tinggi di planet merah itu dengan suhu waktu malam ialah -90 C. Selain cabaran suhu sejuk melampau, Ingenuity juga perlu terbang dalam atmosfera Marikh 100 kali ganda lebih nipis berbanding di bumi.

Untuk ujian penerbangan pertama Ingenuity, pengawal helikopter di NASA akan berusaha menerbangkannya ke udara pada paras tiga meter. Dari situ, Ingenuity akan berlegar di udara antara 20 hingga 30 saat sebelum mendarat ke permukaan Marikh. Sekiranya ujian itu berjaya, maka NASA akan menempa sejarah sebagai agensi pertama angkasa lepas mengadakan penerbangan di planet lain.

Selepas ujian penerbangan tersebut, NASA akan cuba menguji Ingenuity melakukan penerbangan tambahan termasuk meningkatkan jarak perjalanan dan ketinggian altitud penerbangan. Ia direka agar mempunyai kemampuan mandiri dan tidak memerlukan input kawalan daripada pusat kawalan NASA berikutan jarak bumi dengan Marikh. Isyarat radio mengambil masa lebih daripada 11 minit untuk sampai ke Marikh dari bumi.

RUJUKAN:

Badshah, N. (2021). Nasa preparing to attempt first controlled flight on another world. The Guardian.

Sumber gambar: Nasa/JPL-Caltech/PA

Ruangan komen telah ditutup.