Helikopter Dengan Fungsi ‘Ejection Seat’

698

Sekiranya anda seorang peminat dunia ketenteraan dalam bahagian pertempuran udara, anda pasti pernah mendengar mengenai fungsi “eject” di mana di saat-saat akhir sebelum pesawat terhempas, mahupun ketika ada masalah kegagalan enjin, dan kehilangan keupayaan untuk mengawal pesawat yang sudah rosak dari segi struktur atau sistem elektroniknya, juruterbang mempunyai pilihan untuk melentingkan diri daripada pesawat tersebut.

Untuk sesebuah pesawat pejuang, sudah tentu apabila juruterbang menarik picu untuk mengaktifkan ejection system, pelbagai mekanisme akan berlaku, semuanya dalam masa singkat (milisaat), di mana kanopi pesawat itu akan sama ada diletupkan, atau ditolak keluar, diikuti dengan sistem roket yang diaktifkan di bawah tempat duduk juruterbang yang akan memacu keluar juruterbang berkenaan bersama dengan tempat duduknya.

Para juruterbang mengalami perubahan dan daya tujahan sebanyak 12 – 14G (dalam unit G-Force) yang mana kadangkala menyebabkan kepatahan pada tulang belakang akibat daya yang terlalu kuat ini. Compression fracture (retakan) pada tulang belakang merupakan salah satu komplikasi yang boleh berlaku pada juruterbang berkenaan.

Jadi, mengapakah sistem ini tidak diimplikasikan dalam sesebuah helikopter? Sudah tentu perkara ini agak mustahil, memandangkan helikopter mempunyai bilah kipas yang betul-betul terletak di atas kokpit juruterbang, dan jika difikirkan secara logik akal, tujahan ke atas menggunakan roket akan menyebabkan pelanggaran juruterbang dengan bilah kipas yang berpusing dengan kelajuan revolution per minute (RPM) yang tinggi.

Akan tetapi, sistem ini berjaya dibina di dalam sebuah helikopter milik Rusia yang bernama Kamov Ka-50 Black Shark. Helikopter ini direka pada tahun 1980-an dan memulakan perkhidmatannya bersama askar Rusia pada tahun 1995. Versi lain helikopter ini adalah Kamov Ka-50-2 Erdogan (nama ini amat unik memandangkan terdapat persaingan di antara Russia dan Turki untuk mengeluarkan helikopter perang terhebat) dan juga Kamov Ka-52 Alligator yang mempunyai tandem-seating (juruterbang duduk sebelah menyebelah). Helikopter ini merupakan helikopter pertama yang mempunyai sistem ejection.

Bagaimana mekanisme ejection mereka ini? Sistem yang dihasilkan bersama syarikat Zvezda Research and Production Enterprise Joint Stock Company yang terletak di Moscow ini bernama NPP Zvezda K-37-800 ejection system. Apabila picu ejection ditarik, bahagian rotor yang memegang bilah helikopter ini akan berputar dengan perlahan sebelum letupan kecil yang menyebabkan kesemua bilah kipasnya ditanggalkan menjauhi helikopter ini.

Kemudian, bahagian kanopi yang yang menutup juruterbang akan tercabut, dan roket di bahagian bawah tempat duduk kedua-dua juruterbang akan diaktifkan, memacu mereka keluar daripada pesawat sambil mengeluarkan payung terjun, untuk memastikan keselamatan di tahap maksimum kedua-dua juruterbang ini (mengikut model). Anda perlu memahami bahawa segala mekanisma yang berlaku ini adalah dalam durasi dan tempoh milisaat. Sistem ini boleh diaktifkan pada kesemua ketinggian termasuk pada ketinggian sifar paras laut.

Video pendek mengenai mekanisma ejection ini boleh ditonton di pautan ini: https://www.facebook.com/onnazli/videos/170204874027768/

Helikopter ini masih digunakan oleh tentera udara Rusia dan Mesir. Ia merupakan antara helikopter yang agak berjaya di dalam misi-misi peperangan dan peninjauan (reconnaissance) di seluruh dunia setakat ini.

Reka bentuknya yang unik, serta kreativiti pereka jentera ini yang meningkatkan lagi isu keselamatan juruterbang, merupakan salah satu perkara yang boleh dibanggakan memandangkan latihan yang harus ditempuhi oleh seseorang untuk bergelar juruterbang banyak memakan masa dan jumlah kos yang amat tinggi.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.