Hebatkah Kuasa Doa?

591

Berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut malahan dapat ditemukan banyak nas- nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan serta kelebihan berdoa bahkan menjadi senjata rahsia orang-orang beriman.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Al-Ghafir:60)

Daripada ayat ini dapat difahami juga bahawa berdoa merupakan suatu arahan Allah dan Allah turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya.

Imam Ibn ‘Asyur mengatakan bahawa ayat ini merupakan satu dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ianya menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara umat islam.

Kata Ibnu Kathir bahawa inilah kurniaan Allah kepada hamba-Nya untuk berdoa dengan jaminan untuk mengabulkan doa hamba-hamba-Nya.

Pernah berlaku suatu ketika seperti mana yang diambil daripada hadith baginda ﷺ  yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawasanya ada tiga orang sedang melakukan satu perjalanan untuk mencari sesuatu bagi keluarga mereka kemudian turunnya hujan dengan lebat sehingga mereka terpaksa berlindung di sebuah gua di atas gunung. Ketika itu dengan secara tiba-tiba batu besar jatuh lalu menutupi mulut gua keseluruhannya.

Lalu salah seorang daripada mereka berkata, “Tampakkanlah amalan saleh yang kalian lakukan lalu berdoalah”.

Lantas bangun seorang daripada mereka lalu berdoa, “Ya Allah, aku mempunyai dua orang tua yang lanjut usia mereka, seorang isteri dan dua anak. Akulah yang memelihara mereka dan apabila aku datang menemui merkea maka aku perahkan susu dengan dimulakan kepada kedua ibubapaku .”

“Sesungguhnya tempat penggembalaanku sangat jauh hingga satu ketika aku pulang pada waktu malam dan mendapati mereka sudah tertidur. Lalu aku membawa susu seperti biasa dan berdiri berdekatan mereka . Aku tidak memberi kepada isteri dan anakku walaupun mereka merengek di hadapanku sehinggalah terbit fajar.”

“Seandainya menurut-Mu, aku melakukan itu kerana mengharapkan keredhaan-Mu, maka geserlah batu ini sehingga kami dapat melihat langit.” Lalu Allah membuka sedikit pintu gua dengan menggeser batu tersebut. (Tetapi masih sempit).

Kemudian lelaki berikutnya pula memohon, “Ya Allah! Dahulunya bapa saudaraku mempunyai seorang putri yang sangat kucintai. Suatu hari aku memintanya agar dia menyerahkan dirinya kepadaku akan tetapi dia menolak kecuali jika kau memberikan kepadanya 100 dinar.”

“Demi dia yang kucintai aku berusaha sehingga cukup 100 dinar lalu aku mendatanginya dengan wang tersebut. Lalu perempuan itu berkata, “Wahai Hamba Allah! Takutlah engkau kepada Allah dan janganlah engkau pecahkan cincin (keperawanan) kecuali dengan cara yang hak.”

Lelaki itu berkata, “Ketikamana aku mendengar ucapannya maka aku lantas meninggalkannya. Maka jika menurut Engkau yang aku lakukan itu kerana mengharapkan keredhaan-Mu. Geserkanlah batu ini dengan lebih luas agar kami dapat melihat langit”. Maka Allah membuka pintu gua dengan lebih besar tersebut namun belum dapat mereka keluar.

Tiba giliran orang ketiga lalu dia berdoa, “Ya Allah! Aku pernah mempunyai pekerja dan ketika dia menyelesaikan kerjanya maka dia berkata, “berilah hak(upah) aku!”.

Maka aku memberinya namun dia tidak berminat dan meninggalkannya. Lalu aku kembangkan wangnya hingga dapat membeli seekor lembu dan penggembalanya kemudian dia datang dan seraya berkata, “Bertakwalah kepada Allah dan janganlah engkau aniayai hakku!”

Aku menjawab, “Ambilah lembu ini dan penggembalanya”. Kemudian dia berkata, “Bertakwalah kepada Allah dan jangan mempermainkan aku”. Aku membalas, “aku tidak main-main. Ambilah lembu ini dan penggembalanya”. Maka dia mengambilnya lalu beredar.

Seandainya Engkau menilai bahawasanya yang aku lakukan itu demi Redha-Mu, maka bukalah pintu ini. Maka Allah membuka kepada mereka pintu gua sehingga mereka dapat keluar.

[HR Bukhari (2272) dan Muslim (2743)]

Ini menunjukkan keberkesanan tawassul dengan amal soleh, yakni dengan menjadikan amal soleh sebagai perantara di dalam doa kita dan kesannya dapat dilihat dengan cepat.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.