Tahukah anda bahawa dalam sejarah negara kita ada tercatat dua hartal yang menjadi kekeliruan bagi segelintir masyarakat Malaysia? Latar tempat, latar masa, objektif, dan pihak yang terlibat semuanya berbeza. Masyarakat Malaysia seharusnya maklum akan kedua-dua hartal yang berlaku pada tahun 1947 dan pada tahun 1967.

Sebahagian besar daripada masyarakat Malaysia maklum tentang Hartal Pulau Pinang yang berlaku pada tahun 1967 sehinggakan ada yang tanpa usul periksa atau tanpa sengaja telah memasukkan kisah Hartal 1947 ke dalam Hartal 1967.

Perkataan “Hartal” ini asalnya dari India yang bererti mogok untuk menjauhkan jalan kekerasan. Hartal bermaksud pemogokan umum iaitu penutupan kedai dan lain-lain sebagai bantahan terhadap sesuatu.

Apabila kita melihat Hartal 1947, automatik kita tahu peristiwa tersebut berlaku dalam tempoh Malayan Union. Namun begitu, Hartal 1947 berkait rapat dengan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Hartal 1947 ini dilaksanakan oleh gabungan AMCJA-PUTERA yang merupakan gabungan pertubuhan Melayu dan pertubuhan bukan Melayu yang pertama dalam sejarah tanah air kita sebelum kewujudan Parti Perikatan yang awal (UMNO-MCA) dan Barisan Sosial yang merupakan gabungan Parti Buruh Malaya dengan Parti Rakyat Malaya (PRM).

GABUNGAN AMCJA-PUTERA

(All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) merupakan gabungan pergerakan Cina berhaluan kiri ditubuhkan pada tahun 1946 dengan nama asalnya Pan Malayan Council of Joint Action (PMCJA). Pada tahun yang berikutnya, PMCJA ditukar kepada AMCJA.

Pertubuhan yang menyertai AMCJA ini ialah Pan-Malaya Federation of Trade Union, New Democratic Youth League, Malayan Democratic Union, Ex-MPAJA Comrades Association, Women Federation dan Malayan Indian Congress.  AMCJA dipengerusikan oleh Tan Cheng Lok.

Pada 22 Februari 1947, Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA merupakan gabungan pertubuhan sayap kiri Melayu yang terdiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API), Gerakan Angkatan Muda (GERAM), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), dan Hizbul Muslimin.

Pak Sako atau nama penuh beliau Ishak Haji Muhammad telah dilantik sebagai ketua gabungan tersebut. Penubuhan PUTERA merupakan inisiatif untuk memperkasa pergerakan haluan kiri di Tanah Melayu.

AMCJA menentang kerajaan British kerana pertubuhan ini mempunyai misinya yang tersendiri. AMCJA menentang cadangan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang telah dirangka bersama oleh kerajaan British, UMNO, dan Raja-raja Melayu.

Dari sudut yang lain, AMCJA sebenarnya bercita-cita ingin membentuk sebuah negara sendiri yang terdiri daripada Singapura dan Tanah Melayu yang mempunyai kerajaan sendiri dan taraf kewarganegaraan yang sama rata bagi semua orang.

Hal ini adalah kerana syarat-syarat kewarganegaraan yang terdapat dalam Persekutuan Tanah Melayu memperlihatkan kesukaran bagi sebahagian masyarakat mereka untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan jika Persekutuan Tanah Melayu terbentuk.

Syarat-syarat Kerakyatan di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini diperketatkan lagi melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Dengan kuatkuasa undang-undang mereka yang berikut secara automatik boleh menjadi warganegara;

  1. Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.
  2. Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan selama 15 tahun terus-menerus.
  3. Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal selama 15 tahun terus-menerus.
  4. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat istiadat Melayu dalam kehidupan sehari-hari.
  5. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu di mana kedua ibu bapanya dilahirkan serta telah tinggal selama 15 tahun berterusan.

Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;

  1. dilahirkan di Persekutuan dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan
  2. Telah tinggal di Persekutuan selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon- pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan, dan mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik.

Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.

Atas sebab inilah, AMCJA berasa bahawa mereka perlu mengambil tindakan bagi menjamin kelangsungan hidup masyarakat bukan Melayu.

Namun begitu, AMCJA menyedari bahawa adalah mustahil untuk mereka mencapai hasrat tersebut kerana mereka tidak mempunyai sokongan daripada orang Melayu. Justeru, AMCJA berusaha untuk mendekati pertubuhan Melayu seperti PKMM. Daripada usaha inilah wujudnya gabungan AMCJA-PUTERA.

Persetujuan untuk bergabung dengan AMCJA dibuat kerana PUTERA beranggapan bahawa adalah satu keperluan bergabung dengan AMCJA memandangkan AMCJA juga menentang kerajaan British.

PERLEMBAGAAN RAKYAT

Selepas bergabung, tindakan pertama AMCJA-PUTERA adalah mencadangkan dan merangka Perlembagaan Rakyat. Perlembagaan ini merupakan hasil perbincangan selama tiga hari antara Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhammad, Tan Cheng Lock, J. A. Thivy, Ahmad Boestamam, Chan Loo dan Gerald de Cruz.

Cadangan perlembagaan itu merupakan cadangan yang diterima oleh semua bangsa. Perlembagaan Rakyat ini dicadangkan bagi menggantikan Malayan Union yang menimbulkan kontroversi hebat di Tanah Melayu pada tahun 1946.

Perlembagaan Rakyat menggariskan 10 prinsip untuk membantu Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri tanpa naungan kerajaan British:

  1. Singapura hendaklah disatukan dengan Malaya.
  2. Satu kerajaan pusat dan majlis-majlis negeri yang dipilih.
  3. Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar dan bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat.
  4. Satu perlembagaan baharu bagi Malaya menyediakan keistimewaan tertentu bagi kemajuan orang Melayu dari segi segi politik dan ekonomi.
  5. Adat istiadat Melayu dan hal ehwal agama Islam dikawal sepenuhnya oleh orang Melayu melalui Majlis Khas.
  6. Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup mencurahkan kesetiaannya tanpa berbelah bahagi.
  7. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal bagi Malaya.
  8. Pertahanan dan hal ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawba bersama kerajaan Malaya dan kerajaan British.
  9. Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.
  10. Merah putih haruslah dimasukkan sebagai latar belakang bendera kebangsaan Malaya.

Banyak pihak yang beranggapan bahawa Perlembagaan Rakyat merupakan perlembagaan terbaik pada masa itu kerana memberikan manfaat kepada semua pihak. Namun begitu, setelah Perlembagaan tersebut dikemukakan kepada kerajaan Britih, kerajaan British menolak idea tersebut.

Dari sudut kaca mata British, Perlembagaan Rakyat itu merupakan satu cara halus untuk menghalau British dari Tanah Melayu. Dato’ Onn sendiri berpendapat bahawa kedudukan politik orang Melayu perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum memiliki kerajaan sendiri.

Keadaan ini dilihat oleh segelintir pihak sebagai satu gambaran kerisauan tentang kerajaan British dan golongan elit Melayu akan terjejas. A.J.Stockwell dalam  “British Policy And Malay Politics During The Malayan Union Experiment1942-1948” dan Rustam A. Sani dalam “Robohan Nasionalisme Melayu: Asas Sosial Bagi Terbentuknya Ideologi Perpaduan Nasional” berpendapat bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan melalui kerjasama politik yang melibatkan kepelbagaian kaum lebih menyerlah atas usaha golongan haluan kiri.

Pendapat ini didasarkan pada pandangan “mereka yang bukan UMNO lebih memahami prinsip kemerdekaan yang sebenarnya dan lebih mengerti betapa perlunya satu perlembagaan asli yang lahir daripada pandangan semua kaum di Tanah Melayu.

HARTAL  SEMALAYA

Rentetan daripada kegagalan untuk mewartakan Perlembagaan Rakyat, gabungan AMCJA-PUTERA lebih agresif keradikalan mereka. Penolakan kerajaan British tersebut langsung tidak melemahkan semangat mereka sebaliknya menjadi kekuatan kepada gabungan ini.

Gabungan AMCJA-PUTERA mengambil keputusan untuk melancarkan satu mogok besar-besaran yang dipanggil hartal. Keputusan hartal itu diuaruarkan ke segenap pelosok sama ada secara lisan ataupun tulisan. Tindakan mogok besar-besaran ini dirancang dengan begitu teliti.

Propaganda Hartal bermula pada 7 Oktober 1947 dengan menghantar Panduan Hartal yang menerangkan langkah-langkah untuk menjalankan dan menjayakan Hartal dan ‘12 Slogan Hartal’ kepada semua media, semua badan yang bergabung dengan AMCJA-PUTERA, dan 30 pusat gerakan yang terdapat di seluruh Malaya. Propaganda tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa yang lain kemudian diedarkan kepada rakyat.

(Pada 15 Oktober 1947, PUTERA-AMCJA telah mengeluarkan 12 Slogan/Cogankata Hartal kepada pihak media, merumuskan sebab-sebab utama hari hartal dijalankan untuk digunakan oleh rakyat dalam poster serta sepanduk menjelang hari hartal nanti. Berikut merupakan 12 slogan/cogankata hartal yang disiarkan menerusi akhbar Malaya Tribune bertarikh 16 Oktober 1947 dan akhbar Utusan Melayu bertarikh 17 Oktober 1947.)

Sumber: Akhbar Malaya Tribune, 16 Oktober 1947 dan akhbar Utusan Melayu, 17 Oktober 1947

12 slogan tersebut ialah:

  1. 20 Oktober ialah hari hartal!
  2. Pada 20 Oktober kamu harus sokong cadangan-cadangan Perlembagaan Rakyat yang disusun oleh Majlis Bergerak Serentak dan Pusat Tenaga Rakyat!
  3. Segala bangsa bersatulah menentang cadangan-cadangan Perlembagaan yang dipinda oleh pemerintah pada 20 Oktober ini!
  4. Cadangan-cadangan Perlembagaan yang dipinda itu menentang kepentingan rakyat jelata!
  5. Tiap-tiap bangsa harus menjayakan hari hartal 20 Oktober!
  6. Leburkan dasar pecah-belah kemudian memerintah dengan satu-padu pada 20 Oktober!
  7. Bersama-samalah menjayakan hartal untuk kepentingan kamu pada 20 Oktober ini!
  8. Cadangan-cadangan yang disusun oleh rakyat sendiri adalah berdasarkan demokrasi!
  9. Cadangan-cadangan Perlembagaan Rakyat memperjuangkan hak tiap-tiap seorang yang mensifatkan Malaya sebagai tanahairnya!
  10. Cadangan-cadangan Perlembagaan yang dipinda oleh Jawatankuasa 12 Orang itu mencabul kedaulatan rakyat!
  11. Cadangan-cadangan Perlembagaan yang dipinda oleh pemerintah hanya menguntungkan penjajahan British!
  12. Berjayalah PUTERA dan Majlis Bergerak Serentak Se-Malaya pada 20 Oktober!

Usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap hartal juga dilakukan oleh jawatan kuasa yang ditubuhkan di setiap negeri. Jawatan Kuasa Hartal ini masuk ke ceruk kampung untuk mengedarkan poster dan risalah bagi menerangkan faktor pelaksanaan Hartal.

Pada 20 Oktober 1947, bermula dari jam 6 pagi, seluruh Malaya telah berhartal. Peniaga tidak membuka kedai, buruh tidak turun ke lombong, pekerja tidak pergi ke kilang dan pelabuhan, penoreh tidak keluar menoreh, petani tidak turun ke bendang, nelayan tidak turun ke laut, suri rumah tidak turun ke pasar, pemuda-pemudi tidak turun ke taman-taman hiburan. Hanya pejabat Kerajaan Kolonial, syarikat perniagaan Eropah, dan beberapa kedai-kedai sahaja yang berjalan seperti biasa.

IMPLIKASI DAN KEBERKESANAN HARTAL 1947

Hartal yang dijalankan selama sehari itu dilaksanakan dengan cemerlangnya walaupun mendapat amaran daripada pihak berkuasa. Sayangnya, Kecemerlangan itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada pendirian kerajaan British dalam hal perlembagaan. Kerajaan British terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah dirangka. Maka, pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan secara rasminya.

Ekoran daripada itu, AMCJA-PUTERA  memasuki fasa kesudahan dalam plot membentuk negara dan kerajaan sendiri. Kesudahan yang merupakan memori pahit bagi setiap pihak yang terlibat. Untuk mengekang AMCJA-PUTERA daripada mengambil tindakan yang selanjutnya selepas pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu, kerajaan British telah mewujudkan satu undang-undang baharu yang drastik iaitu Undang-undang Darurat pada 18 Jun 1948.

Beribu-ribu orang pemimpin dan anggota PUTERA-AMCJA telah ditangkap. Ramai yang merengkok bertahun-tahun dalam tahanan dan ramai juga yang dibuang negeri. Kebanyakan badan politik dalam PUTERA-AMCJA telah diharamkan atau dibubarkan.

Walaupun begitu, Hartal 1947 telah berjaya memberikan pengajaran kepada kerajaan British dari sudut ekonomi. Kerajaan Kolonial British telah dianggarkan menanggung kerugian sebanyak 4 juta pound sterling.

Konklusinya, kegagalan Hartal 1947 bukanlah disebabkan oleh kesilapan AMCJA-PUTERA dalam sepanjang proses pelaksanaannya. Akan tetapi, kegagalan tersebut adalah disebabkan kuasa kerajaan British yang lebih bijak memanipulasi situasi. Namun begitu, gabungan AMCJA-PUTERA dilihat sebagai pencetus kepada gabungan golongan radikal Melayu dan bukan Melayu. Gabungan ini mungkin juga menjadi ilham kepada senario politik di negara kita lewat belakangan ini.

RUJUKAN:

  1. http://journalarticle.ukm.my/348/1/tesis_jebat.pdf
  2. 2. http://10tahun.blogspot.com/2007/09/artikel-asal-untuk-akhbar-sun-1-ogos.html
  3. https://ikatanpenulisindipenden.wordpress.com/2010/02/06/hartal-malaya-sejarah-yang-tak-didendangkan/
  4. https://pekhabar.com/h-i-d-s-pmcja-ditubuhkan/
  5. https://asklegal.my/p/federal-constitution-peoples-constitutional-proposals-malaya-amcja
  6. http://web.usm.my/kajh/KAJH%2017/KAJH%20Art%204%20(65-89).pdf
  7. https://newmalaysianpost.com/2015/04/06/propaganda-hartal-1947-menentang-perlembagaan/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah. Berkelulusan Pengajian Melayu (major dalam Linguistik Melayu) di UM. Sejarah, bahasa, sosiobudaya, dan pendidikan merupakan isu yang boleh menarik perhatian mata, hati dan minda. Segala pengetahuan hanya asas dan baru mula mengintai ruang untuk menulis.

Comments are closed.