Sebut saja harta karun, kita boleh bayangkan kekayaan yang melimpah ruah yang disembunyikan di tempat-tempat terpencil dan tidak diketahui orang seperti dipaparkan dalam banyak filem dan siri televisyen. Dan sehingga hari ini, masih ada khazanah yang masih belum dijumpai dan terus menimbulkan minat orang ramai dari 13 lukisan yang dicuri dari Muzium Isabella Steward Gardner hinggalah harta karun Jeneral Tomoyuki Yamashita. Sebut tentang harta jeneral Jepun semasa Perang Dunia Kedua (WWII) ini, ia menimbulkan polemik dalam kalangan ramai pihak sehinggalah ia menjadi rebutan antara seorang pembuat kunci dengan diktator Filipina, Ferdinand Marcos.

Seperti mana rejim Nazi Jerman ketika era WWII, Jepun juga tidak ketinggalan melakukan penjarahan dan merampas khazanah-khazanah berharga di Asia Pasifik terutama di rantau Asia Tenggara. Menurut penulis dan sejarawan Sterling Seagrave menerusi dua bukunya bertajuk The Yamato Dynasty: The Secret History of Japan’s Imperial Family (2000) dan Gold Warriors: America’s Secret Recovery of Yamashita’s Gold (2003), aktiviti penjarahan ini juga bersifat skala besar di mana hasil penjarahan akan dibawa ke Jepun untuk membiayai usaha perang. Sterling dan isterinya yang juga penulis bersama dua buku itu, Peggy Seagrave turut mendakwa aktiviti ini membabitkan ramai figura termasuk ketua yakuza (organisasi jenayah terancang Jepun) terkenal, Yoshio Kodama dan Maharaja Hirohito sendiri.

Seperti mana rejim Nazi Jerman, kebanyakan harta rampasan ini diambil dari bank-bank, depositori, premis-premis komersial, muzium-muzium, rumah-rumah kediaman dan pusat-pusat keagamaan. Pada mulanya, ia dikumpul terlebih dahulu di Singapura sebelum kemudiannya dibawa ke Filipina. Mengikut rancangan, selepas tamat perang, harta rampasan ini akan dibawa ke Jepun tetapi hasrat tersebut terbantut atas satu sebab: gangguan armada perang pihak Bersekutu dipimpin Amerika Syarikat. Bukan sekali kapal-kapal dagang Jepun ini ditenggelamkan sama ada oleh bom pesawat udara atau terkena torpedo kapal selam. Dan berdasarkan pemerhatian pasangan Seagrave, sesetengah kapal yang ditenggelamkan ini dikatakan membawa harta rampasan perang Jepun.

Keadaan ini memaksa pihak Jepun menyembunyikan harta rampasan perang ini di tempat-tempat terpencil dan tidak diketahui orang seperti bunker bawah tanah dan gua sehingga keadaan kembali tenang. Tetapi dengan kekalahan Jepun pada tahun 1945, sebarang usaha membawa keluar harta berkenaan hancur berkecai. Ini ditambah kebanyakan figura yang mengetahui lokasi harta yang tersembunyi terbunuh dalam peperangan atau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan jenayah perang. Yamashita sendiri kemudiannya dihukum mati pada tahun 1946 selepas didapati bersalah atas dakwaan jenayah perang.

Dan seperti biasa, wujud pihak yang merasa skeptik harta karun Yamashita ini benar-benar wujud atau tidak. Ini kerana bukan sekali ramai pihak mengeluarkan belanja kewangan dan sumber manusia yang tinggi untuk mencari harta karun Yamashita tetapi sentiasa pulang dengan tangan kosong. Menurut Profesor Ricardo Jose dari Universiti Filipina, jika betul harta tersebut wujud, ia sepatutnya sudah dibawa ke Taiwan atau China di mana pihak Jepun masih berkuasa di situ. Justeru bagi beliau, tindakan menyimpan harta di kawasan yang akan kembali ke tangan pihak Bersekutu sebagai satu tindakan yang bodoh dan tidak masuk akal.

Namun, ada satu kisah yang dilihat mengesahkan status sebenar harta karun Yamashita. Pada tahun 1961, seorang pembuat kunci bernama Rogelio Roxas menemui seorang lelaki di mana bapanya pernah bekerja untuk tentera Jepun. Lelaki itu mendakwa dia mempunyai peta lokasi simpanan harta rampasan Yamashita dan melukis sebuah peta harta berkenaan. Tidak lama selepas itu, Roxas bertemu pula dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan penterjemah Yamashita. Lelaki itu turut mendakwa perkara sama dan memberitahu semasa WWII, dia sentiasa berulang-alik ke terowong yang dikatakan menyimpan harta karun Yamashita termasuk ketulan jongkong emas dan sebuah patung Buddha yang diperbuat daripada emas.

Pada tahun 1970, dia berjaya mendapatkan permit penggalian dari seorang hakim bernama Pio Marcos yang juga saudara mara kepada diktator Ferdinand Marcos. Roxas bersama sekumpulan buruh bekerja keras menggali selama tujuh bulan sebelum akhirnya menemui satu rangkaian terowong bawah tanah. Apabila mereka meneroka rangkaian terowong itu, mereka menemui rangka-rangka manusia yang masih memakai uniform tentera Jepun, senjata api dan radio. Mereka terus menggali lagi dan beberapa minggu selepas itu, menemui satu penutup konkrit pada lantai sebuah terowong. Selepas ia dibuka, sebuah patung Buddha berukuran tiga kaki tinggi dan seberat satu tan. Untuk membawanya keluar sahaja memerlukan tenaga seramai 10 orang dengan bantuan tali dan kayu balak. Selepas berjaya dibawa keluar, ia disembunyikan di rumah Roxas di Baguio City, 150 batu di utara Manila.

Selain patung Buddha besar, mereka juga menemui tingkatan kotak-kotak yang disusun lima hingga enam kaki dan meliputi kawasan seluas 180 kaki persegi. Dan bila Roxas membuka salah satu kotak berkenaan, ia mengandungi 24 jongkong emas. Beberapa minggu selepas itu, dia kembali ke terowong dan meletupkannya bagi mengelakkan ia diakses oleh orang lain. Sebelum berbuat demikian, dia turut membawa pulang barang-barang lain termasuk 24 jongkong emas. Usaha pencarian Roxas memang diketahui umum di mana gambar patung Buddha besarnya itu diambil oleh seorang jurugambar tempatan dan cuba melaporkan penemuannya kepada Hakim Pio tetapi gagal. Dengan laporan berita tersebut, beberapa pembeli menunjukkan minat mendapatkan patung Buddhanya dengan salah seorang bakal pembeli menguji sama ada ia memang emas tulen atau sebaliknya. Selepas diuji, ia memang emas tulen berukuran 22 karat. Bahagian kepala patung juga boleh dipisahkan dengan bahagian badan dan hasil pemeriksaan Roxas mendapati ia mengandungi beberapa butir berlian yang masih belum dipotong.

Tetapi ini juga permulaan derita Roxas di tangan diktator Filipina terkenal itu. Pada 5 April 1971, rumahnya diserbu pihak tentera dengan waran geledah yang ditandatangani oleh Hakim Pio dengan banyak harta termasuk patung Buddha dan jongkong emas yang ditemuinya dirampas. Selepas dinasihatkan oleh Hakim Pio untuk menyembunyikan diri demi menjaga keselamatan diri dan keluarganya kerana bimbang dengan ancaman Marcos, Roxas memilih untuk bersembunyi. Bagaimanapun pada 29 April, Roxas tampil di khalayak untuk mendengar permohonan mahkamah berkenaan patung Buddha itu. Pasukan peguam yang didakwa mewakili ibu Marcos bersedia membayarnya tiga juta peso dengan syarat Roxas mengakui patung Buddha itu diambil darinya. Tetapi selepas mengamati patung tersebut, dia memilih menolak permintaan mereka.

Pada bulan berikutnya, dia ditahan oleh pihak tentera selama beberapa minggu dan diseksa dengan kejutan elektrik, dicucuh puntung rokok dan dipukul sehingga pengsan dengan tukul getah. Semua ini bertujuan untuk memaksa Roxas menandatangani afidavit yang mengatakan operasi penggeledahan rumahnya dilakukan mengikut lunas undang-undang dan mendapatkan maklumat berkenaan harta karun Yamashita. Pada akhirnya. Roxas menandatangani afidavit berkenaan tetapi tidak mendedahkan lokasi terowong harta itu. Dia kemudiannya berjaya melarikan diri selepas mengumpil kunci tingkap tetapi berjaya ditangkap semula beberapa minggu kemudian. Roxas terus kekal dalam tahanan hingga tahun 1974. Untuk 12 tahun berikutnya, dia memilih untuk mendiamkan diri.

Tetapi semua itu berubah pada tahun 1986 yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan Marcos. Bagi Roxas, inilah peluangnya untuk mendapatkan semula apa yang seharusnya menjadi haknya. Untuk mendapatkan semula semua emas yang dicuri Marcos, sebuah syarikat ditubuhkan iaitu Golden Buddha Corporation dengan hak pemilikan Roxas ditukar dengan pilihan pemilikan saham syarikat. Pada tahun 1988, satu saman sivil difailkan di Hawaii bagi mendapatkan semula patung Buddha dan apa saja harta karun Yamashita yang ditemui Roxas. Pada tahun 1996, kejayaan memihak kepada syarikat berkenaan dan estet Roxas apabila hakim mengarahkan keluarga Marcos membayar pampasan berjumlah $22 bilion kepada mereka.

Tetapi kejayaan itu dianggap terlewat untuk Roxas apabila dia mati pada tahun 1993. Sebab rasmi kematian ialah tuberkulosis atau tibi tetapi ramai mengesyaki ia berkemungkinan daripada komplikasi kesihatan yang dialami selepas bertahun-tahun diseksa oleh rejim Marcos.Selepas tarik tali berkenaan prosiding mahkamah berlarutan untuk tahun-tahun berikutnya, wujud ketidaktentuan bagaimana wang tersebut akan dibayar dan apakah estet Roxas dan Golden Buddha berpeluang mendapat pampasan yang dijanjikan. Sehingga hari ini, ia masih menjadi isu di mahkamah. Tetapi berdasarkan rekod mahkamah, bolehlah dikatakan harta yang ditemui oleh Roxas itu benar-benar harta karun Yamashita.

Ini berdasarkan keterangan saksi-saksi yang ditampilkan di mahkamah. Seorang saksi mendedahkan mereka pernah melihat patung Buddha emas itu dan pernah ditawarkan kepada mereka. Sementara seorang lagi saksi mendengar keterangan Marcos atau isterinya, Imelda yang mengakui patung Buddha itu sebenarnya dirampas dari orang yang menemuinya dan digantikan dengan patung tiruan yang diperbuat daripada loyang. Dan semua saksi mengakui pernah melihat susunan jongkong emas yang dimiliki Marcos, satu pengesahan bahawa ia sememangnya harta karun Yamashita. Dan dalam prosiding sama, seorang saksi yang mengkaji harta karun Yamashita mendapati terdapat 172 lokasi yang disyaki menyimpan harta karun itu termasuk 18 buah patung Buddha. Justeru tidak mustahil, masih ada saki-baki harta karun Yamashita di luar sana untuk ditemui.

SUMBER

Daugherty, Greg. (2019). How a Locksmith, a Dictator and a WWII General Are Connected to $22 Billion in Lost Treasure. History. https://www.history.com/news/wwii-yamashita-treasure-roxas-marcos-gold-buddha


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.