Harta Karun Dari Makam Bangsawan Firaun Yang Dilupakan

900

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pasangan Yuya dan Thuya (Thuya dan Tjuyu) melahirkan setidak-tidaknya seorang tokoh penting dalam sejarah Mesir, iaitu Tiye yang kemudiannya menjadi isteri Amenhotep III, ibu Akhenaten, dan nenek Tutankhamun. Yuya dan Thuya juga dipercayai mempunyai seorang putera bernama Ay, yang juga merupakan nama penting dalam sejarah Mesir Purba. Bukan sekadar sosok tubuh mereka sahaja yang diraikan, akan tetapi makam persemadian mereka turut dianggap sebagai salah sebuah penemuan paling mengujakan di Mesir.

Pada kurun ke-20 M, nama Yuya dan Tuya sekali lagi meniti bibir ahli-ahli arkeologi dunia apabila makam mereka dijumpai dua dekad sebelum Howard Carter menemukan makam Tutankhamun (1922). Justeru ketika itu, makam Yuya dan Tuya dianggap sebagai khazanah arkeologi paling berharga di Mesir.

Replika kerusi Puteri Sitamun, artifak dari Makam Yuya dan Tuya

Makam yang dilabel sebagai KV46 itu terletak di Lembah Raja-Raja. Seni binanya bercirikan makam-makam Dinasti Ke-18 Mesir dan dinding-dindingnya kosong dari sebarang lukisan. Ia dijumpai pada tahun 1905 oleh James E. Quibell yang ketika itu berkhidmat di bawah seliaan Theodore Davis. Sepanjang sejarah, ia dipercayai telah dir0mp4k sebanyak tiga kali. Namun, kebanyakan barang berharga di dalamnya masih tersisa sehingga dapat dijadikan sebagai khazanah arkeologi di masa kini.

Keranda lapisan paling luar milik Yuya (kiri) dan keranda lapisan paling dalam milik Yuya (kanan) yang ditemui pada 1905

Antara tinggalan arkeologi yang dijumpai di dalamnya termasuklah mumia Yuya dan Tuya yang masih berkeadaan terpelihara rapi. Bahkan sehingga hari ini, mumia mereka berdua dianggap sebagai mumia paling sempurna pernah ditemui di Mesir. Cuma malangnya, semasa musibah menimpa muzium di Kaherah pada tahun 2011, mumia Tuya mengalami kerosakan.

Mumia Yuya dan Tuya

Selain mumia, ahli-ahli arkeologi turut menemui keranda-keranda berbentuk manusia, keranda berbentuk kotak, balutan-balutan mumia, kelengkapan-kelengkapan kepala, sejumlah tangkal, kumbang-kumbang scarab, bekas-bekas kanopik, patung-patung shabti, papyrus, palet-palet tulisan, burung-ba, kerusi-kerusi emas, cermin, sistrum, permaidani, sandal, baluk, balang tembikar, barangan kemas, mohor-mohor kecil, dan banyak lagi barangan lain.

Pedati yang ditemui di makam Yuya dan Tuya (kredit)

Bagaimanapun, artifak yang dianggap paling menarik perhatian adalah pedati yang masih berkeadaan sempurna. Sama seperti mumia Yuya dan Tuya, ia dianggap sebagai pedati purba paling terpelihara di dunia. Ukiran pada pedati tersebut tidaklah begitu menonjol, namun cirinya yang ringkas mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Reka bentuk kotak-kotak barangan kemas Yuya dan Tuya juga menawan hati. Ia dihasi dengan gading, faience, dan kayu hitam sementara tulisan-tulisannya pula diukir dengan tinta emas.

Bekas simpanan makanan yang diperbuat dari tanah liat bakar yang dijumpai di makam Yuya dan Tuya
Antara kotak yang ditemui di makam Yuya dan Tuya, mengandungi cartouche Amenhotep III

Sebahagian artifak yang dijumpai di makam KV46 ini juga mengandungi nama Amenhotep III dan isterinya, Tiye. Hal ini membuktikan bahawa nama Yuya dan Tuya tidaklah ditempa dalam sejarah hanya kerana mereka merupakan ibu bapa kepada Tiye, akan tetapi disebabkan kedudukan mereka yang penting di istana firaun.

Kerusi-kerusi yang ditemui di dalam makam mereka bahkan sama megah dengan kerusi yang ditemui di makam Tutankhamun hinggakan ia digunakan sebagai kerusi rasmi yang diduduki oleh Maharani Eugenie semasa upacara perasmian pembukaan Terusan Suez.

Tanpa dapat disangkal, sosok tokoh Yuya dan Tuya cukup signifikan dalam sejarah Mesir Purba dan sedikit sebanyak, penemuan artifak-artifak di Makam KV46 ini mensohorkan lagi nama pasangan tersebut.

TERJEMAHAN:

Natalia Klimczak. (20 September 2016). The Magnificent Tomb and Treasures of Forgotten Couple Yuya and Tuya. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/magnificent-tomb-and-treasures-forgotten-couple-yuya-and-tuya-006683

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.