Moving Forward As One

Harimau Bintang Dan Manusia Hidup Bersama Di India?

870

Kebiasaannya, bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan hutan belantara, pertembungan dengan haiwan buas tidak dapat dielakkan. Konflik sebegini selalunya berakhir dengan kemtian membabitkan kedua-dua pihak. Tetapi bagi penduduk kampung Bera, Rajasthan, itu langsung tidak menjadi masalah kerana mereka hidup harmoni dengan harimau bintang yang tinggal di hutan berhampiran kampung berkenaan.

Kebanyakan penghuni kampung ini berasal dari puak Rabari. Puak Rabari ialah sebuah puak penganut Hindu yang warak yang berhijrah ke situ dari Iran melalui Afghanistan lebih seribu tahun yang lalu. Tetapi paling penting, mereka turut menyembah Dewa Shiva iaitu dewa bagi hidupan liar sambil memakai kulit harimau bintang mengikut mitologi Hindu.

Mengikut statistik, India mempunyai 14,000 ekor harimau bintang di seluruh negara berbanding 6,000-7,000 ekor sekitar tahun 60-an. Haiwan ini seperti mana haiwan-haiwan liar India lain dikategorikan sebagai spesies haiwan yang dilindungi.

Tetapi peningkatan bilangan harimau bintang turut membawa kepada peningkatan konflik manusia-harimau bintang. Persatuan Perlindungan Hidupan Liar India melaporkan 4,373 ekor hariumau bintang dibnuh antara 1995 hingga 2017. Ia dibu.n.uh oleh pemburu haram untuk aktiviti pembuatan ubat tradisional atau petani yang ingin membalas den.da.m terhadap haiwan tersebut yang membnuh haiwan ternakan mereka.

Di Bera, lain pula ceritanya. Walaupun kadang-kadang haiwan ini mencerboh kandang-kandang haiwan ternakan dan membawanya lari, bagi penduduk mereka reda dengan apa yang berlaku. Kebiasaannya, mereka mendapat pampasan Jabatan Perhutanan Negeri untuk kambing/kibas (AS$28), lembu (AS$70) dan kerbau/unta (AS$280). Ia mungkin tidak seberapa tetapi pada mereka, haiwan yang diambil itu merupakan persembahan kepada Shiva.

Bagi penternak kambing dan penjejak harimau bintang sambilan Kesa Ram, 27, dia percaya Shiva akan menggantikan haiwan ternakannya yang mti dengan ganjaran berlipat kali ganda. Di Bera, harimau bintang tidak menganggap manusia sebagai ancman dan ini dapat menjelaskan bilangannya yang banyak di situ.

Satu-satunya kes serngan harimau bintang ialah pada 20 tahun lepas di perkampungan Vellar. Dalam insiden itu, seekor harimau bintang melarikan bayi berusia 12 bulan dari sebuah kandang lembu tetapi terpaksa meninggalkannya selepas disergah keluarga bayi berkenaan. Tetapi mereka tidak menyalahkan haiwan itu tetapi diri sendiri kerana cuai meninggalkan Santosh Kunwar Chauhan berhampiran kandang berkenaan.

Chauhan yang kini berusia 24 tahun dan keluarganya tidak melihat pengalaman tersebut sebagai satu pengalaman menggentarkan. Sebaliknya, dia melihat ia sebagai satu anugerah daripada Shiva. Percaya haiwan berkenaan tersilap, sehingga hari ini penduduk Vellar membenarkan kanak-kanak bermain di luar rumah.

Mungkin ada menganggap hal ini sebagai sesuatu yang aneh. Tetapi bagi golongan Rabari, mereka percaya ini merupakan dharma atau tanggungjawab keagamaan mereka kepada hidupan liar. Selain itu, kehadiran harimau bintang dapat mengekang haiwan-haiwan herbivor seperti gazel India/chinkara dan babi liar daripada makan hasil tanaman penduduk.

Disebabkan keunikan kawasan ini, ia menarik kehadiran pelancong sekaligus membuka peluang pekerjaan sambilan kepada penduduk setempat. Lelaki bekerja sebagai penjejak dan pemberitahu maklumat harimau bintang kepada hotel dengan sesetengah wanita bekerja sebagai tukang cuci.

Begitupun, sudah ada pemain-pemain industri pelancongan yang mengintai peluang untuk bertapak di Bera. Penduduk kampung yang bimbang dengan kehadiran mereka sudah membuat permohonan untuk menukar status perkampungan mereka sebagai rizab komuniti kedua di India. Dengan status tersebut, undang-undang dan pendapatan kekal berada di tangan mereka.

Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka termasuk pemilik-pemilik hotel besar sudah mula menekan kerajaan agar tidak meluluskan permohonan yang dibuat pada 2015 itu. Ramai penduduk bimbang semakin lama permohonan itu terbiar, banyak kampung akan tergadai akibat ketamakan orang-orang sebegini.

Bagi jurukamera hidupan liar Shatrujan Pratap, mereka sudah dikenali sebagai penjaga hidupan liar di situ termasuk harimau bintang. Dan dia percaya Bera ialah bukti di mana komuniti tempatan dan haiwan liar dapat hidup bersama. Atas sebab itulah, beliau menggesa kerajaan Rajasthan agar mempercayai penduduk tempatan dalam mengendalikan ekosistem kawasan yang didiami mereka seperti Bera, bukannya orang luar yang tahu mengaut untung saja.

RUJUKAN:

Tree, Isabella. (2021). This Indian community welcomes leopards. National Geographic. Diambil dari https://www.nationalgeographic.com/animals/article/leopards-coexist-hindu-community-india

Ruangan komen telah ditutup.