Moving Forward As One

Haram Hukumnya Tangkap Gambar Eiffel Tower Pada Waktu Malam

3,256

Menara Eiffel dan Paris tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Ia bukan saja merupakan mercu tanda ibu kota Perancis itu tetapi lambang Perancis di pentas dunia. Tetapi anehnya, amat sukar mencari gambar Menara Eiffel yang disinari dengan lampu pada waktu malam. Semua ini terjadi angkara penguatkuasaan undang-undang hak cipta Perancis yang ketat.

Di negara-negara Kesatuan Eropah (EU), undang-undang hak cipta memberi hak kepada pencipta untuk memegang hak intelek mereka selama 70 tahun. Di sesetengah negara, tempoh pegangan hak intelek berbeza-beza seperti Pakistan (50 tahun) atau Jamaica (95 tahun).

Hal ini terpakai kepada Menara Eiffel juga. Selepas pereka menara Gustave Eiffel meninggal dunia pada tahun 1923, hak cipta rekaan menara bertahan selama 70 tahun sebelum ia tamat pada 1993. Selepas itu, hak reka cipta menara kini menjadi hak awam dan membolehkan banyak replika menara dihasilkan. Contoh mudah, replika Menara Eiffel di Las Vegas yang dibina pada 1999.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Tetapi memandangkan lampu yang dipasang pada menara pada tahun 1985, hak cipta untuk imej cahaya pada menara masih lagi berjalan dan dijangka tamat pada 2055. Sementara hak ini masih berkuatkuasa, imej atau video menara di mana lampu diaktifkan dianggap melanggar undang-undang hak cipta. Justeru, sebarang gambar menara yang disiram cahaya lampu perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Dan itu mendedahkan satu hakikat pahit buat para jurugambar di Perancis: tiada kebebasan panorama. Kebebasan panorama bermaksud kebebasan di mana jurugambar mengambil gambar bangunan, karya seni atau monumen di tempat awam sementara ia masih lagi dilindungi oleh undang-undang hak cipta. Bagaimanapun, pada Oktober 2016, had kebebasan panorama dikenakan untuk ukiran dan seni bina di Perancis.

Tetapi menerusi satu undang-undang baru Perancis, ia membenarkan orang awam mengambil gambar atau merakam video seni bina dan ukiran yang diletakkan secara tetap di ruang awam. Bagaimanapun, ia mestilah dibuat atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan aktiviti komersial. Peraturan ini bukan saja terpakai kepada orang awam tetapi juga jurugambar profesional.

Dan janganlah mengada-ngada nak kongsikan di laman media sosial. Sebarang usaha berkongsi kandungan gambar di platform berkenaan dianggap satu kesalahan walaupun anda penduduk di negara yang mengamalkan kebebasan panorama seperti Britain. Jika diketahui pihak berkuasa Perancis, memang nasib kena denda!

Trend melindungi seni bina ikonik negara-negara Eropah semakin mendapat tempat dalam kalangan pemerintah. Trend ini diperlihatkan menerusi penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang hak cipta sama. Antara contoh seni bina atau monumen yang diletakkan di bawah undang-undang ini ialah ukiran Atomium (Belgium), patung Little Mermaid (Copenhagen, Denmark), Parlimen Eropah (Strasbourg, Perancis) dan Colosseum (Itali).

Kebanyakan negara anggota EU mempunyai kaedah berbeza dalam mengendalikan medium artistik. Tetapi di sesetengah negara seperti Greece dan Itali, kebebasan panorama langsung tidak wujud dengan setiap gambar yang diambil perlu mendapat izin sebelum disiarkan.

RUJUKAN:

Cuttle, J. (2021). Why It’s Illegal to Take Pictures of the Eiffel Tower at Night. The Culture Trip.

Ruangan komen telah ditutup.