Hanukkah Festival Cahaya Yahudi

4,390

Mulai pada petang 22 Disember hari ini, penganut agama Yahudi akan merayakan perayaan suci mereka iaitu Festival Hanukkah (Chanukkah).

Apakah itu Festival Hanukkah?

Pada setiap tahun mengikut hitungan kalendar Yahudi (Ha-Luah-Ha-Ivri) atau kalendar Luach, dalam sekitar bulan Kislev, umat Yahudi akan menyambut perayaan Hanukkah atau Perayaan Festival Cahaya selama lapan hari lapan malam berturut-turut bermula dari petang 25 Kislev sehingga petang 3 Tevet sahaja (25, 26, 27, 28, 29, 30, 1, 2 dan 3).

Penanggalan kalendar Yahudi juga berbeza jauh dengan penanggalan sistem kalendar Masihi. Seperti bagi mereka bulan ketiga Luach, Kislev berada dalam bulan Disember, bulan keduabelas Masihi.

Di dalam sistem kalendar Yahudi atau Luach, mereka mempunyai 12 bulan juga, iaitu:

  1. Tishrei (30 hari).
  2. Cheshvan (29 atau 30 hari).
  3. Kislev (29 atau 30 hari).
  4. Tevet (29 hari).
  5. Shevat (30 hari)
  6. Adar (29 hari).
  7. Nisan (30 hari).
  8. Iyar (29 hari).
  9. Sivan (30 hari).
  10. Tammuz (29 hari).
  11. Av (30 hari).
  12. Elul (29 hari).

Ya, memang nama pelik-pelik sebab ia dari bahasa Babylonia. Nama-nama asal bulan dalam bahasa Hebrew diubah pada zaman jajahan Babylonia lalu ia diaplikasikan dan digunakan oleh umat Yahudi sehingga ke hari ini. Makna-makna bulan tersebut adalah, Tishrei (Beginning), Cheshvan (Eighth), Kislev (Trust atau Security), Tevet (Good), Shevat (Unknown), Adar (Strength), Adar (Tidak maklumat), Nisan (Their flight), Iyar (Healing), Sivan (Bright their covering), Tammuz (Hidden giver of the vine), Av (Father) dan Elul (a vain thing).

Adapun, kalendar ini hanya digunakan untuk tujuan keagamaan dan cuti umum bagi mereka sahaja.

Baik, kita sudah mengenali nama dan susunan bulan-bulan di dalam kalendar Yahudi seperti yang dinyatakan di atas. Jadi, kita akan terus membaca ke bab seterusnya. Sejarah mengenai perayaan Hanukkah dan bagaimana perayaan ini disambut oleh umat Yahudi dalam maklumat yang serba ringkas.

Sejarah Hanukkah boleh dlilihat pada sejarah, iaitu pada episod pertama kejatuhan kerajaan Israel, ketika Raja Nebuchadnezzar II dari Babylonia menawan Jerusalem dan Menorah asli yang disimpan di sinagog (tempat beribadat Yahudi) dirampas dan dibawa ke kota Babylonia. Sehingga ke hari ini, misteri kehilangan Menorah masih belum terungkai. Ada kisah yang menyatakan Menorah disembunyikan oleh para rabbai ketikamana Jerusalem dijarah oleh tentera Babylonia dan ada yang sebaliknya. Pelbagai versi cerita.

Tetapi sejarah yang merujuk kepada peristiwa perayaan Hanukkah boleh dilihat pada kisah popular iaitu pada zaman pemerintahan empayar Selecuid, Raja Antiochus IV Epiphanes menawan Jerusalem pada tahun 175 SM. Dalam kempen penaklukannya ini, Temple Solomon Kedua (sinagog) dihancurkan lalu ia digubah menjadi kuil pemujaan kepada Dewa Zeus. Bangsa Yahudi didiskriminasikan dan segala upacara keagaamaan Yahudi diharamkan. Penindasan seperti ini melahirkan bibit-bibit pemberontakan dari pihak penganut agama Yahudi. Beberapa siri pemberontakan dan serangan berlaku ke atas pentadbiran Raja Antiochus sehinggalah kumpulan pemberontak Yahudi pimpinan Judah berjaya mengambil alih semula kota Jerusalem pada tahun 165 SM. Setelah sinagog Tempel Solomon dibersihkan, maka Menorah (bukan asli) diletakkan kembali ketempatnya menggantikan tugu Zeus. Apabila mereka mahu menyalakan api, para rabbai hanya menjumpai sisa satu bekas minyak sahaja yang mampu membakar Menorah selama sehari. Tetapi keajaiban sebaliknya berlaku, apabila api yang dinyalakan pada Menorah tersebut terbakar dengan jayanya selama lapan hari berturut-turut tanpa terpadam.

Kemenangan ini dikenang sebagai perayaan hari Hanukkah dan nyalaan Menorah sebanyak lapan malam diambil daripada kisah keajaiban tersebut.

MENORAH: LAPAN CABANG KEIMANAN.

Di dalam Festival Cahaya Hanukkah, Menorah adalah simbol suci terpenting bagi mereka. Tiada Menorah, maka tiadalah Hanukkah. Menorah merupakan bekas lilin bercabang sembilan yang sering digunakan dan dimuliakan oleh umat Yahudi. Simbol ini merujuk kepada bab Isaiah (42) ayat 6 yang membawa maksud sebagai ‘a light unto all nations’.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Menorah ini dipasang atau dinyalakan setiap kali tibanya hari perayaan Hanukkah (Festival of Lights) yang mengikut sistem kalendar Yahudi, Luach. Perayaan Hanukkah selalunya bermula pada tanggal 25 bulan Kislev dan berakhir pada 2 atau 3 bulan Tevet. Perayaan ini berlangsung selama lapan hari berturut-turut. Ketika menyambut perayaan ini, penganut Yahudi akan meletakkan setiap lilin pada setiap cabang Menorah, iaitu sebanyak lapan cabang sahaja seiring dinyalakan sebanyak lapan malam, satu malam, satu lilin, sehinggalah kesemua lilin berjaya dinyalakan. Cabang kesembilan yang terletak pada posisi tengah merupakan tempat letaknya lilin istimewa iaitu lilin shamash. Lilin shamash berfungsi sebagai pembakar kepada lilin-lilin yang lain. Selalunya cabang lilin shamash diletakkan atau direkabentuk dalam kedudukan yang lebih tinggi atau rendah.

Pembaca boleh merujuk pada kitab Bible bab Exodus (25) ayat 31 sehingga ayat 40.

Apa sahaja yang dilakukan oleh mereka selama lapan hari lapan malam perayaan ini?

Seperti kesemua perayaan di dunia, yang umumnya tidak akan melepaskan juadah makanan, mereka juga mempunyai hidangan tersendiri. Hidangan pada perayaan Hanukkah selalunya digoreng atau dibakar menggunakan minyak (lebih afhdal minyak zaitun) sempena mengingati peristiwa sejarah bekas minyak di atas. Selain makanan berminyak, mereka juga memakan hidangan berasaskan tenusu. Hidangan manisan yang paling popular bagi Yahudi di benua Eropah adalah Sufganiyot, donat yang berisi jem strawberi.

Selain melantak sampai tak ingat dunia, mereka juga akan bermain permainan klasik seperti gasing kecil, iaitu Drediel. Permainan yang mengandungi empat huruf bahasa Hebrew: Nes, Gadol, Haya dan Sham yang membawa maksud “A Great Miracle Happened There”. Keajaiban yang berlaku semasa penyalaan api lilin lapan hari, lapan malam.

Kalau pada hari Hari Raya Aidilfitri, kanak-kanak akan diberi duit raya dan pada perayaan Tahun Baru Cina ia pula dikenali sebagai Angpau. Tetapi dalam perayaan Hanukkah, ia dikenali sebagai Chanukkah Gelt atau Duit Hanukkah. Duit Hanukkah hanya khusus diberikan kepada kanak-kanak sahaja. Maka kalau jadi orang dewasa Yahudi, peratus untuk menagih dan berharap pakcik-makcik menghulur duit raya adalah 0.001%.

Sehingga ke hari ini, perayaan Hanukkah atau Festival of Lights dirayakan di seluruh dunia mengikut taburan masyarakat Yahudi dan negara yang mengiktiraf perayaan ini sebagai cuti tahunan. Dan disetiap belahan negara, perayaan Hanukkah dirayakan mengikut tradisi dan cara masing-masing, tetapi ‘peraturan’ perayaannya masih tetap tidak dilupakan.

Maka, dengan ini, saya mengakhiri artikel terakhir untuk tahun 2019 dengan ucapan terima kasih.

Sumber rujukan:

1. Hanukkah, History Channel 2009.

2. Hebcal (Hebrew Calendar Converter).

– TAMAT –

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.