Hang Jebat Versi Nordin Ahmad

2,381

Hang Jebat ialah salah seorang dari sahabat Datuk Laksamana Hang Tuah yang dikatakan telah menderhaka kepada Sultan Melaka. Di dalam buku sejarah lama dan Hikayat Hang Tuah ada menceritakan kisah legenda Hang Tuah lima bersaudara ini. Hang Jebat yang akhirnya dikatakan telah kecundang di tangan Hang Tuah akibat dari perbuatan derhakanya terhadap Sultan.

Masyarakat Melayu dari zaman dahulu yang sentiasa beranggapan bahawa Hang Jebat itu adalah penderhaka dan Hang Tuah itu adalah Laksamana Terbilang dan pejuang bangsa seperti yang tertulis di dalam buku Hikayat Hang Tuah ataupun Sulalatus Salatin. Syed Alwi Al-Hady juga pernah membuat penulisan yang bertajuk “Hang Tuah Pahlawan Melayu” pada tahun 1956.

Persespsi ini seolah-olah terhenti apabila ada seorang penulis yang bernama Ali Aziz telah mencipta teorinya berkaitan Hang Jebat bertajuk “Hang Jebat Pelaku Terajidi”. Penulisan Ali Aziz ini memperlihatkan Hang Jebat dari sisi bersih dan sahabat setia yang sanggup berkorban.

Sebelum Hang Jebat versi Ali Aziz ini difilemkan, ianya terlebih dahulu diolah dalam bentuk drama radio dan ternyata semasa cerita ini disiarkan di radio ianya telah mengundang kemeriahan masyarakat Melayu pada ketika itu. Kisah-kisah murni Hang Tuah yang kerap ditulis oleh penulis-penulis sebelumnya nyata tenggelam dan jauh berbeza di tangan Ali Aziz.

Ali Aziz seorang penulis yang mendasari pemikiran teksnya dengan teori sastera, iaitu realisme sosialis. Teori tersebut bukanlah aneh dalam kalangan penulis tahun 1950-an, kerana ASAS 50 juga mirip kepada aliran teori tersebut.

Tetapi cara Ali Aziz mengolah kisah Hang Jebat dengan memberi penekaan kepada perubahan watak adalah menarik. Dengan keberkesanan olahan dari Ali Aziz ini telah menarik minat pengarah muda yang juga mempunyai sifat yang memberontak untuk menterjemahkan penulisan Ali Aziz ke layar perak.

Filem sulong arahan Hussain Haniff ini telah mencetuskan satu fenomena baru dikalangan masyarakat Melayu pada ketika itu. Sebelum itu masyarakat Melayu seringkali dikhabarkan dengan kisah-kisah kehebatan Hang Tuah dan penderhakaan Hang Jebat. Setelah Hang Jebat ditayangkan di pawagam dengan sekelip mata persepsi masyarakat pada ketika itu berubah.

Apa yang lebih menarik pada ketika itu apabila pelakon yang membawakan watak Hang Jebat di dalam filem ini seniman Nordin Ahmad dianggap sebagai susuk tubuh Hang Jebat yang sebenarnya. Malah sehingga sekarang apabila ada dikalangan masyarakat Melayu bercerita tentang Hang Jebat pasti karektor Nordin Ahmad di dalam filem ini akan tergambar.

Bagi saya filem Hang Jebat ini adalah karya agung Hussain Haniff. Lakon layar yang mantap, dialog yang padu, lakonan tragis Nordin Ahmad yang penuh jiwa, apa lagi hasil kerja dari sudut cinematografi Hussain Haniff yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Bagi Ali Aziz pula dalam satu tulisannya berkaitan filem ini, beliau menegaskan, jika seorang seniman itu hendak berlakon sebagai Hang Jebat atau seorang pengarah itu hendak mengarahkan cerita ini dengan berjaya, tidak boleh tidak mestilah ada rasa simpati di dalam jiwa terhadap pelaku trajedi yang luar biasa ini. (Hang Jebat).

Filem ini berjaya membuat penonton merasa kagum dengan keberanian dan pemberontakan yang dilakukan oleh Hang Jebat. Adakah penonton berasa simpati dengan nasib yang diterima Hang Jebat atau penonton bersetuju dengan penderhakaan yang dilakukannya terhadap Sultan?

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Ali Aziz berkata kebanyakkan yang tertulis di dalam buku-buku berkaitan sejarah Hang Tuah sebelum ini menyatakan kisah Hang Jebat menderhaka ini seringkali dilihat dari sisi tidak bersih, dan dari situlah tercetusnya ilham untuk beliau menulis kisah ini. Ali Aziz yang sangat terdedah dengan karya penulis tragedi seperti William Shakespeare antaranya Julius Caesar, Macbeth, King Lear, Hamlet dan Othelo.

Watak Hang Jebat versi Ali Aziz ini juga ada mengandungi unsur-unsur pelaku-pelaku tragedi Inggeris ini. Kesimpulan dari pendekatan yang dibawa oleh Ali Aziz ini membuatkan karya-karya penulisannya banyak difilemkan oleh pengarah-pengarah yang bernaung di studio Cathay-Keris, antaranya M.Amin menerus filem Chuchu Datok Merah pada tahun 1963.

RUJUKAN:

Berita Filem, Bil. 20, Julai 1962

Majalah Bintang, Bil. 33, 1962

Arena Film, Bil. 70-71, Keluaran Hari Raya

Sasterawan Negara Di Takhta Keunggulan – Abdul Rahman Hanafiah (Mana Sikana)

Gambar dan perwarnaan : Repair Gambar Lama

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.